Skip to main content

Advertisement

Advertisement

Asia

Berbuat amal kebajikan: Umat Islam Malaysia tingkatkan bantuan di Aidiladha sedang ramai yang memerlukan akibat COVID-19

Berbuat amal kebajikan: Umat Islam Malaysia tingkatkan bantuan di Aidiladha sedang ramai yang memerlukan akibat COVID-19

Masjid Al-Ma’muriah di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor. (Foto: Vincent Tan)

KUALA LUMPUR: Selama ini, Nadia Abu Bakar dan suami biasanya melakukan ibadah korban dengan menaja seekor kambing atau satu pertujuh kos seekor lembu pada Hari Raya Aidiladha. 

Namun disebabkan pelbagai fasa sekatan pergerakan yang berkuatkuasa di Malaysia, sambutan Aidiladha tahun ini pasti berlainan buat pasangan ini, apatah lagi Lembah Klang kini merupakan salah satu lokasi titik panas penularan COVID-19. 

“Selepas sambutan dengan keluarga, kami akan keluar meronda kejiranan dan kawasan berdekatan termasuk kawasan perumahan miskin tegar untuk mengesan bendera putih dan membantu memenuhkan gerobok rezeki yang kami temui,” ujar Nadia, 38 tahun, kepada CNA.

Pandemik yang berpanjangan telah menyebabkan ramai kehilangan mata pencarian dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mereka yang memerlukan bantuan disaran menaikkan bendera putih di luar rumah sebagai isyarat kecemasan. 

BACA: Sedih bayi dilahirkan buta tapi kini mereka sedar potensi yang ada pada si anak

Sebelum pandemik, Aidiladha biasanya disambut sebagai satu amalan kemasyarakatan. Ibadah yang biasanya dilakukan oleh umat Islam semasa Aidiladha adalah dengan menaja kambing atau kambing biri-biri atau bagi yang berkemampuan, lembu atau unta, untuk dikorbankan di perkarangan masjid.

Selaras dengan hukum, sebahagian daging korban akan dikhaskan untuk keluarga penaja korban manakala bahagian selebihnya akan disedekahkan kepada fakir miskin.

Namun tahun ini, kebanyakan masjid di Lembah Klang tidak akan menganjurkan ibadah korban disebabkan sekatan pergerakan yang berlanjutan. Masjid yang menganjurkannya pula hanya dibenarkan mengorbankan sebilangan kecil haiwan korban sehari, tanpa disaksikan orang ramai dan dengan penyertaan sejumlah kecil pembantu sahaja.

Nadia Abu Bakar telah menyediakan bahan makanan untuk diagihkan sebagai bakul bantuan COVID-19 kepada golongan miskin di kejiranan. (Foto ihsan Nadia Abu Bakar)

Dengan bertambahnya peminta bantuan dan berkurangnya daging korban, sebahagian umat Islam seperti Nadia mengambil keputusan mengubah ibadah Aidiladha mereka dengan menyumbangkan masa dan wang dengan cara yang berbeza.

Menurut beliau, ibu bapa dan adik-beradiknya juga bercadang mengagihkan bakul bantuan COVID-19 kepada golongan miskin di kejiranan masing-masing selepas bersarapan secara maya menerusi Facetime pada pagi Aidiladha yang jatuh pada 20 Julai tahun ini. 

Sebahagian umat Islam juga mengambil keputusan menaja korban di luar negara setelah mengetahui keperluan yang mendesak di sana.

BACA: 'Fokus kami hanya kelangsungan hidup dari sehari ke sehari' - Restoran lama KL guna simpanan sendiri harungi COVID-19

PERMINTAAN BANTUAN MENINGKAT

Masjid Al-Ma’muriah di Kampung Sungai Kayu, Petaling Jaya, merupakan satu daripada kira-kira 20 masjid di Selangor yang masih menganjurkan ibadah korban seperti biasa di dalam kawasan masjid tahun ini, menurut imamnya Muhammad Nizam Abd Samad. 

Penduduk kampung dilihat bertali arus singgah di masjid untuk bertanya mengenai bantuan atau menghantar borang permohonan pada Khamis lalu (8 Julai).  

“Tahun ini, boleh dikatakan bilangan orang yang memohon bantuan masjid telah meningkat sekali ganda,” kata beliau, sambil menambah bilangan penerima bantuan melonjak dengan mendadak kepada 200 isi rumah.

Muhammad Nizam Abd Samad (kanan), imam di Masjid Al-Ma'muriah Kampung Sungai Kayu Ara, menolong penduduk kampung untuk memohon bantuan makanan. (Foto: Vincent Tan)

“Ini merupakan orang-orang yang sama yang akan menerima daging korban, cuma tahun ini kami beroperasi dengan pengawasan rapi disebabkan bilangan kes yang tinggi di Lembah Klang,” kata Muhammad Nizam, 34 tahun.

Pembantu korban masjid dihadkan kepada 20 orang untuk melaksanakan kerja korban dan melapah daging untuk diagihkan. Ini bermakna mereka hanya mampu menguruskan tiga ekor lembu dan 10 ekor kambing sehari tahun ini, kata Muhammad Nizam, sambil menambah tempoh yang diperlukan untuk menyempurnakan korban adalah dua hari.

“Ramai yang datang kepada kami adalah pekerja Indonesia yang ketiadaan kerja pada masa ini kerana mereka digaji oleh kontraktor pembinaan yang tidak dapat beroperasi akibat sekatan pergerakan,” tambah Muhammad Nizam. 

BACA: ‘Kaum Hawa pun boleh’ - Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia

Skala korban yang lebih kecil menyebabkan permintaan turut berkurangan buat pengimport ternakan seperti Ahmad Sabri Md Saad.

“Kami mengimport sepanjang tahun untuk kegunaan harian dan musim korban. Sebelum COVID-19, kami mengimport antara 2,000 ke 3,000 ekor lembu setahun dan untuk kambing dan biri-biri pula, dua kali jumlah tersebut,” kata pengusaha berusia 53 tahun ini.

“Tahun ini, ibadah korban agak suram disebabkan antaranya permintaan yang lebih rendah ekoran SOP yang ketat dan bilangan terbatas haiwan yang boleh dikorbankan di masjid,” kata beliau. 

Pada masa yang sama, bekalan juga terhad disebabkan penularan penyakit kulit kental atau LSD yang berpunca daripada virus cacar di Thailand, kata Ahmad Sabri.

Meskipun penyakit tersebut tidak menjangkiti manusia, kerajaan Malaysia telah menetapkan untuk menggantung pengimportan, sementara lembu yang menunjukkan luka nodul perlu disembelih di pusat penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Sekarang, lembu yang telah diimport dari Thailand sedang diasingkan, jadi kami juga tidak dapat menghantarnya ke negeri lain untuk ibadah korban,” kata Ahmad Sabri.

SUMBANG MASA DAN TENAGA

Norazlin Abdul Manap Khalid, 33 tahun, merupakan antara mereka yang telah merancang sambutan Aidiladha yang berbeza tahun ini. 

Pada Aidiladha kali ini, beliau akan menjadi sukarelawan di sebuah pusat penilaian COVID-19.

Norazlin Abdul Manap Khalid berkhidmat sebagai sukarelawan di sebuah pusat penilaian COVID-19 di daerah Petaling di Selangor pada hari rehatnya. (Foto ihsan Norazlin Abdul Manap Khalid)

“Kebanyakan orang akan beristirahat pada hari cuti umum, tapi saya ingin membantu pada hari itu dengan menyumbang masa dan tenaga,” kata beliau.

Norazlin telah menjadi sukarelawan pada hari-hari cuti sejak pertengahan Mei lalu. Beliau membantu mengawal kumpulan ramai disebabkan beliau tiada latar belakang perubatan.

“Saya bimbang dijangkiti COVID-19, tapi saya mengambil langkah pencegahan seperti memakai PPE (kelengkapan perlindungan diri) dengan betul, mensanitasikan diri sebelum memasuki kereta dan mandi sebaik sahaja tiba di rumah,” kata beliau. 

Dahulunya, bapa beliau akan membantu di masjid dari awal pagi Aidiladha dan membawa pulang bahagian daging yang ditaja oleh keluarga mereka. Tahun ini, Norazlin dan keluarga bersedekah untuk ibadah korban di luar negara.

“Ekonomi kami sendiri juga terjejas, namun kami masih mampu melangsungkan hidup dan cuba membantu setakat yang mampu,” tegas Norazlin. 

BACA: Buat lepas rindu, pelakon Malaysia jual masakan Kelantan di gerai Singapura

Meskipun menyumbang kepada ibadah korban di luar negara memang telah lama menjadi amalan umat Islam, Norazlin berkata kebanyakan orang lebih gemar menaja di tempat-tempat di mana ibadah korban dijalankan.

“Kebanyakan wang sedekah kami hantar ke Arab Saudi kerana ini bulan haji yang mulia, kami berpendapat adalah baik wang kami dihantar untuk membiayai ibadah korban di sana,” jelas beliau.

Begitu juga Iskandar Azaman, 41 tahun, yang berkongsi bahawa isterinya telah bersedekah untuk menjalankan korban di Kemboja tahun ini.

“Sebab utama, kerana pilihan di Malaysia terhad dan umat Islam Kemboja lebih memerlukannya.”

“Saya ada seorang sahabat yang keluarganya mempunyai sebuah sekolah di Kemboja, jadi kami tahu situasi di sana lebih mendesak dan mengambil keputusan menyumbang di sana," sambil menambah bahawa ramai juga umat Islam Malaysia melakukan ibadah korban di negara itu. 

Menurut pakar forensik itu, beliau dan keluarga juga memasak dan membungkus makanan untuk jiran-jiran yang biasanya berkunjung ke rumah terbuka mereka pada Hari Raya Aidiladha. 

Nadia Abu Bakar telah menyediakan beras untuk dijadikan sebahagian bakul bantuan COVID-19 kepada golongan miskin pada Aidiladha ini. (Foto ihsan Nadia Abu Bakar)

Nadia yang bercadang mengagihkan bakul makanan bersama keluarganya pada Aidiladha ini  berkata mereka tidak akan bersikap memilih agama atau latar belakang kaum apabila menghulurkan bantuan. 

“Sama ada penerima itu beragama Islam, Hindu, Buddha atau apa sahaja tidak penting. Harapan kami, semoga pemberian ini sekurang-kurangnya dapat meringankan penderitaan mereka.”

“Dengan melakukannya bersama seisi keluarga, walaupun mereka berjauhan, saya dapat merasakan keakraban sesama kami,” kata beliau.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang seorang penjual durian yang mengedarkan makanan percuma untuk warga Malaysia yang menetap di Singapura dan juga pemandu teksi.

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement