|
AMANAT HARI KEBANGSAAN
2004
"Memastikan
Singapura Terbang Lebih Tinggi"
Saudara-saudari
setanah air,
Semasa
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 28 November
1990, saya telah berikrar:
"untuk
memastikan agar Singapura bertambah maju dan makmur setelah
pengunduran Encik Lee Kuan Yew; untuk mencari satu pasukan
baru lelaki dan wanita bagi membantu saya meneruskan tugas
yang dimulakan oleh beliau dan rakan-rakan beliau; dan untuk
membina sebuah negara yang berwibawa dan berbudi pekerti dengan
rakyatnya menikmati hidup secara terhormat, mampu memenuhi
aspirasi dan mengambil berat antara satu sama lain."
Empat
belas tahun telah berlalu. Walaupun amanat Hari Kebangsaan
ini adalah yang terakhir bagi saya, saya berucap kepada anda
dengan rasa senang hati.
Ekonomi
kita telah berkembang pesat. Masyarakat kita kini lebih berihsan,
terbuka dan berbudi bahasa. Kita telah membentuk sepasukan
pemimpin muda yang berkebolehan. Sebagai sebuah masyarakat,
kita telah menjalin ikatan yang lebih erat. Sebagai sebuah
negara, kita bertambah matang. Kita lebih yakin pada diri
kita dan pada pendirian kita.
Tujuh tahun pertama membawa hasil sangat lumayan. Kita bahagikan
hasil itu kepada rakyat dan membantu rakyat Singapura yang
berpendapatan rendah.
Tujuh tahun berikutnya keadaan menjadi sukar. Pertama, Asia
Tenggara dilanda Krisis Kewangan Asia. Kemudian disusuli peristiwa
11 September, ancaman keganasan, SARS dan kemelesetan ekonomi.
Namun,
kita tidak menyerah kalah. Kita bersatu dan bangkit semula.
Kita berusaha mengembangkan ekonomi kita.
Kita
berganding mengatasi SARS. Ia merupakan masa yang menakutkan.
Beberapa orang yang kita kasihi terkorban. Itulah masa paling
sedih sepanjang saya dalam pemerintah.
Tindakan
tegas kita secara bersama menentang SARS dan krisis-krisis
lain telah mengukuhkan keyakinan saya tentang masa depan Singapura.
Kita
telah mengharungi masa-masa sukar bersama-sama. Kita tidak
pasrah. Bahkan, semangat kita semakin teguh.
Saudara-saudari
setanah air, inilah yang amat saya banggakan - semangat perjuangan,
kewibawaan rakyat, jalinan kukuh dan perpaduan sosial.
Ramai
orang melahirkan rasa terima kasih kepada saya kerana mentadbir
Singapura. Malam ini, saya pula berterima kasih kepada anda.
Saya telah diberi peluang memimpin Singapura. Saya tidak mampu
memikul tanggungjawab ini sendirian. Saya amat menghargai
sokongan anda. Begitu juga sokongan rakan-rakan Kabinet, para
Anggota Parlimen dan Parti saya. Saya ucapkan terima kasih
kepada anda semua dari lubuk hati saya.
Tugas membawa negara kita ke tahap selanjutnya kini terletak
di bahu pemimpin generasi seterusnya. Bagaimanakah kita boleh
letakkan Singapura ke tahap yang lebih tinggi dan lebih jauh?
Izinkan saya berkongsi pengalaman penting yang saya pelajari
sepanjang 14 tahun.
Pertama,
masa depan Singapura bergantung kuat kepada komitmen rakyat
terhadap negara.
Kekayaan harta benda semata-mata tidak cukup untuk memastikan
rakyat berakar-umbi di Singapura. Yang lebih penting ialah
perasaan dan bibit-bibit yang boleh menjalin ikatan antara
rakyat dengan Negara. Antaranya ialah nilai-nilai bersama
dan kenangan indah, keluarga dan rakan-rakan, kemajuan bersama
dan komitmen kita kepada sebuah masyarakat di mana setiap
orang berpeluang mencapai potensi masing-masing. Saya percaya
rakyat akan lebih mencintai Singapura apabila berasa diri
mereka dihargai dan diberi peluang untuk sama-sama membentuk
masa depan negara.
Faktor penting kedua untuk memastikan Singapura terus maju
ialah rasa saling percaya antara masyarakat berbilang kaum
dan juga antara rakyat dengan Pemerintah. Pendedahan jaringan
Jemaah Islamiyah (JI) setelah peristiwa 11 September telah
memeranjatkan masyarakat kita. Saya bimbang episod itu boleh
merosakkan rasa yakin antara masyarakat Islam dengan masyarakat
lain.
Saya masih ingat sesi dialog pertama kami bersama pemimpin
masyarakat dan agama di Panggung Kallang. Rasa bimbang itu
memang ketara. Kami jelaskan mengapa pemerintah menangkap
anggota JI dan ia tidak ditujukan kepada orang Islam. Kami
menggesa masyarakat bukan Islam agar mendekati masyarakat
Islam. Kami juga menggesa masyarakat Islam agar lebih berintegrasi
dengan masyarakat lain.
Saya rasa lega apabila peserta demi peserta - Islam dan bukan
Islam - bangun menyokong tindakan Pemerintah. Mereka mengutuk
plot pengganas sebagai perbuatan melampau beberapa individu.
Para peserta menekankan plot tersebut tiada kaitan dengan
masyarakat Islam.
Kita dapat tangani isu kaum dan agama secara terbuka kerana
keutuhan keyakinan bersama yang telah kita bina selama ini.
Kita telah mengukuhkan lagi keyakinan bersama daripada pengalaman
kita mengendalikan episod JI.
Faktor penting ketiga untuk kejayaan masa depan Singapura
ialah mutu kepimpinan nasional.
Rakyat Singapura, secara semulajadi, kurang terdorong ke dalam
politik. Jadi, kami perlu secara sistematik mencari orang
berwibawa dan berkebolehan, memujuk mereka menjadi Anggota
Parlimen dan Menteri. Dan sekurang-kurangnya, seorang daripada
mereka akhirnya, harus mampu mengambil alih teraju kepimpinan
Singapura.
Politik bukanlah darah daging saya. Saya telah diminta bertanding
dalam pilihanraya tahun 1976. Saya bersetuju. Saya anggap
ia satu tanggungjawab dan penghormatan untuk berkhidmat kepada
negara.
Seperti Encik Lee Kuan Yew, saya juga amat memberikan perhatian
terhadap soal peralihan kepimpinan. Peralihan yang dirancang
dengan rapi dan tersusun inilah yang membezakan Singapura
dengan negara-negara lain.
Saya telah memimpin Singapura selama hampir 14 tahun. Segalanya
berjalan dengan baik. Ekonomi berkembang kukuh. Pertumbuhan
enam bulan pertama ialah 10%. Untuk sepanjang tahun ini, kita
boleh jangka pertumbuhan antara 8 dan 9%. Inilah masa yang
baik untuk saya memindahkan kuasa ke tangan ketua dan pasukan
baru.
Hsien Loong dan pasukannya akan menghadapi cabaran yang berbeza
dan lebih sukar. Dunia kian tidak menentu. Sekitaran ekonomi
global akan lebih bersaing. Kita perlu menerima bahawa pekerjaan
yang tidak memerlukan kemahiran akan berpindah ke negara-negara
kos rendah. Para pekerja tua dan kurang mahir mesti dilatih
semula.
Hsien Loong juga harus berdepan dengan perubahan-perubahan
asas masyarakat Singapura. Kadar kelahiran rendah dan warga
tua bertambah. Beliau juga perlu mengurus jangkaan lebih tinggi
generasi muda. Lebih ramai rakyat Singapura akan tinggal dan
bekerja di luar negara. Beliau harus pastikan perasaan keSingapuraan
mereka terus berkekalan.
Saya yakin akan kebolehan Hsien Loong dan pasukannya. Mereka
bersedia membawa Singapura ke tahap yang lebih tinggi. Tetapi
mereka tidak dapat melakukannya secara sendirian. Mereka juga
memerlukan sokongan padu dan penyertaan aktif anda untuk terbang
lebih tinggi.
Saya berasa selesa kerana dapat melepaskan jawatan sebagai
Perdana Menteri pada masa yang saya tentukan sendiri. Saya
berbuat demikian dengan penuh yakin akan masa depan Singapura.
Kita mungkin akan hadapi badai dari masa ke masa, tetapi saya
yakin kita akan dapat mengatasinya.
Saya akan tetap bersama anda. Hsien Loong telah meminta saya
kekal dalam Kabinet. Saya telah bersetuju.
Esok, apabila kita menyambut Hari Kebangsaan, saya akan menyambutnya
dengan rasa penuh bangga untuk Singapura.
Saudara-saudari setanah air, berkhidmat untuk anda merupakan
penghormatan yang paling tinggi dalam hidup saya.
Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan!
|