Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

'Fokus kami hanya kelangsungan hidup dari sehari ke sehari': Restoran lama KL guna simpanan sendiri harungi COVID-19

'Fokus kami hanya kelangsungan hidup dari sehari ke sehari': Restoran lama KL guna simpanan sendiri harungi COVID-19

Pengusaha Restoran Kiew Yee Baru Peter Chin mengambil pesanan menerusi telefon. (Foto: Vincent Tan)

KUALA LUMPUR: Kawasan Petaling Street yang biasanya sibuk kini lengang dan sunyi sepi di bawah sekatan pergerakan penuh yang sedang berkuatkuasa.

Peter Chin yang telah menguruskan Restoran Kiew Yee Baru di sini sejak 1960an berkata beliau mula menutup restoran pada jam 7.20 malam tanpa menunggu jam 8 malam seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Lihatlah, langsung tiada apa pun yang berlaku,” ujar beliau sambil menuding ke arah Jalan Tun HS Lee.

“Keadaan ini lebih sunyi daripada peristiwa 13 Mei,” kata Chin, merujuk kepada rusuhan kaum 1969 di Kuala Lumpur dan perintah berkurung bagi mematahkannya.

Chong Wan Heng, menantu pengusaha Restoran Kiew Yee Baru, sedang menyediakan mi goreng Kantonis. (Foto: Vincent Tan)

Waktu restoran dibuka, menantu Chin, Chong Wan Heng, hanya memasang dapur sekali-sekala apabila ada pesanan masuk. Restoran yang beroperasi di premis kedai yang kelihatan sederhana ini menghidangkan masakan goreng seperti mi goreng Kantonis, tauhu daging cincang dan nasi goreng makanan laut.

BACA: ‘Kaum Hawa pun boleh’ - Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia

Malaysia mengenakan sekatan pergerakan di seluruh negara bermula 1 Jun untuk membendung kenaikan mendadak kes COVID-19. Makan di restoran tidak dibenarkan dan kedai hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam, manakala bekerja dari rumah menjadi aturan kerja utama untuk sektor bukan keperluan utama.

Hanya dua orang wakil isi rumah dibenarkan keluar membeli barang keperluan dan pergerakan dihadkan kepada 10km dari kediaman.

Sekatan pergerakan yang telah dilanjutkan sehingga 28 Jun ini merupakan pukulan yang hebat kepada golongan peniaga dan penjual. Kedai makan lama yang telah berpuluh tahun menghidangkan makanan tradisi antara yang teruk terjejas oleh sekatan pergerakan ini, memandangkan kebanyakannya belum lagi beralih kepada stail berniaga menerusi penghantaran.

Pengusaha kedai makan seperti ini tidak pasti berapa lama boleh terus beroperasi kerana mereka kini bergantung pada wang simpanan. Tumpuan mereka hanya untuk terus hidup dari sehari ke sehari.

“Buat masa sekarang, saya tidak memikirkan langsung soal keuntungan. Selagi dapat pulang modal, tanggung kos bahan-bahan, gas, bil api-air dan gaji pekerja, saya bersyukur,” kata Chin.

“Semasa muda, memang benar kami bimbang sama ada restoran kami akan gulung tikar. Tetapi kini kedai kami sudah cukup terkenal dan bersejarah. Kami boleh gunakan wang simpanan untuk mengharungi waktu sukar seperti ini.

“Sekarang kami tiada masa untuk berfikir apa akan berlaku jika terpaksa menutup perniagaan. Fokus kami hanya untuk terus beroperasi dari sehari ke sehari,” ujar beliau.

GUNA SIMPANAN SELAMATKAN PERNIAGAAN

Bagi Rosnah Husin yang menguruskan gerai Ikan Bakar Pak Din bersama suaminya Zainuddin Abdullah, kitaran sekatan pergerakan dan pembukaan semula selama setahun lepas telah mengurangkan simpanan perniagaan mereka.

Gerai ikan bakar yang dibuka pada 1997 ini merupakan kedai makan popular di kawasan Jalan Tanglin di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Sebelum pandemik melanda, pelanggan datang berbondong-bondong. Malah, ada yang dari Kajang, Gombak dan Subang, kata Rosnah.

Perniagaan Ikan Bakar Pak Din telah merosot kira-kira 80 peratus, menurut pengusahanya. (Foto: Vincent Tan)

"Kami terkesan teruk kerana had 10km. Orang-orang pun takut kena kompaun. Sebenarnya saya ada banyak pelanggan yang sudi datang dari jauh, bukan dari kawasan sekeliling saja," ujar beliau. 

Semasa zaman kegemilangannya, gerai ini menghabiskan sehingga 10 karung atau 100kg beras dari pagi hingga ke petang.

Kini, mereka hanya menggunakan dua karung beras, kata Rosnah. Pelanggan pula cuma datang untuk membeli ikan bakar dan nasi, tidak seperti dahulu di mana mereka boleh makan di situ dan memesan lebih banyak makanan.

BACA: Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur

Menurut Rosnah, beliau dan suaminya tidak lagi mengambil gaji diri sendiri, sebaliknya menumpukan kepada kelangsungan perniagaan gerai mereka setiap minggu. Separuh daripada pekerja mereka telah berhenti atau diberhentikan. Yang selebihnya sanggup bekerja dengan potongan gaji 50 peratus.

“Nasib baik kami ada simpan duit masa bisnes baik, jadi dapat guna masa PKP ini. Tapi makin panjang keadaan macam ini, lama-lama bukit pun jadi dataran,” ujar Rosnah. 

Apabila CNA mengunjungi kedai mereka pada hari Rabu (16 Jun), pesanan makanan masuk pada kadar yang perlahan. Rosnah mengambil pesanan menerusi telefon dan suaminya atau para pekerja membungkus ikan bakar dengan kertas timah berserta nasi dan perencah seperti cili, bawang merah, sambal dan asam jawa.

“Sama juga dengan jiran-jiran saya di warung ini. Kami semua pun nak terus hidup saja. Kini betul-betul hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petanglah,” ujar Rosnah.

Zainuddin Abdullah dan pekerjanya menyediakan ikan bakar di gerai yang terletak hampir dengan Taman Tasik Perdana. (Foto: Vincent Tan)

Begitu juga dengan Sathya Seelan Vijayakumar, pemilik Sri Ganapathi Mess di Petaling Jaya yang terpaksa menanggung sebahagian daripada kos niaga kedainya menggunakan wang simpanan kebelakangan ini.

Restoran nasi daun pisang ini dibuka oleh bapanya sekitar 20 tahun lalu. Sotong goreng, rasam ketam dan parathal kambing merupakan antara makanan kegemaran pelanggannya.

Sri Ganapathi Mess terletak betul-betul bertentangan sebuah sekolah rendah. Jika dahulu, pada waktu makan tengah hari biasa, lalu lintas pasti sesak dengan pengunjung restoran dan ibu bapa yang berpusu-pusu mencari tempat letak kereta. 

Kini, tempat ini sunyi sepi dan restoran pula kosong. Sekali-sekala apabila ada pesanan menerusi telefon atau dalam talian, para pekerja akan bingkas menyediakan makanan dan membungkusnya.

MENYERTARI PLATFORM PENGHANTARAN

Di kala banyak restoran dan kafe menyertai platform penghantaran seperti Grab dan Food Panda, sebahagian daripada kedai makan berusia puluhan tahun ini menahan daripada berbuat demikian atas beberapa sebab yang munasabah.

“Pertama, saya tidak begitu mahir dengan teknologi baru,” kata Chin, pemilik Restoran Kiew Yee Baru.

“Kedua, platform-platform ini mengambil komisen untuk setiap pesanan dan keuntungan tidak begitu besar untuk makanan asas, bermakna saya perlu menanggung kerugian atau menaikkan harga untuk menanggung kos buruh dan bahan-bahan,” tambah beliau.

Jika memilih untuk menaikkan harga, beliau berisiko kehilangan pelanggan.

BACA: Buat lepas rindu, pelakon Malaysia jual masakan Kelantan di gerai Singapura

Rosnah berkata perniagaan ikan bakar keluarganya baru sahaja berdaftar dengan sebuah platform penghantaran makanan utama dan sedang dalam proses mendapat kelulusan.

“Saya pun dengar dari kawan-kawan tentang isu komisen. Untuk saya, saya kena jaga pelanggan-pelangan saya dulu. Lagipun, macam harga ikan pun tak tentu, ikut musim,” ujar beliau.

Zainuddin Abdullah and isterinya Rosnah Husin merupakan pengusaha Ikan Bakar Pak Din di Kuala Lumpur. (Foto: Vincent Tan)

Kedua-dua perniagaan selama ini bergantung pada pesanan yang masuk menerusi panggilan telefon.

“Setelah selesai memasak, kami akan menelefon pelanggan untuk memberitahu pesanan mereka sudah siap dan mereka boleh mengambilnya menggunakan servis penghantaran atau mengambilnya sendiri,” kata Chin.

Sri Ganapathi Mess milik Sathya Seelan pada awalnya tidak tersenarai di mana-mana platform penghantaran dalam talian, namun beliau mula menyedari keperluan ini setelah mengalami kerugian ketika sekatan pergerakan pada Mac tahun lalu.

“Setelah 10 hari tanpa sebarang jualan, saya terpaksa menutup perniagaan selama sebulan, kemudian mendaftar dengan sebuah platform dan membuka semula perniagaan,” ujar beliau.

Beliau mengakui jualan akan terjejas lebih teruk tanpa adanya platform penghantaran atau ambil sendiri tempahan. Semasa sekatan pergerakan kali ini, hasil jualan dalam talian dan bawa pulang telah membantu menanggung 70 hingga 80 peratus overhed perniagaan beliau.

Seorang pekerja Sri Ganapathi Mess sedang membungkus rasam ketam. (Foto: Vincent Tan)

“Yang lebih penting lagi, kami boleh menjual kepada pelanggan yang tinggal di luar radius 10km atau had perjalanan rentas daerah semasa sekatan pergerakan penuh ini,” kata Sathya Seelan.

RINDUKAN SUASANA

Para pengusaha ini sayu melihat perniagaan mereka sunyi sepi semasa sekatan pergerakan.

Bagi Sathya Seelan, beliau paling merindui hiruk-pikuk berniaga.

“Biasanya, waktu paling sibuk bagi kami adalah hujung minggu. Namun Sabtu lepas contohnya, jam 2 petang kami hanya berbual sesama sendiri kerana tidak banyak pesanan yang masuk.

“Seorang daripada kami mencelah ‘Eh, selalunya kita akan sibuk ke sana ke mari menghidangkan nasi, sayur dan kari,’” jelas beliau.

“Selain jualan, kami juga rindukan interaksi dengan pelanggan kerana kami ada beberapa orang pelanggan setia yang telah berkunjung semenjak kami memulakan perniagaan lagi, atau telah makan di sini selama lima, 10 tahun. Mereka kadangkala singgah dan minum secawan teh atau kopi,” ujar beliau. 

Segelintir pelanggan Sri Ganapathi Mess meminta supaya kotak makanan mereka dialas daun pisang. (Foto: Vincent Tan)

Membungkus nasi dan sayur dengan kotak kertas tidak menimbulkan keseronokan yang sama, kata beliau.

“Tujuan utama orang datang ke restoran daun pisang adalah daun pisang itu. Kalau dimasukkan ke dalam kotak, apa beza kami dengan restoran nasi campur?” katanya sambil berseloroh.

Sesetengah pelanggan merindui perkara yang serupa sehinggakan ada yang meminta supaya kotak makanan mereka dialas daun pisang, kata Sathya Seelan lagi.

Berdasarkan perkiraan beliau, Sathya Seelan berkata perniagaannya masih boleh berjalan dengan wang simpanan sehingga akhir Julai tanpa perlu memberhentikan mana-mana pekerjanya.

“Namun menjelang Ogos, segalanya menjadi tanda tanya. Saya akan terpaksa membuat pertimbangan bagaimana untuk membolehkan perniagaan kami terus hidup,” ujar beliau. 

Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang sekumpulan penunggang motosikal yang mencabar stereotaip bahawa wanita tidak mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement