Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur

Pasangan adik-beradik warga emas teruskan profesion mengasah pisau di Kuala Lumpur

vtsharpenmalay 01
Percikan api berterbangan ketika Yip Yoke Lin mengenakan sebilah pisau tukang masak Cina pada pengasah elektrik, sambil diperhatikan kakaknya Yip Ah Moy. (Foto: Vincent Tan)

KUALA LUMPUR: Percikan api berterbangan apabila Yip Yoke Lin, 74 tahun, meletakkan pisau tukang masak Cina yang sedang diasahnya pada sudut 30 darjah dari permukaan meja.

Setelah melayang pisau tersebut beberapa kali pada mesin pengasah, beliau menguji ketajamannya dengan melayangkan jarinya pada mata pisau dengan berhati-hati.

“Ini asah ‘kasar’. Setelah berpuas hati, saya akan meletakkannya di atas meja kerja dan mengasah mata pisau menggunakan batu pengasah pula,” kata beliau.

Kakak beliau, Yip Ah Moy, 84 tahun, yang bongkok dimamah usia, turut sama melakukan kerja mengasah pisau pelanggan lain. Beliau melayangkan mata pisau pada batu dengan lembut bermula dari bahagian bilah pisau yang berdekatan hulu hingga ke hujungnya.

vtsharpenmalay 02
Yip Ah Moy membongkok di bangku kerjanya untuk mengasah sebilah pisau dapur dengan batu pengasah. (Foto: Vincent Tan) 

Sekali-sekala, Yip Ah Moy akan berhenti dan merendamkan batu pengasahnya ke dalam sebaldi air yang diletakkan bersebelahan meja kerja beliau untuk membasuh serpihan-serpihan asahan dan melincirkan semula batu pengasahnya.

Suasana tempat kedua beradik ini bekerja dihidupkan oleh irama muzik terkini yang dimainkan di kafe-kafe dan medan selera berkonsep terbuka di tingkat bawah REXKL, sebuah bekas panggung wayang yang kini menjadi hab kesenian dan kebudayaan di Jalan Sultan di dalam kawasan Chinatown Kuala Lumpur.

Ada kalanya pengunjung masuk ke tempat Yip bersaudara untuk melihat mereka bekerja. Ada yang memang datang untuk menyerahkan sebilah dua pisau dapur untuk diasah.

READ: Artisanal blacksmiths in Malaysia build up strong following with traditional skills, modern techniques

BERMULA DI TEPI JALAN

Perniagaan mengasah peralatan ini dimulakan oleh bapa kedua beradik ini pada penghujung 1940-an di Chinatown, Kuala Lumpur, khususnya di Petaling Street.

Malah, Yip Ah Moy masih ingat bagaimana bapanya mula-mula membuka perniagaan di hadapan sebuah kedai  kek dan pastri Fung Wong yang telah bertapak di Petaling Street selama empat generasi.

Menurut Yip Ah Moy, perniagaan bapanya memang telah sekian lama beroperasi di sekitar kawasan Petaling Street. Beliau dan adiknya baru-baru ini berpindah masuk ke REXKL apabila tuan punya bangunan yang baharu menyediakan satu ruang kecil buat mereka meneruskan kemahiran mereka.

Pasangan adik-beradik ini juga beroperasi di sebuah pasar pagi di Cheras.

“Pelanggan kami bukan sahaja dari kedai berdekatan, tetapi juga dari serata bandar. Mereka datang kepada kami untuk meminta peralatan mereka diasah,” kata Yip Ah Moy.

vtsharpenmalay 03
Yip Yoke Lin (kiri) menghulurkan beberapa bilah pisau yang selesai diasah dan dibalut dengan kertas surat khabar kepada pelanggannya. (Foto: Vincent Tan)

Sebahagian daripada pelanggan mereka mengendalikan restoran manakala yang lainnya tukang jahit dan tukang kasut.

“Suatu masa dahulu, mereka yang kerjanya memotong getah asap keping turut datang mencari kami,” kata Yip Yoke Lin.

Dua bersaudara ini menggunakan kaedah cuba-cuba dalam menguasai kemahiran mereka.

BACA: Kafe Shah Alam tarik pelanggan dengan sajian Sarawak dan laksa Pattaya

“Kami belajar daripada bapa kami,” kata Yip Ah Moy sambil menambah beliau mula mengasah pisau dengan diawasi oleh mendiang bapa mereka pada usia lewat remaja.

“Bagaimana kami belajar? Bapa memberi pisau kepada kami yang mudah untuk diasah. Selepas itu, beliau akan menguji hasil kerja kami dengan meminta kami memotong beberapa bahan.”

“Jika pisau tidak memotong dengan baik atau kami perlu mengenakan tekanan untuk memotong, umpamanya jika pisau dapur, itu bermakna kami tidak mengasah pisau tersebut dengan sempurna,” tambah Yip Ah Moy.

Ruang kerja adik-beradik Yip ini ringkas sahaja iaitu sebuah pencanai meja dan sebuah meja kerja untuk setiap seorang yang terdiri daripada sekeping papan kecil disandarkan pada sudut condong, dengan sebuah pemegang kecil untuk memegang batu pengasah.

Kedua-dua mereka mempunyai cara kerja masing-masing.

vtsharpenmalay 04
Ruang kerja adik-beradik Yip ringkas sahaja iaitu batu asah dan sebaldi air untuk menyingkirkan serpihan-serpihan asahan. (Foto: Vincent Tan)

Yip Ah Moy lebih gemar merendam batu pengasah beliau ke dalam air untuk melincirkannya dan membasuh serpihan, manakala Yip Yoke Lin sekali-sekala akan menceduk air dengan tangannya dan menitiskan ke atas bilah pisau yang sedang diasah.

“Pencanai meja berkuasa elektrik ini merupakan perkakas terbaharu kami. Kami turut menggunakan pencanai meja suatu masa dahulu, cuma ia dikendalikan dengan kuasa pedal yang memerlukan kita duduk di atasnya,” ujar Yip Yoke Lin.

BACA: 'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen

PERNIAGAAN YANG SENTIASA TIDAK MENENTU

Perniagaan mengasah pisau adik-beradik Yip ini adakalanya terlalu sibuk dan adakalanya sunyi.

“Perniagaan kami tidak menentu. Kadangkala, kami duduk menunggu sepanjang hari namun tiada seorang pun pelanggan masuk. Ada kalanya seperti hari ini, kami bekerja tanpa henti sejak membuka pada jam 2 petang,” kata beliau.

Satu ketika, Yip Ah Moy akhirnya berhenti membuat kerja untuk menikmati makan tengah hari beliau iaitu sepaket chee cheong fun (gulungan mi beras). Adiknya membantu menuang sepaket sos cili ke atas hidangan ini.

vtsharpenmalay 05
Dua bilah pisau dapur yang tumpul serta batu asah dan kotak yang mengandungi alat-alat kerja adik-beradik Yip. (Foto: Vincent Tan)

Setelah menyiapkan pesanan, setiap pisau akan dibalut secara berasingan dengan kertas surat khabar dan salah seorang wanita ini akan menulis harga yang dikenakan menggunakan pen marker.

“Bayaran yang kami kenakan adalah berdasarkan saiz pisau atau peralatan seperti gunting. Kami bersedia mengasah pisau dengan bayaran antara RM10 (US$2.43) ke RM15, terutama untuk pisau yang lebih besar dan berat.

“Gunting juga kami kenakan sehingga RM15 untuk yang besar seperti jenis yang digunakan oleh tukang jahit,” ujar beliau.

BACA: Keropok kulit ayam rangup rahsia kelazatan mi Hokkien halal Petaling Jaya

Meskipun sekarang umumnya orang tidak lagi membuat atau menempah pakaian tempah khas, Yip Yoke Lin berkata minggu-minggu sebelum bulan umat Islam berpuasa iaitu Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu sibuk buat mereka berdua.

“Ramai tukang gunting menghantar gunting mereka untuk diasah kerana ramai sahabat-sahabat kita yang berbangsa Melayu bersiap sedia untuk menyambut bulan puasa diikuti Hari Raya,” ujar beliau.

vtsharpenmalay 06
Proses mengasah gunting lebih susah berbanding dengan pisau dapur, kata Yip Yoke Lin. Pasangan adik-beradik ini sering dapat pelanggan berulangan dari kedai-kedai tukang jahit dan kraf. (Foto: Vincent Tan)

Walaupun papan tanda pada tiang menunjukkan adik-beradik Yip ini bekerja di REXKL setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, mereka biasanya datang ke premis mereka di Jalan Sultan apabila khidmat mereka diperlukan.

“Jika tidak, kami biasanya akan berada di pasar pagi di Cheras dan apabila ada pelanggan menghubungi kami kerana ada perkakas yang perlu diasah,” kata Yip Yoke Lin.

BACA: Keju artisan - Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

ANAK-ANAK TIDAK BERMINAT MENGAMBIL ALIH

Kedua-dua wanita ini berkata anak-anak mereka memilih untuk tidak menceburi perniagaan keluarga ini, dan mereka memahami pilihan anak-anak mereka ini.

“Memanglah sayang, namun pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan ini tidak mencukupi untuk menyara keluarga dengan pasangan dan dua orang anak. Ini merupakan pekerjaan yang kian dilupakan.”

vtsharpenmalay 07
Yip Yoke Lin memeriksa ketajaman mata sebilah pisau dapur Cina. (Foto: Vincent Tan)

“Kami lakukan kerja ini untuk kekal sibuk di samping untuk memperoleh wang perbelanjaan sendiri,” jelas Yip Yoke Lin.

Mereka juga terpaksa bersaing dengan peralatan mengasah yang dijual di pasaran.

“Peralatan itu sudah cukup baik jika anda hanya inginkan sebilah pisau untuk menyediakan bahan memasak. Jadi pemiliknya tidak perlu mencari orang lain untuk mengasah pisau mereka,” ujar Yip Ah Moy.

vtsharpenmalay 08
Seorang pelanggan lama menghulurkan duit upah untuk pisau-pisau yang selesai diasah oleh Yip Yoke Lin di tempat kerja hujung minggu adik-beradik Yip di REXKL. (Foto: Vincent Tan)

“Pada masa yang sama, ada orang cuma membeli pisau baharu apabila pisau sedia ada sudah tumpul!” katanya sambil tertawa.

“Sebenarnya masih ada individu yang membuat kerja seperti kami untuk menyara hidup. Mereka lebih muda daripada kami dan hanya menumpu kepada bilah pisau yang lebih mahal, jadi bayaran yang dikenakan juga jauh lebih tinggi,” tambah adiknya, Yip Yoke Lin. 

Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu yang satu ini.

Ikuti akaun CNA di Facebook dan Twitter untuk membaca artikel-artikel terkini. 

Source: CNA/tx

Bookmark