AMANAT HARI KEBANGSAAN 2003

Rakan-rakan setanah air

Saya bangga dengan kita semua sebagai warga Singapura kerana perpaduan kita dan kelakonan kita ketika menentang SARS. SARS ialah sejenis penyakit merbahaya yang boleh membawa maut. Tetapi kita telah menentangnya dengan berani dan bijak. Kita berdepan dengan ancaman yang sama, dan setiap rakyat Singapura berjuang sambil menyokong satu sama lain untuk membendungnya. Kita berdiri sama tinggi, tidak kira warna kulit atau kepercayaan. Kita menghayati Ikrar Negara kita.

Kini, kita perlukan perpaduan dan semangat yang sama untuk mengatasi satu lagi cabaran - membantu ekonomi kita supaya kembali sihat dan kukuh.

Kita telah dilanda masalah demi masalah sepanjang enam tahun yang lalu. Pertama, krisis kewangan Asia. Kemudian, kemelesetan pada 2001 dan komplot keganasan Jemaah Islamiyah. Dan pada tahun ini, SARS.

SARS telah menghambat pemulihan ekonomi kita dari kemelesetan. Dengan sekelip mata, bilangan pelawat ke Singapura merosot sebanyak dua pertiga. Hotel-hotel, syarikat-syarikat penerbangan dan teksi-teksi kita kehilangan pelanggan dan penumpang. Restoran dan kedai-kedai menjadi lengang.

Akibatnya, ekonomi kita merosot sebanyak 4.2 peratus pada suku kedua, semasa krisis itu memuncak. Pengangguran tetap tinggi. Saya dapat memahami mengapa ramai daripada anda bimbang, terutamanya mereka yang dibuang kerja.

Tetapi janganlah gusar. Kita telah berdepan dengan banyak ujian sebelum ini, dan kita telah berjaya menempuhnya. Kali ini, pemulihan ekonomi kita mengambil masa lebih lama daripada biasa kerana beberapa peristiwa yang malang. Tetapi saya yakin bahawa kita boleh mengatasi masalah-masalah yang kita hadapi sekarang, dan mencapai semula pertumbuhan.

Ekonomi kita, sebenarnya, telah mula berkembang.

Para pelawat telah kembali ke Singapura. Hotel-hotel kita telah dipenuhi semula. Sektor perniagaan melaporkan keputusan yang lebih baik. Eksport kita, yang telah mampu berkembang waktu SARS menular, akan meningkat terus. Dan meskipun terdapat kemelesetan global dan SARS, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) menjangka dapat menarik pelaburan di sektor pengilangan bernilai $7.5 bilion tahun ini, kurang sedikit daripada sasaran sebanyak $8 bilion. Pada keseluruhannya, ekonomi kita boleh berkembang di antara sifar dan satu peratus sepanjang tahun ini*.

Tahun depan, kita menjangka keadaan luaran akan bertambah baik sedikit, dan Singapura boleh mencapai pertumbuhan yang lebih baik.

Kelakonan kita memerangi SARS telah menguatkan lagi keyakinan para pelabur terhadap kita. Mereka ambil perhatian akan respons kita yang tangkas lagi menyeluruh, dan kerjasama antara Pemerintah dan rakyat. Syarikat-syarikat dan para peniaga kagum dengan kebolehan kita mengatasi cabaran-cabaran yang menggugat sistem kita. Mereka memberitahu kami mereka ingin melabur lebih banyak di Singapura.

Tetapi mereka juga mengingatkan kita supaya mengurangkan kos kita.

Sebabnya mudah: kita menghadapi persaingan sengit daripada negara-negara yang mempunyai kos yang lebih rendah. Buat pertama kali dalam sejarahnya, PSA terpaksa memberhentikan kakitangannya untuk mengurangkan kos dan mencegah lebih banyak syarikat perkapalan daripada menyeberang ke pelabuhan-pelabuhan saingannya. Ia juga terpaksa memotong gaji. Kita juga menghadapi cabaran yang sama dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat kerana pekerjaan kolar putih mereka telah berpindah ke India, Filipina dan Thailand.

Dalam sekitaran yang lebih sukar ini, apakah masa depan Singapura?

Jawapan saya ialah: masa depan adalah cerah, dengan syarat kita menyesuaikan diri dengan lanskap penuh saingan yang telah berubah itu, dan lakukannya tanpa berlengah.

Kita mempunyai banyak kelebihan. Singapura selamat, cekap dan bebas dari rasuah. Rakyat Singapura mempunyai pendidikan baik, rajin, dan bersedia mempelajari kemahiran baru. Dan kita pintar dalam mengatasi masalah-masalah.

Di peringkat global, kita sedang memperluaskan ruang ekonomi kita menerusi banyak perjanjian perdagangan bebas atau FTA. Semua perjanjian ini mengurangkan cukai dan lain-lain sekatan. Ia akan meluaskan jalan dan memberi laluan baru untuk barangan dan perkhidmatan Singapura memasuki pasaran-pasaran penting. FTA kita yang paling penting ialah perjanjian yang dimeterai dengan Amerika Syarikat dan Jepun. FTA China-ASEAN dan FTA India-Singapura juga akan memberi kita peluang yang lebih baik untuk memasuki dua pasaran gergasi yang sedang berkembang pesat. FTA kita dengan Australia, New Zealand dan Persatuan Kawasan Perdagangan Bebas Eropah juga menguntungkan Singapura.

Di peringkat dalam negeri, kita sedang menyusun semula ekonomi kita dan mengurangkan kos perniagaan. Kita telah mengurangkan cukai dan bayaran, dan akan terus melakukannya untuk mengatasi persaingan. Kos tanah dan kadar sewa kita juga telah turun. Kini kita perlu menjadikan struktur gaji kita lebih fleksibel serta berdaya saing dan menyusun semula sistem CPF.

Jika kita membuat semua penyesuaian ini, kita akan lebih bersedia apabila keadaan perniagaan pulih. Kita akan mempunyai pertumbuhan yang menghasilkan pekerjaan, bukannya pertumbuhan yang tidak menawarkan apa-apa pekerjaan. Kita bukan sekadar berjaya mengatasi masalah ekonomi tetapi kita akan kembali terbang tinggi.

Rakan senegara, masa depan kita berada di tangan kita.

Keadaannya tidak begitu pada masa lalu.

Saya dilahirkan sebagai rakyat British semasa Perang Dunia Kedua. Beberapa bulan selepas itu, tentera Jepun menawan Singapura, dan saya menjadi seorang rakyat Jepun. Apabila Jepun menyerah pada 1945, saya kembali menjadi rakyat British.

Pada bulan September 1963, pada tahun akhir saya di universiti, kerakyatan saya bertukar lagi. Kali ini, saya menjadi rakyat Malaysia. Tetapi hubungan di antara Singapura dan Kuala Lumpur adalah tegang. Ketegangan kaum begitu membara. Beberapa minggu setelah saya mula bekerja pada 1964, rusuhan kaum meletus di Singapura.

Setahun selepas itu, pada 9 Ogos 1965, pada usia 24 tahun, saya akhirnya menjadi seorang warga Singapura!

Sebelum hari yang bersejarah itu, tidak terlintas di sanubari kita bahawa Singapura akan terpaksa menyara hidup sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Tetapi, setelah dipaksa meninggalkan Malaysia, kita telah bersusah payah dan berkorban selama bertahun-tahun untuk membina Singapura.

Hari ini, Singapura adalah sebuah ekonomi yang bertenaga, dan merupakan tempat tinggal yang selamat dan selesa pada setiap masa. Negara ini telah berkembang pesat kerana kita telah membuat beberapa keputusan yang sukar tetapi tepat, dan melaksanakannya dengan penuh tekad. Singapura mungkin ada cacat celanya, tetapi ia adalah tanah tumpah darah kita. Ia adalah negeri kita. Ia adalah rumah kita. Di sini, kita menentukan masa depan kita. Kita tidak harus berputus asa untuk menjadikan Singapura lebih berjaya.

Kepada anda sekalian, saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan.


*Setelah mengecut sebanyak 1.3 peratus dalam separuh pertama, ekonomi dijangka akan tumbuh di antara 1.3 dan 3.3 peratus dalam separuh kedua tahun ini.


 
Main
Rally
Parade
Message
Did You Know?
Greetings
Send
View
SMS Contest
Picture Gallery
back to channelnewsasia.com >>