Skip to main content

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Tak kira nahas atau bencana, bomba sukarela Malaysia ini sanggup berdepan pelbagai bahaya

Terdapat lebih 380 pasukan bomba sukarela di Malaysia, yang melengkapi usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat pada waktu kecemasan.

Tak kira nahas atau bencana, bomba sukarela Malaysia ini sanggup berdepan pelbagai bahaya
Daripada kemalangan hinggalah bencana, anggota pasukan bomba sukarela di Malaysia menempuh bahaya demi menyelamatkan nyawa. (Foto: CNA/Vincent Tan)

BENTONG, Pahang: Lewat petang Jumaat, sekumpulan anggota Persatuan Bomba Sukarela dan Penyelamat Perting bertolak dengan kenderaan bomba mereka untuk memeriksa pili-pili bomba di kawasan sekitar.

Mereka memeriksa pili-pili bomba itu untuk mengesan sebarang tanda kakisan dan menguji tekanan airnya selepas itu.

Air deras memancur keluar dari muncung gelung hos bomba yang dipegang oleh seorang relawan, manakala rakan sepasukannya menyokong beliau dari belakang.

"Kami selalu memandu trak bomba di kawasan sekitar, walaupun tiada kebakaran berlaku, demi memastikan segalanya berfungsi dengan baik," kata Lim Sang Hong, 44 tahun, pengerusi persatuan sukarelawan.

"Buat masa ini, kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana cuaca sejak beberapa hari lalu sangat kering dan terdapat kemungkinan kebakaran belukar atau hutan boleh berlaku," tambah beliau.

Pasukan Perting, yang berpangkalan di Kampung Baru Cina di Perting, adalah antara 382 pasukan bomba sukarela di merata negara yang memainkan peranan khusus dalam keupayaan bomba dan penyelamat di Malaysia.

Mereka melengkapi Jabatan-Jabatan Bomba dan Penyelamat tempatan dan memenuhi permintaan genting bagi menyediakan tenaga kerja untuk memadam kebakaran atau memberi bantuan, baik di kawasan luar bandar mahupun di lokaliti binaan seperti Lembah Klang.

Para sukarelawan membantu menyokong pengendali muncung gelung hos semasa ujian pili bomba di Kampung Baru Perting, Pahang. (Foto: CNA/Vincent Tan)

Pasukan-pasukan sukarela itu perlu menjalani latihan secara berkala di Jabatan Bomba dan Penyelamat. Di Selangor misalnya, mereka diwajibkan menjalani latihan selama lapan jam sebulan.  

"Pasukan ini akan didedahkan kepada asas memadam api, teknik menyelamat, prosedur pemeriksaan untuk pili bomba dan kemahiran-kemahiran lain yang dijadualkan," jelas Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Superintenden Bomba Kanan 1 Hafisham Md Noor kepada CNA.

Ujarnya, peralatan perlindungan peribadi seperti pakaian senyawa kalis api, sarung tangan, topi keledar dan but akan disediakan, di samping gelung hos dan peralatan pemasangan, kenderaan dan gerabak air.

Sebahagian besar pasukan bomba dan penyelamat sukarela juga mendapatkan dana daripada pelbagai sumber derma untuk membeli lebih banyak peralatan.

Sesetengah pasukan sukarela, misalnya pasukan yang berpangkalan di utara Semenanjung Malaysia, ditaja oleh para pengilang tempatan, dan oleh itu, mampu membeli kereta bomba dengan kren pengangkut (skylift) yang mahal, tambah Encik Lim.

Memandangkan mereka cekap memberi khidmat di tempat-tempat yang jauh dari balai bomba kerajaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang untuk menambah bilangannya kepada 500 pasukan menjelang 2030.

Bagi sesetengah orang awam, penyertaan dalam persatuan sukarela ini adalah satu bentuk pembangunan dan penglibatan komuniti, yang membolehkan mereka menyumbang kepada masyarakat.

ASAL-USUL PASUKAN SUKARELA

Briged-briged sukarela sebegini biasanya ditubuhkan oleh penduduk tempatan apabila mereka menyedari bahawa mereka boleh menjadi penggerak balas pertama (first-responder) apabila kecemasan berlaku di kawasan kejiranan.

Persatuan sukarela Perting, misalnya, ditubuhkan selepas satu kebakaran besar pada tahun 2000 memusnahkan 88 buah rumah kampung.

Kampung-kampung Baru Cina, yang diasaskan semasa era pemberontakan komunis Malaysia, biasanya mempunyai rumah-rumah kayu yang dibina secara rapat dengan satu sama lain.

Jawatankuasa sementara itu ditubuhkan pada tahun 2001, dan menjelang 2005, persatuan itu telah membina balai bomba sukarelanya yang pertama dan memperolehi kereta bombanya sendiri yang berkapasiti 1,500 liter.

Encik Lee Weng Foo, 65 tahun, timbalan pengerusi persatuan itu serta pemandu utama kereta bomba, berkata lebih 100 relawan telah mendaftar, tetapi buat masa ini, terdapat hanya 35 anggota aktif untuk menjawab panggilan kecemasan.

Para sukarelawan Perting melawan kebakaran belukar. (Gambar ihsan Persatuan Bomba Sukarela dan Penyelamat Perting)

"Mereka yang kurang aktif akan membantu dalam kerja-kerja servis dan penyenggaraan peralatan kami," kata Encik Lee.

Walaupun hampir setiap anggota bekerja sepenuh masa atau menguruskan perniagaan sendiri, radio dua hala stesen sukarelawan tetap dihidupkan setiap masa.

"Jika kebakaran besar berlaku, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat akan bertindak terlebih dahulu. Tetapi kami juga akan dihubungi untuk bersiap sedia atau akan dikerahkan untuk membantu," ujar Encik Lee.  

Beginilah juga keadaannya bagi para lelaki dan wanita yang menyertai Pasukan Bomba Sukarela Kepong Selangor di Taman Desa Jaya yang terletak di kawasan sempadan antara wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Selangor.

Pengerusi Persatuan Sukarela Kepong Kelvin Tung (berdiri) memberi taklimat kepada para sukarelawan mengenai kebakaran besar di kilang di pelabuhan Klang sebelum mereka dikerahkan. (Foto: CNA/Vincent Tan)

Encik Kelvin Tung, 42 tahun, pengerusi dan anggota pengasas Persatuan Sukarela Kepong, berkata pasukan itu berasal dari sebuah persatuan sukarela yang berdekatan dari Kuala Lumpur.

"Pada mulanya, kami membantu dalam kejadian-kejadian di kawasan terdekat, tetapi kemudiannya kami mula membantu untuk meliputi seluruh kawasan Selangor.

"Kini, kami boleh dikerah ke seluruh Semenanjung Malaysia," kata Encik Tung kepada CNA.

Pasukan Kepong juga adalah antara pasukan yang mempunyai kelengkapan terbaik, iaitu sebuah kereta bomba berkapasiti 2,000 liter, dua buah ambulans, dan dua buah lori pikap yang dilengkapi dengan peralatan menyelamat seperti gergaji rantai dan sebuah bot gentian kaca yang digunakan sewaktu banjir.

Malah, pasukan itu baru sahaja pulang dari daerah Baling, Kedah, di mana mereka terlibat dalam usaha bantuan bah selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat pada awal bulan ini.

"Biasanya, sebelum kami membeli sebarang peralatan, kami mengumpul dana di kalangan anggota pasukan kami sendiri sebelum mencari bantuan atau derma dari luar," ujar Encik Tung.

Para sukarelawan Perting memeriksa sebuah pili bomba di sebuah kampung baharu di Bentong. (Foto: CNA/Vincent Tan)

TIDAK SEKADAR MELAWAN KEBAKARAN 

Melawan kebakaran bukanlah satu-satunya tugas para sukarelawan ini.

Persatuan sukarela Perting juga terlibat dalam banyak kerja-kerja mencari dan menyelamat serta membantu mangsa nahas kenderaan dalam tempoh 20 tahun sejak penubuhannya.

Bandar Bentong terletak berdekatan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, iaitu salah sebuah jalan raya utama yang menghubungkan kawasan pantai timur dan barat di Semenanjung Malaysia, yang sering mengalami kesesakan lalu lintas pada hujung minggu panjang dan sewaktu musim perayaan.

"Selalunya, apabila kemalangan besar berlaku di lebuh raya, misalnya, sebuah bas terjunam ke dalam gaung, kami akan juga dipanggil," kata Encik Lim.

Para sukarelawan memunggah bekalan dari lori penyelamat milik pasukan Kepong sewaktu mereka dikerahkan ke utara ke daerah Baling, Kedah yang dilanda banjir, pada awal Julai 2022. (Gambar ihsan Briged Bomba Sukarela Kepong Selangor)

Encik Lim masih ingat satu kejadian yang amat memilukan pada 2004 apabila persatuan sukarela itu dikerahkan selama lebih sebulan untuk mencari mayat seorang budak perempuan, yang hanyut di dalam sungai di Hutan Simpan Lentang dekat Bentong.

"Bapanya tetap percaya anaknya masih hidup, jadi kami pun berusaha sedaya upaya kami," cerita Encik Lim.

Timbalan Pengerusi Encik Lee menambah bahawa penduduk kampung juga telah dilibatkan untuk membantu meletakkan paip-paip bagi mengalihkan aliran sungai buat sementara waktu, seandainya mayat budak itu tersepit di batu-batu di dasar sungai.

"Kami juga menerima khabar bahawa seekor harimau merayau-rayau dekat sana pada waktu itu, tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan melainkan membawa sebilah parang dan berdoa agar kami tidak terserempak harimau itu semasa mencari budak perempuan tersebut," kata Encik Lee.

"Kami akhirnya menjumpai mayat budak itu, tetapi kepalanya dan sebahagian anggota badannya sudah tiada lagi."

Sementara itu, para sukarelawan Kepong juga membantu menghantar makanan dan keperluan lain pada pertengahan 2021 di bawah gerakan akar umbi "bendera putih".

Mereka yang kehabisan wang atau kehilangan pekerjaan akibat sekatan COVID-19 akan  memasang bendera putih di luar rumah sebagai tanda mereka memerlukan bantuan.

Pasukan sukarela Kepong membantu menghantar bekalan dari Lembah Klang kepada mangsa-mangsa banjir di sebuah pusat perlindungan sementara di Baling, Kedah pada Julai 2022. (Gambar ihsan Briged Bomba Sukarela dan Penyelamat Kepong Selangor)

MENGISI KEKURANGAN PERKHIDMATAN

Encik Hafisham dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menjelaskan kepada CNA bahawa perkhidmatan bomba dan penyelamat di Malaysia telah wujud lebih seabad lalu.

Ia bermula pada tahun 1883 dengan penubuhan kumpulan Penyelamat Sukarela Bebas Selangor yang diketuai oleh H.F. Bellamy bersama 15 anggota, kata beliau.

Pasukan sukarela ini kemudian diletakkan di bawah naungan Lembaga Kebersihan pemerintah kolonial, dan telah berkembang selepas  kemerdekaan dengan pembentukan persekutuan Malaysia.

Sehinggalah ia berkembang menjadi Jabatan Bomba dan Penyelamat yang kini di bawah naungan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Melawan kebakaran dan pencegahannya adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Oleh itu, kerajaan persekutuan membina balai-balai bomba di kawasan-kawasan strategik dari semasa ke semasa.  

"Namun, buat masa ini, usaha sebegini tidak dapat memenuhi semua keperluan, terutamanya di pekan-pekan kecil dan kawasan luar bandar," ujar Encik Hafisham.

Para sukarelawan Kepong membersihkan kawasan perumahan yang dilanda banjir di Baling, Kedah. (Gambar ihsan Pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat Kepong Selangor)

Oleh itu, satu cara untuk mengisi kekurangan perkhidmatan ini adalah dengan memperkenal dan mengerahkan pasukan bomba dan penyelemat sukarela ke seluruh negara.

Satu petunjuk prestasi bagi penyampaian perkhidmatan jabatan itu, tambah Encik Hafisham, adalah masa respons kepada sesuatu insiden.

Untuk meningkatkan prestasi ini, briged-briged sukarela telah tampil sebagai ‘penyampai perkhidmatan alternatif' ke kawasan-kawasan pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.

Pasukan-pasukan sukarela juga diperlukan di kawasan-kawasan binaan dan bandar seperti Lembah Klang berdasarkan kepadatan penduduk, kesesakan lalu lintas dan halangan yang dihadapi dalam perjalanan ke tempat kejadian, tambah Encik Hafisham.

Kenderaan Persatuan Bomba Sukarela dan Penyelamat Perting bersiap sedia untuk bertolak dari balai bomba sukarela. (Foto: CNA/Vincent Tan)

Jabatan Bomba dan Penyelamat lazimnya memperuntukkan antara RM1,500 (AS$336) hingga RM3,000 setahun bagi dana bantuan untuk kumpulan-kumpulan sukarela, yang bergantung kepada tahap kegiatan kumpulan itu.

"Untuk masa depan, jabatan ini merancang untuk memberi tumpuan kepada lokasi yang lebih jauh daripada jarak 10km dan 10 minit masa respons dari balai bomba," kata Encik Hafisham.

Rancangan itu termasuk membina balai bomba baharu yang dikendalikan kerajaan dan menubuhkan pasukan-pasukan sukarela baharu di kawasan yang mengalami kekurangan perkhidmatan, jelas beliau.

Jabatan itu mempunyai sasaran menubuhkan 500 pasukan sukarela di seluruh negara menjelang tahun 2030, tambah beliau.

Pada Mac tahun ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abd Muttalib memaklumkan kepada Parlimen bahawa terdapat 382 pasukan sukarela di seluruh negara, dengan jumlah keanggotaan sebanyak 13,600 orang.

Kenny Chai (kiri) dan seorang lagi sukarelawan mengangkut peralatan memadam api ke dalam salah sebuah trak pikap persatuan itu di stesen sukarela Kepong. (Foto: CNA/Vincent Tan)

MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Kepuasan yang dirasai selepas membantu orang lain dan membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat memberi dorongan kepada para sukarelawan ini walaupun mereka diancam bahaya.

Encik Tung dari persatuan Kepong teringat bagaimana bekas pengerusi beliau, mendiang Jason Yap, membantu menyampaikan pakej penjagaan kepada golongan memerlukan tanpa mengenal penat lelah sehinggalah beliau kehilangan nyawanya sendiri.

Encik Yap telah berkeras untuk membuat lebih banyak penghantaran walaupun beliau rasa lelah akibat kesan sampingan dos kedua vaksin COVID-19.  

"Beliau mengadu sakit dada selama seminggu dan kami akhirnya memutuskan untuk tidak berlengah-lengah lagi lalu kami menghantarnya ke hospital," kata Encik Tung.

Beberapa hari selepas masuk wad, Encik Yap sepatutnya dibenarkan pulang tetapi beliau mengalami serangan jantung dan meninggal dunia.

Jalan-jalan sempit di Kampung Baru Perting tidak menimbulkan sebarang masalah kepada relawan veteran Lee Weng Foo, 65 tahun, yang sedang memandu. (Foto: CNA/Vincent Tan)

Penolong jurugambar studio, Candyze Wong, 35 tahun, memberitahu CNA bahawa pada mulanya dia hairan mengapa teman lelakinya, Kenny Chai, 37 tahun, menyertai pasukan Kepong secara sukarela.

"Namun, apabila kami membantu pergerakan bendera putih untuk menyampaikan pakej-pakej  penjagaan, barulah saya memahami tanggungjawab itu dan apakah ertinya usaha menabur bakti kepada masyarakat," kata beliau sambil menyarung pakaian senyawa dan but anggota pasukan bomba untuk menyertai pasukan-pasukan sukarela lain yang akan melawan kebakaran besar di sebuah kilang Pelabuhan Klang pada malam Jumaat baru-baru ini.

Walaupun kerja sukarela memenatkan, kepuasan itu mendorong beliau dan pasangannya untuk terus melakukannya.

"Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku sejauh ini," kata beliau.

Encik Tung menambah: "Sebenarnya, ramai di kalangan kami telah melihat pelbagai perkara, tetapi setiap kali kami keluar untuk membantu melawan kebakaran atau melakukan kerja-kerja menyelamat, kami semua berdoa agar tiada kejadian buruk berlaku, dan kami semua akan selamat pulang."

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kejayaan seorang warga Malaysia takluki Everest untuk kali ketiga.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/vt(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement