Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

Selepas menunggu 18 tahun untuk badminton disertakan dalam Sukan Paralimpik, pemain Malaysia Cheah Liek Hou merangkul pingat emas

"Saya telah bermain sejak sekian lama, tetapi tiada siapa pun yang mengenali saya. Keadaan berbeza sekarang. Ramai yang menghantar mesej peribadi di media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada saya."

Selepas menunggu 18 tahun untuk badminton disertakan dalam Sukan Paralimpik, pemain Malaysia Cheah Liek Hou merangkul pingat emas
Petikan skrin video wawancara bersama Cheah Liek Hou, yang memenangi pingat emas Paralimpik kategori lelaki SU5.

KUALA LUMPUR: Ketika lagu kebangsaan Malaysia berkumandang melalui pembesar suara Stadium Nasional Yoyogi di Tokyo pada 4 September, Cheah Liek Hou menatap bendera negara, sambil menabik dengan tangan kirinya.

Di media sosial, ucapan tahniah mencurah-mencurah untuk pemain berusia 33 tahun itu, yang telah dinobatkan sebagai juara Paralimpik bagi acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kemerosotan anggota badan atas). Ada yang tertanya-tanya mengapa pemain kidal itu menggunakan tangan kirinya semasa upacara itu, kerana tangan kanan biasanya digunakan untuk mengangkat tabik di Malaysia.  

Ada pihak dengan cepat mempertahankan tindakan Cheah. "Mereka membuat penjelasan kepada orang-orang yang tidak mengenali saya," kata beliau kepada CNA dalam satu wawancara video dari pangkalan kuarantinnya di Kuala Lumpur selepas pulang dari Jepun.  

Beliau mengalami palsi Erb, iaitu kecederaan ketika lahir pada saraf tangan kanannya yang menyebabkan kelumpuhan otot. Akibatnya, Cheah tidak boleh mengangkat tangan kanannya dengan tinggi dan melakukan sebarang kerja yang memerlukan kedua-dua tangan, seperti mengangkat barang berat.  

Ini juga menjejas cara beliau bermain badminton. Dengan bahu kanan yang lebih lemah, Cheah menghadapi kesukaran mengimbangkan badannya apabila beliau perlu bergerak dengan cepat dalam gelanggang. "Pukulan atas kepala saya, pukulan kilas, pertahanan dari sebelah kanan saya, memang sangat jelas ianya lemah," jelas beliau.    

Pihak lawannya tahu hal ini dan sering mengarahkan pukulan serangan mereka ke sisinya yang lebih lemah, seperti yang dilihat dalam pertandingan akhir beliau dengan pemain nombor satu dunia Dheva Anrimusthi dari Indonesia.

"(Menguatkan bahagian kanan saya) adalah sebahagian daripada latihan saya. Saya berlatih setiap hari, dan melakukan secara konsisten.”

"Saya latih bahagian kanan saya selama empat hari dan meluangkan masa dua hari untuk melatih bahagian kiri saya, yang lebih kuat. Saya perlu beri tumpuan pada bahagian kanan," kata atlet yang berasal dari Kuala Lumpur itu.  

Pingat emas Paralimpik itu melanjutkan rekod kemenangannya yang berturut-turut. Beliau tidak pernah kalah dalam 35 perlawanan sejak Oktober 2019, menurut akhbar The Star. Bagaimana beliau dapat mengekalkan rekod tanpa kalahnya?  

Cheah berseloroh: "Terus menang saja."

Tetapi dengan nada serius, Cheah berkata beliau tidak menghitung jumlah kemenangannya. "Sebenarnya ini semua tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya sehinggalah saya menonton berita tentangnya. Saya terfikir, saya menang begitu banyak perlawanan? Saya tidak pernah menghitungnya. Sebagai pemain, kami tidak menghitung semua ini."       

"Bila saya kenang kembali, ini sememangnya satu pencapaian. Wow. Bagus sekali," katanya.  

Pingat Cheah yang bersejarah itu membantu Malaysia memungut 3 emas dan 2 perak di Sukan Paralimpik Tokyo. Beliau adalah pemain Malaysia pertama yang memenangi pingat dalam badminton kerana inilah kali pertama sukan itu ditampilkan di temasya Paralimpik yang baru berakhir ini.  

PENANTIAN 18 TAHUN BAGI EMAS SUKAN PARALIMPIK

Cheah, seorang lulusan bidang perhubungan korporat, mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa buat pertama kali semasa Sukan Para ASEAN di Vietnam ketika berusia 15 tahun.

Tiga pingat emas yang diraihnya di temasya sukan itu adalah titik permulaan beliau untuk memiliki senarai pencapaian antarabangsa yang panjang, termasuk 11 gelaran di Kejohanan Dunia Para Badminton BWF dari 2005 hingga 2017.

Beliau berkecimpung dalam sukan badminton sejak berusia sembilan tahun apabila beliau memilih sukan raket itu sebagai kegiatan kokurikulum sekolah.

Selepas beliau meningkat maju daripada pertandingan peringkat daerah dan negeri hingga ke kejohanan kebangsaan dalam acara badminton untuk golongan tegap dan sihat, beliau dihantar untuk menjalani latihan secara profesional ketika berusia sekitar 12 tahun.

Sewaktu membesar, dia tidak begitu kisah dengan keadaan palsi Erb yang dialaminya, baik di dalam mahupun di luar gelanggang. Seorang jurulatih nasional mendapati bahawa lengan kanannya lebih lemah ketika beliau berusia 15 tahun dan memperkenalkannya kepada sukan para.  

"Saya benar-benar ingin tahu. Saya tidak sedar bahawa badminton juga adalah satu acara dalam sukan para," menurut beliau.  

Cheah menyertai pertandingan badminton untuk peserta tegap dan sihat di samping pertandingan para – membawa kemahiran dan pengalaman bermain dengan atlet tegap dan sihat yang unggul ke sukan para, dan sebaliknya - untuk beberapa tahun.

Beliau sedar bahawa beliau tidak boleh maju dalam acara untuk peserta tegap dan sihat apabila beliau menghampiri usia 20 tahun. Setelah mendapati perlawanan-perlawanan menjadi semakin mencabar, beliau memutuskan untuk memberi tumpuan kepada acara para.

Bagaimanapun, selepas menjulang pelbagai gelaran dunia dan Asia sepanjang dekad ini, keghairahan Cheah terus susut. Beliau mula memberi tumpuan kepada pekerjaan korporatnya dan kurang meluangkan masa untuk berlatih. "Tahap saya menurun," katanya.    

Semangat juangnya bangkit semula pada tahun 2017 selepas mendengar berita bahawa badminton buat pertama kalinya.telah diterima sebagai salah satu acara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau juga berasa terancam oleh Dheva, pemain sedang meningkat yang 10 tahun lebih muda daripadanya dan telah menumpaskan beliau dalam pelbagai pertandingan tanpa sebarang masalah. "Mudah sekali baginya," kata Cheah.  

Atlet badminton Paralimpik Malaysia Cheah Liek Hou meraikan kejayaan menewaskan lawannya dari Indonesia Dheva Anrimusthi di Sukan Paralimpik Tokyo 2021 di Stadium Kebangsaan Yoyogi pada 4 Sep, 2021. (Foto: Bernama)

Didorong oleh keinginan untuk menundukkan lawannya di Sukan Paralimpik, Cheah meletakkan jawatannya sebagai pengurus akaun strategik dan berjumpa dengan bekas jurulatihnya, Nova Armada, untuk membantu dirinya cergas semula. Di bawah didikan legenda Malaysia dan pemenang pingat gangsa Olimpik Rashid Sidek, berat badan Cheah susut 20kg dan beliau memberi tumpuan kepada usaha membina semula stamina dan ketangkasannya.  

Latihan terus dipergiatkan dalam tempoh tiga bulan menjelang temasya sukan itu. Segala pengorbanannya berbaloi apabila Cheah menewaskan pesaing utamanya Dheva 21-17, 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 50 minit.  

Dengan tubuhnya basah kuyup dengan peluh, beliau terbaring sambil berteriak dengan gembira sebelum melompat bangun lalu memeluk Rashid dengan penuh perasaan.

"Saya sudah lama menanti-nantikan saat ini sejak menyertai (badminton kompetitif) pada usia 15 tahun. Ketika saya mula bermain, mereka memberitahu saya bahawa badminton para akan ditampilkan di Sukan Olimpik, tetapi saya tunggu, tunggu dan tunggu selama 18 tahun," kata Cheah.  

Hasil kejayaannya di Sukan Paralimpik, Cheah akan menerima RM1 juta (AS$240,500) daripada kerajaan Malaysia dan pencen bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000.   

Cheah Liek Hou dan jurulatihnya Rashid Sidek di upacara menyambut kepulangan para atlet dan pegawai Paralimpik Tokyo di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Sep, 2021 (Foto: Facebook/Majlis Paralimpik Malaysia).

“SAYA INGIN MEMELUK MEREKA”

Ibu Cheah, Jap Joe Tjin, merupakan tunggak sokongan beliau sepanjang hayatnya.

Sewaktu beliau masih bayi, ibunya mengurut tangan kanannya dan membantu beliau melakukan pelbagai gerakan untuk memperbaiki keadaan dirinya.

Ibunya juga mengajar Cheah tentang cara menjawab pertanyaan daripada sesiapa yang ingin tahu apabila beliau besar kelak. "Semasa saya kecil, ibu memberitahu saya, jika orang tanya, saya boleh katakan bahawa tangan saya lebih lemah, tidak kuat seperti tangan saya yang lain."  

Kini berusia 71 tahun, ibu Cheah merupakan orang yang mendaftarkan anaknya dalam latihan badminton secara profesional. "Saya adalah seorang kanak-kanak yang terlampau aktif, saya suka berlari ke sana sini dan saya tidak boleh duduk diam. Ibu saya menghantar saya untuk menjalani latihan, dan berharap saya dapat duduk dan berehat jika saya sudah terlalu penat," kata.    

Demi memberi tumpuan kepada latihan Paralimpik, Cheah tidak bertemu anggota keluarganya, termasuk isterinya Dewi Febriana Tan, selama empat bulan.

Perpisahan sementara itu dirumitkan lagi apabila pandemik berleluasa, dengan Cheah sentiasa bimbang memikirkan orang yang tersayang pada ketika beliau turut menghadapi tekanan hebat untuk mencapai prestasi baik di gelanggang.

Apa yang akan beliau lakukan apabila beliau bertemu semula dengan mereka akhirnya selepas menjalani kuarantin? "Saya akan peluk mereka dahulu. Saya mahu memberi mereka pelukan erat. Saya amat merindui mereka," katanya.     

Sebelum kemenangannya di acara Paralimpik, Cheah tidak begitu dikenali di Malaysia walaupun beliau telah merangkul banyak gelaran antarabangsa. Tidak seperti rakan seperjuangannya dalam sukan badminton untuk peserta tegap dan sihat, yang dianggap sebagai wira negara, tidak ramai rakyat Malaysia yang kenal namanya.  

Tapi ini semua telah berubah. Cheah telah diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di upacara penutup, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bintang Paralimpik negara.  

"Saya telah bermain sejak sekian lama, tetapi tiada siapa pun yang mengenali saya. Keadaan berbeza sekarang. Ramai yang menghantar mesej peribadi di media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada saya. Tidak ada satu pun komen negatif," katanya.      

Terdapat juga "penambahan luar biasa" dari segi jumlah pengikut baharu di laman media sosial Cheah selepas beliau meraih pingat emas. "Saya tidak boleh bayangkan. Saya berasa sangat, sangat bangga dengan diri saya."    

Para peminat baharu Cheah akan dapat melihat beliau beraksi semula tidak lama lagi di Kejohanan Dunia Para Badminton BWF, yang akan berlangsung di Tokyo pada lewat Oktober.

Beliau juga telah menetapkan sasaran untuk bertanding di Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Apa yang saya perlu lakukan sekarang ialah menjaga kesihatan tubuh saya, sistem daya tahan saya, kerana usia saya sudah meningkat. Saya memerlukan lebih banyak makanan pelengkap untuk menjaga kesihatan tubuh saya sehingga saya berusia 36 tahun.  

"Saya perlu merancang latihan saya. Saya semakin berumur, jadi latihan perlu banyak berubah. Saya perlu bermain dengan bijak, dan bukan sekadar bertungkus-lumus sahaja," katanya.    

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha pihak berkuasa Malaysia mempergiat vaksinasi untuk membendung penularan wabak COVID-19.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/tx

Advertisement

Also worth reading

Advertisement