Skip to main content

Advertisement

Advertisement

Asia

'Ramai kawan rasa saya sudah gila': Dari bekerja di pejabat kepada mengendalikan empayar susu di Malaysia

Pengasas Farm Fresh, Loi Tuan Ee, bermula dengan 60 ekor lembu tenusu sedekad lalu. Hari ini, syarikatnya mempunyai 6,000 ekor lembu tenusu.  

'Ramai kawan rasa saya sudah gila': Dari bekerja di pejabat kepada mengendalikan empayar susu di Malaysia
Loi Tuan Ee di salah sebuah loji memproses susu Farm Fresh di Johor. (Foto: Amir Yusof)

KOTA TINGGI, Johor: Setiap kali Loi Tuan Ee melangkah keluar untuk ke bangsal memerah susu di ladangnya di Kampung Mawai, sukar dibayangkan bahawa beliau sebenarnya peneraju salah sebuah syarikat tenusu terbesar di Malaysia.

Walaupun seorang pengasas syarikatnya, Loi berpakaian serba sederhana dengan kemeja-T dan seluar jean. Pakaiannya basah kuyup dengan peluh akibat cuaca panas terik manakala kasut butnya pula berlumuran lumpur. 

Loi, 57, menghabiskan sebahagian besar masanya di pejabat-pejabat korporat, berbincang dengan para peguam, pelanggan dan pekerja. Apabila berkesempatan beliau akan melawat salah satu daripada lima ladang tenusunya di Malaysia. Loi berasa senang hati melakukannya kerana beliau cukup selesa di ladang-ladangnya.

Loi memulakan The Holstein Milk Company, dan anak syarikatnya, Farm Fresh, pada tahun 2008. Sejak itu, Farm Fresh telah menjadi jenama tidak asing lagi di Malaysia, malah dikenali di negara-negara jiran seperti Singapura dan Brunei.      

Di sebalik pertumbuhan jenama itu tersemat kisah-kisah pengambilan risiko, minat terhadap pertanian dan bagaimana untuk manfaatkan potensi industri tenusu tempatan.  

KRISIS PERTENGAHAN USIA?

Perjalanan hidup Loi sebagai penternak lembu tenusu sebenarnya bermula sebagai satu pertaruhan.

Beliau merupakan ahli korporat selama 20 tahun dalam industri pembungkusan makanan, sehingga berhasil menduduki jawatan kanan.

Loi berjaya dalam pekerjaannya dan pernah meraih pendapatan sekitar RM500,000 (AS$119,489) setahun.  

Beliau mengetuai sebuah jabatan pemasaran dan pernah bekerja dengan syarikat-syarikat besar seperti Sony dan Panasonic.

Namun, Loi merasakan bahawa cita-citanya akan sentiasa terbatas sebagai seorang yang makan gaji.

"Ia adalah perniagaan keluarga yang mana anggota keluarganya sangat rapat," kata Loi sambil menambah bahawa sebagai orang luar, beliau akan menghadapi kesukaran untuk mencapai peringkat lebih tinggi.

Loi Tuan Ee memberi gelaran mesra kepada lembu-lembu tenusunya iaitu 'Cik Puan (ladies)'. (Foto: Amir Yusof)

Loi juga mahu melakukan sesuatu yang berkaitan dengan pertanian, dengan beliau mula memupuk minat mendalam terhadap  bidang itu semasa membesar di kampungnya di Setiawan, Perak.

"Saya meminati bidang pertanian kerana itulah (latar belakang) saya di kampung. Ibu bapa saya adalah penoreh getah dan mereka menanam ubi kayu," kata Loi ketika temu bual dengan CNA.  

"Saya rasa saya mahu keluar untuk melakukan sesuatu yang lebih mampan. Malar segar … dan berdaya tahan. Dan itulah antara sebabnya saya memilih bidang pertanian, untuk menghasilkan produk makanan," tambah beliau. 

Loi lantas memutuskan untuk berhenti kerja demi membuka sebuah ladang tenusu.

Mengimbas kembali keputusan ini, Loi berkata bahawa ia adalah satu langkah penuh risiko. Loi  teringat bagaimana rakan dan anggota keluarganya memberitahu beliau agar jangan melakukannya.

Mereka bimbang usaha intensif modal itu tidak akan membuahkan hasil.    

"Saya rasa isteri saya sangat bimbang. Adik saya juga berkata, ‘Gor (abang), betul awak nak melakukan sesuatu seperti ini?’ Jadi saya kata (kepada mereka): 'Biarlah saya cuba.’”

"Ramai kawan rasa saya sudah gila."

Ada juga rakannya sehingga menyangka Loi sedang mengalami "krisis pertengahan usia".

"Awak lepaskan jawatan dengan gaji setengah juta ringgit dan faedah istimewa, dan awak hendak menternak lembu?," ujar Loi semasa mengimbas kembali kata-kata rakannya itu.  

"Mereka mendapati keputusan itu lucu sekali. Tetapi, mujurlah, ya, saya rasa ianya satu keputusan yang tepat, dan berkat ketabahan serta kesungguhan, ia menjadi usaha yang berbaloi sekali." 

Pengasas Farm Fresh Milk Loi Tuan Ee di ladangnya di Kampung Mawai, Johor. (Foto: Amir Yusof)

Pada peringkat awal, kerjanya sangat meletihkan.

Memandangkan beliau sudah biasa bekerja di pejabat berhawa dingin yang selesa, sebagai penternak lembu tenusu beliau kini perlu lebih sedia untuk membanting tulang membersihkan tanah dan membina bangsal.

Pada tahun 2006, beliau membeli sekitar 500 ekar tanah untuk ladang itu di Kampung Mawai, dekat Kota Tinggi. Ladang itu terletak sejauh 20 minit dari jalan utama terdekat mengikut perjalanan kereta dan tidak mempunyai sebarang isyarat telefon bimbit. 

"Itu sahajalah yang kami mampu beli ketika itu. Kali pertama kami ke sini, tempat itu adalah sebahagian daripada kawasan hutan," kata Loi.  

"Pada tahun-tahun awal, saya menghabiskan banyak masa di sini, mungkin enam hari seminggu. Saya menginap di tempat tinggal di sini supaya saya boleh membangunkan ladang tersebut."

Loi mulakan penternakannya dengan mengimport 60 ekor lembu jenis Holstein Jersey dari Australia.

Ini agak rumit kerana lembu-lembu itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan iklim tropika di Malaysia, dan jumlah pengeluaran susu adalah rendah.

Beliau juga menghadapi masalah mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli ternakan dan membina prasarana.

Ladang di Kampung Mawai terletak berhampiran Hutan Simpan Panti di Johor. (Foto: Amir Yusof)

"Jika anda mahu menceburi industri mapan yang lain, seperti minyak sawit, misalnya, pihak bank memang bersedia untuk meminjamkan wang kepada anda. Tetapi jika anda mahu membeli lembu, mereka benar-benar khuatir tentangnya," tambah beliau.  

Loi mendapat peluang keemasan apabila Khazanah Nasional, cabang pelaburan strategik kerajaan Malaysia, melabur dalam syarikatnya.

Kini, Farm Fresh adalah 30 peratus milik Agrifood Resources Holdings, sebuah syarikat pelaburan Khazanah.

Loi merasakan nasibnya baik sekali kerana pembukaan ladang beliau bertepatan dengan tempoh waktu ketika kerajaan berhasrat melabur dalam perniagaan pertanian demi memupuk daya sara diri kebangsaan.

JENAMA SUSU PALING LARIS

Dengan sokongan kewangan, The Holstein Milk Company dapat berkembang dengan pesat dalam tempoh sedekad.

"Perniagaan kami meraih sebanyak RM9 juta bagi keseluruhan tahun (2012) dan sembilan tahun kemudian, perniagaan kami meraih sebanyak RM9 juta seminggu. Jadi ini menunjukkan sejauh mana perniagaan kami telah berkembang," kata Loi.  

Di peringkat nasional, produk-produk Farm Fresh semakin popular. Menurut laporan AC Nielsen pada tahun 2019, jenama itu memiliki bahagian pasaran terbesar bagi susu segar di Malaysia, dengan meraih lebih separuh bilangan pengguna di Semenanjung Malaysia.  

Pada 6 Okt, media tempatan melaporkan bahawa Farm Fresh bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Ia dilaporkan telah memfailkan draf prospektus di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan tawaran awam permulaannya (IPO) akan membabitkan penjualan 743.18 juta saham, atau 40 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Produk Farm Fresh biasanya dihantar ke pasar raya dalam tempoh 48 jam selepas diambil dari ladang. (Foto: Amir Yusof)

Dari segi eksport, Loi berkata Singapura merupakan pasaran terbesar syarikat itu, memandangkan ia terletak berdekatan dengan ladang-ladangnya di Johor.

"Kami telah mengeksport ke Singapura sejak tiga, empat tahun lalu. Kebelakangan ini, saya rasa ia mendapat sambutan semakin hangat di sana juga," kata Loi.  

"Saya rasa ramai rakyat Singapura telah mula menghargai produk kami dan saya rasa dalam tahun-tahun mendatang, kami akan menambahkan usaha ke arah Singapura," tambah beliau.

Produk Farm juga dieksport ke Brunei, manakala terdapat rancangan untuk mengembangkan perniagaan ke Indonesia dan Filipina.

Hari ini, selain ladang perintisnya di Kampung Mawai, Farm Fresh mempunyai empat ladang lain di Desaru (Johor), Muadzam Shah (Pahang), Taipeng (Perak) dan Universiti Putra Malaysia (Selangor).

Bilangan lembu tenusu juga telah bertambah seratus kali ganda, daripada 60 kepada 6,000 ekor.

LEMBU HIBRID TAHAN CUACA PANAS

Salah satu projek Loi yang paling berhasil, yang terbukti penting dalam pengeluaran Farm Fresh, adalah keputusannya untuk menternak lembu yang boleh bertahan hidup dalam iklim tropika.

Pada tahun 2012, The Holstein Milk Company memperoleh sebuah syarikat genetik Australia yang ditubuhkan oleh kerajaan Queensland.  

Melalui pembiakan kacuk, syarikat ini menghasilkan lembu jenis Australian-Friesian-Sahiwal, baka yang lebih sesuai hidup dalam iklim tropika.

Lembu-lembu tenusu ini diberi makan rumput khas dan diberi ruang yang luas untuk memakan rumput. (Foto: Amir Yusof)

Loi berkata baka baru ini sangat penting dalam usaha memastikan Farm Fresh mengekalkan jumlah pengeluaran susu yang tinggi, kerana bekalannya sentiasa lebih rendah dibandingkan permintaan terhadapnya.

"Ia merupakan pelaburan yang sangat strategik bagi kami kerana semua baka lembu tenusu kami datang dari Australia," kata Loi.

"Ini memastikan bahawa kami mempunyai jumlah (baka) generik mencukupi yang kembali ke Malaysia untuk membantu perkembangan perniagaan kami," tambah beliau.

Loi, yang menyifatkan dirinya sebagai pencinta haiwan, bersusah payah memastikan bahawa lembu-lembu tenusu itu diberi makan rumput yang bermutu dan mempunyai ruang yang luas untuk meragut rumput.

KESAN COVID-19

Walaupun banyak industri di Malaysia terpaksa menghentikan pengeluaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan, Farm Fresh meneruskan operasinya kerana susu dianggap sebagai barangan penting.

Loi bimbang sekiranya kelompok COVID-19 tercetus di kalangan para pekerjanya di ladang-ladang dan loji pemprosesannya.

Beliau melihat bagaimana kes COVID-19 menular di dormitori pekerja asing di Singapura dan kawasan-kawasan lain di Malaysia dan memutuskan untuk mengambil tindakan awal dengan menempatkan para pekerjanya di tempat kediaman yang disewa.

Semua pekerja Farm Fresh telah menerima dua dos vaksin COVID-19. (Foto: Amir Yusof)

"Kami tidak mahu mereka keluar dan membeli makanan. Jadi, semua makanan tengah hari dan makan malam disediakan," kata Loi.  

"Kami perlu memastikan bahawa mereka mematuhi protokol yang amat ketat. Mujurlah sepanjang satu setengah tahun ini, kami tidak mengalami sebarang kejadian," tambah beliau.  

Loi berkata bahawa langkah menjaga kebajikan lembu tenusu dan juga para pekerja beliau adalah penting untuk memastikan perniagaannya kekal berpanjangan.

"Anda boleh berkembang, anda boleh membuat wang, tetapi, bagaimana pula dengan cara anda menjaga haiwan ternakan anda? Adakah ia dijaga dengan baik dan sebagainya? Dan bagaimana pula tentang pekerja anda?" kata Loi.      

"Saya rasa kami mahu membina satu jenama dan suatu hari nanti, orang ramai akan menghargainya sebagai sebuah syarikat di mana semua yang berkepentingan, baik pelanggan, pekerja mahupun haiwan ternakan kami, dijaga dengan baik."

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai seorang ahli sukan yang sanggup menanti 18 tahun untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2020.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/am

Advertisement

Also worth reading

Advertisement