|
Saudara-saudara setanah air
Ekonomi sejagat sedang berubah pesat. Globalisasi akan dirasakan
di semua sektor. Teknologi Maklumat sedang merubah cara kita
bekerja, hidup dan bermain.
Kita semua perlu sama-sama sesuaikan diri dengan perubahan
terbaru ini. Ekonomi kita amat bergantung kepada ekonomi sejagat.
Kita tidak boleh memencilkan diri dan mengabaikan segala perubahan
tersebut, dan berharap akan terus maju. Oleh itu, masyarakat
Melayu tidak harus tertumpu kepada isu-isu berkaitan orang
Melayu sahaja. Anda perlu memandang keluar dan melihat gambaran
lebih luas.
Keprihatinan anda terhadap isu pendidikan madrasah, Melayu
dalam SAF dan kepimpinan Melayu memang wajar. Isu-isu ini
berada di hati masyarakat Melayu. Tetapi itu adalah isu-isu
yang rumit dan tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.
Kita tidak harus membiarkan isu-isu itu menghalang usaha anda
untuk sesuaikan diri secara berkesan kepada Ekonomi Baru ini.
Saya gembira kerana sejauh ini, kita telah dapat membincangkan
isu-isu sensitif itu secara terbuka dan pragmatik, dan dalam
konteks masyarakat berbilang kaum. Ini adalah satu kemajuan
besar.
Seperti rakyat Singapura lain, orang Melayu juga menghadapi
beberapa cabaran besar pada hari muka. Pertumbuhan ekonomi
kita yang perlahan tahun ini akan menjejas pekerjaan dan taraf
hidup anda. Anda juga perlu prihatin terhadap kesan daripada
keadaan tidak mantap di negara-negara jiran.
Tambahan pula, pada masa depan, ekonomi kita tidak akan berkembang
sepantas masa lalu. Jurang pendapatan akan melebar. Ini akan
menguji perpaduan kita. Oleh itu, adalah semakin penting untuk
memperkukuh kesatuan nasional kita.
Intinya ialah hubungan antara kaum yang baik.
Semasa saya kecil dan belajar di Sekolah Rendah Pasir Panjang,
para pelajar bergaul dengan mudah, tidak kira bangsa atau
agama. Di Raffles Institution juga, kami belajar dan bermain
bersama-sama. Saya ada ramai rakan Melayu dan dari kaum lain.
Marilah kita meneroka cara-cara baru untuk meningkatkan mutu
interaksi di kalangan masyarakat berbilang kaum kita. Kita
perlu meningkatkan integrasi rakyat di sekolah, estet perumahan,
tempat kerja dan arena sukan. Kita perlu memupuk suatu rasa
keluarga Singapura, bahawa kita adalah satu dan kita akan
tenggelam atau timbul bersama-sama sebagai rakyat Singapura.
Perpaduan ini akan membolehkan kita mengatasi apa jua kesukaran
yang kita mungkin hadapi di masa depan.
Masyarakat Melayu telah mencapai kejayaan yang baik di bidang
ekonomi dan sosial. Anda mencapai semua itu di bawah sistem
yang bersaing dan meritokratik. Dengan cara berdikari, anda
telah menjadi masyarakat yang lebih kuat dan yakin.
Tetapi, saya mahu melihat lebih ramai anak Melayu berjawatan
tinggi dalam sektor awam dan swasta. Untuk itu, anda mesti
mencapai kemajuan yang lebih baik dalam pelajaran, terutama,
dalam IT, Sains dan Matematik. Anda perlu mendapatkan kemahiran
dalam bidang-bidang pertumbuhan yang baru. Anda perlu berdaya-cipta
dan progresif. Anda perlu berpandangan luas dan berintegrasi
dengan kaum lain. Pada masa yang sama, anda harus tetap teguh
pada budaya dan agama. Jika anda dapat mengimbangi antara
nilai-nilai tradisional dan pandangan kosmopolitan, masyarakat
anda akan berjaya dalam Ekonomi Baru ini.
Selamat maju jaya.
|