Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
 
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide
Best News Website or Mobile Service
 
Digital Media Awards Worldwide
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

Nyanyikan dalam Bahasa Melayu: Lagu Tahun Baru Cina yang paparkan perpaduan budaya mencuit hati ramai

Nyanyikan dalam Bahasa Melayu: Lagu Tahun Baru Cina yang paparkan perpaduan budaya mencuit hati ramai

Para artis video muzik Dong Dong Qiang, lagu Tahun Baru Cina dalam Bahasa Melayu. (Foto: Ihsan MVM Production)

KUALA LUMPUR: Ia bukan sebarang lagu Tahun Baru Cina. 

Semua ciri menarik yang perlu ada pada sesebuah lagu, ada padanya. Dari iramanya yang riang ria, lirik yang positif, hinggalah kepada pakaian para artisnya yang berwarna-warni mencerminkan perayaan bertuah.

Namun populariti Dong Dong Qiang yang mula dimainkan pada 7 Januari lalu, terletak pada barisan penyanyinya – mereka berbangsa Melayu dan mendendangkannya dalam Bahasa Melayu.

Ini merupakan kali pertama sebuah lagu asal Tahun Baru Cina dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan Malaysia, kata penerbit dan komposernya Nevin Hiong. Rakyat Malaysia rata-rata satu hati memuji usaha unik ini.

Dengan lirik yang lazim didengari iaitu “gong xi gong xi” dan “dong dong qiang” disisipi lirik Melayu, lagu ini menampilkan Ayie Floor 88, Harry Khalifah, Sarah Suhairi, Beby Acha, Lia Aziz dan Aidilia Hilda.

“Ketika pemilik label rekod MVM Production menghubungi saya untuk menerbitkan sebuah lagu Tahun Baru Cina untuk artis Melayu mereka, tidak pula beliau menyebut ia perlu digubah dalam Bahasa Melayu.

“Beliau hanya menetapkan tiga syarat iaitu lagu tersebut perlu mengandungi ‘gong xi ni’, ‘dong dong qiang’ dan ‘huat ah’. Ini semua ungkapan yang biasa didengar oleh rakan-rakan Melayu kita,” kata Hiong kepada CNA.

Ungkapan-ungkapan ini bermaksud ucapan selamat Tahun Baru Cina, merupakan mimikan bunyi irama gendang dan simbal, dan ungkapan Hokkien yang bermaksud kemakmuran.

“Saya terfikir, ketiga-tiga ungkapan ini adalah dalam Bahasa Cina dan lagu pula akan didendangkan oleh artis Melayu, jadi mengapa tidak kita gabungkan irama gaya Melayu dan instrumen Cina, dan hasilkan sesuatu yang istimewa?” tambah Hiong.

Penerbit dan komposer lagu Nevin Hiong (memakai pelitup hitam) dan para artis semasa penerbitan video muzik lagu Dong Dong Qiang. (Foto: Ihsan Nevin Hiong)

Lagu yang menarik ini kemudian digandingkan dengan lirik ciptaan pengurus penerbitan Hiong yang dikenali sebagai Uncle Chain. Setelah dimuat naik ke YouTube, lagu ini pantas menambat hati para pendengar di Malaysia. Ramai memujinya kerana menggambarkan hubungan erat antara kaum di negara ini.

“Niat kami asalnya untuk menerbitkan lagu Tahun Baru Cina, namun bertukar menjadi lagu patriotik pula,” kata Hiong, mengulas sambutan luar dugaan yang diterima.

MESEJ PERPADUAN TANPA SENGAJA

Dalam video muzik ini, tanglung merah dan bunga ume (plum blossom) menghiasi set sementara para artis kelihatan mencuba seni kaligrafi Cina dan bermain gendang tarian singa. 

Sambil memakai pakaian tradisional Cina dan Melayu, mereka menyanyikan: “Luar kita berbeza, hati tetap kan sama. Kita bagaikan pokok, kuat pada akarnya.”

Dalam satu babak, irama alat muzik Cina diganti dengan gendang Melayu dan Ayie menunjukkan kebolehannya menari zapin, satu tarian tradisional Melayu.

Malah, beberapa ahli kumpulan tarian singa di dalam lagu tersebut juga berbangsa Melayu, dedah Hiong.

Setiap babak menggambarkan keharmonian antara budaya. Namun, terang Hiong, beliau dan ahli kumpulan pada asalnya tiada niat pun untuk mempromosi keharmonian kaum. 

Sebaliknya, “ia lebih kepada ingin mencuba pelbagai idea.” Ini merupakan hasil kreativiti sekumpulan penggiat seni Cina dan Melayu yang pernah berkolaborasi sebelumnya.

“Orang Melayu pandai bergurai senda. Mereka hidup secara sederhana dan tidak banyak kerenah. Mereka suka bersenang-senang dan gemar berseronok di tempat kerja, jadi bekerja dengan mereka sesuatu yang menyenangkan,” kata Hiong, seorang pengarah filem yang pernah memenangi anugerah.

“Mereka juga cukup berbakat. Jika sesuatu babak itu memerlukan mereka menangis, mereka mudah mengalirkan air mata,” tambah beliau.

Bagi Sarah yang merupakan salah seorang selebriti dalam Dong Dong Qiang, kemahiran rakan sekerja berbangsa Cina menguruskan masa merupakan sesuatu yang beliau hargai.

“Mereka mahukan setiap perkara sempurna namun pada masa yang sama tidak terlalu tegas. Kami boleh bersuka ria semasa menyiapkan projek,” ujarnya kepada CNA.

Para artis berbangsa Melayu mencuba kemahiran menulis kaligrafi Cina untuk video muzik Dong Dong Qiang. (Foto: Ihsan Nevin Hiong)

SETELAH BELAJAR TIMBUL PEMAHAMAN

Mendalami budaya kaum Cina dan mempelajari serba sedikit mengenai rakan senegara semasa pembikinan lagu ini ternyata menjadi pengalaman berguna kepada para artis ini.

Ujar Sarah: “Saya belum pernah cuba menyanyi dalam bahasa lain, apatah lagi lagu perayaan kaum lain.”

Walaupun “gong xi” merupakan ucapan selamat yang biasa umpamanya pada sepanduk dan papan iklan menjelang sambutan Tahun Baru Cina, menyebutnya dengan betul merupakan satu cabaran buat beliau.

“Sebutannya bukan ‘gong’ atau ‘kong’ tetapi ‘gung’.

“Amat sukar bagi kami untuk mendapatkan bunyi dan sebutan yang tepat sedari awal. Banyak cabaran kami hadapi namun begitu kami cukup gemar lagu ini,” kata beliau.

Penyertaannya dalam penerbitan Dong Dong Qiang menjadi inspirasi kepada Sarah Suhairi untuk pelajari lebih mendalam budaya yang pelbagai di Malaysia. (Foto: Ihsan MVM Production)

Sambil menunjukkan hasil kaligrafi Cina yang ditulisnya semasa di set, Sarah menceritakan bagaimana mereka diajar cara betul memegang berus dan mencelupnya ke dalam dakwat.

Ungkapan yang diberi kepadanya untuk ditulis adalah “shen ti jian kang (kesihatan yang baik)”. Hasil kerja ini dibawanya pulang untuk kenang-kenangan.

Setakat ini Dong Dong Qiang telah memperoleh 500,000 lebih tontonan di Youtube. Hiong memberitahu beliau turut menerima permintaan daripada stesen-stesen radio Cina tempatan untuk memainkan lagu tersebut.

Label rekod mereka juga telah dihubungi untuk acara persembahan, tambah Sarah. 

Sempena Tahun Harimau, beliau berharap rakyat Malaysia akan menghargai kepelbagaian budaya di negara ini.

“Saya berharap setiap kita saling memahami budaya masing-masing dan tidak hanya mencari kesalahan orang lain. Semoga tahun ini menjadi tahun di mana kita saling mempelajari antara satu sama lain,” ujar beliau.

Dong Dong Qiang menyerlah di kalangan lagu-lagu Tahun Baru Cina dengan penampilan para artis Melayu yang menyanyikannya dalam Bahasa Melayu. (Foto: Ihsan MVM Production)

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kegigihan warga Malaysia menjadi juara pecut naik tangga pencakar langit merata dunia. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement