Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

‘Kaum Hawa pun boleh’: Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia

‘Kaum Hawa pun boleh’: Sekumpulan peminat motosikal kuasa tinggi cabar stereotaip wanita Malaysia

Kumpulan penunggang motosikal kuasa tinggi menjelajah ke Tanjung Sepat, sebuah pekan tepi pantai di Selangor. (Foto ihsan Cecilia Su Yee Wei)

KUALA LUMPUR: Emily Lim Phaik Siew seperti tidak sabar-sabar setiap kali berpeluang menghidupkan enjin dan menunggang Kawasaki Vulcan S 650, sebuah motosikal berkuasa tinggi miliknya yang dibeli Disember tahun lalu.

“Menunggang motosikal membolehkan seseorang rapat dengan alam semula jadi terutamanya ketika menunggang di pergunungan. Kita benar-benar boleh merasai arah tiupan angin dan cuaca nyaman, menghirup udara segar dan menikmati kicauan burung.

“Saya benar-benar menyukainya,” kata ejen hartanah berusia 40 tahun dan ibu kepada empat anak lelaki dengan penuh minat.

Emily Lim Phaik Siew menunggang Kawasaki Vulcan S 650 milliknya ke Jugra lookout point di Selangor. (Foto ihsan Emily Lim Phaik Siew)

Lim merupakan anggota kumpulan wanita penunggang motosikal Lembah Klang yang mencabar stereotaip  bahawa wanita tidak mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Kumpulan tersebut asalnya terdiri daripada empat sekawan yang menunggang merentas kaki Banjaran Titiwangsa ke Bentong, Pahang, pada September 2019. Gembira menghabiskan masa bersama, mereka mula merancang lebih banyak sesi kembara bermotosikal dan menerima lebih ramai penunggang yang mengongsi minat yang sama untuk menyertai mereka.

Oleh kerana kelibat wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi memang sesuatu yang jarang dilihat, kumpulan ini kerap menjadi tumpuan orang ramai.

“Mereka tertanya-tanya kerana belum pernah melihat kumpulan penunggang wanita. Mungkin mereka kagum dan menganggap kami berani kerana mencuba sesuatu yang mereka anggap berbahaya,” ujar Cecilia Su Yee Wei, 38 tahun, mengenai pengalaman beliau bersama rakan-rakannya baru-baru ini ketika menjelajah ke Tanjung Sepat, sebuah pekan tepi pantai di Selangor.

Mahkota kecil pada topi keledar beliau memberi sentuhan gila-gila pada penampilannya di samping mengimbangi keteguhan corak bunga mawar berduri pada jentera Harley-Davidson Sportster 48 milik beliau. “Saya seorang wanita dan mahukan motosikal yang kelihatan seperti milik seorang wanita, cuma tidak terlalu ayu,” kata beliau.

Mahkota kecil pada topi keledar Cecilia Su Yee Wei memberi sentuhan gila-gila. (Foto ihsan Cecilia Su Yee Wei)

Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman menunggang dan jenis motosikal yang berbeza. Mereka kerap bertemu dan menunggang secara konvoi.

Mereka saling bantu-membantu apabila berkonvoi. Setiap kali berhenti, merekalah yang paling menonjol disebabkan keceriaan dan kelincahan mereka.

Kegiatan bermotosikal mereka nampak sama sahaja seperti perjumpaan-perjumpaan wanita yang lain.

Bezanya, mereka memakai kelengkapan keselamatan dengan aksesori yang paling dihargai pula adalah motosikal mereka.

BACA: Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur

BERSIAR-SIAR BERSAMA TEMAN 

Dalam filem Hollywood, penunggang wanita kadang kala digambarkan berambut lebat dan panjang mengurai apabila membuka topi keledar.  Tapi lain pula halnya apabila menunggang di bawah panas terik di negara seperti  Malaysia. 

Penunggang pasti lencun dibasahi keringat manakala rambut pula berminyak, kata Jean Loke Chiew Jing, 38 tahun, sambil tertawa. 

“Inilah sebabnya motosikal berkuasa besar tidak sesuai untuk kegunaan harian,” kata pengurus pembangunan perniagaan ini, sambil menambah saiz motosikal juga boleh menjadi beban.

Maka setiap kali ada kelapangan pada hujung minggu, wanita-wanita ini akan merancang untuk keluar bandar dengan motosikal mereka terus meluncur ke tempat tujuan.

Kesempatan seperti ini digunakan bukan sahaja untuk menunggang tetapi juga mengeratkan hubungan sesama anggota kumpulan.

Menurut mereka, hanya penunggang wanita sahaja  yang boleh memahami cabaran unik yang dihadapi mereka, misalnya bagaimana hendak mengendalikan jentera seberat tiga hingga lima kali ganda berat badan mereka dan menguasai teknik menaiki motosikal berkuasa tinggi dengan mudah.

Kehilangan keseimbangan adalah sebahagian daripada menunggang motosikal berkuasa tinggi. Emily Lim Phaik Siew berswafoto setelah motosiikalnya jatuh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. (Foto ihsan Emily Lim Phaik Siew)

Namun ini tidak bermakna mereka langsung tidak menunggang bersama kaum lelaki. Penunggang lelaki biasanya bersikap sopan terhadap penunggang wanita, kata Su.

Tambah Loke: “Mereka menghulur bantuan apabila diperlukan. Setiap kali melihat kami terkial-kial menolak motosikal yang berat, mereka akan menawarkan diri untuk membantu.”

APA YANG MENDORONG MEREKA?

Apa yang menjadi motivasi bagi para wanita ini berminat terhadap motosikal besar adalah berbeza-beza.

Bagi Su punca inspirasi adalah satu sesi  perkongsian mengenai ekspedisi bermotosikal dan dengan mengikuti akaun Instagram para penunggang Harley-Davidson wanita di Amerika Syarikat.

“Antaranya kiriman mereka yang menunjukkan  sekumpulan mereka berkhemah di sebuah taman negara sambil duduk-duduk mengelilingi unggun api pada waktu malam.

“Imej tersebut kekal dalam ingatan saya. Kiriman tersebut membangkitkan satu keinginan yang kuat untuk belajar menunggang motosikal. Saya fikir apabila berjaya, saya akan membeli sebuah Harley. Ia lantas menjadi motosikal impian saya,” cerita beliau.

BACA: Keju artisan - Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

Setelah setahun menunggang sebiji “kapchai” berkuasa 150cc, pada 2018 beliau beralih kepada Harley-Davidson berkuasa 1,200cc yang diberi nama timangan Zeus sempena bunyi enjinnya yang seakan-akan bunyi guruh.

Beliau kemudian menjelajahi negara asing seperti Maghribi, Jepun dan Indonesia dengan menaiki motosikal sewa. Dengan motosikalnya Zeus pula beliau pernah menakluki liku-liku  Mae Hong Son di Chiang Mai dengan 1,864 selekohnya yang  berbahaya.

Cecilia Su Yee Wei menjelajahi Maghribi dengan motosikal Ural yang disewa di Jun 2018. Budak-budak tempatan di Sahara teruja dengan motosikal roda tiganya. (Foto ihsan Cecilia Su Yee Wei)

Kumpulan penunggang ini memang tidak lepas daripada perhatian ramai. “Kami biasa ditanya sama ada sudah berumah tangga kerana kelihatan hidup bebas seolah-olah belum berkeluarga,” kata Lim.

Umum menganggap kaum wanita perlu mengekalkan penampilan sopan-santun dan menjaga kulit supaya sentiasa cerah. “Ramai orang menganggap wanita perlu bermekap dan menjaga kecantikan. Menunggang motosikal merupakan suatu kegiatan yang mencabar, jadi kami kerap ditanya, mengapa menceburi aktiviti ini?” kata Su.

Jean Loke Chiew Jing menunggang motosikal berkuasa tinggi beliau di Kuala Lumpur pada waktu malam. (Foto ihsan Jean Loke Chiew Jing)

Loke yang menunggang sebuah Kawasaki Ninja 650R mengimbau kenangan sewaktu bersekolah menengah di Ipoh, Perak, tatkala pelajar dari sekolah-sekolah lelaki gemar membunyikan enjin motosikal mereka dengan kuat apabila menghampiri beliau. “Jarang dapat kita lihat gadis menunggang motosikal. (Mungkin mereka fikir,) kamu ni perempuan, mengapa nak menunggang motosikal seperti lelaki?”

Zaman sudah berubah. Kini, wanita yang mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi kelihatan ‘mengancam’ dan mampu menarik perhatian lelaki, kata beliau. “Sekarang kita kata, apa sahaja yang lelaki boleh buat, wanita juga mampu melakukannya.”

BACA: Keropok kulit ayam rangup rahsia kelazatan mi Hokkien halal Petaling Jaya

Menunggang motosikal berkuasa tinggi merupakan aktiviti lasak yang dikaitkan dengan menunggang laju dan keseronokan. Tapi bagi Lim beliau melihat adanya persamaan antara menunggang dan meditasi.

“Menunggang motosikal memerlukan fokus. Ini membuatkan kita lupa seketika akan perkara-perkara yang mengganggu fikiran.

“Inilah manfaat paling besar yang saya perolehi daripada menunggang motosikal.”

KE MANA SETERUSNYA?

Lim yang berkongsi hobi menunggang dengan suaminya memasang impian untuk membawa keluarga menjelajah Malaysia dengan menaiki motosikal milik mereka satu hari nanti.

Cecilia Su Yee We (depan, kanan) Jean Loke Chiew Jing (kedua dari kiri) berkonvoi dengan two orang rakan ke Bentong, Pahang, pada September 2019. (Foto ihsan Cecilia Su Yee We)

Loke yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun mempunyai impian yang lebih besar. “Saya harap satu hari nanti anak saya turut memilih hobi menunggang supaya kami boleh mengembara bersama.”

Bagi Su pula, impiannya yang terbesar adalah untuk melakukan pengembaraan bermotosikal di negara asing mana sahaja bersama-sama sahabat penunggang wanita yang lain.

“Mungkin buat masa ini Thailand  merupakan destinasi yang paling realistik,” kata beliau. 

Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang pelakon Malaysia yang mengusahakan gerai masakan Kelantan di Singapura. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement