Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Tak mahu lagi tinggal di Yangon': Warga Myanmar ke luar negara mencari kerja selepas rampasan kuasa tentera 2 tahun lalu  

Sejak rampasan kuasa tentera Myanmar pada 1 Feb 2021, baik tenaga kerja mahir mahupun modal telah mengalir keluar dari negara itu ke bandar-bandar lain di Asia Tenggara. 

'Tak mahu lagi tinggal di Yangon': Warga Myanmar ke luar negara mencari kerja selepas rampasan kuasa tentera 2 tahun lalu  
Rakyat Myanmar membantah rampasan kuasa tentera di hadapan pejabat PBB di Bangkok, Thailand pada 17 Februari 2021. (Gambar Fail: REUTERS/Soe Zeya Tun)

BANGKOK: Myoe tidak bercadang untuk pulang ke tanah airnya di Myanmar.

Rampasan kuasa dua tahun lalu telah menyebabkan negaranya bergolak dan masa depannya menjadi tidak menentu. 

Perang saudara yang membara, tindakan keras terhadap penentang-penentang dan krisis ekonomi 
menjadikannya tidak lagi berharap bahawa keadaan akan menjadi lebih baik. 

Harapan untuk melihat demokrasi dipulihkan kini impian yang terlalu sukar dicapai selepas menantikannya cukup lama. 

Sedih dan pilu, lelaki berusia 37 tahun itu berhenti kerja dalam sektor telekomunikasi. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya di Yangon dan berpindah ke Bangkok pada Mac tahun lalu.

"Saya sangat teruja dan menikmati (kerja) walaupun saya tertekan setiap hari kerana saya bekerja bebas tanpa pendapatan tetap," katanya kepada CNA.

Kehidupan di negara asing mencabar bagi Myoe, yang tidak boleh berbahasa Thai dan tidak mempunyai pendapatan tetap atau permit kerja. Dia sentiasa bimbang sama ada dia boleh membayar sewanya tepat pada masanya, sambil mencari peluang pekerjaan yang membolehkannya bekerja secara sah di Thailand.

Namun, dia lebih suka merantau daripada pulang ke tanah air, kerana masa depannya kelihatan suram di bawah pemerintahan tentera.

Ramai rakyat Myanmar berkongsi pandangan yang sama.  Terdapat tanda-tanda bahawa negara itu mengalami masalah penghijrahan keluar bakat-bakatnya. Golongan profesionalnya kini berpindah ke luar negara selepas rejim tentera di bawah panglima tentera darat Min Aung Hliang merampas kuasa pada 1 Feb 2021.

Polis berdiri di atas jalan semasa protes anti-rampasan kuasa di Mandalay, Myanmar, 3 Mac, 2021. (Gambar Fail: REUTERS/Stringer)

Pengangguran yang berleluasa, harga komoditi yang melambung tinggi dan kejatuhan matawang kyat Myanmar telah memaksa ramai orang mencari peluang baharu di luar negara. Ini termasuk Myoe, sepupunya, rakan-rakan dan bekas teman sekerjanya.

“Mereka tak mahu lagi tinggal di Yangon. Mereka hanya meninggalkan segala-galanya di sana dan datang ke sini,” katanya.

"Saya rasa seperti berada di rumah kerana semua orang yang saya kenal ada di sini."

Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah antara destinasi popular untuk profesional kolar putih Myanmar yang mampu berpindah ke luar negara.

Menurut Myoe, mereka yang mencari pekerjaan dalam sektor hospitaliti cenderung memilih UAE manakala jurutera biasanya suka ke  Singapura. Bagi mereka yang tidak mempunyai rancangan kerjaya yang jelas, negara jiran Thailand adalah pilihan yang digemari.

Namun, mencari rezeki di luar negara bukanlah mudah. Myoe berkata sebilangan ekspatriat Myanmar termasuk dirinya perlu bertungkus lumus mencari pekerjaan tetap di Thailand kerana masalah halangan bahasa dan visa.

Penyelesaian jangka pendek mereka selepas ke Thailand adalah dengan mendaftar diri di institusi pendidikan untuk mendapatkan visa pelajar. Mereka yang menggunakan visa pelajar tidak dibenarkan bekerja, tetapi ini tidak menghalang mereka daripada mencari pekerjaan atau mencebori peluang perniagaan.

Myoe, sebagai contoh, sedang mengikuti kursus bahasa Thai dan pada masa yang sama bekerja sambilan sebagai ejen untuk pelanggan yang berpangkalan di Myanmar. 

"Jika mereka mahu mendapatkan perkhidmatan di Bangkok, saya akan melakukannya untuk mereka," jelasnya. “Jika mereka mahu mendapatkan unit kondominium, saya akan carikan untuk mereka. Saya boleh berada di sini dan mengumpulkan maklumat untuk mereka.”

Pendapatan yang diperoleh sebagai pekerja sambilan mungkin tidak stabil tetapi ia cukup untuk menampung perbelanjaan hidup Myoe. Biasanya dia banyak habiskan masa menerusi talian dan pekerjaannya membolehkan dia perolehi kira-kira 50,000-70,000 baht (AS$1,520 hingga AS$2,130) dalam sebulan, berbanding dengan hanya AS$610 di Yangon.

"Atau kadang-kadang, tiada pendapatan langsung," tegas Myoe. 

MASA DEPAN MYANMAR YANG TIDAK PASTI

Bank Dunia melaporkan tahun lalu bahawa kesan COVID-19 dan kesan rampasan kuasa Myanmar telah melenyapkan hampir sedekad usaha mengurangkan kemiskinan di negara Asia Tenggara itu, dengan kira-kira 40 peratus penduduk hidup di bawah paras kemiskinan kebangsaan. 

“Ketidaksamaan dianggarkan bertambah buruk, dengan mereka yang sudah miskin jatuh ke paras melarat yang lebih teruk,” kata Bank Dunia dalam laporan ekonominya mengenai Myanmar yang pada Julai 2022.

Pengangguran juga merupakan masalah besar bagi Myanmar. Dianggarkan 1.8 juta pekerjaan hilang pada 2021 sahaja, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Laporannya pada Ogos tahun lalu menyebut  Myanmar kekal "amat terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang banyak dan defisit kerja yang semakin meningkat" 18 bulan selepas rampasan kuasa tentera. 

Walaupun ada "pemulihan kecil dalam pekerjaan" pada separuh pertama 2022, laporan itu menyimpulkan bahawa pekerjaan di Myanmar jauh di bawah paras 2020, dan kenaikan harga makanan dan bahan pembakar memberi lebih banyak tekanan kepada ekonomi serta mata pencarian.

Penunjuk perasaan berlari selepas polis melepaskan tembakan amaran dan menggunakan pancutan air untuk menyuraikan mereka semasa aksi protes di Mandalay, Myanmar pada 9 Feb 2021. (Gambar fail: AP) 

"Terdapat begitu banyak masalah dan ia adalah situasi yang sangat sukar bagi ramai orang untuk terus hidup di negara ini, " kata seorang lagi warga ekspat Myanmar, yang hanya mahu dikenali sebagai Aung, 38.

Keluarganya mengendalikan rumah tumpangan di bandar pergunungan Kalaw, Shan. Mereka pernah menerima kedatangan ramai pelancong antarabangsa dan domestik tetapi itu semua telah berubah selepas rampasan kuasa.

"Sekarang, tiada sesiapa yang datang dari luar negara," katanya kepada CNA.

“Saya sangat kecewa dengan keadaan itu. Saya berasa kita seperti kehilangan masa depan di negara kita sendiri. Itulah sebabnya saya mengubah rancangan hidup saya untuk berhijrah ke Bangkok.”

Aung yang meninggalkan Myanmar pada Februari tahun lalu, berharap dapat mencari pekerjaan atau membuka perniagaan di ibu negara Thailand. Ibu bapa dan dua adik-beradiknya kekal di Kalaw untuk memastikan rumah tumpangan mereka beroperasi.

Akhirnya, keluarga beliau merancang untuk memindahkan perniagaan mereka ke Thailand dan menyediakan perkhidmatan hospitaliti kepada pengunjung dari Myanmar.

“Bagi rakyat Myanmar, masa depan mereka sukar untuk dipertahankan,” katanya.

“Terdapat begitu ramai pengangguran di Myanmar. Jadi, anak muda perlulah ke luar negara.”

Walaupun berbekalkan dengan dua ijazah dalam bidang teknologi dan pembangunan perniagaan, serta pengalaman lapan tahun dalam sektor perhotelan, Aung gagal memperoleh pekerjaan di Bangkok.

Seperti kebanyakan ekspatriat Myanmar, dia tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Thai dan hanya memegang visa pelajar, yang tidak membenarkannya bekerja.

Pada masa ini, dia sedang belajar reka bentuk dalaman dan bergantung kepada sokongan kewangan daripada keluarganya. Dia tidak bercadang untuk pulang ke tanah air. Walaupun rejim tentera berakhir, beliau percaya ekonomi Myanmar masih akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

"Saya akan tinggal di sini atau mencuba negara lain jika saya boleh mencari pekerjaan dengan visa," kata Aung.

THAILAND MELIHAT LONJAKAN PEMILIK HARTANAH MYANMAR

Myanmar mempunyai sejarah pemerintahan tentera yang panjang. Ia ditadbir oleh tentera selama 49 tahun, berikutan rampasan kuasa yang diketuai oleh Ne Win pada tahun 1962.

Negara itu menikmati sedekad pemerintahan awam sebelum satu lagi pengambilalihan kuasa kepada pihak tentera mengubah hala tujunya pada 2021.

Pihak tentera berjaga-jaga ketika orang ramai berkumpul untuk membantah rampasan kuasa tentera, di Yangon, Myanmar, 15 Februari 2021. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)

"Banyak pihak pada mulanya terus bersengketaan  pada tahun pertama (rampasan tentera), tetapi apabila keadaan berlarutan, nampaknya tidak ada cara untuk situasi kembali seperti dulu," kata Natty Tangmeesang, seorang penulis blog Thailand dan bekas penduduk Myanmar.

Beliau telah memantau dengan teliti perkembangan di negaranya selama lebih sedekad. Laman Facebooknya yang menyediakan maklumat berkaitan Myanmar kini mempunyai kira-kira 76,000 pengikut.

“Dengan rampasan kuasa tentera ini, tiada siapa tahu berapa lama ia akan bertahan. Jika dilihat dari apa yang berlaku pada masa lalu, ia boleh berterusan untuk beberapa dekad. Jadi, ramai orang berfikir jika mereka boleh berhijrah, lebih baik lakukannya," katanya.

Di Thailand, Tangmeesang memberitahu CNA bahawa rakyat Myanmar yang kaya telah mula membeli hartanah untuk pelaburan kerana ketidakstabilan kyat.

Tahun lepas, sektor hartanah Thailand menyaksikan peningkatan mendadak dalam pemilikan unit kondominium dari kalangan rakyat Myanmar.

Data daripada Pusat Maklumat Hartanah (REIC) Thailand menunjukkan antara Januari dan September 2022, 7,290 unit tersebut dibeli oleh warga asing. Kumpulan pembeli terbesar datang dari China, diikuti oleh Rusia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis dan Myanmar.

The Giant Swing adalah salah satu tarikan pelancong yang popular dalam daerah lama Phra Nakhon, Bangkok. (Foto: Pichayada Promchertchoo)

Dari segi nilai, bagaimanapun, REIC menunjukkan peningkatan yang jelas dalam perbelanjaan dalam kalangan pembeli Myanmar. Pembelian gabungan unit kondo mereka dalam tempoh yang sama dicatatkan pada 1.34 bilion baht, menjadikan mereka pembelanja kelima terbesar selepas China, Amerika, Perancis dan Rusia.

Menurut laporan REIC, pembeli Myanmar tidak pernah mencapai senarai sepuluh teratas sejak 2018.

“Pasaran Thai secara tradisinya dikuasai oleh pembeli China, Hong Kong, Taiwan, Britain, dan Singapura, tetapi berdasarkan transaksi CBRE, kami kini melihat kumpulan sasaran lain dari Asia Tenggara,” kata Artitaya Kasemlawan, ketua Projek Jualan Kediaman di CBRE Thailand, sebuah firma perunding hartanah.

“Sebagai contoh, terdapat peningkatan minat terhadap kondominium mewah dari Myanmar di lokasi utama seperti Central Lumpini dan Sukhumvit.

Memandangkan tumpuan CBRE adalah pada segmen mewah, purata urus niaga sekitar dari AS$ 500,000 hingga AS$ 2.5 juta, dan saiz unit urus niaga ini sesuai untuk tempat tingal dan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya kepada CNA dalam temu bual bertulis.

Bagi mereka yang tidak boleh membeli hartanah, mereka perlu terus mencari pekerjaan supaya dapat tinggal, dan itu boleh menimbulkan banyak tekanan. 

“Di sini, wang telah menjadi keutamaan pertama. Jadi, kita tidak boleh terlalu memilih. Di Yangon, saya boleh. Jika saya tidak menyukai sesuatu, saya akan membuat  pilihan lain. Saya tidak boleh melakukannya di sini. Saya tidak mempunyai begitu banyak pilihan,” kata Myoe.

Beberapa rakannya malah berasa tertekan selepas berpindah ke luar negara kerana tidak mendapat pekerjaan yang baik walaupun mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi.

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai warga Malaysia yang dakwa menjadi pendaki pertama ke puncak menara Merdeka 118.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

 

Source: CNA/pp(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement