Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

Selangkah dua anak tangga: Kenali warga Malaysia juara pecut naik tangga pencakar langit merata dunia

Selangkah dua anak tangga: Kenali warga Malaysia juara pecut naik tangga pencakar langit merata dunia
Pada 7 Nov 2021, Soh Wai Ching mengatasi dengan satu saat rekod Skyrise Chicago, lumba daki tangga menegak tertinggi dunia. Dia mencatatkan masa 12 minit 57 saat untuk mendaki 105 tingkat. (Gambar ihsan Soh Wai Ching)

KUALA LUMPUR: Sedang kebanyakan orang mengeluh kalau perlu menaiki tangga untuk beberapa tingkat, pelari menara warga Malaysia Soh Wai Ching pula bersemangat setiap kali berbual tentang lumba lari mendaki anak tangga di bangunan-bangunan tinggi dunia.

Dalam perbualannya dengan CNA, Wai Ching bertubi-tubi menjelaskan ciri-ciri teknikal sukan kompetitif yang tidak konvensional itu, sambil gian untuk meyakinkan pendengar supaya turut serta dalam sukan tersebut.

“Tidak ada satupun tangga yang sama,” ujarnya. “Terdapat perbezaan dalam tinggi anak tangga, luas jarak dan lebarnya, dan sama ada tempat pegangnya terletak di sebelah kiri atau kanan. Ada tangga tempat pegangnya di kedua-dua belah.”

“Ada yang mempunyai lebih banyak anak tangga daripada yang lain. Ada bangunan yang mempunyai dua buah tangga untuk setiap tingkat tapi kadangkala anda perlu mendaki empat buah tangga sebelum tiba ke tingkat seterusnya, yang memang mencabar secara mental,” dia menjelaskan. 

Wai Ching yang berasal dari Selayang, Selangor, boleh ingat beberapa butir terperinci perlumbaan yang pernah disertainya. Kebanyakan pelari mendaki dua anak tangga setiap langkah, tetapi ini sukar dicapai di Taipei 101 kerana setiap anak tangga tingginya 22 cm, kata pemuda berusia 27 tahun itu. 

“Kalau awak mendaki dua anak tangga sekaligus, jaraknya 44 cm, memang susah untuk kita semua. Kita perlu membuka langkah yang besar. Ini akan menggunakan jumlah tenaga yang tinggi,” ujar Wai Ching dalam temu bual menerusi Zoom daripada Dubai, yang kini menjadi pangkalannya buat masa ini.

Wai Ching, yang kini di tempat kedua juara sedunia, menjadi tajuk utama pada bulan Oktober sebagai warga Asia pertama yang memenangi acara Empire State Building Run-Up. Dia berjaya mendaki 86 tangga atau 1,576 anak tangga dalam masa 10 minit 46 saat – 28 saat lebih pantas daripada masa yang dicatatnya dalam acara yang sama pada 2019 di mana dia menduduki tempat kedua.

Wai Ching mengambil hanya empat tahun untuk mencapai tahapnya pada masa kini. Sejak beliau muncul sebagai peserta warga Malaysia terpantas dan pemenang tempat kedua dalam acara KL Tower International Towerthon Challenge 2017, dia telah menamatkan 61 larian di 44 bangunan dan menara di 18 negara berbeza.

Kemenangan di acara Empire State Building adalah yang paling sukar dilupakan, walaupun acara tersebut tidak menawarkan hadiah wang tunai.

Status ikonik bangunan tersebut dan penampilannya dalam drama-drama dan filem-filem yang pernah ditontonnya semasa membesar – termasuk aksi King Kong mendebak dadanya dan menangkis pesawat yang menyerangnya di puncak bangunan tersebut – ialah sebahagian daripada sebab-sebab yang menjadikan perlumbaan ini amat bermakna untuk dirinya.

“Saya suka menyertai perlumbaan ini kerana ia adalah antara satu daripada acara (mendaki tangga) yang telah lama berlangsung. Perlumbaan ini mula diadakan pada tahun 1978, tapi ia telah dibatalkan pada tahun 2020 akibat pandemik.

“Ia adalah salah satu daripada asal-usul larian menara … Oleh itu kita kena menyertainya, ia memang ikonik,” ujar Wai Ching.

Soh Wai Ching melepasi garisan penamat semasa acara Empire State Building Run-Up tajaan Turkish Airlines dan dijayakan oleh Challenged Athletes Foundation di Empire State Building, New York City pada 26 Oktober 2021. (Gambar: Getty Images untuk Empire State Realty Trust/AFP/Michael Loccisano)

Kepada pihak luar, larian menara mungkin kelihatan kurang menarik  dan melelahkan kerana peserta perlu mengatasi graviti dan mendaki anak-anak tangga yang tidak terhitung jumlahnya, tetapi bagi Wai Ching dalam sukan sebeginilah dia ketemui matlamat hidupnya.

Dengan menggunakan pengetahuan yang dipelajarinya semasa mendapatkan ijazah muda dalam bidang sains sukan di Universiti Malaya, dia mengaturkan jadual latihan dan strategi perlumbaannya tersendiri. Dia mencatat dan menganalisa rekod-rekod lawannya sambil menyasarkan tumpuan untuk muncul sebagai juara nombor satu dunia dan seterusnya.

“SAYA BOLEH MENJADI JUARA DUNIA BILA-BILA SAHAJA”

Mengakui bahawa larian menara tidak sama terkenal seperti sukan-sukan lain, Wai Ching mengatakan, “Kalau anda temu ramah 10 orang, mungkin satu, atau tiada seorangpun, yang tahu tentang sukan ini.”

Menurut suatu artikel di laman web Tower Running UK, lumba daki tangga kompetitif yang pertama kali diadakan berlangsung pada 14 Julai 1903, di Rue Foyatier yang terletak di Paris, “pendakian pecut berterusan sebanyak 256 anak tangga”. Dua tahun kemudian pada 1905, acara mendaki tangga menara pertama berlangsung di Menara Eiffel melibatkan 283 penyerta, menurut laman web tersebut.  

Hari ini, sukan mendaki anak tangga ditadbir oleh Towerrunning World Association, yang mengurus sistem ranking global meliputi perlumbaan melibatkan struktur-struktur buatan manusia di serata dunia.

Selain daripada mercu-mercu tanda yang disebut, acara-acara lain juga diadakan di tempat-tempat seperti Shanghai Tower, Komtar Tower di Penang, Willis Tower di Chicago dan Eureka Tower di Melbourne.

Seorang peminat sukan berlari, Wai Ching telah dicabar menyertai larian mendaki tangga menara pada tahun 2017 oleh seorang rakannya ketika dia dalam tahun terakhir di universiti. Setelah berlatih sebulan sahaja, dia boleh tiba di garisan penamat hanya 13 saat di belakang juara acara, seorang warga Kenya, dalam acara mendaki KL Tower. Dia akhirnya berjaya menjadi johan acara tersebut dua tahun kemudian.

Semangat kompetitif Wai Ching mendorongnya mencapai kecemerlangan. Dia membelanjakan hadiah kemenangannya berjumlah RM5,000 (US$1,200) untuk menyertai perlumbaan di luar negara agar dia boleh membandingkan kebolehannya di pentas global. Sejak itu dia tidak lagi menoleh ke belakang.

Pada Ogos tahun yang sama, Wai Ching mencapai tempat kelima dalam acara Beijing Vertical Run di China World Summit Wong, di mana peserta pecut mendaki 82 tingkat untuk sampai di helipad. Masa yang dicatatnya iaitu seminit 39 saat di belakang pemegang tempat pertama dunia Piotr Lobodzinski yang berasal dari Poland.  

“Saya beritahu juara dunia itu, ‘Bagi saya masa tiga tahun, saya akan kalahkan awak satu hari.’  Jawabnya, kalau saya kalahkan dia, dia akan bersara,” demikian cerita Wai Ching.   

Soh Wai Ching ingin menaikkan nama Malaysia melalui pencapaiannya dalam lumba mendaki menara. (Gambar ihsan Soh Wai Ching)

Dan itulah yang berjaya dicapainya pada Februari 2020, apabila dia menamatkan perlumbaan Vertical Run Almas Tower di Dubai, dua saat di hadapan Piotr setelah mengekorinya dalam 21 perlumbaan sebelum ini. “Dia sangat kecewa, oleh kerana perlumbaan itu menawarkan hadiah 10,000 dirham (US$2,700) kepada johan dan pemenang tempat kedua tidak meraih apa-apa pun.”

Sasaran Wai Ching untuk mencapai tempat pertama dunia pada Disember 2020, bagaimanapun terbantut akibat pandemik COVID-19, yang menyebabkan terhentinya perlumbaan dan penyertaan dibataskan. 

Dia kini kekal di tempat kedua sejak November 2019, tetapi dia tidak terlalu risau mengenainya. 

“Saya kenal diri saya sendiri, saya sudahpun tiba di tahap itu.”

“Saya tahu yang saya boleh menjadi nombor satu dalam dunia bila-bila masa sahaja perlumbaan kembali,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

 

TAKTIK DAN STRATEGI

Mendaki tangga semudah mengangkat satu demi satu kaki, atau pun serumit mempelajari biomekanik sukan dan mengenal pasti cara latihan terbaik untuk meningkatkan kekuatan otot-otot terlibat.

Wai Ching perlu cuba-cuba untuk mencapai kecemerlangan dalam perlumbaan mendaki tangga oleh kerana sumber pengetahuan tidak mudah ditemui, tidak seperti maklumat untuk sukan berlari yang lain, ujarnya. 

Setiap kali tidak berlumba, dia akan meluangkan masa untuk menganalisa pencapaian dan gaya para peserta yang lain. Ketika menyertai perlumbaan, dia akan memerhatikan gerak lari mereka. Sikap ini hasil daripada pengalamannya sebagai pemain kompetitif dalam permainan catur dan catur Cina semasa zaman persekolahannya.

“Saya ialah seorang yang cenderung terhadap logik dan strategi. Saya gemar nombor, saya gemar data, saya gemar meneliti kebarangkalian dan kemungkinan”

“Kalau bermain catur, saya ada banyak strategi untuk menakluk lawan saya, bagaimana untuk maju, bagaimana untuk dapat kelebihan daripada pihak lain dan bagaimana untuk memperolehi tempat yang lebih baik,” kongsinya.  

Petikan skrin video temu bual CNA dengan Soh Wai Ching, yang sedang menjelaskan biomekanik berkenaan mendaki tangga.

Dalam sukan lari mendaki tangga, Wai Ching menumpukan perhatiannya kepada mendorong dirinya sendiri untuk mengalahkan rekod lamanya, khususnya dalam acara di mana peserta elit dilepaskan secara individu dan tidak tahu kedudukan mereka sendiri sehingga tamat perlumbaan.

“Anda berusaha sedaya upaya sehingga melepasi garisan penamat. Itulah indahnya larian mendaki menara.

“Ia serupa dengan kehidupan. Kalau anda mahu dinaikkan pangkat setiap tahun, anda mesti terus mendaki tangga. Dalam larian menara, anda mendaki tingkat dan anda tidak melihati kesemuanya (perjalanan). Anda hanya mendaki langkah demi langkah sahaja dan akhirnya ia akan membawa anda  ke garisan akhir.”

MENAIKKAN NAMA MALAYSIA

Keutamaan Wai Ching kini adalah untuk cuba mencipta dua rekod dunia Guinness di bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, Dubai yang mempunyai 2,909 anak tangga. Dia berkemungkinan cuba mencipta rekod baru untuk pendakian tangga menegak yang tertinggi dalam satu jam dan juga pendakian terpantas tangga menegak sejauh satu batu.

Wai Ching juga mahu mencatatkan namanya di pelbagai pencakar langit sebagai atlet terpantas yang pernah mendaki bangunan-bangunan tersebut.

Sekali gus dia mahu mempromosikan larian menara di serata dunia, dengan harapan acara tersebut, satu hari nanti  boleh disertakan dalam temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel.

“Jika Malaysia menganjurkan Sukan SEA atau Sukan Asia, selagi ia menyertakan larian menara, saya boleh beri jaminan satu pingat emas untuk Malaysia. Itu yang saya katakan kepada kementerian sukan,” ujarnya.

Memenangi perlumbaan ke puncak bangunan Empire State yang ikonik sangat bermakna pada Soh Wai Ching.(Gambar ihsan Soh Wai Ching)

Dengan usaha sepadu Wai Ching bersama beberapa pelari senegara, Malaysia kini menduduki tempat keenam di antara negara-negara yang menyertai larian menara. Wai Ching berimpian dapat membina satu pasukan yang kuat, memimpin para pelari untuk menyertai perlumbaan di luar negara dan menguasai sukan tersebut.

“Kita mahu menjadi nombor satu,” ujarnya. 

“Malaysia sudah dikenali untuk sukan badminton, terjun dan berbasikal. Harap-harap, satu hari nanti larian menara akan dianggap sebagai sukan aliran utama di Malaysia.”

Dia dan rakan-rakan yang berminat dalam sukan itu sudahpun mulakan usaha mereka ke arah tujuan tersebut.

Mereka menubuhkan Malaysia Tower Running Association pada Ogos 2019 dan menganjurkan suatu perlumbaan mendaki 54 tingkat Menara TM di Kuala Lumpur pada November tahun tersebut. Kira-kira 1,400 peserta daripada 40 negara – 1,200 daripadanya ialah warga Malaysia – menyertai acara tersebut.

Apabila keadaan pandemik sudah reda, persatuan tersebut bercadang untuk mengadakan perlumbaan pada setiap bulan di pelbagai mercu tanda berbeza serata negara, seperti The Exchange 106, Merdeka 118 dan Hotel Four Seasons di Kuala Lumpur, Wisma Sanyan di Sibu, Menara Alor Setar, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, dan banyak lagi.

Ujar Wai Ching: “Saya gemar mencabar yang mustahil dan menjadikannya mungkin. Saya harap saya boleh menjadi inspirasi kepada ramai belia, ramai warga Malaysia untuk mengambil risiko dan mencuba sesuatu bidang di mana mereka rasa mereka berkebolehan.

“Apabila mereka sudah ketahui apa yang menaikkan semangat mereka, apa matlamat hidup mereka, mereka perlulah mengejarnya dengan bersungguh-sungguh.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana umat Islam Malaysia sambut pembukaan semula sempadan dengan melakukan ibadah Umrah di Arab Saudi.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

 

Source: CNA/tx(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement