Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Gara-gara snek cecair nitrogen 'nafas naga': Indonesia keluarkan amaran

Makanan ringan atau snek - dikenali dalam kalangan warga tempatan sebagai chiki ngebul dan sering disebut sebagai ‘nafas naga' - adalah sejenis gula-gula berwarna-warni yang disalut cecair nitrogen dan boleh menghasilkan kabus.

Gara-gara snek cecair nitrogen 'nafas naga': Indonesia keluarkan amaran
Gambar fail makanan ringan atau snek yang dikenali dalam kalangan warga tempatan Indonesia sebagai chiki ngebul dan sering disebut sebagai ‘dragon’s breath’. (Gambar: Unsplash/Albert Hu)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggesa pihak berkuasa kesihatan tempatan memantau penyediaan makanan dan meminta ibu bapa supaya lebih berwaspada susulan laporan bahawa beberapa kanak-kanak cedera selepas memakan makanan ringan snek yang disalut cecair nitrogen.

Snek yang dikenali masyarakat tempatan sebagai chiki ngebul dan sering disebut sebagai ‘dragon’s breath’ atau 'nafas naga' - adalah sejenis gula-gula berwarna-warni yang disalut dengan kabus cecair nitrogen. 

Ia telah mendapat perhatian di media sosial baru-baru ini, dengan kanak-kanak merakam video mereka memakan snek itu. Mereka kemudian dilihat menghembuskan cecair nitrogen bertekstur kabus itu dari mulut mereka.

Kementerian Kesihatan Indonesia dalam kenyataan pada 11 Jan, menekankan bahaya pengambilan makanan ringan itu. Jelasnya, pengambilan snek itu dalam jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

Kementerian itu memberi amaran bahawa pengambilan snek cecair nitrogen secara berlebihan boleh menyebabkan perut melecur, keradangan, radang dingin serta kerosakan pada organ dalaman.

Tambahnya, menyedut asap untuk tempoh masa yang lama juga boleh menyebabkan kesukaran bernafas yang teruk.

Pada Selasa (17 Jan), The Guardian melaporkan bahawa kira-kira 25 orang kanak-kanak cedera selepas mengambil makanan ringan itu, dengan dua daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Pengarah kesihatan alam sekitar Kementerian Kesihatan Indonesia Anas Ma'ruf dipetik Jakarta Post pada Khamis lalu sebagai berkata terdapat sekurang-kurangnya sembilan kes kecederaan yang disahkan tahun ini selepas kanak-kanak mengambil makanan ringan itu.

“Daripada data yang kami kumpul, (isu perubatan yang timbul selepas mengambil makanan ringan itu) hanya berlaku pada 2022. Kami membuat semakan silang (data kami) dari 2021, 2020 dan 2019 dan tiada laporan mengenainya,” kata Dr Anas. 

Menurut Jakarta Post, kes pertama yang diketahui melibatkan makanan ringan itu di Indonesia dilaporkan di Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur pada Julai tahun lalu. Terdapat kesan keradangan dingin pada kulit selepas kanak-kanak terbabit makan snek itu.

Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan Indonesia mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan pentadbiran wilayah dan agensi kesihatan tempatan untuk memantau produk makanan yang menggunakan cecair nitrogen. Bagaimanapun, tiada larangan segera terhadap produk terbabit. 

Menurut pekeliling itu, restoran dikehendaki mendedahkan kepada pelanggan mereka sama ada produk makanan mereka mengandungi cecair nitrogen. Mereka yang menghidangkan produk makanan yang mengandungi bahan kimia juga perlu diletakkan bawah pengawasan agensi kesihatan tempatan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan pihak sekolah supaya mendidik pelajar mereka tentang bahaya makanan ringan itu manakala peniaga makanan jalanan tidak digalakkan menjual produk yang tular di media sosial itu. 

Terdapat berpuluh-puluh video orang awam makan snek cecair nitrogen itu di aplikasi TikTok. Sebuah video yang menunjukkan penyediaan makanan ringan itu oleh penjual jalanan di akaun TikTok @mistermakan.id telah ditonton sebanyak 9.4 juta kali.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pandangan pakar kesihatan tentang punca kes kematian secara mengejut. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: Agencies/nm(ih)
Advertisement

Also worth reading

Advertisement