Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

CNA Insider

Sedih bayi dilahirkan buta tapi kini mereka sedar potensi yang ada pada si anak

Eric dan Wei Shi pada mulanya panik: Bagaimanakah boleh mereka membesarkan Elliot menjadi sempurna seperti orang lain? Adakah perkembangannya akan terjejas? Mampukah dia menjadi kaya dan berjaya? Setahun kemudian, kisah Elliot boleh menjadi inspirasi buat semua.

Sedih bayi dilahirkan buta tapi kini mereka sedar potensi yang ada pada si anak

Eric, Elliot dan Wei Shi - sebuah keluarga yang penuh dengan harapan, dan juga kegelisahan. (Foto: Goh Chiew Tong)

SINGAPURA: Sembilan keping foto Elliot terpampang di dinding ruang makan keluarga Koh. Foto-foto ini menyingkap kehidupan masa lalu yang begitu berbeza buat pasangan ibu bapanya.

Salah satu foto itu merakamkan saat Elliot yang baru keluar dari hospital disendawakan oleh bapanya. Dalam foto yang lain pula, dia sedang didakap ibunya. Pakaian tebal yang dipakai melindunginya daripada percikan air terjun Jewel di Lapangan Terbang Changi. Ada juga foto ibu bapanya menghadiahkan Elliot ciuman dan pelukan mesra.

Eric, 32 tahun, dan Wei Shi, 31 tahun, menggantung kesemua foto tersebut pada satu malam Julai lalu ketika Elliot berusia empat bulan. Niat mereka ingin menunjukkannya kepada Elliot apabila dia sudah agak besar.

Namun hajat mereka tidak kesampaian. Hari berikutnya, mereka membawa Elliot berjumpa doktor kerana mengesyaki ada gangguan pada perkembangannya. Sehari kemudian, mereka diberitahu Elliot sebenarnya cacat penglihatan dan tidak mungkin akan dapat melihat.

Eric masih ingat bagaimana beliau dan Wei Shi menangis teresak-esak serta-merta. “Isteri saya masih tekun mendengar penjelasan dan diagnosis doktor,” kata beliau. “Saya terus keluar dari bilik dan menangis.

“Nak kata apa lagi?”

Dinding foto keluarga Koh. (Foto: Goh Chiew Tong)

Meskipun klinik penuh sesak, dunia Eric menjadi sepi tatkala melangkah keluar dari pejabat doktor. Beliau menelefon ibunya untuk menyampaikan berita duka tersebut. Mereka menangis berdua.

Beliau masih tergamam dan cuba memahami apa yang berlaku.

Segalanya bermula apabila bapa Wei Shi perasan dan memberitahu mereka Elliot seolah-olah sukar mengesan objek dengan matanya.

Pasangan tersebut tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya. Adalah menjadi kebiasaan bayi yang baru lahir tidak dapat melihat dengan sempurna. Lambat-laun anak mereka pasti akan melihat juga, fikir mereka.

Namun semakin lama, Elliot semakin menunjukkan gejala. Dia langsung tidak menunjukkan minat pada mainan-mainan yang diletakkan di hadapannya oleh neneknya. Dia tidak senyum atau melihat-lihat sekelilingnya.

Dan apabila Wei Shi membawa Elliot pergi bermain, beliau perasan bayi rakannya yang sebaya menunjukkan minat dan teruja serta cuba memegang mainan sedangkan Elliot hanya terpaku dan tidak mengangkat kepalanya.

Elliot digeletek. (Foto: Goh Chiew Tong)

Saat itulah yang membuatkan mereka mengambil keputusan berjumpa doktor sekalipun masih “tidak begitu bimbang”. Pakar pediatrik yang ditemui merujuk pula mereka kepada pakar oftalmologi yang kemudian menyampaikan berita yang cukup mendukakan itu. 

Pasangan suami isteri ini hanya membisu sepanjang hari. Pelbagai soalan bermain di fikiran mereka. Apakah yang boleh mereka buat untuk Elliot? Apakah nasib si kecil ini apabila mereka berdua tiada kelak?

Wei Shi tertanya-tanya: Adakah beliau melakukan kesilapan pada diet atau gaya hidup semasa mengandungkan dan melahirkan Elliot yang menyebabkan perkara ini terjadi?

Namun Eric menegaskan tiada siapa pun patut dipersalahkan.

“Masalah tak selesai dengan menyalahkan orang lain,” kata beliau. “Saya memilih untuk fokus kepada membantu Elliot dan Wei Shi, meluangkan masa untuk mereka dan menyediakan apa yang diperlukan.”

READ: He lost his sight at 47 - a fragrance company helped give him his life back

Elliot yang kini berusia 15 bulan kemudiannya dikesan menghidap Leber congenital amaurosis, suatu penyakit keturunan yang menyebabkan hilang penglihatan.

Penyakit ini dikesan pada dua atau tiga bayi dalam setiap 100,000 kelahiran, menurut Perpustakaan Perubatan Negara Amerika Syarikat dan Persatuan Amerika untuk Oftalmologi Pediatrik dan Strabismus.

“Doktor berkata ia tidak dapat dikesan dengan imbasan kerana retina bayi terlalu kecil. Ia juga bukan sesuatu yang boleh dielakkan,” tambah Wei Shi.


Setelah diberitahu perkara ini, saya mula sedar mungkin saya patut fokus kepada perkara yang boleh saya kawal dan bukannya masa lalu yang di luar kawalan saya.

RAKAN BAHARU

Eric dan Wei Shi inginkan jawapan kepada semua persoalan yang tersemat di fikiran mereka. Sebagai pasangan muda dan moden, ikhtiar pertama mereka adalah dengan membuat carian di  Google.

Mereka membuat carian perkara abstrak seperti bagaimana golongan buta menggambarkan sesuatu. dan cara untuk berinteraksi dengan Elliot dan menjaganya.

WATCH: Raising a blind baby and the lessons we've learnt from it (12:02)

Mereka menyertai kumpulan Facebook untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak dengan keadaan yang sama. Meskipun ibu bapa ini dari negara lain, melihat anak-anak lain membesar dengan sempurna menyuntik semangat kepada pasangan Koh.

Pasangan ini turut memperoleh tip-tip berguna mengenai cara menjaga Elliot, namun masih perlu disesuaikan dengan konteks mereka. Mereka tahu keadaan Elliot jarang ditemui namun masih berharap bantuan untuk bayi cacat penglihatan ada tersedia di Singapura.

Sebagai contoh, Wei Shi pernah mencari prasekolah atau pusat terapi khusus untuk bayi dan kanak-kanak cacat penglihatan, namun tidak menemuinya.

“Saya jadi sedikit panik kerana selama ini saya tak tahu,” kata beliau. “Dan jika tiada sebarang maklumat di Internet, di manakah boleh saya cari maklumat ini?”

Mereka melontarkan pelbagai soalan kepada doktor mengenai persediaan yang diperlukan. Namun adakalanya mereka pun tidak tahu apa yang patut ditanya, tambah beliau.

Bantuan datang dari sumber yang tidak disangka-sangka. Semasa Eric duduk di hospital menunggu Elliot selesai menjalani ujian, beliau membelek-belek skrin telefonnya membaca kandungan di Reddit seperti biasa. Beliau belum pernah menghantar sebarang kiriman di forum ini. Pada hari tersebut, beliau berbuat demikian.

Kirimannya ringkas sahaja: Bayi dilahirkan buta. Perlukan bantuan.

Eric mengajar Elliot cara untuk turun dari katil. (Foto: Goh Chiew Tong)

Eric benar-benar terkejut dan terharu dengan jawapan yang diterima. Beberapa anggota forum memaklumkan kepadanya mengenai sumber dan organisasi tempatan yang membantu golongan cacat penglihatan. Yang lainnya berkongsi mengenai rakan-rakan mereka yang cacat penglihatan dan pengalaman mereka.

“Ramai yang tampil membantu,” ujar beliau. “Mereka kongsikan dengan kami pelbagai sumber melebihi apa yang kami perlukan.”

Di forum inilah mereka mengenali Cheryl Yeo. Wanita berusia 29 tahun itu merupakan seorang pakar orientasi dan pergerakan dari Guide Dogs Singapore. Beliau melatih orang cacat penglihatan cara-cara untuk bergerak secara sendirian dan kemahiran yang akan mereka perlukan untuk menggunakan anjing panduan.

Pasangan Koh telah cuba menelefon beberapa organisasi namun panggilan mereka tiada jawapan kerana kebanyakan orang masih bekerja dari rumah selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Cheryl yang menyambung kesemua panggilan ke telefon bimbitnya merupakan orang pertama yang menelefon mereka semula.

Perbualan mereka berlanjutan hampir dua jam. Menurut Yeo, pasangan tersebut kedengaran bimbang dan seolah-olah tenggelam punca.

“Antara soalan yang ditimbulkan Eric adalah sama ada Elliot akan mampu mendapat teman wanita,” kata beliau. “Bunyinya agak lucu, tetapi sebenarnya ia satu perkara serius kerana ada kaitan dengan bagaimana Elliot akan membesar, hidup seperti orang lain dan mencari pekerjaan.”

Cheryl Yeo (kiri) banyak membantu keluarga Koh. (Foto: Goh Chiew Tong)

Yeo berkongsi dengan pasangan ini kisah mengenai klien beliau umpamanya sekolah yang mereka hadiri, pekerjaan mereka dan untuk menjawab pertanyaan Eric, bagaimana sebahagian daripada mereka mencari teman wanita. “Saya terangkan kepada beliau, tidak mustahil untuk hidup berdikari meskipun seseorang itu membesar tanpa penglihatan,” ujar Yeo.

Yeo turut mempertemukan pasangan Koh dengan beberapa orang kliennya serta memperkenalkan organisasi dan perkhidmatan lain yang boleh mereka hubungi untuk mendapatkan sokongan.

Ini menenangkan hati pasangan tersebut. “Pada waktu itu, kami perlukan kepastian bahawa ada orang yang memahami apa yang kami lalui,” kata Eric. “Yeo banyak membantu.”

Kini Yeo dianggap sebagai kawan oleh pasangan Koh. Beliau kerap datang melawat dan mengajar mereka cara berinteraksi dan bermain dengan Elliot, malah turut membawa suaminya dan bayi mereka  yang berusia lapan bulan.

Elliot bermain bersama Bartholomew, anak Cheryl. (Foto: Goh Chiew Tong)

MEMBESARKAN BAYI

Bulan demi bulan, keluarga ini mula membina rutin mereka sendiri yang hampir serupa dengan keluarga lain yang mempunyai anak kecil, tetapi dengan sedikit penyesuaian.

Semasa sarapan, Wei Shi meletakkan tangan Elliot pada rahangnya supaya Elliot dapat merasai pergerakan mengunyah. Tujuannya untuk menggalakkan Elliot, namun ia bukan mudah; Elliot tidak gemar makan dan sayur pelbagai warna di dalam buburnya tidak mampu menarik perhatiannya.

“Sebelum ini, saya cuba perkenalkan makanan yang menarik dengan tekstur berlainan. Namun setiap kali dia tak makan, saya jadi hampa,” kata Wei Shi. “Sekarang, lantaklah. Saya masukkan semuanya ke dalam periuk dan buat bubur.”

Kawasan permainan Elliot berselerak dengan mainan-mainan yang mengeluarkan bunyi dan muzik. Antara yang paling digemarinya adalah mainan berputar yang mengeluarkan bunyi berdetar-detar. Ada juga dinosaur yang mempunyai butang yang boleh ditekan untuk mendengar bunyi dan sebuah piano mainan di bahagian lain ruang tamu.

Elliot tidak suka makanan yang disediakan untuknya. (Kredit: Goh Chiew Tong)

Buku-bukunya penuh dengan tekstur, mempunyai butang yang memainkan muzik, dan ada satu yang mempunyai penanda Braille yang diberi oleh sebuah keluarga lain yang mempunyai anak cacat penglihatan.

Namun tegas Wei Shi, walaupun Elliot tidak dapat melihat, ini bukan bermakna mereka tidak boleh melakukan sebarang aktiviti bersifat visual seperti membaca buku bersama. Cuma aktiviti tersebut perlu disesuaikan supaya Elliot boleh memahaminya.

“Jika dia tak cacat penglihatan, saya boleh menuding kepada gambar-gambar dan memberitahunya itu gambar lembu. Tetapi Elliot tak mampu memahami semua ini. Jadi saya beritahu dia bahawa ini sebuah buku, begini cara buku berfungsi, dan saya selak halamannnya dan tekan butang,” jelas beliau.

Meskipun ada mainan yang tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh Elliot seperti menyusun cawan dan patung haiwan, pasangan ini membantu anak mereka mengenali bentuk dan tekstur yang berbeza.

Elliot dengan mainan kegemarannya. (Foto: Goh Chiew Tong)

Mereka bagaimanapun kurang berjaya dengan permainan papan aktiviti dipenuhi kunci, suis dan lampu, yang dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai busy board.  Mainan ini dibuat sendiri oleh Eric semasa isterinya sedang mengandung.

Kanak-kanak biasanya tertarik dengan mainan ini apabila melihat ibu bapa mereka menggunakannya. Namun Eric tidak berputus asa. “Mungkin apabila dia 15 tahun, baru dia akan berminat,” kata Eric secara berjenaka.

Setiap aktiviti yang dirancang oleh pasangan ini mempunyai matlamat, dari urutan bayi setiap malam untuk membantu Elliot relaks sebelum tidur hingga ke menyebut bahagian badannya dengan nyaring sambil menyentuh bahagian badan tersebut.

Seperti ibu bapa lain, pasangan ini membawa anak mereka keluar untuk menikmati pengalaman baharu, meskipun aktiviti paling menarik pun sekadar meletakkan Elliot di atas rumput tiruan di Jewel.

Menurut Wei Shi, merancang aktiviti dan menjaga Elliot mungkin memenatkan. Namun senyuman manis dan sentuhan muka oleh Elliot tatkala merangkak ke arah beliau memberi semangat kepada pasangan ini kerana perbuatan ini juga merupakan tanda perkembangan.

“Setiap tidur malam yang tak lena dan masa yang kami habiskan untuk membesarkannya sehingga ke hari ini semuanya cukup berbaloi,” kata beliau.

Wei Shi membaca untuk Elliot. (Foto: Goh Chiew Tong)

KEJAYAAN TERBESAR

Dari awal lagi Eric dan Wei Shi sedar kecacatan penglihatan yang ada pada Elliot bermakna anak mereka tiada motivasi visual untuk mengangkat muka dan mencapai apa yang ada di depannya, dan ini boleh melambatkan perkembangan lain seperti belajar berdiri dan merangkak.

Kadangkala mereka tidak sangka Elliot mampu membesar sebegini rupa.

Merangkak bagi Elliot bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan, kata Wei Shi. Selain kekurangan motivasi visual, bayi cacat penglihatan takut untuk bergerak terus memasuki ruang gelap yang asing bagi mereka. Ramai yang melangkaui peringkat ini.

Bukan mudah bagi Elliot membiasakan diri merangkak. Usaha mengajarnya memakan masa berbulan dan melibatkan terapi profesional serta kecekalan ibu bapanya memujuk Elliot dengan menggoncang permainan yang mengeluarkan bunyi berdetar, sehinggalah akhirnya Elliot mula bergerak ke hadapan walaupun teragak-agak.

“Saya boleh terima jika dia melangkaui terus proses merangkak. Saya merasakan ia cuma satu latihan yang baik untuknya,” kata Wei Shi. “Tetapi satu hari dia tiba-tiba mengangkat badannya dan terus mula merangkak.

“Saya begitu bangga dengan pencapaiannya.”

Eric membawa Elliot ke bawah blok untuk merasa tekstur bangku. (Foto: Goh Chiew Tong)

Perasaan bangga tersebut kian bertambah apabila melihat Elliot meneroka seluruh rumah dengan sendiri, termasuk ceruk-ceruk yang belum pernah dimasukinya, atau bergerak merentas ruang tamu apabila mendengar bunyi lagu kanak-kanak di televisyen.

Elliot kini menjalani fisioterapi, terapi percakapan dan terapi cara kerja sebulan sekali di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK. Harapan pasangan Koh terhadap anak mereka telah kembali pulih.

“Semua orang mahukan anak mereka menjadi orang hebat,” kata Eric. “Seperti ibu bapa lain di Singapura, harapan kami pada awalnya adalah supaya bayi kami menjadi kaya, berjaya dan hidup bahagia.”

Meskipun harapan ini sedikit berubah tatkala diberitahu mengenai kecacatan Elliot, kini mereka mula sedar anak mereka juga mampu berjaya seperti orang lain yang dikurniakan deria penglihatan.

“Kami tak perlu merendahkan harapan dari … ‘kami nak anak kami berjaya’ menjadi ‘cukup sekadar mampu mengurus diri,’” kata Eric. “Kami cuma perlu sedar bahawa dia perlu mencapai sasarannya dengan cara yang berbeza.”

Elliot tertarik dengan suara dari televisyen. (Foto: Goh Chiew Tong)

Namun berhadapan dengan masyarakat masih lagi sesuatu yang sukar bagi keluarga ini.

Eric teringat satu insiden semasa Elliot berusia sekitar enam bulan dan memakai kaca mata bayi untuk menghalangnya menekan matanya sendiri, satu tabiat kanak-kanak cacat penglihatan yang boleh menyebabkan mata cengkung, tambah Wei Shi.

Pada masa itu Elliot duduk di dalam pembawa bayi yang digendong oleh Eric semasa hendak membeli sarapan. Hari itu sahaja tiga orang tak dikenali menanyakannya mengenai kaca mata Elliot.

“Saya berasa jengkel dan melangkah meninggalkan mereka,” terang Eric yang turut berasa sedih. “Pada masa itu, kami telah mula menerima nasib Elliot … namun bukan mudah untuk memberitahu orang lain dan berterus-terang mengenainya.”

Bulan lalu apabila Elliot menerima tongkatnya yang pertama berwarna biru dan bersaiz kanak-kanak, mereka sekali lagi dirundung emosi.

“Bukannya kami malu dengan keadaannya. Kami tahu ia sesuatu yang amat berguna jika dia boleh berjalan sendiri menggunakan tongkat supaya dia boleh berdikari secepat mungkin,” kata Eric.

“Tetapi apabila masyarakat nampak dengan jelas bahawa dia cacat penglihatan … saya tak rasa yang saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dan menerangkannya.”

Elliot menekan matanya. (Foto: Goh Chiew Tong)

MEMUPUK KESEDARAN

Wei Shi berkata sebelum kehadiran anaknya, beliau belum pernah berinteraksi rapat dengan orang yang cacat penglihatan, apatah lagi menjalin persahabatan. Dalam proses membesarkan Elliot, kesedaran sosial dirinya dan Eric telah semakin bertambah.

Mereka mula nampak perkara-perkara kecil yang boleh membantu seorang cacat penglihatan bercampur dengan masyarakat. Sebagai contoh, tidak semua bas awam dan lampu isyarat dilengkapi isyarat audio. Tangga bergerak  juga boleh menyediakan isyarat pendengaran bagi pengguna yang menghampirinya untuk memberitahu arah, kata Eric.

Pendidikan prasekolah juga merupakan satu cabaran. Pasangan ini mula menghubungi sekolah setahun sebelum anak mereka melangkah ke usia 18 bulan. Daripada “lebih 10 buah sekolah”, kebanyakannya menolak mereka walaupun pasangan Koh menawarkan untuk membawa ahli terapi penglihatan melatih para guru cara-cara berinteraksi dengan Elliot.

“Alasan yang kerap kami terima … ‘kami tak tahu bagaimana nak menjaga bayi anda dengan betul,’” kata beliau.

“Kami faham perspektif mereka … Tiada syarikat yang mahu menanggung beban sebegini. Kami cuma minta mereka supaya lebih memahami dan bersikap inklusif.”

Mereka akhirnya menemui sebuah sekolah yang sanggup membantu.

Elliot belajar cara menggunakan tongkat. (Foto: Goh Chiew Tong)


READ: 'No different from other teachers' - The childcare aide with special needs 

“Berbanding 10 tahun lalu ketika kesedaran mengenai keperluan komuniti kelainan upaya masih rendah, masyarakat hari ini telah banyak berubah,” tambah beliau. “Sudah tentulah sebagai seorang bapa, saya harap lebih banyak boleh dilakukan.”

Wei Shi berusaha dengan caranya sendiri menerusi akaun Instagram yang dibukanya pada September untuk merakam pencapaian Elliot dan cara-cara beliau mendidik Elliot.

Akaun tersebut, @blindandshine, kini mempunyai lebih  1,500 pengikut dan berjaya menarik beberapa jenama untuk bekerjasama dengannya. “Saya tak mahu ibu bapa lain yang dilanda musibah yang sama menjadi putus harapan,” katanya.

Beliau mampu bersikap sederhana sambil memperjuangkan nasib Elliot. Sebagai contoh, apabila menerima tiga set blok Braille untuk Krismas. Pemberian ikhlas itu mungkin hasil carian mereka di Google bagi alat-alat “mainan Braille”.

“(Tapi) masyarakat mungkin mempunyai anggapan kurang tepat bahawa Elliot tidak mampu bermain dengan mainan biasa,” tambah Wei Shi. “Sebenarnya dia boleh, cuma mungkin memerlukan penyesuaian.”

Elliot memeluk mainan kegemarannya. (Foto: Goh Chiew Tong)

Beliau faham niat masyarakat kerana beliau juga dahulu begitu. “Saya ada sedikit prasangka, bukan sebab saya seorang yang elitis tetapi cuma kurang kesedaran. Dan tiada siapa pun menerangkan perkara ini kepada saya,” katanya.

CINTA ITU BUTA

Perubahan hidup pasangan ini selama setahun lalu merupakan sesuatu yang dramatik dan tidak dijangka. Setiap bulan mereka akan mengambil gambar keluarga dengan memasang kamera pada tripod dan memujuk Elliot melihat ke hadapan.

“Dia selalu melihat ke bawah,” kata Wei Shi. “Bergambar mungkin sesuatu yang tiada makna baginya kerana dia tak faham mengapa kita perlu berdiam seketika.”

Namun setiap foto disimpan dengan penuh kasih sayang. Tujuannya bukan untuk dilihat oleh Elliot tetapi sebagai kenangan untuk ibu bapanya semasa dia membesar.

Kelihatan dalam latar belakang salah satu foto di dinding, sebuah papan pasak dengan perkataan “Today’s brew (kopi hari ini)” seperti di sebuah kafe.

Hari ini, papan ini berada di atas konsol televisyen yang jelas dapat dilihat apabila memasuki rumah mereka. Kali ini tertulis perkataan “Love’s blind (cinta itu buta)”. Ini kerana kasih sayang di dalam keluarga ini, kata Wei Shi, lahir dari hati dan bukan dari penglihatan.

Nama panggilan Elliot ialah Gao Bao, gabungan nama keluarganya dan "bao" yang bermaksud bayi. (Foto: Goh Chiew Tong)

Meskipun mereka masih berdukacita atas nasib yang menimpa, tetapi ia bukanlah rintihan seperti “Oh, kami cukup bersedih,” kata Eric.

“Kami tidak jangka perkara ini akan berlaku. Namun, melihatkan perkembangan dan kebahagiaan Elliot, kegembiraan yang kami rasai membesarkannya sama sahaja dengan kegembiraan yang dirasai oleh ibu bapa lain yang membesarkan anak mereka.”

Untuk memperingati pencapaian hidup Elliot seperti ulang tahun hari kelahirannya yang pertama dan tongkatnya yang pertama, Eric mengeluarkan perakam suara dan mengabadikan saat tersebut menggunakan suaranya.

“Hari ini, masyarakat akan mengetahui kisah kamu dan kamu akan memberi inspirasi kepada ramai orang,” kata Eric pada perakam. “Kamu nak jadi pempengaruh (influencer) dan membuat duit? Nak jadi ahli politik? Segalanya mungkin.”

Mereka mengambil foto bersama setiap bulan, tetapi ianya sukar untuk menarik perhatian Elliot dan menghadap ke arah kamera. (Foto: Goh Chiew Tong)

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

​​​​​​​Ikuti akaun CNA di Facebook dan Twitter untuk membaca artikel-artikel terkini. 

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement