Syarikat Malaysia yang menanam sayuran di pusat membeli-belah ini ingin rombak rantaian bekalan makanan

Para pengasas dan kakitangan Farmy, sebuah ladang menegak bandar yang terletak di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor. (Foto: CNA/Rashvinjeet S Bedi)
KUALA LUMPUR: Apabila Shoma Tsubota memberitahu pelanggan beliau bahawa sayur-sayuran yang dijualnya telah ditanam di pusat membeli-belah, mereka biasanya terkejut.
“Mereka kata inilah kali pertama mereka mendengar perkara begitu. Kami sering mendapat reaksi sedemikian. Mereka tidak tahu bahawa sayur-sayuran boleh tumbuh subur di bawah cahaya lampu pusat membeli-belah,” ujar beliau kepada CNA.
Terletak di Encorp Strand Mall di Petaling Jaya, ladang menegak Farmy yang dikendalikan Tsubota mengisi ruang seluas 1200 kaki persegi dan bersebelahan dengan sebuah gymnasium.
Ladang sayuran secara menegak dalam bangunan sudah agak lama wujud di Malaysia. Namun, Farmy dipercayai adalah kebun pertama di Malaysia yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah.
"Kami mahu mengganggu dan memperbaiki rantaian bekalan makanan tradisional di Malaysia," kata Tsubota, salah seorang pengarah Farmy.
Terdapat lima rak tanaman yang panjangnya sehingga 18 kaki. Setiap rak ditanam dengan tujuh lapisan sayur-sayuran.
Antara hasil tanamannya termasuklah kale, daun selasih, daun sawi, daun salad wasabi, bok choy, batang putih dan sayuran mikro.
Jika beroperasi pada kapasiti penuh, ladang ini boleh menghasilkan 1.5 tan sayur-sayuran berdaun setiap bulan, yang menurut Tsubota adalah setara dengan hasil tanaman daripada satu ekar tanah yang menggunakan kaedah tradisional.
"Dalam tempoh 30 tahun kelak, kita perlu menghasilkan 70 peratus lebih banyak makanan secara mampan berbanding apa yang kita lakukan sekarang," kata beliau sambil menukil anggaran pada tahun 2010 oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

KERAPUHAN RANTAI BEKALAN MAKANAN
Tsubota, 33 tahun, telah memulakan perniagaan sewa kereta mewah pada tahun 2019. Bagaimanapun, perniagaannya terjejas teruk akibat COVID-19, yang menyaksikan sekatan pergerakan dikenakan di Malaysia sejak Mac 2020.
“Ia berjalan dengan baik tetapi apabila sekatan pergerakan dikenakan, tiba-tiba pendapatan langsung tiada. Pada masa itulah saya benar-benar mula memikirkan tentang pertanian,” kata Tsubota, yang pernah bekerja sebagai konsultan bagi firma-firma perkhidmatan penempatan semula untuk warga asing.
Dan ketika pandemik itu mengganas, beliau dan dua rakan kongsi menyedari betapa rapuhnya rantaian bekalan makanan, terutama sekali dari segi bagaimana Malaysia terlalu bergantung kepada hasil import.
Beliau rasa bahawa satu penyelesaian perlu dibuat di mana hasil tanaman ditanam lebih dekat dengan tempat tinggal penduduk.
Bapanya dan neneknya adalah petani dari Niigata, sebuah wilayah yang dianggap sebagai ibu kota beras Jepun dan terkenal dengan beras Koshihikari.
“Semasa saya kecil, saya melawat mereka dan membantu mereka. Itulah pengalaman pertama saya dalam bidang pertanian,” kata Tsubota, yang bapanya warga Jepun dan ibunya pula rakyat Malaysia.
Menurut beliau, proses itu sungguh sukar kerana ia melibatkan banyak percubaan dan kesilapan, tetapi pada Mei 2021, Tsubota dan dua rakan beliau akhirnya membuka Farmy.
Beliau berkata adalah penting bagi rakyat Malaysia mula memikirkan sama ada makanan mereka itu baik untuk diri mereka dan alam sekitar.
PERSEKITARAN TANAMAN “SEMPURNA”
Tsubota berkata perladangan dalam bangunan membolehkan mereka mewujudkan persekitaran yang hampir sempurna untuk menanam sayur-sayuran, dengan menghapuskan risiko yang datang dalam bentuk cuaca yang tidak dapat diramalkan, makhluk perosak dan penyakit tanaman.
“Hujan atau panas, kami boleh menanam sayur-sayuran 365 hari setahun,” katanya.
Beliau berkata seluruh proses penanaman menggunakan ruang, tenaga buruh dan air yang lebih sedikit berbanding dengan perladangan konvensional.
Dengan mengawal keadaan suhu, air, cahaya dan nutrien, ujar Tsubota, mereka boleh menyediakan persekitaran tanaman yang paling bermanfaat untuk hasil tanaman.
Ini dicapai dengan menggunakan kaedah hidroponik dan lampu pertumbuhan LED yang telah disesuaikan.
Lampu-lampu LED direka khusus untuk pertumbuhan sayur-sayuran. Lampu hijau menyediakan klorofil untuk sayur-sayuran, lampu biru adalah untuk pertumbuhan bahagian batang tanaman, manakala lampu merah pula untuk daunnya.
“Kami memilih gabungan warna atau rampaian cahaya yang paling optimum atau paling cekap untuk membolehkan hasil tanaman tumbuh. Tidak semua warna dalam spektrum cahaya diperlukan oleh hasil tanaman untuk membolehkannya tumbuh,” ujar beliau.
Beliau menambah lampu-lampu tersebut telah dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan dibuat di Malaysia.
Lampu-lampu itu dihidupkan selama 12 jam setiap hari untuk menyerupai cahaya matahari semula jadi.
Terdapat dua sistem pengairan yang dikawal secara automatik menggunakan alat penderia dan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things), demi memastikan penanaman dapat dijalankan secara automatik.
Alat penderia itu mengukur kepekatan nutrien yang terkandung dalam air yang dibekalkan kepada tumbuh-tumbuhan.
“Jika kekonduksian elektrik jatuh di bawah nilai ambang yang diperlukan, pam-pam akan beroperasi dan mula menabur baja ke dalam air. Begitulah juga dengan ukuran PH,” kata beliau.
Menurutnya, pam-pam sentiasa beroperasi untuk menyediakan oksigen serta jumlah air dan nutrien yang konsisten kepada tanaman.
Penggunaan elektrik membentuk kos utama mereka, terutamanya bagi menghidupkan lampu-lampu.
Anak-anak benih mengambil masa dua minggu untuk menjadi tumbuhan kecil dan kira-kira empat minggu lagi untuk membesar dan siap dimakan.

MESRA ALAM DAN BEBAS DARIPADA RACUN PEROSAK
Menurut Tsubota, kaedah tanaman mereka menggunakan jumlah air yang 99 peratus lebih sedikit berbanding kaedah perladangan konvensional di samping tidak menggunakan racun perosak, racun rumpai atau racun kulat dalam tanaman mereka.
Pusat membeli-belah ini berada dalam jarak 45 minit dari sebahagian besar kawasan Lembah Klang, sebanding dengan Cameron Highlands yang mana hasil tanamannya akan hanya sampai dalam tempoh beberapa hari.
“Tidak ramai orang sedar tentang jenis bahan kimia dalam sayur-sayuran. Terdapat juga rantaian bekalan panjang yang melibatkan banyak pengendalian dan juga pencemaran yang boleh berlaku. Kami ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa ada cara yang lebih baik untuk memakan sayur-sayuran,” kata Tsubota.
Menurut laporan Statistik Agromakanan Malaysia 2019 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, tahap sara diri Malaysia bagi sayur-sayuran adalah 44.4 peratus pada tahun 2019, berbanding 58.4 peratus pada tahun 2014.
Di Malaysia, perladangan bandar telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan rumah-rumah kedai, kontena-kontena, atau gudang-gudang biasanya dipilih sebagai tapak perladangan bandar.
Pertanyaan yang kerap dibangkitkan ramai orang adalah mengapakah pusat membeli-belah yang dijadikan tempat menendalikan ladang?
Tsubota berkata mereka telah menimbangkan rumah kedai dan gudang, tetapi mereka akhirnya memilih pusat membeli-belah kerana ia sudah ada prasarana seperti penyaman udara, keselamatan, pekerja pembersih, penjana kuasa sokongan dan bekalan air.
"Ia terletak di lokasi yang baik, di mana pelanggan kami berada," kata beliau.
Buat masa ini, pusat membeli-belah itu tidak mempunyai ramai penghuni. Tsubota percaya bahawa perladangan menegak adalah satu penyelesaian yang mungkin boleh digunakan untuk bangunan-bangunan komersial yang tidak ramai pengunjungnya.

MASALAH-MASALAH AWAL
Pada mulanya, cabaran terbesar Farmy adalah soal pengedaran tanamannya.
“Terdapat banyak orang tengah dalam rantaian bekalan tradisional untuk produk pertanian, sama ada di antara petani dan pasar raya. Adalah mencabar untuk cuba mengatasinya,” menurut Tsubota.
Pada masa ini, mereka menghantar secara langsung ke sekitar 500 buah rumah di seluruh Lembah Klang dan sedang mengusahakan satu kerjasama strategik dengan sebuah wadah runcit dalam talian yang terkemuka.
Beliau berkata mereka berjaya membina rangkaian pengedaran mereka semasa pandemik, terutamanya sewaktu orang ramai tidak mahu keluar rumah.
Mereka melakukan pemasaran di wadah-wadah media sosial seperti Facebook dan Instagram, dengan pelanggan mereka terus setia sehingga kini.
Farmy pulang modal setelah beroperasi selama empat bulan dan telah pun mula meraih keuntungan.
Kos keupayaan operasi penuh adalah sekitar RM15,000 (AS$3,582) sebulan, dengan pendapatan boleh mencecah RM50,000.

MEMANDANG KE HADAPAN
Timbalan pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Sarena Che Omar berkata, perladangan bandar masih berkembang di negara ini dan tidak dijangka akan menggantikan pertanian tradisional.
“Pertanian bandar melengkapi keperluan dan permintaan kita tetapi ia tidak dapat menggantikan pertanian. Kita tidak boleh menanam pokok durian atau padi di pusat membeli-belah...
“Semua orang biasanya bercakap tentang salad dan sayur-sayuran. Jadi, pertanian bandar memang memenuhi keperluan tersebut kerana kita semua mahukan salad yang segar,” kata beliau kepada CNA.
“Salad mempunyai harga yang lebih tinggi bagi setiap kaki persegi berbanding padi, dan oleh itu, jika anda perlu menyewa sebuah bangunan, anda boleh meraih lebih banyak keuntungan dengan menjual daun selada dan salad yang mahal.”
Sarena, seorang pakar dalam bidang dasar berkaitan makanan, pertanian dan kemampanan berkata perladangan bandar adalah penting dari segi memenuhi permintaan tertentu, terutamanya bagi keluaran segar dan sesuatu yang lebih dekat dengan rumah pembeli.
Menurut beliau, pertumbuhan dalam pertanian bandar telah mewujudkan kesedaran tentang kemampanan dan tentang pertanian secara bertanggungjawab.
“Begitulah juga keadaannya semasa pertanian organik dijalankan. Ketika ia muncul di Kuala Lumpur, orang ramai mula bercakap tentang bagaimana makanan mereka perlu bersifat mampan dan tidak boleh mempunyai racun perosak. Ini mewujudkan pengguna yang lebih cerewet, dan ini sesuatu hal yang baik,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa pengguna di negara berpendapatan tinggi mahukan makanan yang dianggap lebih selamat dan lebih mampan, serta dihasilkan dengan mengambil kira hak-hak pekerja.
Dari segi masa hadapan, Tsubota percaya bahawa Malaysia boleh menimbangkan usaha mengeksport huraian dan teknologi perladangan bandar.
“Kami sedang cuba membuktikan bahawa ini boleh dilakukan di dalam negara dengan teknologi tempatan dan lebih ramai orang harus melakukannya. Ia memberi manfaat kepada semua pihak dalam rantaian bekalan daripada pemerintah hinggalah kepada pengguna. Kami ingin menunjukkan bahawa model ini boleh berjaya,” kata beliau.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha mengukuhkan perpaduan kaum menerusi lagu Tahun Baru Cina yang dinyanyikan dalam Bahasa Melayu.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.