Nilai ringgit lemah: Rakyat Johor memburu kerja di Singapura, tenaga kerja dalam negeri terjejas
Bahagian pertama tinjauan CNA terhadap cabaran tenaga kerja Johor, melihat bagaimana mata wang Malaysia yang lemah telah memburukkan lagi keadaan tenaga kerja di negeri itu, termasuk kekurangan 2,800 pekerja jagaan kesihatan hospital awam.

JOHOR BAHRU: Untuk ke tempat kerjanya setiap hari, jururawat Bavanee Kengkan terlebih dahulu perlu memandu dari rumahnya di Skudai ke perhentian bas di Gelang Patah. Dari situ beliau menaiki bas awam dan menyeberang ke Singapura menerusi Laluan Kedua Tuas, sebelum menaiki sebuah lagi bas untuk sampai ke tempat kerjanya di barat Singapura.
Ia merupakan perjalanan harian yang menjenuhkan selama 90 minit antara rumahnya dan tempat kerja
- sering diburukkan lagi dengan kesesakan lalu lintas- sesuatu yang telah dilakukan Cik Bavanee sejak sedekad yang lalu.
Namun di sebalik perjalanan yang menyukarkan itu, Cik Bavanee tetap yakin bahawa langkahnya mencari pekerjaan di Singapura adalah antara keputusan terbaik yang telah dibuatnya - semuanya kerana inginkan gaji yang lebih tinggi supaya keluarganya dapat hidup dengan selesa.

“Sebelum saya berhenti sebagai jururawat di Malaysia pada 2014, gaji pokok saya hanya RM2,700 (S$788.19) sebulan. Di Singapura, gaji asas jururawat muda pada masa itu adalah sekitar S$2,500 atau bersamaan lebih RM7,000. Jelas besar sekali perbezaan gaji itu,” katanya.
“Dalam tempoh dua tahun saya dapat melangsaikan hutang keluarga untuk rumah kami dan (pinjaman) sebuah van - yang dibeli suami saya untuk perniagaannya. Pendapatan tambahan memberi kami ketenangan fikiran,” kata ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. Tambahnya, gajinya meningkat pada “kadar yang saksama” setiap tahun, walaupun beliau enggan mendedahkan butiran pendapatannya.
Fenomena rakyat Johor yang mencari kerja di seberang Tambak untuk mendapatkan gaji lebih tinggi bukanlah perkara baru. Jaraknya yang dekat dengan Singapura serta prospek memperoleh gaji dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada di Johor sudah cukup menjadi alasan yang meyakinkan.
Dengan nilai Ringgit Malaysia merosot lagi baru-baru ini berbanding Dolar Singapura ini telah menarik lebih ramai rakyat Johor berkemahiran untuk mencari kerja di seberang Tambak. Mereka yang sudahpun bekerja di Singapura pula bertekad untuk terus bekerja di negara itu.
Sehingga Selasa (26 Sep), nilai dolar Singapura berbanding ringgit Malaysia ialah 3.4271 menurut laporan Bernama. Ia meningkat 7.09 peratus daripada kira-kira 3.20 pada Julai 2022.
Kenaikan itu menimbulkan lebih banyak tekanan terhadap beberapa sektor ekonomi di Johor yang sebelum ini sudah pun dilanda kehilangan tenaga kerja sejak tiga tahun lepas akibat pandemik COVID-19.Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong memberitahu CNA bahawa kerajaan persekutuan amat menyedari isu itu dan sedang berusaha untuk menaikkan gaji di negeri sebelah selatan itu.

"Setiap pagi, puluhan ribu rakyat Malaysia menaiki motosikal mereka menuju ke Singapura, pada pukul 4 pagi, 5 pagi. Mereka bekerja dalam pekerjaan yang membayar S$2,000. Ini sebahagiannya kerana di Malaysia, gaji sangat rendah... mungkin satu pertiga daripada gaji yang mereka peroleh di Singapura dan dari segi penukaran mata wang, terdapat jurang yang besar.
“Keadaan ini menjadikan alasan yang menarik bagi rakyat Malaysia biasa untuk bekerja di Singapura. Di Malaysia, kami perlu meningkatkan gaji dengan menarik pelaburan lebih tinggi ke dalam bidang teknologi, automasi dan pendigitalan,” kata Encik Liew, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri di Johor.
JAGAAN KESIHATAN, F&B KEKURANGAN PEKERJA
Pada Mei 2022, kerajaan Johor mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu pekerjaan serta "fenomena penghijrahan bakat " ke Singapura.
Pengerusi jawatankuasa sumber manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah menggariskan bahawa Johor "mengalami kekurangan pekerja tempatan untuk beberapa sektor ekonomi utama seperti perkhidmatan, komoditi dan pembuatan".
Beliau menambah apabila sempadan darat dibuka semula selepas COVID-19, ramai rakyat Johor menerima tawaran untuk bekerja di Singapura dan "kadar tukaran mata wang pula memihak kepada mereka yang menerima dolar Singapura".
Setahun kemudian masalah tersebut terus mencengkam Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon memberitahu CNA baru-baru ini bahawa "bukanlah satu rahsia" bahawa sektor jagaan kesihatan mengalami kekurangan tenaga kerja.
"Kami kekurangan 2,800 jururawat di hospital awam, dan ini belum lagi termasuk jururawat di hospital-hospital swasta," kata Encik Ling.
“Kami bekerjasama dengan kementerian kesihatan … dan kami perlu melatih lebih ramai jururawat di dalam negara. Diharapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun, kami akan dapat meningkatkan jumlah jururawat muda di hospital-hospital di seluruh negeri,” tambah beliau.
Pengurus serantau kemudahan jagaan kesihatan swasta Columbia Asia, Cik Rahani Yaakob, yang menyelia dua cawangan hospital di Johor - Tebrau dan Iskandar Puteri - memberitahu CNA bahawa kekurangan jururawat khususnya di Johor adalah agak "teruk".
“Ada yang bekerja selama beberapa tahun sebelum menerima pilihan-pilihan lain di Singapura di mana mereka mendapat gaji yang lebih baik. Kami tidak dapat membantunya. Sekarang ini kami lihat luar negara sebagai pilihan untuk para jururawat kami,” tambah Cik Rahani.
Menurut beliau, kedua-dua hospital swasta Johor itu kini menyaksikan permintaan katil yang meningkat tinggi termasuk dari kalangan pelancong perubatan asing. Namun beliau akui disebabkan kekurangan jururawat, adalah sukar baginya untuk memenuhi permintaan tersebut. Syarikat itu bagaimanapun tidak dapat memberikan angka tertentu bagi kenaikan permintaan yang disebutnya.
Sementara itu, masalah yang sama juga semakin berleluasa dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Presiden Persatuan Tukang Masak Johor Bahru John Ang memberitahu CNA bahawa sepanjang tahun lepas, bilangan tukang masak dan tukang masak di seluruh restoran di bandar ini telah turun sebanyak 40 peratus, berdasarkan maklum balas daripada rakan-rakan persatuannya."Oleh kerana mata wang, ramai kakitangan sedemikian telah ke Singapura dan adalah sukar untuk menarik mereka untuk kembali," kata Encik Ang.

“Kadar tukaran hari ini adalah sekitar 3.4, jadi ini bermakna jika mereka memperoleh sekitar S$2,000 di Singapura, ini sudah hampir RM7,000, dan banyak restoran di Johor tidak mampu membayar separuh daripada jumlah ini kepada tukang masak mereka,” tambahnya.
Beliau menambah, berdasarkan pemerhatiannya, tukang masak yang diupah oleh firma Singapura pada umumnya adalah mereka yang lebih mahir dalam bidang memasak.
"Mereka yang menjadi sasaran firma Singapura adalah mereka yang lebih mahir, berpengalaman dan secara umumnya boleh melakukan kerja dua hingga tiga orang," kata Encik Ang, yang juga pengasas bersama Restoran Makanan Laut Grand Senibong di Masai, Johor .
"Keadaan ini mewujudkan kekosongan kerja di Johor kerana (pekerjaan) yang terdapat di Johor Bahru hanyalah sebagai tukang masak yang kurang mahir."
Encik Ang mengakui bahawa kekurangan tukang masak dan pelayan di JB telah menyebabkan masa menunggu yang lebih lama kepada pelanggan restoran dan ini pula menyebabkan pengalaman yang lebih tidak menyenangkan kepada mereka.
"Restoran di Johor Bahru kekal popular tetapi kadangkala disebabkan kekurangan tenaga kerja, kami tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi dan memastikan semua pelanggan kami gembira," tambahnya.
Seorang chef eksekutif, yang bekerja di restoran JB sebelum pandemik COVID-19 dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Lim, adalah antara contoh rakyat Johor yang mendapat pekerjaan di Singapura baru-baru ini.
Encik Lim telah diberhentikan kerja apabila kedai makan JB di mana dia bekerja ditutup semasa COVID-19. Dia memberitahu CNA bahawa bekerja di Singapura bukan sahaja membolehkannya meningkatkan gajinya sebanyak tiga kali ganda, tetapi ia juga memberinya ruang untuk berkembang sebagai tukang masak.
Dia mendapat kerja menerusi iklan Facebook yang memerlukan seorang tukang masak di sebuah kedai makan stik di Tanjong Pagar. Dia sudah bekerja di kedai makan berkenaan sejak Februari.
"Saya tidak menoleh ke belakang sejak itu," kata Encik Lim yang berusia 42 tahun. "Saya fikir bekerja di Singapura membuka lebih banyak pintu dan membolehkan saya bekerja dengan antara yang terbaik di rantau ini."
Encik Lim menyewa sebuah bilik di flat HDB di Bukit Merah kerana ia akan memudahkan perjalanannya ke tempat kerja. Dia pulang ke rumahnya di Johor Bahru sebulan sekali untuk berjumpa dengan ibu bapanya.
Beliau berkata walaupun kos sara hidup Singapura lebih tinggi, gaji yang lebih baik yang diterimanya masih dianggap sebagai masuk akal dari segi kewangan.
“Di Singapura, saya perlu membayar lebih untuk sewa, makanan, dan pengangkutan berbanding di Johor Bahru. Tetapi gaji yang lebih tinggi menampung perbelanjaan ini dan masih memberi saya lebih banyak pendapatan boleh guna untuk membeli benda-benda yang saya inginkan,” tambah Encik Lim.
FIRMA JOHOR PERLU RAPATKAN JURANG GAJI: TIMBALAN MENTERI
Ahli ekonomi Lee Heng Guie, yang merupakan pengarah eksekutif badan pemikir Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, memberitahu CNA bahawa kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor perlu menangani punca masalah dengan meningkatkan pendapatan pekerja tempatan melalui satu pendekatan jangka panjang.
Beliau mencadangkan supaya dilaksanakan skim serupa dengan Model Gaji Progresif Singapura (PWM) yang bertujuan menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah di Republik itu dengan membangunkan set kemahiran pekerja melalui pelan kemajuan kerjaya yang dipersetujui bersama antara pemerintah, kesatuan sekerja dan perniagaan.
Malaysia kini melaksanakan model gaji minimum. Pada bulan Mei, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.
Encik Lee berkata perbezaan paling ketara ialah PWM memberi insentif kepada pekerja untuk mencari kenaikan gaji dengan meningkatkan kemahiran mereka.
“Tetapi majikan perlu menyediakan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada pekerja mereka; dan mengamalkan amalan perniagaan yang mampan dan inklusif – termasuk budaya kerja-kehidupan yang seimbang. Pekerja mesti komited kepada pembangunan diri untuk meningkatkan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran mereka,” tambahnya.
Timbalan Menteri Liew memberitahu CNA bahawa Johor akan dapat mengekalkan tenaga kerjanya dengan lebih baik jika ia mampu menawarkan gaji sekitar dua pertiga daripada yang ditawarkan di seberang Tambak. Beliau berkata ini akan dapat dicapai terutamanya dalam sektor pembuatan.

“Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan gaji S$2,000 dan ke bawah … di sini kita membincangkan soal menawarkan mereka gaji RM5,000,” kata Encik Liew.
Bersetuju dengan pandangan itu, Encik Ang berkata satu penyelesaian untuk mengekalkan bakat di Johor adalah dengan syarikat tempatan menawarkan gaji yang lebih tinggi.
Bagi Grand Senibong Seafood, beliau berkata bahawa semua chef eksekutif memperoleh lebih RM15,000 untuk memastikan mereka terus komited dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dari Singapura.
"Pengusaha di JB perlu menawarkan gaji yang kompetitif jika kita mahu mengekalkan bakat. Jika kita boleh menandingi gaji yang ditawarkan, maka kita haruslah cuba melakukannya," kata Encik Ang.
"Jika kita tidak boleh menawarkan sehingga RM7,000, saya rasa RM4,000 adalah adil, memandangkan ramai pekerja boleh lebih berjimat kerana kos sara hidup di Johor lebih murah dan restoran kami menawarkan mereka tempat tinggal," katanya.
Bagaimanapun, ketua eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Thomas Mathew, memberitahu CNA bahawa mungkin tidak realistik untuk mengharapkan syarikat Johor menaikkan gaji pekerja tempatan kepada dua pertiga daripada apa yang ditawarkan oleh Singapura.
Firma-firma Johor perlu mengambil kira kos operasi sedia ada serta menjelaskan kepada para pemegang saham sebarang lonjakan dalam perbelanjaan tenaga kerja, kata Encik Mathew. Agensi beliau ditubuhkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia dengan tanggungjawab untuk menarik dan mengekalkan bakat serta kepakaran yang betul dalam meningkatkan ekonomi Malaysia.
"Jadi tentunya kuasa pasaran yang sebenarnya menentukan di mana paras gaji harus berada," tambah beliau.
Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng mencadangkan bahawa majikan yang tidak dapat menaikkan gaji mungkin perlu mencari tenaga kerja mereka dari negeri-negeri negeri lain di Malaysia, iaitu negeri-negeri "yang menghadapi masalah pengangguran belia dan kekurangan kerja".
Beliau menambah bahawa tanggungjawab juga terletak pada kerajaan tempatan untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat Johor dan melengkapkan mereka dengan set kemahiran demi merebut peluang pekerjaan yang dibawa oleh pelaburan berpotensi ke negeri ini.
“Kemajuan ekonomi Singapura yang berterusan dan jurang pendapatan yang semakin melebar dengan Malaysia menunjukkan bahawa kemasukan pekerja Malaysia (ke republik itu) akan berterusan,” kata Dr Yeah.
“Hanya apabila Malaysia meningkatkan peluang pekerjaannya dan mengurangkan jurang perbezaan gaji dengan Singapura - barulah kita akan dapat melihat berkurangnya rakyat Johor menyeberang sempadan untuk mencari pekerjaan.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.