Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Pada tangga ke-5 di dunia, Loh Kean Yew kini pemain badminton lelaki dengan ranking tertinggi di Singapura 

"Tugas masih belum selesai...saya masih perlu cuba yang terbaik untuk mengekalkan atau mencapai ranking yang lebih baik lagi," kata Loh Kean Yew.

Pada tangga ke-5 di dunia, Loh Kean Yew kini pemain badminton lelaki dengan ranking tertinggi di Singapura 
Pemain Singapura Loh Kean Yew dalam kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta pada 16 Jun, 2022. (Foto: AP/Dita Alangkara)

SINGAPURA: Juara dunia badminton Singapura 2021 Loh Kean Yew memasuki ranking lima teratas dunia buat kali pertama dalam kerjayanya, menjadikan dirinya pemain lelaki dengan ranking tertinggi di Singapura.

Berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan pada Selasa (4 Okt), dia mendaki dua anak tangga daripada tempat ketujuh ke tangga kelima.

Sebelum ini, pemain perseorangan lelaki dengan ranking tertinggi di Singapura ialah Ronald Susilo, yang menduduki tempat keenam pada 2004.

"Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan lima teratas menjelang akhir tahun ini dan saya gembira apabila dapat mencapainya," kata Loh.

"Saya berharap untuk terus konsisten dan berusaha mendapatkan keputusan yang lebih baik."
  
Loh kali pertama melangkah ke ranking 10 teratas dunia awal tahun ini, selepas pasukan lelaki Singapura itu meraih gangsa pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor, Malaysia.
  
Tahun lepas, Loh berada di kedudukan ke-39 sebelum beberapa siri permainan mengejutkan pada penghujung 2021 melonjakkan lagi kedudukannya. 

Ini dilengkapkan lagi pada Disember apabila dia mencipta sejarah sebagai warga Singapura pertama memenangi gelaran perseorangan lelaki Kejohanan Dunia BWF 2021.

Loh meneruskan kejayaannya dalam  kejohanan itu selepas menewaskan juara Olimpik Viktor Axelsen, yang sekaligus menambah popularitinya di mata dunia. 

Tetapi Loh tidak dapat mempertahankan gelarannya tahun ini dan tersingkir di suku akhir.

Dalam Sukan Asia Tenggara Mei lalu, dia berjaya meraih perak selepas tewas 13-21, 13-21 kepada Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Aksi Loh di Badminton Terbuka Singapura pada Julai lalu juga berakhir apabila ditewaskan Anthony Ginting dari Indonesia di separuh akhir.

Loh dijadual beraksi dalam kejohanan Terbuka Denmark Oktober ini, di mana dia akan berdepan Sitthikom Thammasin dari Thailand dalam perlawanan pembukaan.

Apabila ditanya bagaimana dia menangani tekanan tambahan itu ketika orang lain meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya, Loh berkata: "Saya menanganinya dengan baik setakat ini. Saya lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan dalam setiap latihan. Saya berusaha keras sambil menikmati segala yang saya lakukan.” 

Loh menambah: "Tugas itu masih belum selesai…saya masih perlu cuba yang terbaik untuk mengekalkan atau melakukan yang lebih baik dalam ranking saya."

Loh berkata dia akan beraksi dalam beberapa kejohanan berturut-turut - iaitu kejohanan Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.

"Saya sedang mempersiapkan diri untuk setiap satu perlawanan dalam satu masa dan (akan lihat) ke mana ia membawa saya," katanya.

Gelaran pemain badminton ranking tertinggi Singapura sebelum ini dipegang pemain Olimpik dua kali Zarinah Abdullah, yang menduduki tempat ketiga pada tahun 1994.

Zarinah juga merupakan pemain badminton wanita profesional pertama Singapura.

Dalam ranking wanita terkini, rakan senegara Loh, Yeo Jia Min menduduki tempat ke-16.

Axelsen dari Denmark mendahului ranking lelaki, dengan rakan senegara Anders Antonsen di tempat kedua dan Lee Zii Jia dari Malaysia di tempat ketiga.

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai nasib sekumpulan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket  penipuan kerja di luar negara.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement