Khidmat pembayaran rentas sempadan menghubungkan Singapura, Indonesia dan Malaysia
Singapura dan Indonesia telah melancarkan pautan pembayaran rentas sempadan menerusi kod QR manakala pengguna PayNow Singapura dan DuitNow Malaysia kini boleh membuat pemindahan dana secara langsung.
SINGAPURA: Singapura dan Indonesia telah mengumumkan pelancaran pautan pembayaran kod QR rentas sempadan yang membolehkan para pelanggan institusi kewangan terlibat membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR.
Ini diumumkan oleh Bank Indonesia (BI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Jumaat (17 Nov).
MAS dan Bank Negara Malaysia (BNM) pula telah melancarkan pautan sistem pembayaran masa nyata melibatkan platform PayNow Singapura dan DuitNow Malaysia.
Pautan itu akan membolehkan pemindahan dana dan kiriman wang langsung dari satu pihak ke pihak lain dengan serta-merta, selamat dan kos efektif melibatkan kedua-dua negara, kata MAS dan BNM dalam kenyataan bersama berasingan.
Pautan itu dilancarkan di Festival FinTech Singapura oleh pengarah urusan MAS Ravi Menon dan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Malaysia.
"PENCAPAIAN PENTING"
Pelancaran khidmat pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dan Singapura dilancarkan setahun selepas BI dan MAS mengumumkan bahawa kedua-dua pihak sedang mengusahakan khidmat sedemikian.
Untuk membuat pembayaran, pelanggan hanya perlu menggunakan aplikasi perbankan mudah alih sedia ada untuk mengimbas kod QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard) atau kod QR NETS yang dipaparkan pihak peniaga di Indonesia dan Singapura.
"Pautan pembayaran QR rentas sempadan ini merupakan pencapaian penting dalam usaha BI dan MAS untuk menggalakkan integrasi yang lebih besar bagi ekonomi digital dan ekosistem kewangan, serta meningkatkan ketersambungan ekonomi antara Indonesia dan Singapura," kata kedua-dua bank pusat itu.
"Dengan kemudahan pembayaran yang lebih meluas, hubungan pembayaran ini boleh membolehkan para peniaga mikro dan kecil memanfaatkan kumpulan pelanggan baharu masing-masing."
Merujuk kepada pemulihan pasca-pandemi dari segi bilangan pengunjung yang melawat antara kedua-dua negara - 600,000 ketibaan di Indonesia dari Singapura dan 1.1 juta ketibaan di Singapura dari Indonesia pada separuh pertama tahun ini - BI dan MAS berkata hubungan pembayaran itu akan mendatangkan "manfaat kepada sejumlah besar pengunjung".
Institusi kewangan dari Singapura yang menyertai khidmat pautan pembayaran itu adalah OCBC dan UOB, dengan DBS dijangka menyertainya dalam peringkat seterusnya.
Institusi kewangan yang mengambil bahagian dari Indonesia ialah: Bank Central Asia, Bank Mega, Bank Pembangunan Daerah Bali, Bank Rakyat Indonesia, Bank Sinarmas, Bank Syariah Indonesia, CIMB Niaga, Espay Debit Indonesia Koe, Netzme Kreasi Indonesia dan PermataBank.
Gabenor BI Perry Warjiyo berkata bahawa hubungan itu "akan menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, lebih murah, lebih telus dan lebih inklusif", sambil menyatakan bahawa ia sejajar dengan matlamat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk meningkatkan ketersambungan pembayaran serantau.
Encik Menon menambah: "Hubungan pembayaran QR QRIS-NETS akan mempromosikan aktiviti e-dagang rentas sempadan dan perbelanjaan pelancongan di seluruh Singapura dan Indonesia, yang dibuat oleh individu dan perniagaan kecil."
PEMINDAHAN LANGSUNG ANTARA MALAYSIA -SINGAPURA
Pada bulan Mac, Malaysia dan Singapura melancarkan pautan pembayaran kod QR yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran rentas sempadan kepada para peniaga dengan menggunakan platform PayNow Singapura dan DuitNow Malaysia.
Dalam pengumuman Jumaat, MAS dan BNM menyatakan para pengguna khidmat pembayaran itu kini boleh membuat pemindahan dana rentas sempadan dari satu pihak ke pihak lain dengan menggunakan nombor telefon bimbit dan alamat pembayaran maya mereka.
Para pelanggan institusi kewangan yang menyertai pautan itu boleh menghantar dan menerima sehingga S$1,000 (US$744) atau RM3,000 dengan cara ini setiap hari.
"Pautan PayNow-DuitNow membolehkan pemindahan dana dan kiriman wang serta-merta, selamat dan kos efektif antara kedua-dua negara," kata MAS dan BNM.
"Pautan sistem pembayaran masa nyata ini juga merupakan yang pertama melibatkan sama institusi kewangan bukan bank dari kedua-dua negara, lantaran memberikan akses kepada kumpulan pengguna yang lebih luas."
Institusi-institusi dari Singapura ialah Liquid Group, Maybank Singapore, OCBC dan UOB, manakala dari Malaysia ialah CIMB, Maybank dan TNG Digital. Seterusnya kumpulan itu akan disertai pula oleh DBS Singapura dan Hong Leong Bank Malaysia.
MAS dan BNM menyifatkan hubungan itu sebagai "pencapaian penting dalam meningkatkan kos, kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan".
Menurut MAS dan BNM, S$2.3 bilion dalam transaksi dan kiriman wang orang perseorangan telah dibuat antara kedua-dua negara tahun lepas.
"Pautan PayNow-DuitNow adalah kemuncak aspirasi bersama oleh Singapura dan Malaysia untuk memudahkan pembayaran rentas sempadan antara kedua-dua negara," kata Encik Menon.
"Pautan ini mencerminkan satu lagi langkah ke arah visi ASEAN untuk menjalin kesalinghubungan pembayaran serantau."
Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour menambah: "Pembayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan menjimatkan kos boleh memberikan manfaat yang besar, terutamanya untuk individu dan perniagaan kecil di negara yang mempunyai hubungan ekonomi yang sangat rapat seperti Malaysia dan Singapura.
"Pautan PayNow-DuitNow membolehkan kami meraih faedah ini ke arah pertumbuhan dan kemakmuran bersama kami sambil meletakkan asas bagi rangkaian pembayaran rentas sempadan berskala merentas dan melangkaui ASEAN."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.