Tukang karung guni milenial ini buka niaga untuk cipta sesuatu bagi dirinya sendiri
Pemuda Singapura ini merupakan seorang tukang karung guni - gelaran bagi pekerja yang membeli barangan kitar semula daripada para pelanggan.
SINGAPURA: Bryan Peh telah menceburi industri kitar semula selama lebih lapan tahun dan pada masa yang sama mempunyai masa untuk menjadi seorang pelakon sambilan.
Apakah yang membuatkan beliau gigih mengharungi masa yang panjang dan berdepan dengan pelbagai salah tanggapan orang ramai terhadap pekerjaan karung guni?
Apabila kita membayangkan seseorang tukang karung guni (atau juga dieja karang guni), sering kita gambarkannya sebagai seorang warga tua lelaki atau perempuan di koridor-koridor blok HDB Singapura yang membawa hon dan troli mereka dari satu tingkat ke tingkat lain.
Ramai di antara kita juga sudah biasa mendengar teriakan mereka: “Karung guni, buay bor zua gu sa kor, ray-dio-dian-see-kee”, (dialek Hokkien bermaksud “Karung guni, surat khabar dan pakaian lama, radio dan televisyen rosak). Bunyi hon mereka bergema di seluruh blok.
Bagaimanapun, Bryan Peh sangatlah berbeza daripada apa yang digambarkan itu. Antaranya kerana beliau jauh lebih muda daripada tukang-tukang karung guni lain. Beliau kedengaran lebih riang dan ceria ketika bercakap, walaupun pada pagi Selasa, sedang ramai orang masih melawan rasa mengantuk di tempat kerja.
Tidak ramai juga yang akan mudah percaya bahawa anak muda ini memang sebenarnya mahu menjadi seorang tukang karung guni.
“Apabila saya keluar dan bertemu kawan atau kawan kepada kawan-kawan saya, mereka akan bertanya tentang pekerjaan saya: saya menggelarkan diri saya sebagai seorang tukang karung guni,” kongsinya.
“Mereka akan menyoal balik dan bertanya mengapa saya memperli tukang-tukang karung guni. Saya menjawab, ini bukan satu gurauan.
“Saya perlu mengatakan: ‘Saya seorang tukang karung guni’ dan menunjukkan kepada mereka bukti pekerjaan saya. Barulah mereka sedari mereka telah salah faham tentang pekerjaan saya.”
Peh, yang berusia 29 tahun, baru-baru ini memberikan lebih banyak pendedahan mengenai perjalanannya dalam industri kitar semula sejak lapan tahun lalu - dan juga pelibatannya dalam bidang lakonan – ketika wawancara dengan CNA Lifestyle di rumah keluarganya di Tampines.
Peh menyatakan sebenarnya ini merupakan pekerjaannya yang pertama setelah tamat universiti. Beliau adalah lulusan Institut Pengurusan Singapura - Institut Teknologi Diraja Melbourne (SIM-RMIT) dengan ijazah dalam pengurusan perniagaan.
Jadi, apakah yang membawa seorang pemuda milenial menceburi bidang industri kitar semula, yang biasanya dikuasai oleh orang-orang yang lebih tua?
"Saya tidak mendapat kerja selama setahun, jadi ayah saya berkata, 'Mungkin anda boleh membantu di kedai', dan begitulah permulaan saya."
Beliau kemudian mendapati bahawa kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperolehinya di universiti juga membantu dalam industri kitar semula.
Itulah sebabnya beliau meninggalkan syarikat bapanya Ace Recycle Trading untuk menubuhkan syarikatnya sendiri, Earth Recycling Services, pada Januari tahun ini.
Apa yang mendorongnya membuka syarikatnya sendiri adalah kerana untuk "melepaskan diri daripada terjebak dalam perniagaan keluarga”.
Peh berkata dalam erti kata lain menubuhkan syarikatnya membantu dirinya berkembang dan berpotensi menjangkau lebih ramai pelanggan.
"Ia juga dapat membezakan diri saya daripada perniagaan keluarga saya untuk membuktikan keupayaan diri saya," tambahnya lagi.
Peh mengakui bahawa walaupun pada mulanya tiada faktor "tarikan" untuknya, beliau akhirnya memilih untuk kekal dalam sektor tersebut.
“Saya menghadapi banyak tahap penafian sebelum saya mencapai tahap penerimaan kerana saya mempunyai impian besar, seperti mana semua orang ingin bekerja di pejabat dan memanjat tangga korporat.
“Selepas beberapa ketika, saya menyesuaikan diri dengan gaya hidup itu (sebagai tukang karung guni), dan saya menyukai kebebasan bekerja di sekitar perniagaan keluarga. Ia juga memudahkan saya untuk mendapatkan hari cuti!”
Bercakap tentang hari cuti, Peh berkata walaupun beliau menikmati kebebasan dari pekerjaannya, beliau dan keluarga biasanya bekerja setiap hari, termasuk hujung minggu dan juga kebanyakan hari cuti umum - dari 9 pagi hingga 7 malam.
"Kami bergiliran mengambil cuti, jika saya cuti, ayah akan bekerja dan sebaliknya."
"Akan ada hari-hari yang mudah tetapi seringkalinya, ia meletihkan secara fizikal dengan banyak barang untuk dipunggah atau diasingkan. Proses kitaran pemunggahan dan pengasingan itu mengambil masa yang lama dan berulang-ulang."
Ia bukan kerja yang mudah, tetapi beliau telah menemui cara yang menyeronokkan.
"Saya menikmati kebebasan, dan ketiadaan hierarki korporat serta politik pejabat yang biasanya ada dalam persekitaran pejabat.
"Memandangkan saya berinteraksi dengan ramai orang dari pelbagai status sosial, ia mengajar saya untuk menjadi lebih bijaksana dan rendah diri."
Dari mula lagi, jelas bahawa tiada hari biasa di tempat kerja untuk Peh.
"Ia benar-benar bergantung kepada bilangan pelanggan yang kami terima pada hari itu. Selalunya, jika kami tidak pergi mengutip di luar, sejumlah besarnya adalah daripada pelanggan yang datang,” tegas Peh.
“Ada hari hari mungkin sibuk dengan lima lori dalam tempoh yang sama. Kedai kami sebenarnya kecil, jadi kami tidak boleh menampung semuanya pada satu masa.”
Bahagian depan kedainya terletak betul-betul bersebelahan dengan syarikat bapanya di sebuah bangunan perindustrian di Kaki Bukit, di mana kedua-dua syarikat berkongsi ruang untuk mengumpul barang.
Ketika CNA mengunjungi kedainya, kami dapati adanya beg-beg yang mengandungi wayar tembaga dan longgokan mesin, ikatan kertas dan juga patung tembaga.
Peh menjelaskan: “Kami mengumpul hampir segala-galanya kecuali kayu, plastik dan kaca, yang merupakan bahaya untuk dikendalikan dan mahal untuk dilupuskan. Semua yang lain, kami kumpul dan kami dagangkan sebagai bahan mentah.”
Apakah beberapa barangan yang agak pelik yang boleh ditemui di kedainya?
"Kami mendapat banyak barangan antik, sebahagian daripadanya kami bersihkan dan tempatkan semula di rumah baharu," katanya.
Beberapa perabot dan hiasan di rumahnya, seperti sepasang meja tembaga silinder yang tidak kelihatan ganjil di bilik pameran dan deretan perhiasan kristal, telah dapat diselamat dan digunakan semula, hasil kerja pelupusan sebelumnya.
Dari segi pengalaman menarik, beliau berkongsi kisah di mana abang seorang wanita menggunakan khidmatnya untuk membuang barang-barang yang dikumpulkan oleh wanita itu.
"Di penghujung proses itu, wanita tersebut telah datang ke rumah kami untuk mencari balik sebahagian barang yang dibuangnya!"
Menurut Peh membersihkan rumah mereka yang suka menyorok atau menimbum barang merupakan sebahagian daripada kerja dalam industri kitar semula.
Tambah Peh: "Ada orang menyorok barang dengan begitu banyak sehinggakan anda boleh nampak serangga perosak seperti lipas, tapi kita sudah terbiasa dengannya.
“Namun, ada kalanya, anda akan terserempak dengan sesuatu yang tidak dijangka seperti lipan atau bangkai haiwan.”
"Anda benar-benar tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku atau apa yang akan anda lihat."
Peh juga berkongsi tentang bagaimana bekerja dengan ibu bapanya telah mengeratkan hubungan mereka:
"Saya nampak mereka sepanjang masa dan saya rasa itu telah mengeratkan kami sebagai sebuah keluarga. Itu dengan sendirinya adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan bagi saya."
Beliau menambah bahawa tiada pemisahan antara kerja dan masa peribadi apabila bersama keluarga, sambil berseloroh “ia tetap waktu bekerja”.
"Saya perlu menyatakan bahawa ia adalah satu rahmat yang terselindung kerana kita sering berbalah tentang beberapa perkara tertentu.
“Tetapi pada akhirnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu ayah saya dengan cara saya sendiri."
Bekerja dengan keluarga boleh mengajarkan seseorang seni bertolak ansur antara satu sama lain, tetapi bagaimana pula hubungannya dengan orang yang tidak dikenali?
Peh berkata: “Terdapat ramai orang yang memandang rendah terhadap kami. Saya banyak ditanya kerana saya kelihatan muda berbanding dengan tukang karung guni lain.
“Ada yang bertanya sama ada saya boleh berbahasa Inggeris atau saya pernah tercicir sekolah.
"Kadang-kadang, apabila mereka mengetahui bahawa saya memiliki ijazah, mereka bertanya 'jika ada ijazah mengapa bekerja di tempat seperti ini yang tidak menjanjikan apa-apa harapan’.
Peh mengongsi satu perbualan yang amat tidak selesa dengan seorang pelanggan yang memerlukan khidmatnya selepas pelanggan itu menutup perniagaannya.
"Pelanggan itu berbual tentang perniagaan baharu dengan suaminya sambil memberitahu suaminya bahawa mereka kini boleh juga menceburi industri kitar semula.”
"Saya bertanya kepadanya sama ada beliau benar-benar berfikir begitu, dan beliau menjawab: Ya, saya rasa tak perlu perah otak.”
Peh menyatakan bukanlah senang bagi dirinya untuk mendengar komen-komen sedemikian. Namun beliau mempunyai caranya tersendiri:
"Saya sedar bahawa mereka sebenarnya tidak cukup arif tentang industri kitar semula ini. Terpulanglah kepada saya untuk mendidik mereka tentangnya atau pun tidak.
"Sekiranya rakan saya yang membuat komen sebegini, saya mungkin sedia mengongsi sedikit pengetahuan dengan mereka. Tetapi jika orang sebarangan yang membuat komen sedemikian, saya pilih untuk tidak menyatakan apa-apa.”
Industri karung guni, seperti banyak perkhidmatan lain, lazimnya disalah ertikan, dan Peh menegaskan bahawa ia adalah kerja berat yang dilakukan oleh mereka yang boleh bekerja keras.
"Tiada pekerjaan yang 'buruk' sekiranya anda bersedia untuk bersifat komited dan menerimanya.
“Sangat menarik untuk melihat perbezaan antara orang yang mempunyai keistimewaan dan orang yang mengalami kesusahan, jadi apa yang saya lakukan telah membantu saya berpijak pada bumi nyata sebagai seorang manusia.”
"Saya ingin menggalakkan semua orang untuk mengurangkan sedikit pembelian barangan," kata Peh, sambil menunjukkan bagaimana kerjanya ada kaitan dengan hubungan manusia dengan benda-benda dan alam sekitar.
Bagaimanakah hari-hari biasa di tempat kerja untuk pemuda seperti Peh? Tidak ada satu pun hari yang boleh disifatkan sebagai hari biasa. "Ia benar-benar bergantung pada bilangan pelanggan yang kami terima pada satu-satu hari itu," kata Peh.
Memandangkan keluarganya sudah pun berkecimpung dalam perniagaan itu terlebih dahulu, jadi apakah reaksi ibu bapa Peh terhadap langkahnya menubuhkan syarikat Earth Recycling Services.
Menurut Peh: “Mereka agak positif tentang perkara ini kerana keluarganya juga cuba mendekati lebih ramai pelanggan berpotensi.
“Malah mereka mendesak saya untuk menceburi bidang ini. Ia kerana selain bapa, bapa saudara dan ibu saudara saya juga dalam industri kitar semula dan melakukan khidmat pelupusan. Jadi, ini memudahkan kami untuk menyelaraskan kami semua jika perlu."
Apakah usaha menjalin "rangkaian" juga akan menjadi lebih mudah?
Peh menjelaskan para peniaga karang guni lebih merupakan sebuah kumpulan kecil tidak rasmi dan tidaklah seperti sebuah rangkaian perniagaan tersusun atau pun seperti sebuah komuniti tersendiri.
“Setiap kawasan di Singapura akan mempunyai tukang karung guni yang tetap. Jadi, yang di Tampines tidak akan pergi jauh ke Ang Mo Kio atau Jurong untuk mengumpul barangan," katanya.
“Di Tampines sendiri, bapa saudara saya, ayah dan saya mempunyai ramai pelanggan jangka panjang. Jadi apabila kita semua bertemu ia lebih merupakan pertemuan sesama rakan.
“Kami tidak bersantai bersama, tetapi apabila bertemu, kami berkongsi pengetahuan seperti harga pasaran untuk sesuatu barang dan tentang bagaimana hendak melupuskan barangan tertentu.”
Mungkinkah dalam kumpulan perbualan seperti ini, Peh lebih menonjol sebagai mereka yang paling muda dalam kumpulan tersebut.
Peh menjawab sambil dengan nada pasrah, “Ya”.
“Ketika saya bermula pada usia 21 tahun, saya rasa ia lebih sukar untuk menyampaikan mesej saya kepada pelanggan. Tetapi setelah bertahun-tahun, saya mengambil peranan kepimpinan, jadi mereka lebih mengenali personaliti saya.
“Pada mulanya, saya tidak mempunyai personaliti yang kuat atau agresif. Tetapi untuk bekerja dalam bidang ini, anda benar-benar perlu bersikap tegas.”
Namun akhirnya, menurut Peh, beliau dan para pelanggan tetapnya mempunyai persefahaman yang lebih baik tentang bagaimana mereka boleh bekerjasama.
Perkara lain yang dilakukan oleh Peh dan bapanya termasuk mengadakan sesi kutipan barangan di dua estet kejiranan di Tampines, di mana beberapa pelanggan mereka yang lebih tua akan membawa barangan buangan seperti mesin lama, surat khabar dan logam.
“Pada mulanya, kami hanya melakukannya untuk pelanggan tetap yang datang ke kedai lama kami di SAFRA Tampines.
"Mereka tidak berdaya untuk menolak barang mereka ke kedai baharu kami. Jadi ketika itulah mereka akan hubungi kami. Kami memutuskan untuk mengumpulkan barangan mereka semua di satu tempat pada tarikh dan masa yang tetap setiap minggu.
“Pada dasarnya, tujuan utama kami adalah untuk membantu pelanggan-pelanggan ini. Walaupun sesetengah daripada mereka melakukannya dalam masa lapang, tetapi terdapat ramai juga yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama mereka."
Di awal perbualan, Peh menyebut bahawa bekerja dengan keluarga memberikannya kebebasan, yang beliau gunakan untuk mengejar minatnya yang lain yakni berlakon.
Sebagai seorang pelakon bebas, beliau telah muncul dalam siri web Uncanny Valley, yang katanya sebagai "peranan sokongan rasminya yang pertama yang menjangkau lebih daripada satu episod".
Beliau juga mempunyai peranan kecil - yang pertama berbahasa Cina - dalam siri drama Saluran 8 My Guardian Angels, yang dibintangi artis-artis veteran industri seperti Zoe Tay dan Kym Ng.
Sambil tertawa, beliau mengaku bahawa kerjaya lakonannya lahir sebahagiannya secara spontan.
“Pada tahun keempat atau kelima saya bekerja, saya ingin berhenti daripada perniagaan keluarga dan melakukan perkara lain tetapi tidak tahu apa yang harus saya lakukan atau apa yang menarik minat saya.
“Ketika itulah saya terfikir untuk mencuba lakonan dan mula menghadiri kelas. Sambil mempunyai peluang untuk bekerja, itulah bagaimana saya dapat menceburi bidang lakonan."
Menariknya, Peh tidak berminat dengan teater, ketika membesar. "Saya malu dan tidak berani mengambil risiko atau keluar dari zon keselesaan saya, berbeza dengan dirinya sekarang.”
"Ia adalah satu perjuangan untuk melawan diri saya sendiri dan keluar dari zon keselesaan saya."
Walaupun ibu bapanya menyokong beliau untuk menubuhkan syarikatnya sendiri, mereka agak lebih bimbang pada awalnya, terhadap kerjaya lakonannya. "Mereka berkata, 'apa yang akan awak lakukan?' tetapi saya membuktikan mereka salah."
Nampaknya sudah menjadi perkara biasa bagi Peh untuk sentiasa membuktikan kepada orang lain bahawa mereka mempunyai salah tanggapan pada dirinya. Jadi apakah yang menjadikan dirinya kuat bertahan dengan pendiriannya?
Peh merasakan bahawa beliau kini ditahap sudah dapat menerima apa yang dilakukannya, di mana beliau mahu terus melakukannya dan bersyukur bahawa perniagaannya berkembang baik.
Syarikatnya masih baru dan banyak percubaan dan kesilapan telah dilakukannya. Namun Peh tetap optimis tentang ke mana hala tujunya.
“Rancangannya adalah untuk membina dan mengembangkan perniagaan ke arah menjadi jenama yang dipercayai dalam perkhidmatan pelupusan barang.
“Pada masa yang sama menggalakkan orang ramai amalkan guna semula dengan memberikan (orang seperti dirinya) akses kepada perabot terpakai dan pelbagai barangan isi rumah, sama ada dengan menjualnya atau menerusi amal.”
Pada akhir-akhirnya, mencari makan menerusi kerja bukanlah segala-galanya dalam kehidupan Peh. Ia hanyalah sebahagian daripada proses penemuan dirinya yang berterusan.
"Bagi saya, bidang dan perniagaan keluarga ini memberikan saya kebebasan untuk terus mengenali diri saya dan apa yang saya cita-citakan. Inilah perkara terbaik daripada (apa yang diceburi) itu.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bomba sukarela Malaysia yang sanggup berdepan pelbagai bahaya.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.