Penjual durian sumbang makanan percuma kepada warga Malaysia dan pemandu teksi di Singapura
Louis Lee mengedarkan beberapa ratus bungkusan nasi lemak dan nasi ayam halal untuk warga Malaysia yang menetap di Singapura dan juga pemandu teksi dari gerainya di Owen Road.

Louis Lee telah bekerja di Singapura selama lapan tahun. Beliau membuka gerai duriannya pada 2020 di tengah-tengah wabak COVID-19. (Foto: Amir Yusof)
SINGAPURA: Dengan musim durian sampai ke kemuncaknya beberapa minggu lepas, Louis Lee bersyukur dengan rezeki buah-buahan yang dapat dijualnya.
Lee, seorang warga Malaysia yang memiliki dan mengendalikan sebuah gerai durian di Owen Road, telah menyaksikan lonjakan jualan dan keuntungan yang melimpah tahun ini. Semuanya kerana hasil musim yang baik bagi buah-buah durian yang dibawa masuk dari Johor dan Pahang.
Puas dengan pendapatan tambahannya, Lee yang berusia 31 tahun memutuskan untuk membantu golongan yang kehidupannya terjejas dengan wabak COVID-19.
BACA: Buat lepas rindu, pelakon Malaysia jual masakan Kelantan di gerai Singapura
Ketika ditemui wartawan CNA di gerainya pada 29 Jun, Lee menyatakan dia berasa bertuah kerana walaupun di tengah-tengah pandemik, dia masih boleh meraih pendapatan yang baik.
“Saya rasa penting bagi saya untuk menyumbang semula kepada mereka yang masih bergelut. Ia cuma sedikit pemberian - sebungkus makanan sahaja, bukannya banyak,” kata Lee.

Sepanjang hujung minggu pada 19 dan 20 Jun, Lee mengedarkan sebanyak 250 bungkusan nasi lemak kepada warga Malaysia yang tinggal di Singapura. Sabtu berikutnya pula, dia mengedarkan 100 bungkusan nasi ayam Hainan kepada pemandu-pemandu teksi.
Beliau mengumumkan niatnya di Facebook mempelawa mereka yang berminat supaya mengambil makanan tersebut dari gerainya. Ternyata pelawaan beliau itu menerima sambutan hangat.
“Semua makanan habis diambil. Ramai orang datang mengambil makanan walaupun jadual kerja mereka sibuk dan saya berterima kasih kepada mereka,” tambah Lee.

Apabila ditanya kenapa dia memilih untuk mengedarkan makanan percuma khusus kepada golongan-golongan ini, Lee berkata, beliau boleh memahami kesusahan yang mereka hadapi kerana kebanyakan mereka tinggal jauh dari keluarga terdekat.
Ramai dari mereka juga tidak berpendapatan tinggi, dan perlu berjimat cermat untuk membayar sewa dan membeli makanan, kata Lee.
“Saya berasa empati dengan kesusahan yang mereka hadapi. Bukan mudah tinggal berjauhan dengan orang tersayang dan bekerja keras setiap hari. Saya juga miskin dahulu, jadi saya tahu apa yang mereka rasa,” kata Lee.
SATU PEMBERIAN KECIL
Lee membuka gerainya Louis Durian and Fruits pada 2020 di tengah-tengah wabak COVID-19. Sebelum ini dia pernah bekerja selama tujuh tahun sebagai pembantu di beberapa gerai durian yang lain. Memiliki gerai sendiri adalah satu impian yang tercapai.
“Apabila Singapura memasuki tempoh pemutus rantaian jangkitan ‘circuit breaker’ pada tahun 2020, jualan durian melonjak. Ramai orang masih teringin makan durian, dan mereka membeli menerusi talian. Jualan durian menerusi talian melambung tinggi dan saya mahu mengambil kesempatan itu,” kata Lee.
Isteri dan dua anak kecilnya tinggal di kampung halamannya di Muar. Lee menganggap dirinya bernasib baik kerana dia sempat melawat mereka sekali pada 2020 walaupun sempadan antara negara ditutup kerana COVID-19.
Dia dapat bergerak pulang melalui skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang membenarkan pemegang permit kerja seperti Lee untuk balik ke kampung halaman selepas bekerja di Singapura selama 90 hari berturut-turut.

Lee juga sedar bahawa akibat peraturan yang diketatkan baru-baru ini, ramai warga Malaysia tidak mampu untuk pulang ke kampung halaman kerana mereka perlu membayar kedua-dua kos kuarantin di Singapura dan di Malaysia.
“Saya rasa kebanyakan mereka tidak mampu balik ke kampung halaman dalam waktu ini. Saya boleh rasa keperitan mereka, dan walaupun sumbangan makanan ini cuma satu pemberian kecil, saya harap ia menggembirakan mereka sedikit dalam waktu yang sukar ini.”
BACA: 'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen
Menurut Lee, makanan yang disediakan itu dibeli dari rakannya, seorang penjaja yang khusus menjual nasi lemak halal. Lee mengagihkan makanan pemberiannya itu dengan sekotak air minuman.
“Sebahagian mereka (warga Malaysia) datang bersendirian, ada sebahagian datang berkumpulan. Sebahagian dari mereka juga mahu membawa beberapa bungkusan balik untuk rakan-rakan serumah. Saya kata silakan, ambil dan berilah kepada rakan-rakan,” kata Lee.
“Saya sempat berbual dengan beberapa daripada mereka dan kami bertukar berita tentang kampung halaman dan meluahkan rasa rindu masing-masing, tapi apa boleh kami buat? Kita sekarang hidup dalam dunia yang sedang dilanda pandemik,” tambahnya lagi.

Bagaimana Lee mengesahkan bahawa mereka yang datang untuk mengambil makanannya itu benar-benar warga Malaysia?
“Saya tidaklah sampai memeriksa pasport mereka atau sebagainya. Selalunya dari cara mereka bertutur Mandarin atau Bahasa (Malaysia), kita dah boleh tahu,” kata Lee.
Sambutan juga sama hangat bagi nasi ayam percuma yang ditawarkan seminggu kemudian kepada pemandu teksi yang bekerja di Singapura tanpa mengira kerakyatan mereka.
Sebanyak 100 bungkusan yang disediakan habis diambil dalam masa kurang lima jam, kata Lee.
BACA: Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur
“KEMURAHAN HATINYA MENGINGATKAN SAYA PADA KAMPUNG HALAMAN”
Antara warga Malaysia yang datang ke gerai Louis Durian and Fruits untuk mengambil nasi lemak adalah Mohd Amin Fauzi, pemuda berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah syarikat pembuatan di Yishun.
Apabila dihubungi melalui Facebook, Mohd Amin memberitahu CNA dia menghargai pemberian Lee.
“Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kerja, saya membuat keputusan untuk singgah selepas membaca hantaran Facebook Lee itu,” kata Mohd Amin.
“Saya terkejut kerana bungkusan nasi lemak itu agak besar, lengkap dengan nasi, telur, ikan bilis, sambal dan juga ikan goreng,” tambahnya.
“Kemurahan hatinya mengingatkan saya pada kampung halaman, bagaimana warga Malaysia sanggup membantu satu sama lain walau apapun kesusahan yang dihadapi,” kata Mohd Amin.

Lee memberitahu CNA dia berharap dapat mengulangi sumbangan makanan percuma seperti ini jika pendapatannya mengizinkan.
“Mengambil kira semuanya sekali, tahun ini adalah tahun yang baik untuk saya. Saya dapat menjaga anak isteri dengan lebih baik, dan dapat pula membantu orang lain serta membawa senyuman di wajah mereka,” kata Lee.
“Sememangnya ia suatu yang menggembirakan kerana saya dapat berkongsi sedikit apa yang saya ada dengan orang lain,” tambah Lee lagi.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang bagaimana restoran-restoran lama di Kuala Lumpur mengharungi COVID-19.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.