Dipukul, direnjat: Nasib warga Malaysia yang terjerat dengan penipuan tawaran kerja luar negara
Bagaimana tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan menarik di luar negara, berubah menjadi mimpi ngeri kepada mereka yang terpedaya. CNA menemu bual beberapa mangsa dan meninjau apa yang sedang dilakukan untuk memerangi masalah ini.
KUALA LUMPUR: Apabila dia terbaca iklan di Facebook mengenai pekerjaan di Kemboja yang menjanjikan gaji sehingga RM15,000 sebulan, Wong Sim Huat (bukan nama sebenar) tidak berfikir panjang untuk mendaftarkan diri.
Ketika itu, Wong sudah tidak bekerja lebih setahun akibat wabak COVID-19 yang menyebabkan dia kehilangan pekerjaannya sebagai seorang pekedai di Kluang, Johor.
"Sangat sukar untuk mencari pekerjaan yang sesuai ketika itu dan iklan itu pula mengatakan saya tidak perlu mengeluarkan satu sen pun untuk ke Kemboja," kata lelaki berusia 32 tahun itu kepada CNA.
Wong tidak menaiki penerbangan ke Kemboja dari Kuala Lumpur, sebaliknya dia disuruh ke pekan Sungai Golok di Kelantan yang bersempadan dengan Thailand.
Dari Sungai Golok, dia memasuki Thailand secara haram melalui bot. Kemudian, Wong dan enam lagi rakyat Malaysia menaiki kenderaan yang merentas masuk ke Kemboja secara haram.
Selepas beberapa hari, mereka dibawa ke satu lokasi yang menyerupai sebuah kasino besar. Di bangunan yang sama, ada juga pejabat di tingkat yang lebih tinggi. Terdapat ramai lagi dari Vietnam, China, Thailand serta Malaysia di lokasi tersebut.
Ternyata, ini bukanlah pekerjaan bergaji tinggi yang dipohon Wong. Mereka ditahan di luar kehendak mereka dan dipaksa untuk menipu orang di Internet.
“Kami disuruh bekerja sehingga lewat malam. Jika kita tidak dapat menipu sekurang-kurangnya seorang setiap minggu, kita akan dipukul dan direnjat. Saya pernah direnjat kira-kira tiga kali seminggu,” katanya kepada CNA.
Sesiapa yang mahu bebas perlu membayar sejumlah RM50,000.
Akhirnya, dia berjaya menghubungi Ketua Perkhidmatan Awam dan Jabatan Aduan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Michael Chong melalui Whatsapp. Melalui perjanjian yang dibuat dengan pihak kedutaan dan pihak berkuasa Kemboja, Wong akhirnya diselamatkan tanpa wang tebusan.
Keseluruhannya, Wong dalam tahanan empat sindiket selama hampir sebulan sebelum dia akhirnya diselamatkan oleh polis dan dipindahkan ke depot imigresen, di mana dia ditahan selama kira-kira tiga bulan.
Wong adalah antara rakyat Malaysia yang telah tertipu dengan pekerjaan "bergaji tinggi" di luar negara yang ternyata adalah penipuan.
Berita tentang penipuan ini mula muncul pada pertengahan tahun lalu. Sindiket tersebut biasanya menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mengiklankan pekerjaan bergaji tinggi di luar negara.
Sebaik sahaja mangsa terpengaruh untuk ke luar negara dan ditahan di luar kehendak mereka di lokasi penipuan ini, mereka kemudiannya diajar dan dipaksa untuk menipu orang menerusi Internet.
Jenis penipuan termasuk penipuan percintaan kripto, penipuan pelaburan dalam talian dan serangan pancingan data, demikian menurut Pertubuhan Anti Penipuan Global (GASO).
Dokumen perjalanan dan telefon mangsa biasanya akan dirampas oleh sindiket. Mereka tidak dibenarkan meninggalkan bangunan atau lokasi dan dipaksa bekerja sehingga 15 jam sehari.
Mereka yang enggan bekerjasama akan dipukul, dibiar kelaparan dan dijual kepada sindiket lain, menurut GASO, yang merupakan pertubuhan bukan berasaskan untung.
Dalam satu kenyataan pada 26 Ogos, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Vitit Muntarhorn berkata bahawa mangsa pemerdagangan manusia yang ditipu untuk bekerja dengan syarikat penipuan dalam talian di Kemboja mengalami penderitaan teruk, seringkali mengakibatkan penyeksaan dan juga kematian.
“Negara-negara lain kini sedar tentang gejala itu dan Kemboja perlu mengaktifkan langkah balas yang lebih kukuh, sambil mengalu-alukan kerjasama dan sokongan antarabangsa,” katanya.
Kebanyakan kes di Kemboja telah dilaporkan di Sihanoukville yang menyaksikan hampir 100 kasino milik China dibina dalam beberapa tahun lalu, langsung mengubah wajah bandar itu. Kemboja telah mengambil beberapa langkah untuk membanteras operasi penipuan tersebut.
Selain Kemboja, kes rakyat Malaysia ditipu di Myanmar, Thailand dan Laos turut dilaporkan.
“PERHAMBAAN MODEN”
Penipuan tawaran kerja ini adalah satu bentuk "perhambaan moden", kata Encik Chong dari MCA.
Beliau memberitahu CNA bahawa isu tersebut telah menarik banyak perhatian baru-baru ini kerana lebih banyak negara cuba membawa pulang rakyat mereka.
Menurut laporan media, terdapat juga rakyat China, Taiwan, Vietnam, Indonesia dan Thailand yang telah terjerumus dalam penipuan ini.
"Saya menyedari bahawa sesuatu yang sangat serius sedang berlaku apabila terdapat peningkatan dalam jumlah kes ini," kata Encik Chong, yang telah menerima kira-kira 150 laporan kes sedemikian sejak April tahun ini.
Di pihaknya, Encik Chong telah berurusan dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Polis Malaysia dalam usaha menyelamatkan mangsa.
Encik Patrick Ooi, Presiden Parti Penang Front, berkata beliau sudah cuba membantu mereka yang tertipu oleh penipuan tawaran pekerjaan luar negara sejak beberapa tahun. Majoriti kes ini melibatkan mereka yang diperdagangkan ke Myanmar.
Beliau berkata kebanyakan mangsa menghadapi masalah kewangan dan tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan menerusi pekerjaan yang diiklankan, seperti sebagai pembantu khas dan eksekutif sumber manusia di Thailand.
Malah ada yang diyakinkan oleh rakan mereka untuk pergi ke sana, katanya kepada CNA.
Setibanya di Thailand, mereka dibawa ke Mae Sot sebelum diseludup ke bandar sempadan Myawaddy di Myanmar.
“Kes di Myanmar sukar dikendalikan kerana anda perlu berurusan dengan pihak tentera dan melibatkan wang, sementara di negara lain anda masih boleh berurusan dengan kerajaan (dan) kedutaan,” katanya.
Beliau berkata dalam beberapa kes, mangsa telah dibawa ke Kelantan terlebih dahulu, di mana mereka menginap di sebuah hotel dan dibayar RM200 setiap hari selama sebulan.
“Syarikat itu kemudian akan mengatakan bahawa jurulatih tidak dapat ke sana dan kemudian akan mengatur latihan di Thailand. Dari sana, mereka akan dibawa ke Myanmar,” katanya sambil menambah selain dalang Cina, beberapa rakyat Malaysia turut bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut.
Encik Ooi mendakwa bahawa kira-kira 20 sindiket Cina beroperasi di kawasan yang dipanggil Taman Perindustrian KK di Myawaddy.
Pada 18 Ogos, Polis Malaysia dalam satu kenyataan berkata mereka telah menerima 182 laporan berkaitan penipuan ini sejak 2021. Terdapat 238 mangsa yang terjejas.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin berkata mereka sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri, Aseanapol (Ketua Polis Negara-Negara ASEAN) dan Interpol (Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa) untuk membawa pulang mangsa yang terkandas.
Beliau berkata pada 3 Ogos lalu, enam individu termasuk dua wanita Malaysia telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket-sindiket ini.
Suspek disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
CNA telah menghubungi Polis Malaysia dan Interpol untuk mendapatkan ulasan tambahan mengenai isu itu.
WANG TEBUSAN TINGGI UNTUK PEMBEBASAN
Mangsa bukan sahaja tidak mendapat gaji lumayan yang dijanjikan, keluarga mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membebaskan mereka.
Encik Chong dari MCA berkata beberapa mangsa malah membayar sehingga USD$20,000 untuk bebas daripada penculik.
Dalam kes yang ditangani oleh Encik Ooi, wang tebusan telah meningkat kepada kira-kira RM100,000 daripada RM20,000 tahun lepas.
Seorang penjaja makanan jalanan, yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata dia terdesak untuk mendapatkan pekerjaan kerana pendapatannya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Memandangkan Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu, lelaki berusia 26 tahun dari Johor Bahru itu berkata dia telah menyeberang ke Thailand secara haram untuk bekerja di kasino pada Julai tahun lepas.
Dia telah dibawa ke Mae Sot, yang bersempadan dengan Myanmar. Dari sana dia telah dibawa ke Myanmar di mana dia ditahan dalam sebuah bangunan yang mempunyai banyak pejabat.
Katanya, terdapat kira-kira 80 hingga 90 rakyat Malaysia lain di sana ketika itu.
Penculiknya mendesak dia supaya menipu orang ramai melalui telefon. Dia tidak dipukul apabila gagal mencapai sasaran, tetapi dipaksa melakukan senaman seperti sit-up dan push-up.
"Saya tidak mahu menipu sesiapa pun," katanya, sambil menambah memang ada beberapa rakyat Malaysia yang telah berada di sana selama dua tahun tetapi enggan pulang kerana pendapatan yang diraih hasil menipu orang lain.
Tan hanya dibebaskan di Mae Sot selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM50,000 kepada penculiknya.
Dia merengkuk selama sebulan dalam tahanan imigresen Thailand sebelum polis Thai menghantarnya ke sempadan Malaysia pada Julai tahun ini.
Walaupun kehilangan wang akibat penipuan itu, Tan menganggap dirinya bertuah berbanding seorang lagi warga Malaysia Goi Zhan Feng, 23, yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Mae Sot selepas dipercayai telah didera oleh sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Pelajar tahun akhir di institut latihan guru itu dilaporkan telah ke Bangkok untuk bercuti pada bulan Januari tetapi mendapati dirinya diperdagangkan ke Myanmar.
“KITA MESTI BERTINDAK CEPAT”: MENTERI KEMBOJA
Kerajaan Kemboja telah mengambil tindakan terhadap sindiket-sindiket terlibat berikutan perhatian serantau terhadap jenayah tersebut.
Menurut Khmer Times, Menteri Dalam Negeri Kemboja Sar Kheng berkata peningkatan jumlah kes pemerdagangan manusia, pemerdagangan buruh dan pemerdagangan seks di wilayah Preah Sihanouk perlu ditangani segera.
Beliau berkata pihak berkuasa mesti mematuhi tiga prinsip - mereka mesti menyelamatkan mangsa, membanteras kawasan jenayah dan menangkap pesalah.
“Kita mesti bertindak cepat. Imej dan reputasi kerajaan kita dipertaruhkan,” katanya dipetik sebagai berkata.
VOD, portal berita bebas Kemboja, melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menjalankan beberapa siri menyelamat dan serbuan ke atas lokasi penipuan, menyelamatkan berpuluh-puluh pekerja asing dan menahan beberapa penyelia.
Portal itu juga berkata pihak berkuasa wilayah Preah Sihanouk mengarahkan semua pemilik dan pengurus bangunan untuk melaporkan mana-mana warga asing yang tinggal dan bekerja di premis mereka. Maklumat itu mesti didaftarkan dengan pihak polis sebelum 24 Sep.
Pemilik bangunan diminta menandatangani dokumen yang mengikrarkan bahawa pekerja mereka mempunyai visa dan kontrak yang jelas.
Kerajaan Kemboja juga dilaporkan sedang mengadakan mesyuarat peringkat tinggi mengenai isu tersebut.
Terrence Fung, 39, dan Lo Vui Lun, 23, adalah antara mereka yang terperangkap di Kemboja. Mereka adalah rakan sebilik ketika mereka ditahan oleh sindiket di Sihanoukville awal tahun ini dan kemudian ketika mereka ditahan di depot imigresen Kemboja.
Mereka telah pulang ke Malaysia bulan lepas, menamatkan mimpi ngeri di Kemboja dimana mereka telah direnjat beberapa kali kerana tidak mencapai sasaran penipuan.
Kedua-duanya memasuki Kemboja secara haram melalui Thailand. Mereka juga ditawarkan gaji AS$3,000 untuk bekerja di kasino.
Fung berkata semasa terdapat kasino di tingkat bawah, pusat operasi penipuan berada di tingkat atas bangunan itu.
Dia mendakwa bahawa dia tidak pernah menipu sesiapa dan apabila beliau menerima panggilan mengenai pertanyaan pekerjaan, beliau akan memberitahu mereka beliau sedang sibuk.
"Saya tidak mahu berbohong kepada sesiapa dan membuat mereka terjebak dalam masalah yang sama seperti saya," katanya.
Fung berkata bahawa hampir mustahil untuk melarikan diri kerana terdapat pengawal peribadi bersenjata di mana-mana.
Selepas campur tangan Encik Chong, kedua-dua Fung dan Lo telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Kemboja dan dihantar ke depot imigresen di mana mereka menghabiskan hampir tiga bulan dalam tahanan sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia. Mereka tidak perlu membayar wang tebusan.
RAMAI MASIH DITAHAN DI LUAR KEHENDAK MEREKA
Seramai 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja telah diselamatkan sehingga 9 Sep, menurut Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.
Dua puluh sembilan rakyat Malaysia masih berada di depot imigresen di Kemboja, katanya.
Beliau bertemu tujuh daripada mereka di depot imigresen di ibu negara Phnom Penh semasa lawatan baru-baru ini, manakala 22 lagi rakyat Malaysia berada di depot imigresen Sihanoukville.
“Tolong berhati-hati apabila anda mendapat tawaran pekerjaan sama ada di Kemboja atau mana-mana negara lain. Di Kemboja, terdapat 500 syarikat Malaysia dan terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang, sama ada, bekerja atau berniaga di sana.
"Mereka melakukannya dengan sangat baik tetapi malangnya, kami mempunyai kes penipuan ini, walaupun bilangan mereka kecil," kata Encik Saifuddin pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Sep selepas ketibaan mereka melalui pesawat penerbangan penumpang dari Kemboja bersama 24 mangsa penipuan rakyat Malaysia.
Mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Encik Saifuddin berkata apabila mereka menerima laporan daripada keluarga mengenai mangsa yang hilang, mereka akan memajukan mereka ke misi luar negara yang berkaitan. Mereka kemudian akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk cuba menyelamatkan mereka.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, 11 lagi mangsa tiba pulang dari Kemboja pada 15 Sep. Secara keseluruhan, 123 daripada 153 mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah diselamatkan setakat ini.
Di Bangkok, Duta Besar Malaysia Jojie Samuel dipetik dalam laporan Bernama pada bulan Jun bahawa 35 rakyat Malaysia, dipercayai mangsa penipuan pekerjaan, telah diselamatkan di sempadan Thai-Myanmar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ramai rakyat Malaysia dipercayai masih ditahan di luar kehendak mereka, walaupun bilangan sebenarnya masih tidak dapat ditentukan. Ahli keluarga mereka kehabisan semua saluran untuk mendapatkan pembebasan mereka.
Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Low berkata, anak saudaranya yang berusia 24 tahun ditahan di sebuah lokasi di wilayah Bokeo di Laos.
Beliau berkata bahawa anak saudaranya terpaksa menipu orang lain dan sebagai keluarga, mereka hanya boleh menyuruhnya mengikut arahan penculiknya.
Anak saudaranya bekerja di Dubai sebagai perunding perkhidmatan pelanggan sejak Tahun Baharu Cina tahun lalu, tetapi bertukar ke syarikat lain beberapa bulan lalu. Dia kemudian dibawa ke Chiang Mai di Thailand, dan seterusnya ke Laos secara haram.
Oleh kerana dia tidak menunjukkan prestasi baik dari segi jualan, dia kemudian dijual kepada sindiket lain.
Kata Low, anak saudaranya itu dipaksa bekerja selama 16 jam sehari dan sesiapa yang mengantuk akan direnjat. Terdapat juga warga Rusia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Turki di lokasi itu, tambahnya.
Anak saudara Low dapat berhubung dengan mereka sehinggalah terputus hubungan beberapa hari lalu.
“Kami sangat bimbang. Kami hanya memberitahu bapanya yang sakit bahawa dia dalam keadaan selamat,” kata Low, sambil menambah bahawa beliau telah membuat laporan dengan Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Laos.
“Kami tidak boleh makan dan tidur dengan betul. Buat masa ini, kita hanya boleh berharap bahawa dia diselamatkan oleh pihak berkuasa. Kami juga berharap kerajaan kita akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan semua rakyat Malaysia yang sedang ditahan,” tambah beliau.
KERAJAAN DIGESA TINGKATKAN USAHA MENYELAMAT
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MIHO) Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima maklumat bahawa banyak sindiket kini memindahkan mangsa dari Kemboja ke Myanmar melalui jalan darat.
Ini berlaku selepas kerajaan Kemboja mula membanteras sindiket tersebut.
“Ini dimaklumkan kepada kami oleh keluarga mangsa yang boleh berhubung terus dengan mereka buat masa ini,” katanya sambil menambah sukar untuk berurusan dengan junta yang memerintah Myanmar.
Beliau berkata bahawa MIHO sedang menangani 27 kes, dengan majoriti daripadanya di Myanmar.
MIHO pada 14 Sep telah menghantar memorandum kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur untuk bertindak mengenai isu itu, tetapi kedutaan tersebut ditutup.
Encik Hishamuddin berharap Perdana Menteri Malaysia akan memberi tekanan kepada kerajaan negara-negara berkenaan.
“Kita tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa di sana sahaja. Perdana Menteri juga perlu membantu dengan berbincang dengan ketua-ketua negara.
Kami masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Myanmar. Platform ASEAN ada di sana,” katanya, sambil menambah bahawa pemerintah Taiwan misalnya telah membawa pulang beberapa rakyatnya selepas usaha melobi.
Sementara itu, Encik Chong dari MCA menggesa mereka yang ingin ke luar negara untuk pekerjaan "bergaji tinggi" supaya berfikir dua kali.
“Sila buat kajian sebelum anda terfikir untuk pergi. Gaji yang dikatakan tinggi itu hanyalah untuk menipu anda. Terdapat banyak berita mengenai penipuan ini, namun ada yang masih berkeras untuk pergi ke sana. Bagaimana kita membantu orang seperti itu?” katanya.
Bagi mangsa yang diselamatkan, mereka hanya mahu meninggalkan masa lalu.
Wong dari Johor kembali ke Malaysia pada bulan Julai dan kini bekerja di sebuah kedai perjudian di Kluang, di mana dia memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan. Namun dia berpuas hati dengan apa yang diperolehinya.
“Saya bertuah kerana dapat pulang tetapi tidak semua orang mempunyai peluang yang sama untuk berbuat demikian. Saya akan menasihati orang lain supaya jangan sesekali memikirkannya (untuk menerima tawaran pekerjaan di luar negara),” kata Wong.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu mengenai usaha seorang tukang karung guni milenial buka niaga untuk majukan diri.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.