|
Malay text
Saudara-saudari setanah
air,
Saya berkongsi impian para pemimpin Melayu untuk membina masyarakat
anda menjadi sebuah "Masyarakat Cemerlang".
Dalam keadaan ekonomi
sekarang, ada di antara anda mungkin bertanya: Dapatkah wawasan
ini dicapai?
Saya percaya ia boleh
dicapai, jika anda lihat pada jangka panjang, dan antara lain, huraikan
isu-isu berikut.
Pertama, jalinan
antara pucuk pimpinan Melayu baru dengan masyarakat. Seperti pasukan
yang terdahulu, mereka perlu mendapat kepercayaan dan keyakinan
masyarakat melalui wawasan, khidmat dan jasa mereka. Kedua-duanya,
pucuk pimpinan dan masyarakat anda perlu bekerjasama untuk mencapai
wawasan masyarakat. Ibarat pepatah, "Berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing".
Kedua, masyarakat
Melayu/Islam menghadapi cabaran yang sama seperti kaum-kaum lain
- ancaman pengganasan antarabangsa, SARS, dan kehilangan pekerjaan.
Kita berada dalam keadaan yang sama. Gunakanlah peluang ini untuk
mendekati mereka dan membina ikatan yang berkekalan. Bentuklah satu
identiti kebangsaan yang merentasi bangsa dan agama.
Saya tersentuh melihat
cara semua kaum di sini berganding bahu semasa menentang SARS. Teruskan
berinteraksi dengan kaum-kaum lain dalam arus utama. Anda akan meraih
faedahnya. Jangan memencilkan diri sehingga menjadi ibarat anak
sungai yang kurang penting. Jika berlaku demikian, kemajuan anda
akan menjadi lebih perlahan. Anda juga menghadapi risiko disalahfaham
oleh rakyat Singapura yang lain.
Ketiga: Adakan usaha
besar-besaran untuk mengurangkan bilangan keluarga pincang. Kepincangan
dalam keluarga kerap mengakibatkan masalah-masalah - pencapaian
akademik yang rendah, keciciran sekolah, kenakalan remaja dan penagihan
dadah. Mereka terperangkap dalam lingkaran musibah yang mempunyai
ciri-ciri keluarga berpecah-belah, masalah sosial dan kemiskinan.
Keadaan ini membebankan masyarakat anda.
Saya akan mulakan
rancangan HOPE atau "Home Ownership Plus Education" untuk
membantu ibu bapa muda yang berkelulusan rendah bagi membebaskan
diri daripada jerat kemiskinan ini. Program ini bertujuan membina
kemampuan mereka berdikari. Untuk melayakkan diri, ibu bapa perlu
mengikuti latihan kemahiran dan membentuk keluarga yang kecil.
Galakkan ibu bapa
sedemikian untuk mendapatkan faedah daripada rancangan ini. Ia adalah
cara praktikal untuk meningkatkan prestasi masyarakat anda keseluruhannya.
Masyarakat anda telah
bertambah kukuh kerana bersaing dalam sistem meritokrasi. Ramai
yang telah berjaya dalam arus utama Singapura. Dengan kebolehan
yang anda miliki, kita pasti akan dapat melihat lebih ramai anak
Melayu/Islam yang berjawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta.
Saya yakin akan perkara ini.
Akhir kata, saya
ucapkan terima kasih kepada anda kerana telah membantu saya menghadapi
pelbagai cabaran selaku Perdana Menteri. Saya harap anda akan terus
memberi sokongan sedang saya mempersiapkan pasukan baru untuk menjaga
kepentingan masyarakat anda dan Singapura.
Sekian.
Terima kasih.
English translation
of Malay speech >>>
|