'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen

'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen

Community Policing Malaysia Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng bergurau senda dengan salah seorang penerima bantuan. (Foto: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia) 

KUALA LUMPUR: Barangan keperluan harian 10 sen (US$0.03), perkhidmatan teksi 10 sen dan rumah transit yang mengenakan bayaran RM1 sehari.

Semua ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Kuan Chee Heng, 57, pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan kurang bernasib baik.

Untuk Pasar 10 Sen anjuran beliau, Kuan menerima barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai termasuk pakaian, perkakas, malah pernah juga sebuah kereta. Barangan tersebut kemudian “dijual” kepada penduduk di komuniti kurang berkemampuan pada harga 10 sen satu.

“Asalnya kami hanya memberi makanan, kemudian kami dapati penduduk di komuniti ini memerlukan perkara lain juga,” Kuan memberitahu CNA.

“Bayaran kecil 10 sen ini bertujuan untuk mengelakkan kami memberi barangan ini secara percuma, takut ia tidak dihargai,” ujar beliau.

Jelas beliau, matlamat utama inisiatif ini adalah membantu membanteras jenayah dengan menyumbangkan bekalan keperluan harian dan barangan lain kepada komuniti kurang berkemampuan, dan untuk ahli komuniti bertegur sapa.

Biasanya ketua komuniti setempat seperti pengerusi surau, rukun tetangga dan pengerusi persatuan penduduk akan menghubungi organisasi ini dan menjemput mengadakan Pasar 10 Sen di kawasan mereka.

Setakat ini, inisiatif ini telah membantu 10,000 keluarga di Lembah Klang dan tempat lain di Malaysia, menurut perkiraan Kuan.

Community Policing Malaysia Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng menganjurkan program sarapan pagi percuma di sebuah stesen minyak Petron di Lembah Klang. (Foto: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia) 

BACA: Kafe Shah Alam tarik pelanggan dengan sajian Sarawak dan laksa Pattaya

Bermula dengan pasar, usaha Kuan berkembang menjadi inisiatif lain seperti perkhidmatan teksi 10 sen untuk golongan miskin bandar, terutama sekali yang ingin menghadiri temu janji di hospital.

Apabila menyedari para pesakit ini tidak berupaya menjaga anak-anak apabila ke hospital, Kuan memulakan pula perpustakaan 10 sen sebagai sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak. Pusat jagaan ini turut berfungsi mencegah kanak-kanak menjadi mangsa masalah seperti pencabulan jika tiada pengawasan.

Kuan turut menyediakan perkhidmatan van jenazah RM1 dan ambulans RM1.

Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia diasaskan pada 2007 sebagai sebuah NGO pencegah jenayah. NGO ini kemudian memperluas kegiatannya dengan menawarkan inisiatif-inisiatif yang disebut di atas apabila Kuan menyedari kepentingan menyemai kasih sayang dan belas kasihan sebagai langkah efektif dalam membanteras jenayah.

“Jadi kami ubah strategi dengan mempamerkan kasih sayang dan membantu komuniti. Dengan menggalakkan orang ramai mematuhi undang-undang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, kita secara tidak langsung memberi mereka peluang membuktikan bakat kepemimpinan dan menjadi contoh yang baik,” ujar beliau.

Menerusi kerja amal beliau, Kuan mendapat gelaran “Uncle Kentang”.

“Orang menggelar saya ‘Uncle Kentang’ kerana saya pernah menghantar kentang kepada orang ramai. Saya pernah bertanya dengan doktor bagaimana boleh saya menggalakkan kanak-kanak supaya makan kerana banyak keluarga miskin yang saya kunjungi hanya ada beras.”

“Kentang boleh dilenyek, boleh dibuat sup ... saya tidak memberitahu mereka nama saya, jadi mereka hanya cakap 'kentang sudah mari, kentang sudah mari' apabila mereka nampak saya datang,” ujar beliau sambil tertawa kecil.

MEMBESAR DALAM KEMISKINAN

Berbual mengenai membantu golongan asnaf sehingga mampu berdikari mengingatkan Kuan kepada pengalaman hidup beliau sendiri.

Latar belakang kemiskinan keluarganya merupakan antara faktor utama yang mendorong penglibatan Kuan dalam kerja amal. Semasa berkongsi mengenai keperitan hidup keluarganya, beliau hampir menitiskan air mata.

“Saya berasal dari sebuah keluarga penoreh getah yang papa kedana. Bapa gagal dalam perniagaan,” kata Kuan menceritakan kisahnya.

Kuan membesar di sebuah estet di Batu Pahat, Johor yang tiada bekalan elektrik mahu pun air paip.

“Kami dibuli ... tiada makanan, serba kekurangan. Ibu saya seringkali dibuli kerana terpaksa berhutang untuk membeli barang keperluan. Ibu kerap pulang ke rumah dalam tangisan,” tambah Kuan.

Kuan Chee Heng Community Policing Malaysia
Kuan Chee Heng, yang membesar dalam kemiskinan, menganggap peluang membuat aktiviti amal sebagai berkat. (Foto: Vincent Tan)

Malah setelah mendiang bapanya didapati menghidap kanser, mereka tidak mampu menghantarnya ke hospital mahu pun membayar kos rawatan.

“Kami hanya ada sebuah basikal buruk dan apabila bapa meninggal dunia, kami terpaksa meminjam wang untuk urusan pengebumian,” kata Kuan.

BACA: Keju artisan - Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

Kuan kemudian bekerja sebagai kerani namun setelah menyedari beliau tidak gemar bekerja di pejabat, beliau berhenti dan membuat kerja rencam.

“Selepas itu saya berkhidmat selama enam tahun dengan pasukan Polis Diraja Malaysia sebelum menamatkan perkhidmatan dan membuka sebuah kedai bunga,” kata beliau.

Pengalaman beliau menjadi pendorong Kuan dan Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia memulakan pelbagai inisiatif mereka.

“Bagi saya, keperitan hidup memberi pengajaran berguna dalam membentuk keperibadian kita. Apabila dewasa, ia mendorong kita berbakti kepada masyarakat kerana kita tidak mahu orang lain mengharungi kesukaran yang sama seperti yang kita lalui,” kata Kuan.

RUMAH TRANSIT RM1 DAN INISIATIF LAIN

Wawancara Kuan dengan CNA beberapa kali tergendala disebabkan panggilan telefon dan mesej yang diterima. Ada kalanya beliau menguruskan pengangkutan dan ada kalanya mengarahkan pekerja Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam satu kes, seorang doktor membuat panggilan meminta Kuan bersedia untuk menyambut seorang pesakit dan isterinya yang dijangka tiba dari Sabah untuk satu sesi rawatan di Kuala Lumpur hari berikutnya. Pasangan tersebut memerlukan bantuan pengangkutan.

Community Policing Malaysia Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng menyediakan perkhidmatan ambulans selepas mendapati golongan miskin yang terlantar sakit di katil menghadapi kesukaran untuk ke hospital. (Foto: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia)

Bagi yang datang dari pedalaman Malaysia tidak kira sama ada dari Semenanjung mahu pun Sabah dan Sarawak, yang berkunjung ke Lembah Klang untuk rawatan perubatan, penginapan boleh menjadi satu masalah.

BACA: Keropok kulit ayam rangup rahsia kelazatan mi Hokkien halal Petaling Jaya

Kuan memulakan asrama atau rumah transit RM1 pada 2016 setelah Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia menerima maklum balas mengenai kesukaran yang dihadapi para pesakit.

“Kos rawatan mereka mungkin telah ditanggung oleh jabatan kebajikan, namun mereka masih memerlukan tempat tinggal.

“Ada satu kes yang dirujuk kepada kami melibatkan seorang warga emas. Bayaran kemoterapinya telah selesai, namun beliau perlu tinggal lebih lama untuk menghabiskan rawatan.

“Semasa kami menyambutnya, beliau hanya ada beberapa ringgit di dalam koceknya. Di sinilah timbulnya idea seperti rumah transit RM1 bagi membantu golongan miskin ini,” kata Kuan.

Terdapat lima buah rumah transit RM1 di Lembah Klang. Tiga di Puchong, satu berhampiran bangunan Institut Kesihatan Negara di Shah Alam dan satu lagi di Kuala Lumpur. Mereka yang kesempitan hanya perlu membayar RM1 sehari untuk tinggal di rumah-rumah transit ini.

Kuan Chee Heng Community Policing Malaysia
Kuan Chee Heng berbual dengan seorang ibu yang memohon untuk bantuan selepas dia dengan anak-anaknya terpaksa bermalam dalam kereta akibat diminta mengosongkan rumah sewa mereka. (Foto: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia)

Di laman Facebooknya, Kuan kerap berkongsi kisah mereka yang menghubunginya meminta bantuan. Organisasi beliau turut bertindak sebagai pencari jodoh antara majikan dan mereka yang mencari kerja.

Kini, ekoran daripada gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia dan kemerosotan ekonomi, lebih ramai orang memohon bantuan yang disediakan Persatuan Kepolisan Komuniti.

Mereka yang menghubungi organisasi ini termasuk warga tempatan dan asing, kata Kuan.

DERMA ORANG RAMAI TAMPUNG KERJA AMAL

Kuan dibantu oleh tenaga sukarelawan dan kira-kira 30 orang pekerja. Pekerja organisasi ini termasuk pemandu ambulans dan teksi kerana perkhidmatan ini biasanya memerlukan kerja lebih masa. Bagaimanakah beliau membiayai semua inisiatif ini?

“Sebenarnya ada ramai orang berada yang berminat membuat kebajikan. Mereka ingin bersedekah, jadi kami menerima banyak derma orang ramai,” kata Kuan. Beliau teringat suatu masa di mana beliau berjaya membuat kutipan untuk membeli sebuah ambulans yang lengkap dalam masa hanya sehari.

Di samping itu, Kuan bekerjasama dengan penaja korporat seperti syarikat minyak Petron. Kuan juga menjadi perunding kawalan keselamatan bagi kediaman mewah dan ini turut menjadi sumber pembiayaan aktiviti amal Persatuan Kepolisan Komuniti.

Kuan Chee Heng Community Policing Malaysia
Kuan Chee Heng menyerahkan sebuah kereta jenazah baru kepada pihak ahli jawatankuasa surau di sebuah projek perumahan kos rendah di Sungai Lui di Raub, Pahang. (Foto: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia)

“Memang ramai yang bertanya bagaimana saya mampu menampung pelbagai inisiatif ini. Sebenarnya, kita perlu membina hubungan baik sejak awal lagi. Sekali kita hilang kepercayaan orang ramai, sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan dan bantuan kewangan ini,” jelas beliau.

Selepas ini, Kuan berhasrat memulakan perkhidmatan campur tangan aktif, iaitu satu pusat perhubungan yang boleh menerima panggilan dari mereka yang memerlukan bantuan atau menghadapi masalah dan dilengkapi aplikasi dalam talian yang membolehkan golongan fakir miskin menyatakan keperluan dan lokasi mereka dengan segera.

Kuan merasa puas melihat individu yang pernah beliau bantu akhirnya mampu berdikari. Satu contoh, keluarga yang menerima kereta derma yang disebut di awal tadi. Pemeriksaan, insurans dan cukai jalan kenderaan berkenaan dibiayai oleh Persatuan Kepolisan Komuniti sebelum ia dijual pada harga 10 sen kepada keluarga terbabit.

“Keluarga tersebut kini tidak lagi tergolong dalam kalangan miskin bandar,” ujar beliau. 

Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu yang satu ini.

Ikuti akaun CNA di Facebook dan Twitter untuk membaca artikel-artikel terkini. 

Source: CNA/tx

Bookmark