Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Nampak cergas dan sihat tapi boleh menemui maut dengan mengejut – apa puncanya?  

Apakah sebab-sebab kesihatan yang boleh membawa kepada kematian yang tidak dijangka? Tanpa disedari mungkinkah kita juga boleh menjadi mangsanya? 

Nampak cergas dan sihat tapi boleh menemui maut dengan mengejut – apa puncanya?  

Lebih 3,000 orang mengalami serangan jantung mengejut setiap tahun di Singapura. (Foto: iStock/choochart choochaikupt)

SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini kita mungkin terbaca berita seseorang yang aktif – tidak kira usianya - mati secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.

Pemergian pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Singapura, Creative Technology Sim Wong Hoo pada usia 67 tahun, tentunya mudah terpahat dalam ingatan sebahagian daripada kita. 

Walaupun tiada punca kematian telah didedahkan secara rasmi, rakan-rakan yang mengenali mendiang berkata mereka "terkejut" dengan berita kematiannya. 

Ini mentelah mendiang Sim dikenali aktif dalam sukan berlari maraton dan kelihatan sihat. Keluarga mendiang enggan bercakap kepada media mengenai sebab kematiannya. 

Kalau kita boleh telusuri perkara ini, kita mungkin bertanya apakah kemungkinan punca atau punca-punca yang boleh mengakibatkan kematian mengejut ke atas seseorang individu yang memang dampaknya cergas? 

Apakah ada tanda-tanda amaran yang boleh menyelamatkan nyawa jika kita memberikan perhatian terhadap tanda-tanda tersebut? 

CNA Lifestyle meminta pandangan beberapa orang doktor.

Bagi sesetengah pesakit, punca kematian mengejut boleh berpunca daripada aneurisme pada saluran darah arteri. (Foto: iStock/Stock foto dan rakaman)

PUNCA KEMATIAN MENGEJUT

Terdapat beberapa punca kematian yang berkaitan dengan kardiovaskular dan ia berbeza mengikut umur, kata Profesor Tan Huay Cheem, konsultan kanan Jabatan Kardiologi di Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura (NUHCS).

Bagi mereka yang berumur 30 tahun ke atas, punca kardiovaskular yang paling biasa adalah serangan jantung, miokarditis (keradangan otot jantung), strok dan kelukaan, di mana berlaku koyakan pada lapisan dalam arteri utama atau aorta, kata Prof Tan. 

Beliau menambah mereka yang meninggal dunia dengan kematian yang tidak dijangka - dan berusia lebih muda daripada 30 tahun - berkemungkinan mengalami kardiomiopati hipertrofik (hypertrophic cardiomyopathy), iaitu penebalan otot jantung yang tidak normal. 

Mereka juga mungkin mengalami anomali koronari kongenital (iaitu di mana arteri koronari berada di tempat yang salah atau ia bermula di tempat yang salah semasa lahir) dan miokarditis atau aritmia (arrhythmias) (rentak degupan jantung yang tidak normal).

Menurut Prof Tan, lelaki biasanya mengalami dua kali ganda kadar serangan jantung semasa di luar hospital (out-of-hospital cardiac arrest, OHCA) dibandingkan dengan wanita.

Bagi sesetengah pesakit, punca kematian mengejut mereka mungkin disebabkan oleh aneurisme (bengkak atau gelembung pada arteri) yang pecah, kata Dr Rajesh Dharmaraj, ketua bahagian dan konsultan kanan pembedahan vaskular di Jabatan Pembedahan Jantung, Toraks dan Vaskular, Pusat Jantung Universiti Kebangsaan Singapura (NUHCS).

"Ia boleh berlaku pada pesakit yang mempunyai aneurisme besar (pembengkakan arteri yang tidak normal) yang tidak didiagnosis.

Dinding arteri menjadi lemah dan membengkak dari semasa ke semasa sehingga dinding arteri itu pecah mengakibatkan pesakit mengalami pendarahan dalaman, lantas mengakibatkan kematian mengejut bagi sesetengah pesakit,” katanya.

USIA MEMAINKAN PERANAN  

Risiko meningkat dengan usia, menurut Laporan Data OHCA 2019 yang diterbitkan oleh Yayasan Jantung Singapura.

“Mereka yang berumur 65 tahun ke atas merupakan kumpulan pesakit berisiko tertinggi, membentuk 36.2 peratus daripada jumlah kes pada 2019,” kata Prof Tan, memetik laporan itu. 

“Risiko kematian mengejut pada mereka yang masih muda masih sangat jarang berlaku. Perkara yang sama berlaku untuk aneurisme, kata Dr Rajesh. 

"Aneurisme boleh terjadi pada warga tua dengan faktor risiko seperti merokok dan hipertensi (atau darah tinggi)," katanya.

Walaupun pada sesetengah pesakit dengan sindrom genetik seperti Marfan dan Ehlers-Danlos, aneurisme juga boleh berlaku pada usia lebih muda.

(Foto: iStock/imtmphoto)

MENGAPA IA BERLAKU KEPADA INDIVIDU CERGAS DAN SIHAT

Lebih 3,000 orang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba setiap tahun, demikian menurut laporan data OHCA. 

Banyak juga rencana melaporkan ahli-ahli sukan tempatan dan luar negara serta individu lain, yang menemui ajal mengejut. 

Ini semua menunjukkan mereka yang cergas dan sihat juga tidak dapat lepas daripada kematian serangan jantung.

Kematian mengejut yang berkaitan dengan jantung sebegini mungkin boleh disebabkan kegiatan fizikal yang kuat disamping adanya masalah jantung yang tidak pernah didiagnos sebelum ini. 

Menurut HealthXchange.sg, ia boleh merangkumi keadaan-keadaan kesihatan seperti gangguan otot jantung, masalah elektrik, jangkitan yang melemahkan otot jantung atau masalah arteri koronari kongenital. 

Bagi para pesakit yang mengalami aneurisme, mereka juga mungkin mempunyai simptom-simptom seperti sakit belakang dan sakit pada bahagian perut atau abdomen. 

Mereka juga mungkin mengalami pening atau hilang kesedaran akibat tekanan darah yang rendah, kata Dr Rajesh.

MINIMUMKAN RISIKO KEMATIAN MENGEJUT 

"Sukar untuk meramalkan kejadian kardiovaskular secara tiba-tiba," kata Prof Tan, tetapi itu tidak memberi kita alasan untuk bermalas-malasan.

"Gaya hidup sihat dan kawalan faktor risiko yang berkesan tetap menjadi insurans terbaik bagi menghadapi keadaan sedemikian,” katanya, sambil menambah bahawa kurang waktu tidur yang berkualiti semakin diiktiraf sebagai faktor risiko penting.

Satu lagi pendekatan gaya hidup, menurut HealthXchange.sg, adalah dengan kita menguruskan tahap tekanan yang dihadapi. Tekanan yang berpanjangan, ditambah pula dengan tekanan emosi dan ketegangan, boleh menyebabkan tubuh kita menghasilkan adrenalin.

Ini pula menyebabkan jantung mengepam lebih cepat dan lebih kuat, dengan saluran darah pula mungkin mengecil.  

Tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan jantung mengepam lebih cepat dan lebih kuat, dan saluran darah juga mungkin menyempit. (Foto: iStock/amenic181)

Anda boleh membantu diri sendiri dengan melakukan pemeriksaan tahunan ke atas paras kolesterol dan tekanan darah anda. Jika tekanan darah berterusan melebihi paras 140/90mmHg, ia boleh merosakkan jantung dan saluran darah apabila tidak dirawat.

Jika anda seorang perokok, berhentilah. Anda mempunyai dua hingga tiga kali ganda risiko kematian jantung mengejut dibandingkan dengan bukan perokok.

Malah, perokok membentuk kira-kira 40 peratus daripada kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung pada pesakit yang lebih muda daripada 65 tahun, menurut HealthXchange.org.

Bagi perokok lelaki yang berusia 65 tahun ke atas dan menghidap penyakit arteri koronari, mereka boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai keadaan mereka dengan menghantar e-mel kepada: aortic_centre [at] nuhs.edu.sg untuk menjadi sebahagian daripada program pemeriksaan aorta berskala besar yang pertama dikendalikan oleh Pusat Jantung Universiti Kebangsaan Singapura, NUHCS. 

Ia memerlukan 1,000 subjek untuk membolehkannya mengetahui lebih mendalam keperluan bagi pemeriksaan aorta (iaitu arteri jantung) bagi kumpulan sedemikian. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana para peminat hobi main layang-layang di Singapura menangani soal keterbatasan ruang. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/bk(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement