Kafe Shah Alam tarik pelanggan dengan sajian Sarawak dan laksa Pattaya

Kafe Shah Alam tarik pelanggan dengan sajian Sarawak dan laksa Pattaya

Kafe Datang Sitok (BM) 04
Laksa Sarawak Pattaya. (Foto: Vincent Tan)

SHAH ALAM: Di kafe yang mengkhusus dalam sajian tradisi negeri terbesar di Malaysia ini, laksa Sarawak disediakan dengan cara yang agak unik. 

Bahagian dalam mangkuk dialas dengan sekeping telur dadar nipis sebelum mi, hirisan daging, udang, bahan penghias dan kuah pekat laksa dimasukkan.

Hidangan yang disajikan bersama hirisan limau nipis dan sambal ini diberi nama “laksa Sarawak Pattaya” sempena nasi goreng Pattaya iaitu nasi goreng berbalut telur dadar nipis yang cukup popular.

Mazlan Bustaman dan isteri beliau Rahina Morshidi menguruskan Kafe Datang Sitok ini yang bermaksud “datang ke mari” dalam loghat Melayu Sarawak. Pasangan ini memberi tumpuan kepada masakan Sarawak, memandangkan Rahina seorang Melayu Sarawak dari Kuching.

Kafe Datang Sitok (BM) 03
Mazlan Bustaman dan Rahina Morshidi menguruskan kafe yang diberi nama Datang Sitok di Shah Alam. (Foto: Vincent Tan)

“Saudara-mara Rahina yang juga berniaga laksa dan mi kolo di Kuching memberitahu kami hidangan ini kini sedang popular di sana. 

“Saya belum pernah menemui restoran yang menawarkan hidangan ini di Lembah Klang, jadi mungkin kami yang terawal membuat laksa ala Pattaya di sini,” kata Mazlan. 

Kafe ini turut menyajikan laksa Sarawak biasa tanpa telur dadar. Bagi penggemar udang pula, Mazlan berkata restorannya menawarkan laksa yang dihidang dengan enam atau tujuh ekor udang besar. 

“Cuma buat masa ini, udang air tawar agak sukar ditemui jadi kami tidak menjualnya buat sementara waktu,” katanya. 

BACA: Keju artisan - Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

Kafe Datang Sitok mula beroperasi pada Ogos tahun ini selepas Mazlan menutup firmanya di dalam sektor minyak dan gas ekoran penurunan permintaan pasaran dan untuk membendung kerugian yang disebabkan oleh klien mungkir bayar. 

Meskipun Rahina sudah beberapa tahun menawarkan juadah kegemaran ramai seperti laksa Sarawak dan nasi lemak menerusi perusahaan penghantaran ke rumah, membuka kedai makan semasa pandemik COVID-19 ada risikonya. 

Namun pengalaman ini mendatangkan kepuasan dan pengajaran buat pasangan ini. 

“Kami mula buka pada Ogos. Waktu itu masih tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi agak ramai juga orang yang datang. Kami pula masih sedang memperbaiki sistem pesanan, jadi buat seketika keadaan agak kelam-kabut,” kata Mazlan. PKPP merupakan fasa kelonggaran dalam pelaksanaan sekatan pergerakan Malaysia bagi membendung penyebaran COVID-19.  

Pasangan ini teringat pada seorang lelaki yang datang bersama keluarga dan sahabat handainya. Habis kesemua meja di kafe ini diduduki oleh mereka.

Kini Selangor kembali diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 pada bulan Oktober. Keadaan di kafe kembali reda, membolehkan Mazlan dan Rahina memulihkan tenaga.

READ: Malaysian hawker sends wonton mee ‘flying’ for full flavour

“Orang ramai masih perlu makan, tetapi sekurang-kurangnya keadaan kini tidak terlalu sesak. Kafe kami dibuka dari 12 tengah hari ke 10 malam. Kami juga mendapat banyak pesanan untuk penghantaran,” ujar Mazlan.

NASI ARUK TERUBUK MASIN, TEH-C SPECIAL 

Kafe Datang Sitok terletak di bahagian Shah Alam, ibu negeri Selangor, yang berhampiran dua kampus universiti. Kawasan yang biasanya sibuk dengan lalu lintas dan aktiviti perniagaan ini kini sepi disebabkan sekatan perjalanan dan aktiviti di bawah PKPB.

Namun ada sebilangan pelajar dari Sarawak dan Sabah yang tinggal di kawasan sekitar walaupun kelas telah berpindah ke dalam talian. 

Tambahan pula kafe baharu ini yang menghidangkan sajian negeri asal mereka kini menjadi buah mulut dalam kalangan anak Sarawak yang tinggal di Lembah Klang.

Selain laksa Sarawak Pattaya, pelanggan juga datang untuk menikmati hidangan tradisi Sarawak yang lain seperti mi kolo yang dihidangkan dengan hirisan daging dan minyak bawang merah oleh Rahina. 

Kafe Datang Sitok (BM) 01
Nasi Aruk Terubuk Masin. (Foto: Vincent Tan)

Juga terdapat nasi aruk terubuk masin iaitu nasi yang digoreng hingga hampir garing bersama hirisan cili dan ulam-ulaman dan dihidangkan dengan ikan masin goreng yang dibelah dua. 

Seorang pelanggan, Khairul Asimuddin Abdul Rahman, usia 29 tahun, memberitahu CNA hidangan ini jarang ditemui di Lembah Klang. 

“Kafe Sarawak lain yang pernah saya kunjungi tidak menjual terubuk masin,” ujar beliau. 

Ian Kennedy, seorang penuntut komunikasi massa berusia 23, mengunjungi Kafe Datang Sitok baru-baru ini bersama beberapa orang pelajar dari Sarawak dan Sabah serta seorang sahabat orang tempatan. Buat pertama kalinya dia makan di kafe tersebut setelah mencuba sajiannya menerusi perkhidmatan penghantaran. 

Ian berkata yang paling dirinduinya adalah laksa Sarawak dan mi kolo, tetapi malam itu beliau memesan nasi aruk dabai, iaitu nasi yang digoreng dengan buah dabai (Canarium odontophyllum), sejenis buah yang menyerupai zaitun hitam and mempunyai perisa mentega bila dimasak. 

Kafe Datang Sitok (BM) 05
Nasi Aruk Terubuk Masin, teh-C special yang mengandungi gula apong yang diperbuat daripada nira pokok nipah, dan laksa Sarawak pattaya". (Foto: Vincent Tan)

“Saya juga merindui rasa teh-c special, minuman yang boleh dibeli di kedai-kedai kopi,” kata Ian, merujuk kepada teh ais tiga lapis yang popular di Kuching.

Teh ini mengandungi satu lapisan teh susu di atas, lapisan susu sejat di tengah, dan gula apong di bawah iaitu gula yang dibuat daripada nira pokok nipah. 

Apabila dikacau, gula pokok nipah ini memberikan keunikan pada rasa minuman ini.

PELBAGAI LAGI SAJIAN SARAWAK

Ditanya sama ada beliau bercadang mengembangkan menu kafe ini dengan memasukkan sajian Sarawak yang lain seperti manok pansoh (ayam dimasak dalam buluh) atau umai (hirisan ikan atau udang mentah yang diperap dengan jus limau, cili dan bawang), Rahina berkata semuanya bergantung pada respon pelanggan dan situasi bekalan.

“Dan juga kos. Sebagai contoh, sepaket 200g pes laksa di Lembah Klang berharga RM7.90 (US$1.90) tetapi di Sarawak, sepaket 500g boleh dibeli pada harga RM9. 

“Terubuk masin juga sukar diperoleh. Saya pernah cuba mendapatkan terubuk di sini dan harganya antara RM10 ke RM20 seekor. Ikannya dari Thailand,” ujar beliau sambil menambah tiga ekor ikan berharga RM10 di Kuching. 

READ: Malaysia's budget for 2021 is its biggest ever. Will it cushion the impact of COVID-19?

Meskipun begitu, Rahina tetap ingin sekali berkongsi sajian tradisi lain dengan pelanggannya. 

Kafe Datang Sitok (BM) 02
Kafe baharu ini yang menghidangkan sajian Sarawak menjadi buah mulut dalam kalangan anak Sarawak dan juga Sabah yang tinggal di Lembah Klang. (Foto: Vincent Tan)

Beliau menjual bubur pedas, sejenis makanan sayuran pedas dan bukannya bubur nasi, setiap hari Sabtu, dan kacang ma, sejenis sup yang dibuat menggunakan tumbuhan herba tempatan, apabila ada permintaan.

Mazlan berkata beliau dan Rahina mungkin akan memasukkan item yang dikeluarkan daripada menu ketika mereka memulakan kafe ini dahulu.

“Tetapi buat masa ini, semuanya baik. Kami pun sibuk. Kadangkala jualan banyak dan kadangkala sedikit, jadi kami masih pulang modal,” ujar beliau.

Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu yang satu ini.

Ikuti akaun CNA di Facebook dan Twitter untuk membaca artikel-artikel terkini. 

Source: CNA/tx

Bookmark