Kurang kawasan lapang dan ruang terhad tak halang penggemar layang-layang Singapura terus ‘ke udara’
Mereka berhadapan dengan ruang yang semakin berkurangan tetapi ini langsung tidak menipiskan minat mereka untuk terus menerbangkan layang-layang di ruang udara Singapura.
SINGAPURA: Sudah lama berlalu zamannya di mana kanak-kanak kampung berlari di padang lalang sambil berlawan layang-layang murah antara satu sama lain dengan tali pengikat bersalut kaca.
Kaca yang kini banyak terlihat di latar langit Singapura hanyalah dari bangunan pencakar langit, dan sejak undang-undang yang berkuat kuasa pada 1969, orang ramai tidak lagi dibenarkan bermain layang-layang di banyak kawasan yang disukai ramai.
Anda boleh berbuat demikian dengan terlebih dahulu memohon permit daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Permit ini diproses melalui penyelarasan dengan agensi pemerintah seperti Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Tanah lapang di kawasan kejiranan yang menjadi tempat keluarga membawa anak-anak bermain layang-layang kini beransur-ansur diambil alih oleh hospital, pusat membeli-belah dan estet perumahan awam. Setiap ceruk kawasan lapang di bandar Singapura mula jadi rebutan antara kalangan pemaju perumahan.
Bercakap kepada CNA, para penggemar layang-layang ini berkongsi tentang rasa cinta mereka yang mendalam terhadap sukan itu. Menurut mereka, mereka terpaksa beralih dari satu kawasan lapang ke kawasan lapang yang lain untuk terus menerbangkan layang-layang. Tidak kurang juga rintangan yang mereka perlu tempuhi - termasuk rasa tak acuh orang ramai, pihak penaja dan juga pemerintah.
Hampir semua penggemar yang ditemu bual berkata cinta mereka terhadap layang-layang timbul apabila mereka cuba membantu anak atau anak saudara menerbangkan layang-layang. Ia kemudian bertukar menjadi minat mereka sendiri.
Encik Michael Gan, 64, seorang pesara pegawai waran RSAF, mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya pada tahun 60an, apabila layang-layang boleh dilihat di banyak tempat di Singapura.
“Langit dipenuhi (layang-layang),” katanya sambil menambah orang awam menerbangkan layang-layang 24 jam sehari di Marina South. Mereka memakai lengan panjang bersama seluar ketat, dan menerbangkan layang-layang mereka sepanjang malam.
"Dahulunya di Singapura, setiap tahun, ada musim," katanya. "Selalu ada musim untuk (permainan) guli, musim untuk kad gambar."
Tetapi musim layang-layang diadakan sepanjang tahun, katanya. Dia pernah mengikuti bapa saudaranya yang membuat layang-layangnya sendiri dan dari situ, minatnya terhadap terhadap hobi itu mula timbul.
Ketika itu, ramai orang bermain layang-layang laga atau layang-layang tali bersalut kaca. Namun, sekatan dibuat terhadap layang-layang sedemikian berikutan kemalangan yang dilaporkan akibat cedera, katanya.
Menurut Encik Gan, walaupun papan tanda sudah dipasang di Marina South yang memberi amaran kepada orang ramai bahawa pertandingan layang-layang sedang berlangsung, namun kemalangan masih berlaku.
LOKASI JADI KEUTAMAAN
Semakan peta di laman web CAAS menunjukkan kawasan luas di Singapura di mana layang-layang tidak dibenarkan, melainkan individu mempunyai permit. Kawasan layang-layang yang dibenarkan pula adalah mengikut had ketinggian termasuk di Marina Barrage, West Coast Park dan Bishan Park.
Layang-layang tanpa permit tidak dibenarkan di tempat seperti Sembawang Park, Punggol Waterway Park, Pasir Ris Park dan sebahagian East Coast Park.
Pengasas bersama kumpulan hobi Show Kites Singapore Encik Johnny Yap, 48, berkata ruang adalah aspek utama yang perlu dihadapi oleh para penggemar layang-layang.
Dia yang menuding ke arah padang di Marina Barrage berkata kawasan itu dahulunya agak luas, tetapi kini tempat letak kereta dibina di kawasan terbabit.
"Selalunya mereka (pihak berkuasa) menyatakan kawasan ini perlu ditambak untuk pembangunan masa depan. Kami pada mulanya menerbangkan (layang-layang) di padang Sengkang, yang kini sudah menjadi Hospital Besar Sengkang," katanya.
"Terdapat banyak padang di Singapura yang sangat sesuai tetapi perlu memberi laluan kepada pembangunan masa depan, jadi agak sukar bagi kami untuk mencari ruang."
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa Singapura adalah sebuah negara yang kecil dan "mustahil" bagi pemerintah untuk menyediakan tanah lapang "hanya bagi menerbangkan layang-layang".
"Ia adalah hobi kami, minat kami dan itu adalah sesuatu yang perlu kami hadapi. Sekarang kami ada padang kecil ini. Mungkin bulan depan, kita tidak tahu, ia akan menjadi tempat letak kereta lagi, kemudian kita perlu pergi cari padang lain," katanya.
Hampir setiap hujung minggu, Encik Yap, yang juga seorang penyelaras projek di sebuah syarikat kren, telah menerbangkan layang-layang selama lebih 12 tahun bersama isterinya, Maggie Mok, pengasas bersamanya bagi kumpulan Show Kites Singapore.
Cik Mok berkata mereka mula menerbangkan layang-layang kira-kira 15 tahun lalu, apabila keluarga mereka melalui kawasan di Tampines di mana seorang lelaki menjual layang-layang kecil bersama alat kekilinya.
Mereka membeli sebuah layang-layang dan kemudian beritahu oleh penjual bahawa terdapat tempat di mana "orang ramai" menerbangkan layang-layang di Sengkang, dan mereka menuju ke sana.
"Itu adalah padang pertama kami," kata Cik Mok, merujuk kepada sebuah kawasan tanah di mana Hospital Besar Sengkang kini didirikan di situ.
Dia menceritakan bagaimana mereka mencari padang yang sesuai di sekitar Singapura selama bertahun-tahun yang membawa mereka sehingga ke Punggol dan Tuas.
Presiden Persatuan Layang-Layang Singapura, Wing Hong Lee, 66, berkata persatuan itu menganjurkan acara layang-layang pada 2008 dan 2009 di padang terbuka bertentangan dengan stesen LRT Oasis di Punggol, dengan kelulusan CAAS.
Padang itu kini telah menempatkan sebuah apartmen. Pada 2010, Hari Layang-Layang Singapura telah diadakan di padang kosong di sepanjang Punggol Field Walk, tetapi kini menempatkan kondominium FLO Residence dan Waterwoods.
Namun, Encik Lee, yang pernah berkhidmat dengan Singapore Airlines dalam bidang perancangan penerbangan korporat, lebih optimistik mengenai situasi itu.
Katanya, walaupun ada ruang semakin lenyap, yang baharu pula akan muncul.
“Kami sedang menunggu Pangkalan Udara Paya Lebar untuk berpindah ke lokasi baharu,” katanya. "Ini akan memberi lebih banyak ruang baharu untuk layang-layang dan kami berharap dapat menerbangkan layang-layang di landasan Paya Lebar apabila pangkalan udara berpindah ke lokasinya yang baharu."
"Jadi ruang terbuka semakin berkurang, tetapi kami melihat ada potensi dari segi peluang pada masa depan untuk kawasan terbuka baharu apabila pangkalan udara di Paya Lebar sudah berpindah, ruang baharu di Greater Southern Waterfront dan penambakan yang akan datang di kawasan East Coast."
CAAS DAN UNDANG-UNDANG MENGENAI LAYANG-LAYANG
Encik Sidney Koh, pengarah dasar ruang udara di CAAS, memberitahu CNA bahawa layang-layang mesti diterbangkan hanya dalam kawasan yang dibenarkan mengikut had ketinggian. Permit menerbangkan layang-layang diperlukan jika ia diterbangkan di luar kawasan dan had ketinggian yang dibenarkan.
Menurut Koh, terdapat juga beberapa kawasan yang dilarang menerbangkan layang-layang setiap masa, seperti di kawasan sistem kereta kabel antara Mount Faber dan Sentosa.
Jelasnya, CAAS mengamalkan pendekatan berasaskan risiko dalam menggubal undang-undang untuk menjalankan kegiatan udara di Singapura.
"Memandangkan ruang udara Singapura yang sibuk dan landskap bandar, aktiviti udara seperti layang-layang mesti dijalankan dengan mengambil kira keselamatan penerbangan," katanya.
"Jika diterbangkan berhampiran lapangan terbang atau pangkalan udara, layang-layang boleh menganggu perhatian juruterbang semasa berlepas atau mendarat, atau pun disedut enjin pesawat. Ini mendatangkan bahaya kepada individu, pesawat dan harta benda di darat."
Kawasan di mana permit diperlukan untuk menerbangkan layang-layang ditunjukkan dalam aplikasi OneMap yang dibangunkan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA). Ini termasuk kawasan dalam jarak 5km dari lapangan terbang atau pangkalan udara dan kawasan larangan atau bahaya.
Layang-layang tidak boleh diterbangkan melebihi ketinggian 200 kaki di atas purata paras laut atau kira-kira ketinggian 12 tingkat di bawah laluan pendaratan pesawat untuk pangkalan udara Paya Lebar dan Tengah sehingga jarak 10km dari pangkalan udara.
Di kawasan lain pula, hadnya adalah 500 kaki di atas purata paras laut atau kira-kira ketinggian 30 tingkat.
Permohonan permit untuk layang-layang hendaklah dibuat secara dalam talian, sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum. Permit akan dikeluarkan hanya selepas CAAS berpuas hati bahawa aktiviti itu boleh dijalankan dengan selamat dan tidak menjejaskan keselamatan operasi pesawat dan orang ramai serta harta benda di darat.
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG MELIBATKAN LAYANG-LAYANG
Menurut CAAS, undang-undang mengenai layang-layang telah wujud dalam Perintah Navigasi Udara sejak ia berkuat kuasa pada 1 Okt 1969.
Seksyen 64 Perintah tersebut menyenaraikan peraturan untuk layang-layang diterbangkan pada ketinggian yang boleh diterima dan melarangnya diterbangkan dalam jarak 5km dari aerodrom. Aerodrom merujuk kepada kawasan lapang di lapangan terbang.
Versi terkini undang-undang itu menyatakan bahawa mereka yang melanggar undang-undang layang-layang boleh didenda sehingga S$20,000 untuk kesalahan pertama. Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$40,000, penjara sehingga 15 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, segelintir pencinta kegiatan layang-layang berkata perkara ini biasanya tidak dikuat kuasakan, jika langkah berjaga-jaga tertentu diambil seperti memastikan layang-layang diterbangkan pada paras rendah seperti di bawah garisan pokok di taman.
Walaupun ada orang yang menghubungi polis, polis akan hanya menyatakan supaya simpan layang-layang mereka dan beredar dari situ.
Penggemar layang-layang Encik Tommi Chan, 49, yang menjalankan perniagaan pemulihan perabot antik dan telah menerbangkan layang-layang selama 12 tahun, memberitahu CNA bahawa dia berdepan dengan masalah undang-undang kira-kira lapan atau sembilan tahun lalu.
Katanya, dia pernah menerbangkan layang-layang Delta segi tiga yang lebarnya kira-kira 5m hingga 6m di Yishun bersama seorang rakan. Dia tidak tahu adanya undang-undang ketika itu yang melarang layang-layangnya diterbangkan sehingga kira-kira 500m. Akibatnya, ada orang ramai yang membuat aduan.
Polis kemudian datang, melarangnya dan memberitahu dia bahawa kegiatannya itu berbahaya. Bagaimanapun, tiada tindakan lanjut telah diambil.
MENGAPA ADA MASIH MELAKUKANNYA?
Meskipun halangan yang hadapi, layang-layang terus terbang ke langit walaupun hari semakin gelap. Mengapa mereka melakukannya?
Pesara RSAF Encik Gan berkata: "Jika saya menerbangkan sebuah layang-layang dan meletakkannya di tangan anda, perkara pertama yang saya akan lihat, anda pasti akan tersenyum.
Ia adalah satu kenyataan - menerbangkan layang-layang adalah satu kegiatan yang dapat mengumpulkan keluarga."
Baginya, layang-layang adalah satu seni - melibatkan aerodinamik, kejuruteraan dalam penghasilan dan reka bentuknya.
Pengasas bersama Show Kites Singapore, Encik Yap berkata ia adalah satu "pengembaraan setiap kali saya terbang".
"Misalnya hari ini, anda tengok, bukan setiap masa ada angin bertiup, kadang-kadang angin bertiup terlalu kencang macam sekarang, dan setiap kali saya terbang, ia satu cabaran," katanya.
"Kadang-kadang layang-layang terjatuh ke dalam air dan kita berusaha untuk mendapatkannya semula."
Isterinya, Cik Mok berkata, bermain layang-layang membantunya berkenalan dengan ramai orang dengan lebih mendalam. Ia juga merupakan senaman ringan, kata Cik Mok lagi, yang berada dalam fasa pemulihan daripada penyakit gangguan saraf sklerosis berbilang ('multiple sclerosis' atau MS).
Presiden Persatuan Layang-Layang Singapura Encik Lee berkata beliau tidak pernah berputus asa kerana mahu mempamerkan aktiviti layang-layang.
Semasa pandemik COVID-19, apabila aktiviti berkumpulan di luar dilarang, persatuannya beralih kepada penerbangan layang-layang melalui proksi - mereka melancarkan Video Hari Layang-Layang, menjemput penerbang layang-layang dari negara lain untuk menghantar video mereka terbang di negara mereka sendiri.
Penggemar dari kira-kira 10 negara, termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Switzerland telah menghantar video mereka.
PILIH RUANG UDARA YANG LAIN
Penggemar tegar layang-layang bukan sahaja terbang di Singapura. Terhalang dengan ruang yang terhad serta banyak ruang yang dibenarkan bersempadan dengan air menyebabkan penerbangan tidak sesuai dibuat, mereka pergi ke luar negara untuk mengambil bahagian dalam temasya layang-layang yang meriah.
Sesetengah daripada mereka pergi ke luar negara beberapa kali setahun untuk menerbangkan layang-layang di tempat seperti Bali, Malaysia dan India.
Encik Gan berkata acara di luar negara boleh menjadi sangat hebat. Selalunya, ia diadakan di sesebuah tempat bersempena dengan perayaan lain. Sebagai contoh, di Taiwan, di mana acara layang-layang diadakan sempena perayaan Hakka dengan gerai menjual makanan.
Encik Erich Chew, 54, yang telah menerbangkan layang-layang selama 11 hingga 12 tahun, berkata dia pergi ke luar negara dua hingga tiga kali setahun untuk terbang di kawasan yang besar dan terbuka luas.
Encik Chew, yang bekerja dalam bidang IT, berkata penggemar layang-layang yang tulen pergi ke luar negara untuk terbang, kerana "tiada ruang" di Singapura.
“Malah di sini, jika anda mahu main layang-layang, anda pula berkongsi padang dengan orang lain,” katanya.
Dia boleh membelanjakan lebih S$30,000 hingga S$40,000 untuk "layang-layang yang besar dan lembut". Layang-layang biasa dengan "reka bentuk yang sangat bagus" boleh mencecah antara €3,000 (S$4,275) hingga €4,000, katanya.
Cik Mok berkata ada kalanya dia berasa kecewa kerana walaupun dia sudah mempromosikan sukan itu di Singapura, pemerintah dan rakyat Singapura umumnya kurang mengiktiraf kegiatan ini.
“Kanak-kanak sekarang sudah biasa dengan gajet dan media sosial,” katanya. Di negara yang pernah dilawatinya, layang-layang dianggap sebagai hobi dan sukan kompetitif. Perwakilan dari negara lain berpusu-pusu ke sana dan bersaing dalam kategori seperti layang-layang terbesar dan layang-layang paling kreatif.
Temasya Hari Layang-Layang Singapura pernah dianjurkan di Marina Barrage sejak 2011 hingga 2018, dengan Persatuan Layang-Layang Singapura bekerjasama dengan PUB dan Marina Barrage, kata Presiden Persatuan Encik Lee.
Tetapi ia dibatalkan kerana pandemik COVID-19. Penaja telah menggugurkan acara itu, dan temasya itu belum dihidupkan semula, para penggemar layang-layang memberitahu CNA.
Encik Lee berkata besar harapannya untuk melihat lebih banyak minat komersial yang mempromosikan acara layang-layang, dan festival layang-layang tahunan diadakan semula.
“Marina Barrage mampu kembali ke zaman kegemilangannya, di mana sejak sedekad lalu ia menjadi pertunjukan acara layang-layang antarabangsa,” katanya.
Berkongsi sentimen yang sama, Encik Yap berkata dia berharap penaja masih berminat dengan aktiviti itu dan menghidupkan temasya itu semula, untuk memberi lebih banyak kesedaran tentang kegiatan tersebut kepada orang ramai , sambil memupuk ikatan kekeluargaan.
“Apa yang boleh kami buat adalah dengan cara menerbangkan layang-layang, kemudian serahkan layang-layang itu kepada seorang kanak-kanak yang tidak pernah bermain layang-layang sebelum ini,” katanya.
"Sejurus mereka memegang tali layang-layang itu, anda boleh melihat terus pada wajah mereka. Terus terang kita boleh katakan mereka akan mengukir senyuman secara automatik."
Kata Encik Yap lagi, satu-satunya cara generasi akan datang boleh jatuh cinta pada layang-layang adalah dengan memegang layang-layang itu sendiri.
"Jika tiada padang, tiadalah peluang."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai apa istimewanya juadah kacang pool di pasar makanan Geylang Serai, Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.