Buat lepas rindu, pelakon Malaysia jual masakan Kelantan di gerai Singapura

Buat lepas rindu, pelakon Malaysia jual masakan Kelantan di gerai Singapura

Sasqia Dahuri actress Kelante
Pelakon Malaysia Sasqia Dahuri mengusahakan gerai masakan Kelantan di Toa Payoh Lorong 4, Singapura. (Foto: Amir Yusof)

SINGAPURA: Pusat penjaja Lorong 4 Toa Payoh yang terletak di Singapura terkenal dengan makanan jalanan yang murah dan enak seperti mi Hokkien, mi kuay chap dan mi wantan. 

Namun dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, pengunjung mempunyai satu lagi alasan untuk ke pusat penjaja ini iaitu sebuah gerai yang menawarkan masakan asal negeri Kelantan.

Gerai yang diberi nama Kelate sempena negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tersebut dikendalikan oleh bekas pelakon, Sasqia Dahuri.

Model yang berasal dari Malaysia ini pernah membintangi filem seperti Misteri Dilaila (2019) dan Senario the Movie: Ops Pocot (2011). Beliau kini meninggalkan dunia hiburan yang penuh glamor dan beralih ke bidang perniagaan setelah membuka Kelate awal tahun ini.

sasqia Kelante
Sasqia Dahuri dan suaminya Muhammad Asyraff Khan mengendalikan Kelate bersama dua rakan perniagaan yang lain. (Foto: Amir Yusof)

Setahun lalu, disebabkan sekatan pergerakan, Sasqia mengambil keputusan menetap di Singapura bersama-sama suami beliau, seorang warga Singapura bernama Muhammad Asyraff Khan.

Ketika wabak COVID-19 memuncak pada 2020, Sasqia mula merindui masakan Kelantan seperti yang dimasak oleh ibunya. Beliau lantas menyediakan sendiri masakan yang sama untuk suami dan keluarga.

BACA: Keju artisan - Wanita jadikan makanan kegemaran perniagaan laris di Malaysia

Setelah masakan beliau mula mendapat perhatian, Sasqia memasak pula untuk sahabat-sahabat suaminya dan mula berniaga dari rumah.

“Di Malaysia, masakan Kelantan cukup popular. Namun saya terkejut melihat sambutan yang diterima daripada warga Singapura,” kata Sasqia.

“Asalnya saya hanya memasak secara suka-suka. Suami mempelawa rakan-rakannya ke rumah untuk mencuba masakan saya. Saya mencadangkan kami memesan piza, takut-takut mereka tidak menyukai masakan saya, tetapi rupa-rupanya mereka menghabiskan tiga ke lima pinggan laksam seorang. Baik yang berbangsa Cina mahu pun Melayu, orang Singapura gemarkan masakan ini,” ujar beliau.

Dengan galakan yang diterima, beliau mengambil keputusan meluaskan perniagaan dari rumahnya ke gerai Kelate yang mengkhusus dalam masakan asal negeri Kelantan.

TIGA ITEM DALAM MENU 

Demi memelihara kualiti dan keaslian, menu Kelate menampilkan hanya tiga resipi yang telah diajar oleh ibu Sasqia yang berdarah kacukan Thai-Kelantan kepada beliau.

Dua hidangan utama Kelate adalah laksam yang merupakan sejenis laksa versi Kelantan, dan mi celup yang merupakan mi sup daging Thai ala Kelantan.

Laksam Kelante
Laksam, atau laksa Kelantan, adalah hidangan yang diperbuat daripada mi beras yang dihidang dalam kuah yang mengandungi santan dan ikan. (Foto: Amir Yusof)

Laksam yang merupakan hidangan paling popular di gerai ini berharga S$4.90 (RM15.20) untuk semangkuk kecil, S$6.90 untuk saiz sederhana dan S$7.90 untuk saiz besar.

Laksam terdiri daripada mi leper dibuat daripada tepung beras yang digulung menjadi silinder dan dihidang dalam kuah santan berkrim yang kaya dengan adunan bahan dan isi ikan dikisar. Ia benar-benar membangkitkan selera.

Rasa laksam merupakan campuran rasa lemak, manis dan rempah-ratus.

Meskipun kuah putih laksam dan gulungan mi putihnya nampak ringkas, penyediaannya bukan mudah. 

BACA: Keropok kulit ayam rangup rahsia kelazatan mi Hokkien halal Petaling Jaya

Mi laksam Kelate dibuat oleh Sasqia sendiri. Beliau mengambil masa kira-kira lima jam membuatnya pada waktu dinihari.

“Mi laksam perlu dikukus dan setiap aspek perlu dibuat dengan teliti termasuk suhunya, jenis pengukus yang kita gunakan dan cara kita menyimpan gulungan laksam ini. Memang laksam digemari ramai dan laku dijual, namun menyediakannya amat sukar,” kata Sasqia.

“Ada kalanya laksam sangat laku sehingga habis terjual pada jam 11 pagi. Pengunjung datang dan membeli 15 hingga 20 pek seorang. Ini bukanlah sesuatu yang kita boleh kawal,” tambah beliau.

Hidangan utama yang satu lagi, mi celup, mungkin kelihatan seperti menu sampingan namun tidak kurang hebatnya.

Air rebusan hidangan mi ini dibuat daripada tulang lembu dan ayam. Ini memberikan kepekatan dan kelembutan pada rasanya. Mi ini dihidang bersama sawi jeruk dan potongan daging.

Mee celup Kelante
Mi celup mempunyai persamaan dengan mi sup daging lembu Thai. (Foto: Amir Yusof)

Dagingnya lembut kerana Sasqia hanya menggunakan bahagian daging yang khusus.

“Kami hanya menggunakan bahagian daging tertentu. Kami rebus daging ini dengan air rebusan yang banyak untuk menaikkan rasanya,” jelas beliau.

BACA: 'Uncle Kentang' bantu golongan miskin Malaysia dengan bayaran serendah 10 sen

Harga mi celup adalah sama seperti harga laksam.

Item terakhir dalam menu adalah pembuka selera, colek malah, sejenis jemput-jemput mengandungi ikan bilis dan sayur yang dihidang bersama pencicah istimewa.

colek mala
Colek malah, cucur sayur versi Kelantan. (Foto: Amir Yusof)

Rangup di luar dan gebu di dalam, colek malah menjadi kesukaan terutama sekali apabila dimakan secara "banjir" dengan sos cili manis berempah yang disediakan.

Harganya S$4 untuk tiga keping dan S$7 untuk enam. 

Terang Sasqia, hidangan ini mengimbau kenangan di kampung halaman kerana ia merupakan snek minum petang yang biasa di Kelantan.

“Di Kelantan, orang menuang sos ke atas jemput-jemput ini dan makan menggunakan sudu,” kata beliau.

LEPAS RINDU BAGI KOMUNITI MALAYSIA

Kelate telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung di Toa Payoh. Ada juga pelanggan yang datang dari segenap pelosok pulau Singapura ini.

Sasqia amat terharu melihat gerai beliau menjadi tempat pertemuan sebahagian rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air akibat wabak COVID-19.

Kelate stall Toa Payoh
Gerai Kelate di Toa Payoh Lorong 4 dibuka setiap hari, kecuali hari Khamis. (Foto: Amir Yusof)
​​​​​​​

“Bagi sebahagian pengunjung rakyat Malaysia, hidangan kami mempunyai nilai sentimental. Menikmati laksam mengingatkan mereka kepada kisah bersama nenek atau ibu bapa serta pengalaman lain di kampung dan bandar kelahiran,” ujar Sasqia.

“Apabila mereka bercerita kisah mereka, saya rasa kerja keras saya selama ini berbaloi,” kata beliau.

BACA: Kafe Shah Alam tarik pelanggan dengan sajian Sarawak dan laksa Pattaya

Salah seorang rakyat Malaysia yang mendapati makanan di Kelate mengingatkannya kepada kampung asal ialah Chia Sin Hui. Beliau berasal dari Kota Bharu di Kelantan tetapi telah menetap di Singapura selama 30 tahun.

Chia memberitahu CNA, laksam yang dipesan mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak.

“Laksam di sini setara dengan apa yang ada di kampung. Memang asli,” kata beliau.

Selena Yap yang memesan mi celup turut memuji masakan di gerai ini.

“Saya telah bekerja di Singapura selama lapan tahun tetapi belum pernah merasa masakan yang menyerupai apa yang biasa saya makan di bandar kelahiran,” kata beliau yang berusia 30 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.

nasi kerabu kuning Kelante
Nasi kerabu kuning adalah tawaran terbaru menu Kelate untuk bulan Ramadan. (Foto: Instagram/@Kelatesg)

Untuk bulan Ramadan, Sasqia menawarkan dua menu baharu iaitu nasi kerabu kuning, sejenis nasi berwarna kuning dicampur ulam-ulaman dan sambal tumis, dan lompat tikam yang merupakan puding beras lembut yang dimakan bersama santan dan gula melaka.

Beliau juga meluaskan perniagaannya dengan membuka sebuah dapur berpusat di Clementi untuk penyediaan makanan dan membeli sebuah van syarikat untuk penghantaran.

Ditanya sama ada beliau berminat membuka sebuah kafe atau restoran, Sasqia kelihatan teragak-agak.

“Saya suka mengendalikan gerai kecil di pusat penjaja ini. Sebuah restoran tidak memberi kegembiraan yang sama kerana perbezaan standard. Gerai penjaja sesuai untuk semua dan memang niat saya ingin memasak untuk semua,” ujar beliau.

“Saya berkawan dengan para penjaja lain di sini. Saya gembira menjadi ahli komuniti di sini dan berinteraksi dengan orang ramai, para pelanggan dan penjaja lain. Ini yang saya mahukan,” tambah beliau.

Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang pasangan adik-beradik warga emas yang meneruskan profesion mengasah pisau.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/tx

Bookmark