Hilang 8 jari tidak halang warga Malaysia ini takluki Everest untuk kali ketiga
CNA mewawancara Ravichandran Tharumalingam setelah kejayaannya mencapai puncak Everest pada 5 Mei lalu. Beliau menyifatkan pencapaiannya itu sebagai suatu cara mengatasi ‘ketakutan’ lama yang pernah dilaluinya.
KATHMANDU: Pendaki warga Malaysia Ravichandran Tharumalingam masih ingat ekspedisi perit yang pernah dilakukannya pada 2007.
Beliau yang berusia 42 tahun pada masa tersebut, begitu tertumpu perhatiannya untuk menawan puncak Everest buat kali kedua dalam dua tahun berturut-turut, sehingga tidak mengendahkan sensasi kesemutan pada jari-jarinya.
Sebelum itu, Ravichandran yang lebih suka dengan panggilan Ravi, menawan puncak Everest untuk kali pertama pada tahun 2006.
Kejayaannya untuk capai ke puncak gunung tertinggi di dunia itu sekali lagi pada 2007, diraih dengan harga yang tidak terjangka. Bahagian hujung lapan batang jarinya terpaksa dipotong kemudian akibat radang dingin (frostbite).
“Saya yakin kejadian tersebut ada kaitannya dengan (sikap) yang mengutamakan keinginan daripada fikiran rasional. Saya amat terdesak untuk membuktikan kebolehan saya. Saya terlalu memaksa diri sehingga saya tidak menghiraukan kesakitan pada jari-jari saya,” beliau bercerita.
Ravi tidak menyadari bahawa sarung tangannya telah koyak, dan jari jemarinya terdedah kepada kesejukan yang melampau.
“Pada fikiran saya, rasa sensasi pada jari-jari itu akan hilang apabila suhu meningkat semula dan matahari meninggi. Tapi ini tidak berlaku. Jari-jari saya itu tidak boleh lagi diselamatkan,” tambah beliau.
Lima belas tahun sudahpun berlalu sejak kejadian malang tersebut, Ravi, yang kini berusia 57 tahun, kembali daripada pendakian selepas berjaya ke puncak Everest.
Pada 5 Mei lalu, Ravi sampai ke puncak gunung itu untuk kali ketiga dalam kehidupannya, yang juga kali pertama dia kembali ke sana sejak kejadian yang mencacatkan sebahagian tubuhnya.
Dalam temu bual maya dengan CNA melalui video dari Kathmandu, pendaki warga Malaysia itu menyifatkan penawanan beliau yang terbaru ke puncak Everest “merupakan detik terbaik” dalam kehidupannya.
Menamatkan ekspedisi tahun ini, satu cabaran dinamakannya Everest 3.0, merupakan peluang bagi Ravi untuk menguasai segala perasaan takut yang menghantuinya selama ini, ujar beliau.
“Setiap kali kita kembali ke tempat yang menyebabkan kita berdepan dengan perasaan buruk, tapi kita dapat mengatasinya dengan lebih baik, ia memberi kita ruang dan pemandangan yang lebih cerah.
“Kembalinya saya ke Everest tahun ini, memberi saya pemandangan yang lebih jelas tentang diri saya sendiri dan keyakinan yang saya miliki,” tambah beliau.
Ravi yang juga memainkan peranan sebagai pemandu untuk dua orang pendaki lain pada tahun ini, menceritakan bagaimana 20 hingga 30 langkah terakhir ke puncak, memberinya perasaan berjaya dan rasa puas yang baik.
Beliau mendaki di sisi salah seorang kliennya yang juga warga Malaysia, N Elanghovan, 64 tahun, yang cuba melakukan pendakiannya yang pertama untuk menakluki puncak Everest.
Ravi menyifatkan expedisi tahun ini sebagai “lancar” oleh kerana kedua-dua kliennya dan beliau sendiri mengambil masa kurang daripada sebulan untuk menamatkan pendakian itu. Percubaannya sebelum ini pada tahun-tahun 2006 dan 2007 mengambil masa antara 45 hingga 60 hari.
Menurut Ravi, beliau dan pasukannya bersyukur dengan cuaca yang baik, malah mereka dapat memanfaatkan tiupan angin yang agak perlahan untuk melancarkan pendakian ke puncak.
“Hanya satu perkara sahaja yang merungsingkan saya tahun ini iaitu saya mengalami radang dingin ringan di penghunjung jari-jari saya yang kudung.
Beberapa batang jari saya masih bengkak dan saya percaya ia akibat kesejukan dan juga tisu dan tulang yang terdedah,” tambah beliau.
Rasa kurang selesa yang Ravi alami di jari-jari beliau yang kudung mendorong beliau menggunakan oksigen tambahan untuk menamatkan pendakian.
Oksigen tambahan biasanya digunakan oleh para pendaki di kawasan-kawasan tinggi untuk mengelakkan halusinasi dan pulmonary edema disebabkan ketipisan udara di tahap merbahaya. Mulanya, Ravi bercadang untuk mendaki Everest tanpa oksigen tambahan pada tahun ini.
“Saya telah membuat keputusan yang baik. Memakai oksigen merupakan langah yang betul. Saya telah belajar daripada kesilapan yang dibuat dalam pendakian sebelum ini,” ujar Ravi.
JUMLAH LEBIH RENDAH TETAPI KESESAKAN TETAP BERLAKU
Sebelum pandemik COVID-19, pelbagai saluran berita telah melaporkan pada tahun 2019 mengenai kesesakan laluan para pendaki ke puncak Everest.
Sekeping gambar yang diambil oleh pendaki warga Nepal, Nirmal Purja Magar, menunjukkan barisan beratur ratusan pendaki yang tersekat di permatang puncak Everest.
Mereka cuba ambil kesempatan daripada tempoh waktu yang singkat dimana cuaca dalam keadaan baik.
Ini mencetuskan perbincangan di kalangan komuniti pendaki tentang bahaya yang mungkin timbul akibat kesesakan yang amat sangat.
Semasa pendakian beliau 5 Mei lalu, Ravi sepasukan hanya mengalami “kesesakan trafik yang ringan” di Hillary Step, permukaan batu yang terletak berdekatan puncak Everest, meskipun pergerakan amat perlahan, dengan segelintir sahaja pendaki cuba memotong jalan.
“Kami telah memantau jumlah permit yang telah dikeluarkan dan daripada maklumat yang kami dapati, sekitar 200 orang telah menerima permit untuk mendaki pada 2022. Jumlah ini kurang berbanding dengan 2019, apabila sebanyak 600 permit telah dikeluarkan,” ujar beliau.
“Kami tidak menjangkakan kesesakan trafik, walaupun ada berlaku sedikit (dekat Hillary Step). Tetapi semua orang dapat bergerak dan kebolehan teknikal para pendaki amat hebat pada tahun ini. Kami tetap perlu beratur, tetapi tiada siapapun yang tersekat pergerakannya,” tambah Ravi.
Apabila ditanya tentang rancangan pendakiannya pada masa hadapan, Ravi berkata beliau sudah memulakan persiapan untuk Everest 4.0. Malah telah pun menyiarkan di Facebook untuk mendapatkan para pendaki mendaftarkan diri, bagi menyertai pendakian Everest pada 2023.
Sebelum itu, Ravi perlu mendapatkan para doktor di Malaysia melakukan ‘amputasi yang lebih sesuai' ke atas kelapan-lapan jarinya yang terjejas (empat jari di kedua-dua belah tangan kiri dan kanan beliau).
Berdasarkan apa yang dikatakan oleh para doktornya di Nepal, menurut Ravi, beliau telah mengalami masalah radang dingin yang ringan semasa pendakian Mei lalu, kerana tulang jari jemarinya yang kudung telah terdedah.
“Saya sanggup menjalani proses pedih ini untuk mengeluarkan tisu, mengisar tulang-tulang jari, mengetatkan tisu dan menjahit semula bahagian-bahagian terjejas,” ujar Ravi.
“Saya akan kehilangan beberapa milimeter lagi daripada setiap jari berkenaan, namun saya yakin selepas proses tersebut saya boleh melakukan pendakian tanpa oksigen tambahan pada tahun depan,” tambah beliau.
“Saya percaya setiap orang ada halangan tersendiri. Kebetulan bagi diri saya ia merupakan kehilangan jari jemari saya,” ujar Ravi.
Tetapi Ravi menambah proses mengatasi segala halangan itulah yang menjadikan dirinya lebih kuat lagi.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha sebuah syarikat Malaysia menjadikan pusat membeli-belah sebagai kebun sayur-sayuran.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.