Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

Sedang Malaysia bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, pihak berkuasa pergiat vaksinasi untuk bendung penularan

Sedang Malaysia bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, pihak berkuasa pergiat vaksinasi untuk bendung penularan

Gerakan suntikan vaksin COVID-19 Astrazeneca di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuala Lumpur pada Mei 5, 2021. (Fhoto: Reuters/Lim Huey Teng)

KUALA LUMPUR: Mandy Lam baru sahaja duduk untuk menjamah makan malam pada satu hari awal Julai lalu apabila menyedari janji temunya untuk menerima suntikan vaksin seperti yang tertera dalam MySejahtera, aplikasi pengesanan kontak Malaysia.

Jam menunjukkan 7 malam dan janji temu tersebut pada 6 petang hari yang sama.

Eksekutif komunikasi korporat tersebut bingkas meninggalkan makanan dan bergegas ke pusat pemberian vaksin yang terletak sekitar 45 minit dari rumahnya.

“Saya memandu seperti watak dalam The Fast and The Furious menuju ke pusat vaksin kerana saya dengar pusat tersebut tutup sekitar jam 8 malam,” kata beliau sambil tertawa.

Cik Lam kerap memeriksa aplikasi MySejahtera setiap hari semenjak pendaftaran untuk vaksinasi dibuka kepada umum lewat Februari tahun ini.

Beliau juga ada mencuba nasib mendapatkan slot apabila kerajaan melancarkan program vaksinasi sukarela AstraZeneca pada Mei, namun hampa.

Seorang pekerja kesihatan bersedia memberi vaksin COVID-19 Sinovac di sebuah pusat pemberian vaksin di Pusat Perubatan Sunway, dekat Kuala Lumpur, Malaysia, Jumaat, 4 Jun 2021. (Foto: AP/Vincent Thian)

Setibanya di pusat pemberian vaksin, tangannya mengeletar disebabkan lonjakan adrenalin. Beliau lantas berdoa bersungguh-sungguh untuk mendapat suntikan pertamanya sebelum pusat ditutup untuk hari itu. Doanya makbul.

“Jika saya tak bergegas ke sana, entah bila pula saya akan mendapat peluang ini lagi. Mungkin tahun depan? Sebab itu saya cuba juga walaupun sudah lewat untuk janji temu, daripada langsung tak mencuba,” kata Cik Lam.

BACA: 'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen

Sejak Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin pada lewat Februari, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula berjalan lancar. PICK terbahagi kepada beberapa fasa yang bermula dengan memberi imunisasi kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan negara.

Kakitangan memunggah sebuah kontena yang mengandungi bekalan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Kompleks MASkargo di Sepang, Malaysia pada 21 Feb 2021. (Foto: Reuters/Malaysia Information Department/Famer Roheni)

Dengan tibanya bekalan vaksin yang berterusan, usaha vaksinasi kini dipergiat di seluruh negara. Program ini telah memecahkan rekod pemberian vaksin harian dari segi bilangan dos suntikan yang diberi.

Namun pada masa yang sama, situasi penularan COVID-19 di Malaysia semakin buruk dengan bilangan kes harian dan kematian yang mencatat rekod dilaporkan saban hari.

Meningkatkan kapasiti vaksinasi merupakan cara paling efektif untuk membawa Malaysia keluar dari kemelut COVID-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen pada Isnin (26 Julai).

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dalam sidang khas parlimen di Kuala Lumpur, pada 27 Julai 2021. (Foto: Bernama)

Seratus peratus penduduk dewasa dijangka menerima dos lengkap vaksin menjelang Oktober, tambah beliau, iaitu lebih awal daripada sasaran asal 80 peratus penduduk dewasa menjelang suku pertama 2022.

Namun adakah vaksinasi satu penawar kepada krisis yang melanda Malaysia? Pakar mengingatkan meskipun vaksin boleh menjadi senjata utama, langkah pengawalan lain masih perlu dikuatkuasakan.

KEMPEN VAKSINASI SEMAKIN RANCAK

Kes baharu COVID-19 pada hari Rabu melonjak kepada 17,405 kes, tertinggi sejak pandemik melanda. Jumlah kumulatif kes COVID-19 kini ialah 1.07 juta. 

Kes kematian harian yang tertinggi pula dilaporkan pada hari Isnin and Selasa, iaitu 207 kes sehari. 

Kuala Lumpur dan Selangor dengan secara konsistennya menyumbang kebanyakan kes harian. Oleh demikian, kerajaan telah melancarkan Operasi Lonjakan Kapasiti untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di Lembah Klang. Objektif utamanya adalah untuk memberi sekurang-kurangnya satu dos kepada penduduk berusia 18 tahun ke atas sebelum 1 Ogos. 

Pada ketika ini, program vaksinasi kebangsaan Malaysia menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac.

Kerajaan juga telah memberi kelulusan bersyarat kepada CanSino, Sinopharm dan Janssen untuk kegunaan kecemasan, dan telah membeli Sputnik V buatan Rusia. Malaysia akan turut menerima Novavax menerusi program perkongsian vaksin COVAX.

Malaysia telah menguntukkan RM5.8 bilion untuk melaksanakan program imunisasi dan telah membeli dos yang cukup untuk kegunaan 130 peratus populasi Malaysia.

Kini terdapat 2,313 pusat pemberian vaksin di seluruh negara termasuk klinik swasta dan rawatan pesakit luar. Di samping itu, beberapa negeri dan wilayah persekutuan telah turut menggunakan trak vaksin bergerak untuk mempercepatkan proses inokulasi, seperti yang berlaku pada pertengahan Jun apabila empat buah trak vaksin memberi dos kepada sekitar 7,000 penduduk di projek perumahan awam di Kuala Lumpur.

BACA: Keropok kulit ayam rangup rahsia kelazatan mi Hokkien halal Petaling Jaya

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) baru-baru ini mengumumkan vaksinasi secara jumpa terus atau walk-in untuk Selangor dan Kuala Lumpur boleh dijalankan bermula 1 Ogos bagi golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu vaksinasi, termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan.

Menteri penyelaras program imunisasi kebangsaan Khairy Jamaluddin turut mengumumkan pada 25 Julai bahawa garis panduan untuk pendatang tanpa izin dan pelarian mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 telah diluluskan, dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah akan mengendalikan program imunisasi kepada golongan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Khairy Jamaluddin (kanan) dan Menteri Kesihatan Adham Baba. (Foto: Bernama)

Menurut Encik Khairy, 38.2 peratus penduduk Malaysia atau 12.49 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin setakat 27 Julai lalu. Daripada jumlah itu, lebih 5.9 juta atau 18.1 peratus populasi telah menerima dos lengkap vaksin.

Bagi populasi dewasa, 25.2 peratus telah menerima dos lengkap vaksin, tambah beliau.

Malaysia yang mempunyai penduduk 32 juta orang merupakan antara negara yang terpantas memberi vaksin kepada penduduknya dalam mengekang COVID-19, kata Encik Muhyiddin Isnin lalu.

Penyelidik kesihatan awam Lim Chee Han bersetuju ramai berpuas hati dengan kadar vaksinasi sedia ada. Kadar pemberian vaksin mula dipertingkatkan awal bulan lalu setelah pada awalnya mengalami kelembapan disebabkan penangguhan penghantaran bekalan.

Penyelidik kesihatan Lim Chee Han. (Foto ihsan Dr Lim Chee Han)

“Kadar ini sebenarnya lebih tinggi daripada purata dunia (13.23 peratus lengkap dos vaksin) dan purata Asia (9.81 peratus),” kata beliau.

Selasa lalu, wilayah persekutuan Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini yang selesai memvaksin 80 peratus populasi dewasanya. Populasi dewasa Labuan adalah 68,500.

KADAR PENDAFTARAN DAN INOKULASI RENDAH DI SESETENGAH NEGERI

Namun ada cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha vaksinasi ini.

Di sesetengah tempat di Malaysia, kewujudan gerakan antivaksin dan golongan yang keberatan menerima vaksin perlu diberi perhatian.

Menurut Dr Lim, sebelum wabak COVID-19 lagi, propaganda antivaksin mempengaruhi lapisan masyarakat di bandar mahu pun di luar bandar, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi dan pendidikan.

“Jadi pada pendapat saya tiada pola yang jelas menunjukkan siapa yang keberatan untuk mengambil vaksin, cuma ia mungkin agak ketara pada sesetengah kumpulan agama di beberapa tempat di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Mereka mempersoal status halal vaksin,” tambah beliau. Negeri Kedah yang terletak di utara Semenanjung Malaysia pernah mencatat kadar imunisasi kanak-kanak terburuk sebelum pandemik COVID-19, kata beliau.

Pendaftaran vaksin di negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu masing-masing berada pada paras 62.5 peratus dan 76.7 peratus, manakala di Kedah, parasnya 77.9 peratus setakat 27 Julai.

Negeri-negeri ini ketinggalan di belakang Selangor dan Negeri Sembilan serta wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana 100 peratus penduduk dewasa yang layak telah mendaftar untuk divaksin.

Sabah pula mencatat kadar pendaftaran paling rendah antara semua negeri. Hanya 40.5 peratus atau 1.12 juta penduduk dewasanya yang layak telah mendaftar dengan program tersebut.

Bercakap kepada CNA pada 21 Julai, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Masidi Manjun berkata angka pendaftaran yang rendah itu berpunca daripada keadaan muka bumi dan infrastruktur negeri di Borneo itu, dan kerajaan negeri tidak terlalu bimbang mengenai angka tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Masidi Manjun (Foto: Bernama)

“Disebabkan capaian Internet yang terhad di kawasan pedalaman, ramai yang lebih gemar membuat pendaftaran secara manual,” jelas beliau.

Tambah menteri negeri itu lagi, terdapat pasukan petugas khas imunisasi di setiap daerah negeri yang diselaraskan oleh pegawai daerah untuk memastikan rakyat menerima suntikan vaksin.

Mengenai kadar inokulasi, Selangor dan Kuala Lumpur telah mencatat angka pemberian dos pertama tertinggi iaitu 2.66 juta dan 2.079 juta. Sebagai perbandingan, Kelantan dan Sabah hanya mencatat pemberian dos pertama sekitar 360,000 dan 650,000 setakat 25 Julai.

Encik Masidi memberitahu CNA, jika dilihat pada nisbah populasi, Sabah mempunyai kadar penerimaan vaksin paling rendah antara negeri-negeri di Malaysia. Jabatan Kesihatan Sabah mempunyai kapasiti 50,000 dos sehari, namun hanya memberi purata 12,000 dos kerana dos yang ada diagihkan sehingga bekalan baharu diterima, kata beliau minggu lalu.

“Kami lebih gemar membuat vaksinasi secara walk-in – daftar dan terima vaksin. Kerajaan negeri telah menyediakan bangunan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin. Malah, banyak bangunan ini boleh terus digunakan,” kata beliau.

BACA: Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur

Pembantu penyelidik Sabrina Melisa Aripen merupakan antara warga Sabah yang masih lagi menunggu janji temu vaksinasi.

Beliau mendaftar sebaik sahaja fungsi pendaftaran vaksinasi diperkenalkan pada aplikasi MySejahtera. Sejak itu, penantian menjadi suatu penyeksaan. Ibu bapanya yang berusia 82 dan 76 tahun serta rakan-rakan yang ada kecacatan atau komorbiditi juga belum menerima janji temu mereka.

“Tapi saya lihat orang muda, sihat dan tegap serta bukan pula petugas barisan hadapan berkongsi telah menerima dos mereka. Adilkah ini?” tanya Cik Sabrina.

Sabrina Melisa Aripen (kanan) dengan ibunya yang dalam lingkungan usia 70-an, dan anak lelakinya, 6 tahun. Puan Sabrina dan ibunya belum lagi menerima temu janji suntikan vaksin. (Foto ihsan Sabrina Melisa Aripen)

Beliau menyangka gilirannya akan tiba awal apabila kerajaan mengumumkan vaksin akan diberi secara berfasa, memandangkan usianya yang dalam 40-an. Namun apabila kerajaan mengumumkan bahawa bermula Mei, mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan mula menerima janji temu vaksinasi, beliau masih belum juga menerima vaksin.

Oleh kerana persoalannya mengenai kecekapan kempen imunisasi dan proses pemilihan masih belum berjawab, Cik Sabrina berasa seolah-olah tidak dipedulikan.

Kemungkinan beliau tidak lagi perlu menunggu terlalu lama dengan penghantaran lebih banyak vaksin ke Sabah.

Encik Masidi mengumumkan 21 Julai lalu bahawa kerajaan negeri telah menerima sejumlah 747,980 dos (termasuk 152,100 yang diterima sebelum ini) dan tambahan 308,990 dos dijangka tiba minggu berikutnya.

Dengan penghantaran ini, inokulasi harian boleh ditingkatkan. Pengarah Kesihatan Negeri Rose Nani Mudin berkata pada hari yang sama, Sabah boleh mencapai suntikan harian 40,000 berbanding 30,000 sebelumnya.

BACA: Sedih bayi dilahirkan buta tapi kini mereka sedar potensi yang ada pada si anak

VAKSIN BUKAN PENAWAR AJAIB

Mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin kini mempunyai harapan untuk mendapat sedikit pelepasan daripada pelbagai bentuk sekatan pergerakan.

Terdahulu pada 24 Julai, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata mereka yang telah melengkapkan dos vaksin mungkin akan diberi kelonggaran seperti dibenarkan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dan sosial, termasuk makan di restoran, sebagai satu “ruang, keselesaan”.

Rakyat Malaysia telah bersabar menghadapi pelbagai bentuk sekatan pergerakan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

BACA: ‘Kaum Hawa pun boleh’ - Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia

Kemunculan varian Delta di Sarawak, iaitu salah satu varian baharu yang membimbangkan (VOC) dengan 93 kes dikesan sehingga Ahad (25 Julai), dan di negeri-negeri lain turut menjadi pendorong untuk memvaksin seberapa ramai penduduk yang layak.

Dalam satu sidang media secara maya, ketua pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham Abdullah menggesa rakyat Malaysia mendapatkan suntikan vaksin mereka sambil menambah mereka yang telah divaksin kurang menjangkitkan dan berkemungkinan tidak akan sakit teruk.

Dr Noor Hisham menunjukkan meskipun 2,779 petugas kesihatan telah dijangkiti COVID-19 selepas menerima dos lengkap vaksin, namun kebanyakan mereka berada dalam kategori satu (tidak bergejala) atau dua (bergejala ringan).

Sementara itu, terdapat hanya tiga pesakit dalam setiap kategori tiga (bergejala dengan jangkitan paru-paru) dan empat (memerlukan bantuan oksigen). 

Namun Dr Lim mengingatkan, kempen vaksinasi bukanlah satu penawar ajaib untuk angka kes COVID-19 Malaysia.

Seorang askar yang memakai peralatan pelindung diri menyembur pembasmi kuman di sebuah kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat, Kuala Lumpur, Malaysia pada 29 Jun 2021. (Foto: Reuters/Lim Huey Teng)

“Menurut kaca mata kesihatan awam dan sains hayat, vaksin yang sedia ada bukanlah silver bullet dan tidak mampu menghapuskan penyebaran penyakit, walaupun dijangka membantu menurunkan bilangan kes dan keperluan kepada kemasukan ke hospital dengan ketara,” jelas beliau.

Kesan positif vaksinasi masih belum dapat diperhatikan memandangkan sebahagian besar penduduk Malaysia masih belum divaksin dan bilangan orang yang telah lengkap divaksin masih terlalu kecil untuk membendung trend kenaikan jangkitan tempatan COVID-19 di kawasan tertentu, tambah beliau.

“Walaupun pada masa ini kerajaan nampak seperti ketandusan idea dan usaha vaksinasi ini satu-satunya respons efektif mereka terhadap kesukaran yang kita hadapi, banyak negeri hanya akan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus populasi menerima dos lengkap vaksin menjelang September,” kata beliau.

Sungguhpun begitu, tambah Dr Lim, 50 peratus penduduk yang sudah divaksin bukanlah suatu angka ajaib yang boleh membendung penularan COVID-19. Beliau mengingatkan, jika langkah sekatan pergerakan tidak berubah, lebih banyak kes boleh dijangka terutamanya kematian.

Bagi penyelidik kesihatan awam dan ekonomi kesihatan Nazihah Muhamad Noor dari Institut Penyelidikan Khazanah, vaksin boleh menjadi senjata utama dalam usaha menamatkan pandemik, namun keberkesanannya bersyarat.

Naihah Muhamad Noor dari Institut Penyelidikan Khazanah. (Foto ihsan Nazihah Muhamad Noor)

“Tetapi hanya jika kita boleh memvaksin sebahagian besar penduduk dunia dengan segera, bukan setakat populasi Malaysia,” katanya.

“Ketakseimbangan vaksin global telah menyebabkan sebahagian besar penduduk dunia terdedah dan membolehkan virus membiak dalam populasi yang mudah mendapat serangan. Ini menyumbang kepada kemunculan varian baharu yang boleh tersebar dan melambatkan usaha menghapuskan pandemik ini di mana-mana, termasuk di negara yang mempunyai program vaksinasi yang maju,” terang Cik Nazihah.

Oleh itu, langkah kawalan pandemik lain seperti ujian, pengesanan kontak, kuarantin dan penggunaan pelitup separa muka masih perlu diamalkan dengan meluas, tambah beliau. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai durian yang ditawarkan oleh masyarakat orang asli di Selangor. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement