Skip to main content

Advertisement

Advertisement

Asia

Bukan sebarang durian kampung: Berbagai jenis durian kini ditawarkan masyarakat orang asli Selangor

Bukan sebarang durian kampung:  Berbagai jenis durian kini ditawarkan masyarakat orang asli  Selangor

Sarah, salah satu orang asli yang membekalkan durian kepada Biji Bumi Durian. (Foto ihsan Native)

KUALA LUMPUR: Terdapat durian daun yang besarnya tidak lebih setapak tangan manusia, dengan durinya yang agak lentur dan kurang mengancam apabila disentuh.

Isinya berwarna jingga dan perisanya pula dikatakan hampir sama dengan pisang dan cempedak, langsung tidak sama dengan durian-durian lain.

Ada juga durian batu yang tumbuh dari pokok-pokok yang membesar atas batu di kawasan perhutanan negeri Selangor, di mana terdapat masyarakat orang asli yang tinggal dan mencari makanan.

Bagi kita yang kurang arif, durian dari kawasan hutan sering dipandang rendah mutunya sebagai durian kampung semata-mata. Sebagai durian yang kurang ‘disanjung’, durian hutan tidaklah semahsyur buah durian daripada jenis-jenis seperti Musang King atau D24.

Meskipun begitu, orang asli di Hulu Selangor, daerah di timur laut Selangor, tidak melihatnya begitu.

“Durian-durian dekat hutan, banyak orang tak kenal. Selalu panggil durian hutan, durian hutan sahaja, tapi tak kenal buah apa nama dia,” ujar Yee Kuat, orang asli dari suku Temuan yang hanya ingin dikenali dengan nama awalnya, kepada CNA.


Yee Kuat, pengerusi persatuan penduduk Temuan di Hulu Selangor. (Foto ihsan Native)

Yee Kuat  yang berusia 32 tahun dan juga bapa kepada empat orang anak ialah pengerusi jawatankuasa masyarakat orang asli. Sebagai pengusaha tempatan beliau banyak menumpukan perhatiannya pada perniagaan durian.

Semasa musim durian, Yee Kuat membekalkan durian daripada kampung beliau sendiri serta dari masyarakat orang asli yang berhampiran kepada Biji Bumi Durian, usaha niaga yang dimulakan oleh sebuah perusahaan sosial berdasarkan pelancongan, Native.

Native yang ditubuhkan oleh Daniel Teoh, bekerjasama dengan beberapa masyarakat orang asli di  Selangor dalam menganjurkan kegiatan dan perniagaan pelancongan. Teoh merupakan antara pemenang geran Usahawan Sosial Muda Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) pada tahun 2019.

Biji Bumi,  sempena biji yang berasal dari bumi atau hasil daripada tanah, adalah inisiatif yang bertujuan memperkenalkan durian-durian masyarakat orang asli kepada para pembeli di daerah Lembah Klang. 

Sejak pelancarannya awal Julai, usaha tersebut berhasil menjual lebih 600kg durian kepada para pembeli yang ingin mencuba rasa durian dari kawasan tersebut. 

BACA: Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur


Pelancaran inisiatif tersebut juga amat tepat waktunya. Akibat gangguan kehidupan dan sekatan pergerakan berpunca daripada pandemik koronavirus, masyarakat orang asli juga terjejas dan tidak lepas daripada kesan-kesannya.

Dalam keadaan biasa,  mereka akan mendirikan gerai sementara dekat kampung masing-masing setiap kali musim durian tiba. Malangnya, ini tidak boleh diizinkan sejak pandemik tersebut merebak tahun lalu.

“Saya rasa Biji Bumi Durian sangat membantu orang asli … pasal sekarang time penyakit, banyak membantu orang asli untuk menjual buah-buahan,” ujar Yee Kuat. 

DURIAN MATAHARI DAN DURIAN ATUK ATUK

Pada mulanya, Native hanya menjual durian orang asli ini sebagai durian kampung semata-mata pada pertengahan musim durian tahun lalu, sekitar Julai 2020.

“Salah satu daripada masyarakat yang bekerjasama dengan Native berminat kuat dengan durian. Mereka memiliki sebuah hutan yang penuh dengan pokok durian. Setiap musim, mereka akan memanggil dan menjemput kami menziarahi mereka dan menikmati durian,” ujar Teoh, 27 tahun, kepada CNA. 

“Tetapi apabila pandemik mula menjejas kehidupan mereka, mereka bertanya jika kami ingin membeli durian yang mereka hasilkan,” ujar Teoh, yang juga seorang siswazah kejuruteraan sivil.  

Daniel Teoh (kiri) merupakan pengasas perusahaan sosial Native yang menganjurkan kegiatan dan perniagaan pelancongan bersama degan orang asli. (Foto ihsan Native)

 Setelah lebih satu tan durian masyarakat orang asli berjaya dijual, Teoh serta pasukannya terdorong pula untuk  menciptakan jenama Biji Bumi Durian.

 “Tahun lalu, kami telah menjual kesemuanya durian sebagai durian kampung, namun kami tersedar bahawa orang kampung menggunakan nama-nama tersendiri untuk setiap jenis durian dan kami rasa ia adalah sungguh menarik.

“Mereka menganggap kami sebagai orang luar serta  pihak yang mesra kepada mereka, lantas mereka mengenakan harga setara. Namun kita dapati mereka sebenarnya ada sistem grading tersendiri – dengan setiap gred mempunyai nilai harganya sendiri.

 “Kami memang mahu mengenali dan memaparkan perkara ini kerana ia adalah sebahagian daripada warisan orang asli,” ujar Teoh.

BACA: Sedih bayi dilahirkan buta tapi kini mereka sedar potensi yang ada pada si anak


Selain daripada durian daun dan durian batu, Biji Bumi Durian juga menyenaraikan durian matahari dan durian atuk atuk di laman webnya untuk memperkenalkan lagi durian jenis-jenis tersebut epada orang ramai.  

Dengan isinya yang berwarna kuning pekat, durian matahari dikatakan berperisa manis, berkrim, serta pahit sedikit, bersamaan dengan perisa durian IOI. Durian atuk atuk pula yang dinamakan sedemikian untuk mengiktiraf keturunan orang asli sejak berkurun lamanya, memiliki sensasi manis dan perisa krim yang pekat.

Durian matahari dinamakan menurut isinya yang berwarna kuning pekat. (Foto ihsan Native)

Gambar-gambar di catatan media sosial Biji Bumi Durian boleh mendidik orang ramai tentang nama-nama jenis durian.  Lain-lain jenis durian dalam catatan itu termasuk durian sompo yang mempunyai duri yang menyerupai cangkuk. Ada juga durian bukit yang turut dikenali sebagai “durian komunis”  kerana kebanyakannya tumbuh  daripada pokok-pokok durian yang ditanam pada zaman pemberontakan komunis. 

“Pihak komunis akan makan durian daripada hutan yang dijaga oleh orang asli dan sewaktu mereka merentas hutan, mereka akan membuang bijinya apabila mereka telah habis makan, dan hasilnya banyak pokok dunia tumbuh,”  demikian salah satu catatan tersebut dalam Facebook.

Menurut Teoh, cerita-cerita mulut begini– adakala bunyinya aneh  - kerap dikongsi sama oleh suku kaum orang asli ketika membawa para pelawat mengunjung kawasan hutan mereka untuk melihat pokok-pokok durian.

Tambah Teoh: "Terdapat juga durian ketam yang dimiliki Jais, seorang lagi petani. Beliau menjelaskan bahawa beliau telah terjumpa seekor ketam di dalam salah satu durian daripada pokok ini, dan kerana itulah dia menamakannya sebegini."

“Kami katakan kepadanya  itu mustahil tetapi dia tetap bertegas ia benar berlaku,"  menurut Teoh lagi. 

HARGA MUNASABAH

Meskipun ada beberapa pokok durian yang berasal daripada hutan, banyak juga yang dipercayai telah ditanam sendiri oleh orang asli sepanjang zaman.

 “Kebanyakan orang asli akan mengatakan, nenekku yang memberikan pokok-pokok itu kepadaku.

“Saya tidak boleh mewakili semua orang asli, tetapi untuk masyarakat ini, tanahnya dibahagikan di antara penjelajah pertama. Mana-mana keluarga yang mula tampil dahulu, merekalah yang menjadi pemilik sebahagian kawasan ini. Terdapat penanda, seperti pokok getah, yang dianggap sebagai lambang pemilikan secara tidak rasmi,” jelas Teoh.

Hari ini, suku kaum orang asli banyak tinggal di pinggiran hutan tetapi sanggup bermalam di dalam hutan pada musim durian.

Jais antara penanam orang asli yang bekerjasama dengan Biji Bumi Durian. (Foto ihsan Native)

BACA: Penjual durian sumbang makanan percuma kepada warga Malaysia dan pemandu teksi di Singapura


Untuk penjagaan pokok-pokok, mereka menaburkan abu ke atas tanah sebagai baja dan mengikat kepingan zink di sekitar batang pohon untuk mencegah haiwan-haiwan kecil daripada memanjat pokok-pokok, menurut Teoh.

“Kita orang jaga secara semula jadi, tanpa baja (komersil),” tambah Yee Kuat.

Orang tengah akan menawarkan RM4 (US$0.95) atau RM5 setiap kilogram untuk kesemua buah durian daripada hutan tersebut. Biji Bumi Durian pula akan berunding dengan masyarakat orang asli untuk menentukan harga durian tersebut.

“Kami akan tanya mereka berapa jarang durian itu, berapakah jumlah durian yang mereka ada dan berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menghasilkan buah-buahan tersebut. Seterusnya, kami akan tanya mereka apakah harga yang munasabah.”

“Seorang tauke akan membelinya semua tetapi cuma akan membayar RM4 setiap kilo. Kami menawarkan suatu lagi pilihan kepada masyarakat orang asli di mana mereka boleh mendapat penilaian yang lebih tinggi. Namun kami tidak boleh mengambil semua durian mereka kerana kami adalah jenama yang baru,” jelas Teoh.

Respons menggalakkan setakat ini mungkin menunjukkan bahawa durian-durian hutan akan dapat  menarik minat ramai penggemar ‘raja segala buah’, menerusi promosi dan pemasaran yang sewajar.

Bagi Biji Bumi Durian, ia mahu melariskan sebanyak 5 tan durian pada musim sekarang yang berlangsung selama 60 hingga 90 hari.


Raman Bahtuin menunjukkan kerchang, permainan tradisional orang asli. (Foto ihsan Native)

BACA: ‘Kaum Hawa pun boleh’ - Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia


Selain menjual pek 10kg isi durian, buah-buah  durian juga boleh dihantar kepada pelanggan dalam bungkusan kotak yang dibuat daripada tumbuh-tumbuhan oleh para pekebun orang asli sendiri.

Objektif segera Biji Bumi Durian adalah untuk mengubah tanggapan ramai terhadap durian kampung. “ Ia (durian mereka) adalah lebih baik daripada Musang King, lebih murah dan lebih baik. Itulah yang saya ingin sangat diperkatakan orang, ” ujar Teoh.

Yee Kuat, pekebun orang asli suku Temuan,  juga berkongsi aspirasi yang sama. “Saya berharap Biji Bumi Durian dapat memperkenalkan lagi  durian orang asli, menjadikannya lebih mahsyur. Orang asli sentiasa mahu bergaul dengan orang lain. Kita mahu lakukannya dengan memperkenalkan buah-buahan dari hutan. Sebenarnya kita mempunyai banyak lagi (buah-buahan) yang terbaik,” ujar beliau.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai cara umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha dengan meningkatkan bantuan kepada yang memerlukan. 

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement