Pereka permaidani warga Singapura ini terkenal dengan rekaan untuk Hotel Nobu, Christian Louboutin
SINGAPURA: Menghasilkan permaidani untuk acara pelanggan privet yang mewah hanyalah satu hari biasa dalam kehidupan Omar Khan, yang baru-baru ini melancarkan koleksi baharunya.
Mungkin sudah lumrah kita mendengar seseorang itu dipanggil sebagai 'warga dunia'. Tapi orang seperti Omar memanglah boleh dianggap sebagai apa itu definisi sepenuhnya warga dunia.
Beliau berketurunan Pakistan, Jerman, Belanda, Cina dan Mesir. Dilahirkan di Singapura tetapi dibesarkan di Malaysia dan mendapat pendidikan di Amerika Syarikat serta bekerja di Hong Kong, Indonesia dan Kuala Lumpur.
Omar mempunyai bakat yang pelbagai, sama seperti latar belakangnya. Beliau merupakan seorang graduan Sekolah Desain Parsons di New York dan mengetuai jabatan penataan visual Pedder Group yang berpangkalan di Hong Kong.
Kemudian beliau menubuhkan firma reka hiasan dalamannya sendiri dan mengukir nama dalam menghasilkan permaidani khusus tempahan dengan nama Omar Khan Rugs, yang ditubuhkan pada 2014.
Sejak itu, permaidani mewahnya dengan desain yang halus menghiasi lantai tempat-tempat terkenal, di antaranya pusat peranginan St Regis di Maldives dan butik Christian Louboutin di Beijing dan Singapura.
Selain itu, beliau telah melancarkan koleksi untuk Moie, sebuah kedai berbilang label mewah di Jakarta, pada Disember tahun lalu yang digelar Allora – The Space Between, yang menampilkan karya baharu dan digemari seperti mod 70-an dengan suntikan elemen Cina yang dipanggil Permaidani Yasmin. Permaidani tersebut mempunyai desain yang amat menarik berilhamkan bunga teratai air yang dipanggil Neve.
Selepas pelancaran Moie, Omar mengambil masa untuk berfikir secara kreatif mengenai arah tujuan beliau seterusnya. Beliau meraih kesempatan untuk menghayati beberapa peluang baik dalam bidang kesejahteraan:
“Apabila dunia terjejas dan mengalami trauma akibat COVID, ia sesuatu yang masuk akal untuk kita memikirkan cara alternatif dalam melindungi ruang dan kesejahteraan anda.
Saya mengkaji tentang terapi warna, kekuasaan simbol dan ikonografi dari zaman ke zaman dalam bentuk azimat.”
Ini telah memberi inspirasi untuk koleksi terbarunya, Mystical Markings, di mana Omar menginterpretasikan imej, ikon, bunga, bentuk dan simbol pada permaidani yang bukan sahaja menarik tetapi bertujuan untuk memberi inspirasi, perlindungan dan penyembuhan.
“Ia adalah bahasa rahsia, seni hiasan mistik ini, dan satu proses yang sangat peribadi. Anda membentuk azimat penuh makna melalui gabungan unsur yang menggerakkan hati anda,” kata Omar.
"Ini sangat dekat dengan apa yang kami lakukan sebagai sebuah syarikat kerana kami bukan sahaja menghasilkan permaidani yang diukur khusus untuk ruangan anda tetapi juga memberikan sesuatu yang unik dan bermakna kepada anda.
“Saya pernah membaca bahawa minda bawah sedar kita boleh mentafsirkan simbol yang ditenun dalam permaidani.”
Koleksi ini telah dilancarkan secara rasmi pada 2 Mei di Instagram, disertai dengan kempen visual surealisme yang mempamerkan permaidani dalam gambaran metaverse.
"Pada pendapat saya, rupa dan rasa imej kempen kami sudah terasa sangat meta dan sesuai untuk penerokaan lebih jauh seterusnya," katanya.
"Tujuan penampilan baharu ini adalah supaya saya dapat melihat desain dalam ruang imaginasi saya, jadi batasan realiti tidak mengehadkannya, dan saya boleh mencipta suasana dan rasa bagi setiap permaidani. Itulah keutamaan saya.
“Metaverse membolehkan saya membantu orang ramai membayangkan apa yang saya sudah lihat dalam kepala saya."
Sementara koleksinya banyak mengisi senarai hasrat dan papan Pinterest ramai peminat Omar, salah satu desainnya, Savion, kini menghiasi Hotel Nobu di Shoreditch, London yang dibuka semula baru-baru ini.
Menurut Omar projek itu datang secara tidak dijangka bagai bulan jatuh ke riba.
"Seorang rakan peribadi yang pernah bekerja di Upper House, kemudian bekerja pula dengan Nobu di London telah mencadangkan nama kami. Dari situlah kami bermula,” renung Omar.
"Kami sangat gembira kerana walaupun dengan garis masa yang mustahil, kami dapat menghasilkannya, dan saya rasa hasilnya serasi dan sesuai dengan matlamat Nobu."
Sementara itu, Omar kini sibuk memberi sentuhan kemasan pada permaidani dan kepala katil untuk ELSE, sebuah hotel butik baharu yang terletak di bangunan bersejarah di tengah-tengah Chinatown Kuala Lumpur.
Dengan desain yang dihasilkan oleh firma desain tempatan Studio Bikin, yang diterajui oleh Adela Askandar dan Farah Azizan, ELSE yang mempunyai etos keterhubungan global tetapi berakar setempat, merupakan salah satu pembukaan yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
“Desain yang anda akan lihat di ELSE ialah contoh baik menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka. Dan di sini saya memberi pengiktirafan kepada Azizan dan pemilik ELSE, Justin Chen.
“Saya mempunyai permaidani besar yang belum siap di dalam almari saya, dan kerana mereka berada di studio saya ketika itu, saya cuba mendapatkan sampel di bawahnya. Tetapi mereka berdua menghalang saya dan sebaliknya mereka lebih berminat dengan apa yang mereka nampak,” kata Omar.
"Saya menyukai desain ini, dan akhirnya saya gembira kerana ia dapat keluar almari. Ia melahirkan cara baharu untuk melihat permaidani, mentafsir semula makna permaidani pada zaman ini dan menaikkannya ke paras seni halus.”
Satu lagi projek yang menarik ialah kerjasama akan datang Omar dengan gergasi desain Thai Jim Thompson di mana salah satu desain klasiknya, Belum, akan diterjemahkan menjadi kertas dinding.
"Hubungan saya dengan Jim Thompson telah terjalin selama bertahun-tahun dan saya kagum dengan fabrik dan bahan serta pemahaman lengkapnya tentang warna," kata Omar bersemangat.
“Saya menjangka kertas dinding itu sebagai langkah pertama. Visi akhir saya adalah untuk mentafsirkannya menjadi fabrik upholsteri, fabrik langsir dan alas meja.
Menurut Omar, satu langkah menuju kepada kehidupan lebih baik adalah kepercayaan bahawa kita sebenarnya berhak menikmati benda-benda indah; tidak kiralah benda seperti cawan lama di pasar lambak, atau pun permaidani pusaka yang dibeli sebagai pelaburan.
Dengan projek-projek menarik ini dan banyak lagi dalam perancangan, Omar sentiasa mengingatkan dirinya untuk menjaga kesihatan diri. Beliau melakukan senaman berlari dan yoga (Omar ialah duta Lululemon) sebagai cara untuk sentiasa berpijak pada bumi nyata dan terinspirasi.
Beliau menggunakan masa-masa santai ini sebagai peluang untuk melihat sejauh mana pencapaiannya sejak beliau bermula sekitar lapan tahun lalu:
“Saya mengimbau kembali pada 'musim pertama' dan lihat di mana kita berada sekarang. Dalam mimpi pun saya tidak pernah menyangka saya akan berpeluang terlibat dalam projek yang telah kami sertai.
Dengan berkat pengalaman yang diraih, ia adalah jaminan dan keyakinan bahawa apa yang anda reka, hasilkan dan ajukan kepada pelanggan adalah baik dan sesuai untuk mereka, tegas Omar.
“Saya mempunyai pengetahuan mendalam mengenai proses penghasilan permaidani dari awal hingga akhir.
“Saya tahu apa kekuatan pada kilang saya dan bagaimana untuk menggunakan kemahiran mereka dengan cara tidak terjangka dan kreatif.”
Mengenai arah tuju firmanya, Omar Khan Rugs, Omar menyimpulkan begini: "Nampaknya, ia sedang menuju ke arah pengurasian (curating) bahan-bahan indah, sama ada permaidani, campuran teh, atau podkas.
“Pastinya, saya ingin berusaha dan terlibat dalam lebih banyak lagi usaha sama. Saya mahu berasa seperti seorang seniman semula."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai keazaman seorang tukang karung guni muda memajukan niaganya.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.