Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Bantuan peniaga kecil: Usaha kerajaan Malaysia tangani pengangguran, jurang pendapatan

Bantuan peniaga kecil: Usaha kerajaan Malaysia tangani pengangguran, jurang pendapatan
Gerai Monti Keopi yang diusahakan peniaga kecil Ahmad Iskandar.

KUALA LUMPUR: Usahawan Ahmad Iskandar memulakan gerai berkonsepkan kopi grab-and-go dari sebuah ruang kecil di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal tahun ini.

Inisiatifnya mengadunkan budaya minuman kopi Korea Selatan dan Itali dengan biji kopi mport dari Aceh Indonesia, membolehkan gerainya, Monti Keopi, mendapat sambutan hangat para pelajar universiti.

Menerusi bantuan geran kerajaan di bawah program usahawan mikro i-Tekad, perniagaan Ahmad bertambah menjadi lima gerai di beberapa universiti di Malaysia.

LATIHAN USAHAWAN MUDA

Bagaimanapun, usaha melatih para mahasiswa untuk menjadi usahawan muda seperti beliau, bukanlah semudah itu, tegas Ahmad sendiri. 

Usahawan Ahmad Iskandar, 29, yang mengendalikan lima gerai Monti Keopi, bercakap kepada CNA dalam satu temu bual.

Bagi perniagaannya sendiri, Ahmad berkata beliau secara aktif merekrut kakitangan barista, iaitu mereka yang ahli dalam membuat dan menyajikan minuman kopi. Selain mengajar mereka cara baik membancuh secawan kopi, dia juga melatih dan menggalakkan mereka untuk memulakan perniagaan sendiri. Namun, hanya segelintir sahaja yang mengikuti jejak langkahnya.

"Ia sukar. Daripada 10 peserta (yang menyertai latihannya), hanya seorang sahaja yang akan menjadi bos sendiri, CEO dengan jenama dan perniagaan mereka sendiri,” katanya.

Tambah Ahmad lagi, mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan perlu mempunyai pemikiran yang betul, disiplin, dan kesanggupan untuk bekerja keras.

Penerima geran program i-Tekad itu berkata inisiatif itu membantu mereka yang mahu mengambil langkah pertama dalam bidang keusahawanan tetapi kekurangan modal untuk berbuat demikian.

“Kebanyakan mereka yang memohon i-Tekad adalah mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Mereka kehilangan arah, tidak tahu nak buat apa... Geran i-Tekad menyediakan peluang kepada mereka yang tidak mempunyai dana mencukupi untuk memulakan perniagaan,” katanya.

TULANGN BELAKANG EKONOMI 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan 1.15 juta perniagaan adalah tulang belakang kepada ekonomi Malaysia.

PKS membentuk lebih 97 peratus perniagaan di Malaysia, menyumbang 38 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.  

Daripada jumlah ini, hampir 80 peratus adalah perusahaan mikro.

Kerajaan berharap dengan memperkenalkan program seperti i-Tekad, lebih ramai rakyat Malaysia akan membuka perniagaan kecil, dan pada masa yang sama dapat menampung sebahagian kadar pengangguran di negara itu. 

Pemain-pemain industri mengatakan pertambahan jumlah usahawan mikro ini, yang mengendalikan perniagaan berskala kecil dengan sedikit atau tiada pekerja langsung, boleh juga bantu merapatkan jurang pendapatan yang semakin meluas antara negeri-negeri di Malaysia. 

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyuarakan harapan lebih banyak bank komersial menyertai program usahawan mikro i-Tekad.

Sebelas bank komersial kini terlibat dalam program pembiayaan sosial di bawah i-Tekad. 

Dalam satu kunjungan ke Bank Negara Malaysia baru-baru Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau berharap untuk melihat bilangan bank komersial yang menyertai i-Tekad meningkat kepada 21 menjelang akhir tahun.

Kerajaannya juga telah mengumumkan penambahan peruntukan dana untuk inisiatif itu daripada RM4 juta kepada RM10 juta (AS$2.2 juta).

SUKAR MENDAPATKAN BANTUAN

Walaupun adanya pelbagai inisiatif kerajaan, masih ramai peniaga berkata adalah sukar bagi mereka untuk mendapatkan bantuan. Mereka berkata kerajaan sepatutnya mempunyai program yang memenuhi demografi tertentu.

Cik Maziah Kamarulzaman, rakan kongsi dalam satu rangkai perniagaan kopi, Coffee Classic, mencadangkan pihak berkuasa melancarkan geran untuk para lepasan universiti yang sukar mendapat pekerjaan. Skim itu boleh dilaksanakan selari dengan skim-skim lain seperti membantu warga emas seperti beliau sendiri. 

Cik Maziah Kamarulzaman, rakan kongsi di Coffee Classic, dan suaminya Encik Mohd Azmi Kamarulzaman, dalam wawancara dengan CNA.

“Tidak semua orang boleh melakukan perkara yang sama. Kami menghargai apa yang kerajaan cuba lakukan untuk kami, tetapi (kerajaan) juga harus memikirkan tentang perbezaan antara mereka yang memerlukan bantuan,” tambahnya.

Suaminya, Encik Mohd Azmi Kamarulzaman, yang membantunya menguruskan perniagaan, berkata sukar baginya untuk mendapatkan geran, sambil  meminta supaya prosesnya dipermudahkan dan lebih telus lagi. 

GERAN BERSASARAN

Banyak perniagaan kecil dilaporkan sedang bergelut di tengah-tengah peningkatan kos dan pengurangan kuasa beli pengguna.

Pakar ekonomi berkata bantuan mesti lebih disasarkan dan menjurus kepada hasil pencapaian.

“Sokongan itu perlu (dihulurkan kepada orang yang betul), bukan hanya kerana seseorang itu miskin. Ia mestilah atas dasar bahawa bantuan itu boleh memajukan sesebuah perniagaan,” kata Dr Noor Azlan Ghazali, pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia.

“Ia tidak boleh sekadar mengumumkan berapa juta (rakyat) yang mendapat (geran) tersebut. Kita juga perlu melihat sejauh mana mereka yang terlibat boleh meningkat maju tanpa sokongan kerajaan.”

Dr Noor Azlan berkata beliau lebih bimbang tentang peningkatan jurang pendapatan dan jurang pertumbuhan antara negeri-negeri di Malaysia.

Pada masa ini, separuh daripada pekerja di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM2,300 (AS$500) sebulan.

Kerajaan berjanji untuk meningkatkan pendapatan pekerja dan menangani soal kenaikan gaji di bawah   pelan induk perindustrian yang baharu.

Ia juga mahu mengurangkan pergantungan terhadap tenaga buruh asing yang berkemahiran rendah, yang menyumbang kepada kadar gaji rendah di Malaysia keseluruhannya.  

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.    

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini bagaimana derita penyakit kulit tidak menghalang seorang ibu melanjutkan pengajian dan membesarkan empat anak.    

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement