'Saya boleh buat di rumah, baunya tak melekat': Adakah kalangan belia penghisap vape tahu apa yang sebenarnya mereka sedut?
Seorang anak muda mula menghisap vape melalui abangnya; seorang lagi melalui bapanya. Rancangan CNA, Talking Point, menyelongkar persoalan bekalan vape dan bahan kimia yang mungkin digunakan.
SINGAPURA: Abangnya mula merokok sejak dari sekolah menengah. Ketika abangnya mula menghisap vape dan membeli sendiri peralatan vape (rokok elektronik) dua tahun lalu, dia bertanya kepada Michelle (bukan nama sebenar) jika dia mahu menyertainya kerana "terdapat pesanan minimum".
Walaupun hanya berusia 16 tahun ketika itu, Michelle bersetuju.
Bagi Kelly (bukan nama sebenar) — yang mula merokok pada usia 16 tahun tetapi cuba menyembunyikan bau rokok daripada ibu bapanya — vape menjadi pilihannya selepas dia mencuba menghisap vape rakan di sekolah dan mendapati ia tidak mempunyai "bau".
“Bila saya vape, baunya menyenangkan. Rasa memang sedap. Ia tidak membuatkan saya rasa mual. Dan (kemudian ada) ia mudah - saya hanya boleh buat dekat rumah, dan baunya tidak lama," katanya.
Ketika ini, Michelle mendapat bekalannya melalui kumpulan sembang di Telegram, manakala Kelly membuat pesanan melalui rakan-rakan. "Saya ... menyuruh mereka buat kerja itu, kemudian saya hanya ambil (ia) daripada mereka," kata Kelly.
"Kerja" mendapatkan bekalan vape melalui Telegram adalah seperti berikut: Selepas pesanan dibuat, seorang individu biasanya menghantarnya pada hari yang sama di lokasi ditetapkan.
"Kadang-kadang mereka adalah orang yang tidak takut untuk ambil risiko (menguruskan penghantaran) ke rumah," kata Michelle.
Dia telah menerima pesanan daripada orang yang menaiki kereta dan motosikal, dan "anda percaya bahawa orang yang anda bercakap dengan ... di Telegram bukanlah orang yang sama yang menghantarnya kepada anda".
Remaja itu menambah, pengiriman vape seolah-olah melibatkan operasi yang besar dengan ramai pengirim.
Pembeli juga cuba memperbanyakkan kuantiti pesanan mereka untuk mendapat lebih banyak diskaun dan akan mengumpulkan rakan-rakan untuk "membeli bersama-sama", katanya. “Saya biasanya beli tujuh kotak sekali gus (dengan harga) kira-kira S$100, dan itu bertahan selama tiga bulan.”
Setiap kotak biasanya mengandungi tiga pod vape isi semula dan remaja yang ditemui CNA berkata ia boleh mengambil masa tiga hari hingga sebulan untuk menghabiskan satu pod, bergantung pada jumlah vape. Satu pod yang dibiarkan terlalu lama dan tidak disentuh, bagaimanapun, akan mula rasa seperti hangus.
Para belia yang semuanya berusia 18 tahun tahu bahawa vape diharamkan di Singapura. Pemilikan, penggunaan dan pembelian vape telah diharamkan sejak Februari 2018 dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga S$2,000 (RM6,500).
Bagaimanapun, menurut remaja terbabit, ia dilihat mudah untuk memiliki vape dalam kalangan golongan usia mereka yang terjebak dengan trend itu.
“Lagi mudah untuk saya dapatkan vape berbanding keluar membeli rokok, sebab saya masih di bawah umur,” kata Kelly. Di kedai serbaneka, terdapat kamera litar tertutup (CCTV), tambahnya.
Menghisap vape juga lebih murah berbanding rokok, kata belia-belia itu dan pakar kesihatan serta pakar berhenti merokok.
Sekotak rokok berharga kira-kira S$12 hingga S$14, kata penasihat kesihatan pelajar Lembaga Promosi Kesihatan Karen Lim, manakala pod vape isi semula berharga kira-kira S$12 setiap kotak (mengandungi tiga unit), walaupun terdapat julat harga.
"Satu pod boleh bertahan lama. Jadi berbanding rokok, ini jauh lebih murah,” katanya.
Lim, yang berpangkalan di sebuah institusi pengajian tinggi, berkata berdasarkan pemerhatiannya, kadar mereka yang menghisap vape dan perokok dalam kalangan belia adalah lebih kurang sama.
Tambah Lim, langkah pencegahan pandemik COVID-19 dan pemutus litar (circuit-breaker) mungkin telah menyumbang kepada sesetengah belia yang beralih kepada vape, tambahnya.
“Perokok belia ini tidak boleh keluar untuk merokok, tidak dapat bekalan rokok, jadi mereka (pergi) dalam talian untuk mendapatkan e-rokok atau vape. Selagi (anda) mempunyai wang, akaun bank (dalam talian), alamat, produk anda akan dihantar.”
Bagaimanapun, tiada statistik yang boleh dipercayai mengenai peratusan belia yang menggunakan vape.
Kajian penggunaan rokok baru-baru ini oleh firma penyelidikan Milieu Insight terhadap 6,510 warga Singapura dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas menunjukkan bahawa 11 peratus daripada mereka adalah perokok biasa.
Lagi 2.1 peratus pula berkata mereka adalah perokok berkala yang merokok, secara purata, kurang daripada tiga batang sehari dan 10 batang seminggu.
Dalam kajian sama yang dijalankan pada Jun, 4 peratus responden berkata mereka menggunakan rokok elektronik dan/atau produk tembakau yang dibakar. Kira-kira dua pertiga daripada kumpulan ini turut menghisap rokok.
"RASA TAKUT DITANGKAP TAK SETERUK ITU"
Tahun lepas, seramai 4,697 orang telah ditangkap di Singapura kerana menggunakan dan memiliki vape, meningkat daripada 1,266 orang pada 2020. Kira-kira satu daripada tiga orang yang ditangkap tahun lepas adalah di bawah umur 18 tahun. Antara Januari dan Ogos 2022, 3,912 orang telah ditangkap.
Antara 2018 dan Ogos 2022, 428 orang telah ditangkap menjual vape, dan 91 telah didakwa, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Singapura.
Seorang lagi remaja memberitahu CNA , Tim (bukan nama sebenar), berkata dia memang ketakutan sekiranya ditangkap. "Tapi sebabkan ramai yang buat, ia tidaklah rasa teruk sangat," katanya. "Buat masa ini ... saya tidak (rasa begitu takut) sehingga mahu berhenti (menghisap vape)."
Tim dan Kelly berkata ibu bapa mereka tahu akan tabiat mereka. Malah, bapa Tim turut menyokongnya dengan membelikannya vape sebagai cara untuk menghilangkan tabiat merokok yang dia mula berjinak-jinak sejak menengah 2.
Bapanya membeli vape itu, juga untuk dirinya sendiri, sekitar tiga tahun lalu ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru bersama keluarga. "Saya masih menghisap rokok dan vape, tetapi ayah saya hanya hisap vape sekarang," kata Tim.
Sementara itu, Kelly berkata ibunya dapat mengesan bau - aroma manis "buah" yang datang dari biliknya - memandangkan cecair vape itu berperisa buah-buahan seperti anggur dan strawberi. Ibu bapanya juga melihat vape itu terletak di atas katilnya.
Bagi Michelle, katanya, dia pernah dipukul bapanya selepas dia diketahui membawa vape dan sejak itu menghisap vape adalah aktiviti yang dia cuba rahsiakan daripada pengetahuan bapanya.
BAHAN RAMUAN KIMIA
Mengenai kesan buruk terhadap kesihatan, ketiga-tiga remaja sedar bahawa vape mungkin tidak kurang berbahaya daripada merokok, yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit, termasuk barah, penyakit jantung dan strok.
"(Tetapi) kami tidak tahu apa yang diletak ke dalam jus (vape)," kata Kelly.
Nikotin adalah bahan kimia utama yang ditambah ke dalam e-cecair, kata Cheah Nuan Ping, pengarah makmal ujian rokok HSA. Vape memanaskan dan menghasilkan wap dari cecair itu, yang kemudiannya disedut.
Bahan-bahan lain termasuk gliserol dan propilena glikol, yang menghantar nikotin dalam bentuk aerosol kepada pengguna. Ini adalah bahan kimia yang biasa digunakan dalam rumusan produk makanan, kosmetik dan farmaseutikal, dan selamat untuk dimakan, kata Cheah.
"Tetapi maklumat mengenai ketoksikannya terhadap paru-paru amat terhad," katanya.
Terdapat agen-agen seperti menthol dan asid benzoik, yang membantu mengurangkan kepahitan nikotin itu.
Plumbum dan formaldehid juga telah ditemui. "Plumbum akan terlarut semasa proses pemanasan, dan kami menemuinya dalam kedua-dua cecair itu dan aerosol," kata Cheah.
Formaldehid adalah bahan kimia yang disyaki menyebabkan barah dan Cheah menyifatkannya sebagai "bahan kimia paling signifikan yang kami temui dalam aerosol". Ia dihasilkan daripada haba dan tindak balas antara bahan kimia seperti gliserol, propilena glikol, menthol dan asid benzoik.
Terdapat "banyak bahan kimia lain", termasuk yang tidak menentu, dalam aerosol vape dimana pihak HSA dan rakan antarabangsanya sedang dalam proses mengkajinya, tambahnya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, istilah perubatan baharu mula berkembang melibatkan kecederaan paru-paru yang juga dikenali sebagai penyakit E-cigarette atau kecedaraan paru-paru berkaitan penggunaan produk vaping (Evali). Gejala yang paling biasa adalah batuk, sakit dada dan sesak nafas yang memburuk, kata pakar bedah toraks Aneez D B Ahmed dari Hospital Mount Elizabeth Novena.
Sesetengah pod vape mengandungi tetrahydrocannabinol, sebatian psikoaktif utama dalam ganja, atau kanabis. Apabila cecair diwap dan disedut, "kepekatan kanabis yang dihantar adalah sangat tinggi", kata Aneez.
Menurutnya, beberapa kematian direkodkan di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan penggunaan vape. Pakar di negara itu juga menemui asetat vitamin E, bahan tambahan dalam vape yang mengandungi kanabis, sebagai punca dalam kebanyakan kes.
PENGGANTIAN NIKOTIN ALAT YANG LEBIH BAIK?
Tabiat menghisap vape bermula sebagai alat berhenti merokok di beberapa negara. Satu kajian yang ditaja kerajaan United Kingdom mencadangkan bahawa vape adalah jauh lebih rendah risikonya berbanding merokok dan membantu orang ramai berhenti daripada menghisap rokok tembakau.
Tetapi kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan orang terus menggunakan vape kerana ia mengandungi nikotin, kata pakar perunding pernafasan dan pakar unit rawatan rapi Alvin Ng Choon Yong dari The Respiratory Practice.
"(Kalangan) mereka yang menggunakan terapi penggantian nikotin, hanya kira-kira 8 peratus daripada mereka masih menggunakan penggantian nikotin selepas setahun," katanya.
Produk sedemikian, termasuk gam, penampal (patch) dan penyedut, didapati berkesan, tambahnya. "Jadi mengapa tidak menggunakan produk tersebut berbanding menggunakan sesuatu yang dilihat bergaya?"
Ng berpendapat "ramai" anak muda di Singapura akan mengambil vape dengan "lebih mudah" jika ia tidak diharamkan.
Tetapi Tim mempunyai pandangan yang berbeza bahawa membenarkan penggunaan vape akan menyukarkan akses untuk kanak-kanak yang lebih muda.
"Mereka sudah boleh mengaksesnya sekarang ketika ia menyalahi undang-undang," katanya. "Membenarkannya akan menjadi perkara terbaik untuk akan datang, dan kemudian mencari cara untuk mengenakan cukai supaya harganya lebih mahal agar ia kurang mudah diakses oleh kanak-kanak yang lebih muda."
Ketika ditanya apa yang akan membuatkan dia berhenti menggunakan vape, Tim - yang akan menghisap vape selepas bangun tidur dan selepas makan, selain ketika di dalam kelas - berkata: "Apabila ia tidak menyeronokkan, maka saya akan berhenti.
"Saya tidak fikir saya mahu menunggu sehingga saya mempunyai masalah kesihatan ... Tetapi siapa tahu?"
Kita mungkin tidak kedengaran adanya orang mati akibat vape kerana ia masih "menjadi perkara baharu", tambah Tim, sambil menambah: "Kita umpama generasi percubaan."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai mangsa banjir di Malaysia yang trauma akan berulangnya bencana alam itu.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.