Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Selepas produk alat tulisnya kurang sambutan, pereka Singapura ini beralih pula ke seni kaligrafi Islam

CNA Lifestyle temui Suffian Sumamaili, pemilik ArtSalwa yang mendedikasikan niaganya untuk reka bentuk dan hiasan rumah mengikut seni Islam. 

SINGAPURA: Suffian Sumamaili lebih mesra dikenali dengan nama yang bukan miliknya. Beliau dikenali sebagai Abu Salwa yang diterjemahkan sebagai "Bapa Salwa".

Dilahirkan dan dibesarkan di Singapura, lelaki berusia 42 tahun itu mahir dalam seni kraf yang unik. Perniagaannya, ArtSalwa, terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim untuk harganya yang berpatutan, rekaan asli seni dan bingkai seni Islamik.

Akibat tidak dapat mencari karya seni Islam yang direka dengan baik, Sumamaili, yang pernah memiliki perniagaan alat tulis sendiri, memutuskan untuk mengubah kemahirannya ke arah seni dan kraf yang sangat unik dan berbentuk khusus ini.

Menggabungkan gaya moden dengan reka bentuk berpengaruh Arab dan cita rasa tempatan ke dalam karyanya, beliau menemui bidang tepatnya dalam industri, dan berjaya mengembangkan perniagaannya.

Berikut sedutan temu bual wartawan CNA Lifestyle dengan Abu Salwa: 

(Gambar: ArtSalwa)

ANDA SEORANG YANG KREATIF SEMASA KECIL?

Saya sentiasa cinta akan keseniaan sejak kecil lagi. Saya tidak gemar bermain dengan mainan, sebaliknya dibimbing oleh ibu bapa saya untuk melukis. Jadi, boleh dikatakan saya dibesarkan untuk menjadi kreatif.

Saya tidak belajar reka bentuk sepenuh masa. Saya mengambil beberapa kursus pendek di sekolah seni swasta. Itulah cara saya mengasah asas (kemahiran) saya.

BAGAIMANA KERJAYA ANDA DALAM REKA BENTUK GRAFIK?

Saya bermula dengan mengambil beberapa kerja tempahan reka bentuk secara bebas, membuat logo dan identiti korporat pada kos yang rendah. Selepas itu, saya telah diupah oleh Underwater World untuk membuat alat tulis.

Daripada pengalaman itu, saya semakin berminat dengan mencipta reka bentuk saya sendiri untuk produk saya sendiri. Tetapi ketika itu tidak ada platform media sosial, jadi bagi mendapatkan jualan memerlukan sesi bersemuka untuk menjual idea saya.

Jadi, saya sambung bekerja sebagai seorang pereka grafik untuk beberapa syarikat tetapi kerja yang saya lakukan adalah berdasarkan keperluan yang diberikan kepada saya, dan saya mahu buat lebih daripada itu.

BAGAIMANA MINAT BERNIAGA BERMULA?

Saya bekerja di syarikat-syarikat kecil untuk belajar cara membuat reka bentuk pembungkusan dan produk.

Pemilik syarikat-syarikat kecil itu seperti mentor saya yang sudi berkongsi kemahiran perdagangan mereka dengan saya. Saya memutuskan untuk menceburi perdagangan dan mula mereka bentuk produk alat tulis saya sendiri. Ketika itulah saya dikenali oleh Wing Tai yang menugaskan saya sebagai pereka bentuk produk alat tulis dalaman mereka untuk Topshop.

Pada masa yang sama, saya menyewa ruang kecil di Far East Plaza untuk menjual beberapa jenis alat tulis saya sendiri seperti buku nota, poster, kertas pembalut, dll. Saya menamakan kedai itu dan jenama saya sebagai Paper People.

ANDA PERNAH BERNIAGA DI HAJI LANE?

Saya memutuskan untuk mengembangkan perniagaan saya dan mengambil tempat di Haji Lane. Ia menarik ramai pelancong pada masa itu. Saya juga pernah ditemu bual oleh program TV Jepun untuk produk rekaan saya.

Walau bagaimanapun, selama bertahun-tahun, permintaan untuk produk alat tulis berkurangan apabila dunia mula beralih kepada digital dan perniagaan saya merosot.

Saya akhirnya menutup kedai di Haji Lane dan kemudian saya beralih kepada bekerja di Perusahaan Sosial untuk membantu mencipta dan memasarkan produk yang dilakukan oleh orang-orang kurang upaya, bagi mewujudkan kesedaran awam untuk mereka dan VWO yang menyokong mereka.

(Gambar: ArtSalwa)

BILAKAH ARTSALWA BERMULA?

ArtSalwa bermula pada tahun 2015. Pada masa itu, saya sedang mencari seni Islam untuk rumah saya sendiri dan menyedari bahawa rangkaian produk di Singapura adalah terhad dan (produk) yang tersedia tidak secantik yang saya cari.

Saya menyenaraikan beberapa rekaan seni Kaligrafi Islam saya sendiri di Carousell dan segera mendapat banyak pertanyaan dan pesanan.

Ini memberikan saya motivasi untuk mencipta lebih banyak reka bentuk dan produk kaligrafi Islam untuk komuniti tempatan kita. Ini berlaku adalah kerana lebih kepada cinta akan seni, dan bukannya aspek perniagaan itu sendiri.

APA ITU KARYA MELIBATKAN SENI ISLAM?

Seni Islam dicipta dalam bentuk karya seni untuk mencantikkan ruang terutamanya di rumah milik orang Islam dalam komuniti tempatan kita, dengan komponen asas kaligrafi Arab, motif flora serta reka bentuk geometri.

(Gambar: ArtSalwa)

BAGAIMANA KARYA ANDA DICIPTA?

Saya membaca banyak buku mengenai kaligrafi Islam dan reka bentuk dalaman untuk memahami sejarah, budaya, dan cara reka bentuk dicipta dengan indah, serta bagaimana ia boleh dimuatkan ke dalam rumah moden.

Kemudian, saya mempraktikkan pengalaman reka bentuk grafik saya dengan mencipta rangkaian reka bentuk saya sendiri pada skrip tulisan yang berbeza.

Saya mengembangkan karya seni asli dan tradisional dengan mencipta rangkaian reka bentuk yang lebih moden untuk memberi inspirasi kepada pelanggan.

Saya juga mendapatkan nasihat daripada guru-guru madrasah, sebelum penciptaan karya seni ini. Saya mencipta karya saya menggunakan medium yang berbeza seperti seni kanvas, cermin pelbagai warna, seni damar, akrilik potongan laser, dsb.

Saya suka bereksperimen dan sering mendapat ilham daripada pelanggan saya.

ADA PERATURAN TERTENTU DALAM HASILKAN KARYA?

Terdapat dua bentuk reka bentuk, satu terutamanya karya seni kaligrafi untuk mengindahkan ruang dinding, dan satu lagi adalah ayat-ayat Al-Quran, untuk tujuan bacaan dan hafalan.

Skrip boleh diambil sama ada daripada Al-Quran atau Hadis.

Ada orang menyatakan saya menyalahgunakan ayat-ayat dari kitab suci dan mendapat keuntungan daripada karya seni dan kaligrafi Islam seperti itu.

Tetapi saya sentiasa berharap agar pelanggan saya memilih seni Islam saya dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar untuk mengindahkan rumah mereka, tetapi memahami maksud di sebalik setiap ayat dalam kitab-kitab suci Islam.

(Gambar: ArtSalwa)

KARYA ANDA IKUT TEMPAHAN ATAU SIAP UNTUK DIBELI? 

Kedua-duanya sama-sama dicari, perbezaannya ialah terdapat masa penghasilan yang lebih lama untuk karya seni yang mengikut permintaan tempahan. 

PERKARA PALING MENCABAR? 

Malangnya, saya mempunyai pengalaman berdepan dengan pihak yang meniru (karya-karya) saya.

Ada dalam kalangan mereka yang kadang-kadang cuba mengelirukan pelanggan dengan mencipta karya seni serupa dengan karya saya dan cuba menjualnya sebagai karya mereka sendiri.

Ini sesuatu yang mengecewakan.

BAGAIMANA PELANGGAN KENALI ANDA?  

Kebanyakannya menerusi perbualan dari mulut ke mulut. Sebilangan besar adalah keluarga dan rakan pelanggan sebelum ini. 

Saya juga mempunyai pelanggan yang datang kembali kepada saya untuk membeli rekaan-rekaan baharu. 

Kini saya juga menggunakan platform-platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Carousell, malah Google serta laman web saya sendiri.

Kebanyakan pelanggan saya adalah pelanggan tempatan. Saya juga mempunyai pelanggan dari Australia, Jerman, Dubai, Pakistan, India, Amerika, United Kingdom dan Malaysia.

(Gambar: ArtSalwa)

PENGALAMAN INDAH DAN KARYA IMPIAN ANDA? 

Saya benar-benar menikmati kerja yang saya lakukan dan sentiasa merasakan keperluan untuk terus mendapat inspirasi untuk mencipta lebih banyak rangkaian produk yang boleh meningkatkan keindahan kaligrafi Arab.

Saya cukup gembira dengan hanya mengetahui bahawa karya seni saya diterima baik oleh pelanggan, bahawa mereka tidak menganggapnya seperti produk biasa yang mereka miliki di rumah mereka.

Disebabkan makna yang dalam di sebalik setiap teks (atau skrip kaligrafi), karya-karya itu menjadi sesuatu yang istimewa.

Saya berharap perniagaan saya boleh terus berkembang dan saya mampu mencipta lebih banyak produk melalui pelbagai jenis medium yang tidak luput ditelan zaman.

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sejauh mana sejauh mana Malaysia selamat dilawati semasa tengkujuh. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement