Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Bayaran berpatutan, kemudahan canggih: Lebih ramai warga asing ke hospital swasta Johor untuk mendapatkan rawatan

Namun, masalah kekurangan jururawat boleh menghalang Johor daripada memenuhi potensinya sebagai hab pelancongan perubatan.

Bayaran berpatutan, kemudahan canggih: Lebih ramai warga asing ke hospital swasta Johor untuk mendapatkan rawatan

Pakar Perbidanan Dr Sharifah Halimah Jaafar melakukan pembedahan di Hospital Gleneagles Medini. (Foto: Hospital Gleneagles Medini)

JOHOR BAHRU: Apabila seorang pemilik restoran di Batam, Jason Grantino mengalami kecederaan 'ligamen anterior cruciate' (ACL), ketika bermain bola keranjang September lalu, beliau segera menempah tiket feri untuk ke Johor. 

Dalam keadaan sakit pada lutut kirinya, warga Indonesia berusia 32 tahun itu melepasi terminal feri dengan kerusi roda dan menaiki bot selama 90 minit dari Batam ke Stulang Laut di Johor Bahru.

Beliau kemudian terus menuju ke Hospital Pakar Regency, sebuah kemudahan penjagaan kesihatan swasta berhampiran Pasir Gudang di mana beliau  beberapa kali melakukan pemeriksaan tahunannya.

Pihak hospital menghantar bas untuk menjemputnya di terminal feri dan pada hari berikutnya, pembedahan untuk merawat ligamennya telah dilakukan.

Selepas tiga temu janji susulan kemudian, Encik Grantino menunjukkan pemulihan sepenuhnya dan tidak sabar untuk menyambung semula permainan bola keranjangnya dalam beberapa bulan.

Encik Jason Grantino (kanan) semasa berjumpa pakar bedah ortopediknya di Hospital Pakar Regency. (Foto: CNA/Amir Yusof)

Beliau memberitahu CNA bahawa beliau sanggup meredah laut dari Batam ke Johor demi mendapatkan rawatan di Johor Bahru.

“Ia mengenai kepercayaan. Saya mempercayai Hospital Regency (Pakar) dan saya mahu melakukan operasi ACL di Regency,” katanya.

Encik Grantino menceritakan bagaimana beberapa ahli keluarganya mempunyai pengalaman buruk dengan prosedur perubatan di Batam, dan dirinya sendiri tidak sanggup berhadapan dengan risiko sesuatu rawatan yang gagal. 

Dia menceritakan bahawa sepupunya menjalani pembedahan ACL di Batam, tetapi pemulihannya amat perlahan selama enam bulan selepas prosedur dilakukan.

“Setakat ini, pengalaman saya di Johor berjalan lancar. Selepas tiga hingga empat bulan, saya sudah bergerak dan berjalan. Dan harga rawatan juga berpatutan,” tambah Encik Grantino.

Disebabkan oleh bayarannya yang dalam kemampuan dan kemudahannya yang canggih, Johor menjadi destinasi pelancongan perubatan yang semakin menarik. Namun, kekurangan jururawat boleh mengekang potensinya untuk berkembang, demikian menurut beberapa pihak kepada CNA.

KENAIKAN JUMLAH PESAKIT SELEPAS PANDEMIK

Encik Grantino adalah antara pesakit asing yang telah berbondong-bondong ke Johor untuk mendapatkan rawatan perubatan sejak sempadan dibuka semula selepas pandemik COVID-19.

Sepanjang dua dekad yang lalu, sebilangan besar hospital swasta telah berkembang di seluruh daerah  Iskandar Malaysia. Beberapa hospital yang menawarkan kemudahan perubatan terkini berjaya menarik ramai pesakit dari Indonesia, Singapura dan China.

Menurut hospital swasta yang ditemui CNA, sebahagian besar pelancong perubatan melawat Johor untuk rawatan ortopedik, obstetrik dan penyakit sakit puan (gynaecology), persenyawaan in-vitro (IVF) serta rawatan barah. 

Ketua Eksekutif Hospital Pakar Regency Serena Yong memberitahu CNA bahawa hospital itu merawat sekitar 200,000 pesakit setiap tahun. Beliau berkata daripada jumlah ini, 15 hingga 20 peratus adalah pesakit asing. Ini adalah "peningkatan yang ketara" daripada era sebelum COVID-19, katanya.

“Kita dapat lihat bahawa bilangan pesakit asing telah meningkat baru-baru ini sehingga melebihi tahap pra-pandemik. Kami melihat lebih ramai rakyat Singapura dan Indonesia dan ini sangat menggalakkan,” kata Cik Yong.

Dr Jennifer Lee - pakar telinga, hidung dan tekak di Hospital Pakar Regency - memberitahu CNA bahawa 2 daripada 5 pesakitnya merupakan pelancong perubatan. (Foto: CNA/Amir Yusof)

Di Hospital Gleneagles Medini, yang terletak berhampiran bahagian barat daya Johor, ketua pegawai eksekutif Kamal Amzan berkata kira-kira satu daripada empat pesakitnya adalah adalah pelawat antarabangsa.

“Saya rasa sejak lapan tahun lalu, kami telah berkembang daripada sebuah hospital yang sangat kecil yang memfokuskan kepada pelanggan tempatan utamanya dari Gelang Patah dan Iskandar Puteri,  kepada menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang bukan sahaja menjaga pesakit dari Johor, tetapi Indonesia, China … dan Singapura. ,” kata Dr Kamal kepada CNA.

Sementara itu, bagi Hospital Columbia Asia yang mempunyai dua cawangan di Johor - Tebrau dan Iskandar Puteri – kadar penghuniannya kekal tinggi iaitu 70 hingga 100 peratus selepas wabak.

Pengurus serantau Columbia Asia Rahani Yaakob, yang menyelia kedua-dua hospital, memberitahu CNA bahawa kadar penghunian didorong oleh "peningkatan luar biasa pesakit asing yang mendapatkan rawatan".

“Jumlah pesakit asing seperti Indonesia, Singapura dan China melonjak selepas pandemik dan ini telah membantu perniagaan kami,” kata Cik Rahani.

KOS RENDAH UNTUK BEBERAPA RAWATAN

Apabila ditanya apakah faktor tarikan terbesar bagi pesakit asing, kedua-dua pesakit dan doktor berpendapat bahawa ia disebabkan oleh rawatan pada kos yang berpatutan untuk penyakit-penyakit seperti barah, ortopedik dan obstetrik.

Kedudukan geografi Johor, yang boleh dimasuki dari Singapura dan Indonesia memberi kelebihan kepadanya untuk menarik para pelancong perubatan.

Dr Kamal dari Gleneagles Medini berkata: "Saya ambil contoh seorang pesakit yang perlu menjalani kemoterapi di Singapura. Ubat-ubatnya adalah sama, tetapi mereka membayar lebih rendah di hospital di Malaysia. Saya rasa Johor akan menjadi lokasi pilihan memandangkan kedudukannya yang dekat dengan Singapura.”

Dr Teo Yin Keong, pakar onkologi di Gleneagles Medini, memberitahu CNA bahawa rawatan itu lebih murah kerana beberapa syarikat farmaseutikal, termasuk syarikat besar, membekalkan ubatan pada harga yang lebih rendah ke hospital Malaysia berbanding hospital di negara jiran.

“Jika diketepikan subsidi kerajaan dan kadar pertukaran, kos rawatan adalah sekurang-kurangnya 50 peratus lebih rendah di Malaysia berbanding di Singapura dan beberapa tempat di Indonesia,” tambah Dr Teo.

Bagi warga Indonesia, Encik Grantino, lanngkah beliau memilih untuk melakukan pembedahan ACL di Hospital Pakar Regency merupakan keputusan yang amat mudah baginya. 

Beliau membayar kira-kira RM30,000 secara keseluruhan untuk pembedahan dan rawatan susulan berikutnya.

Encik Grantino memberitahu CNA bahawa berdasarkan pemeriksaan yang dilakukannya, pembedahan membaiki semula ACL boleh menelan kos sekitar S$20,000 (RM60,000) di sebuah hospital swasta Singapura untuk warga asing yang tidak mempunyai insurans. Tambahnya, pembedahan yang sama menelan belanja sekitar 130 juta rupiah (AS$8,740) di sebuah hospital swasta di Batam.

Hospital Columbia Asia, Tebrau, yang dibuka pada 2019, terletak sekitar 10 minit perjalanan dari Koswe Woodlands. (Foto: CNA/Amir Yusof)

Sementara itu, warga Singapura Norfadzilla Rahmat, yang sedang mengandung empat bulan, memberitahu CNA bahawa beliau telah membeli pakej pemeriksaan pra-bersalin dengan Hospital Columbia Asia Tebrau, sebuah hospital swasta yang terletak sekitar 10 minit perjalanan dari Koswe Woodlands.

Beliau berkata pakej itu - yang merangkumi 10 pemeriksaan, konsultasi bersama doktor dan pemeriksaan ultrasound - berharga sekitar RM2,400.

“Sesetengah hospital swasta di Singapura mengenakan bayaran tiga kali ganda jumlah itu (untuk jenis perkhidmatan yang sama) jadi saya rasa saya membuat pilihan yang baik,” kata konsultan pengurusan berusia 30 tahun itu.

“Pengalaman saya di Johor setakat ini begitu baik. Ia berpatutan dengan kemudahan canggih. Saya sangat terkejut dengan tahap penjagaannya,” tambah Cik Norfadzilla.

Menurutnya ketika beliau merancang untuk melakukan pemeriksaan pra-bersalin di Johor, beliau mahu melahirkan anaknya di hospital Singapura.

“Saya rasa ia lebih baik dari segi pentadbiran kerana saya dan suami adalah warga Singapura. Ia juga lebih mudah untuk ahli keluarga dan rakan-rakan kami melawat,” kata Cik Norfadzilla.

MENCUNGKIL POTENSI JOHOR 

Kerajaan negeri Johor menyedari bahawa terdapat potensi yang belum diterokai dalam bidang pelancongan perubatan.

Pada Mac lalu, Timbalan Pengarah Pelancongan Johor Dr Mohd Azlan Abdul Jalil berkata negeri itu menyasarkan untuk membawa masuk sekurang-kurangnya 100,000 pelancong perubatan tahun ini.

Beliau menambah bahawa Johor sedang berusaha untuk meningkatkan pemasaran untuk menarik pelancongan perubatan dari negara-negara yang lebih jauh seperti Vietnam, India, Jepun dan Korea Selatan.

Pada Januari, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata bahawa kerajaan negeri sedang meneroka kemungkinan perkhidmatan feri antara Singapura dan Puteri Harbour.

Beliau berkata pada 2022, lebih 141,000 pelancong yang datang dari Batam dan Tanjung Balai di Indonesia masuk melalui terminal Puteri Harbour.

Encik Onn Hafiz berkata antara 2019 dan 2022, sekitar 36 peratus pengunjung yang tiba di terminal itu adalah pelancong kesihatan yang datang untuk mendapatkan  rawatan di Johor.

Terminal feri terletak berhampiran dengan hospital swasta seperti Gleneagles Hospital Medini dan Columbia Asia Hospital Iskandar Puteri.

Selain itu, hospital-hospital swasta di Johor juga sedang meningkatkan usaha untuk mengembangkan premis serta kualiti perkhidmatan mereka.

Hospital Pakar Regency sedang membina sebuah blok 10 tingkat yang baharu bersebelahan dengan bangunan utama yang akan meningkatkan kapasiti hospital sehingga 500 katil.

Kerja-kerja perluasan Hospital Pakar Regency di Masai, Johor. Ia menyediakan saringan kesihatan untuk para pekerja loji penapisan minyak dan gas di Pasir Gudang. (Foto: CNA/Amir Yusof)

Turut dalam perancangan ialah Hab Perubatan Thomson, sebuah hospital tahap tertiari pelbagai disiplin dengan latihan kejururawatan serta kemudahan penyelidikan perubatan yang terletak di Stulang Laut,  di pusat bandar Johor Bahru. Hospital itu adalah sebahagian daripada kumpulan jjagaan kesihatan Malaysian Healthcare Group TMC Life Sciences, yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam rawatan kesuburan.

Menurut laporan The Edge, hospital itu dijadualkan dibuka pada 2024.

KEKURANGAN JURURAWAT KEKANG POTENSI 

Di sebalik usaha untuk meningkatkan dan menambah penawaran khidmat pelancongan perubatan Johor, terdapat isu yang boleh memberi kesan kepada rancangannya. Ia adalah masalah kekurangan jururawat.

Dr Kamal dari Gleneagles Medini berkata, hospital-hospital di Johor mesti memberi tumpuan terlebih dahulu untuk meningkatkan bekalan jururawat sebelum ia boleh menerima lebih ramai pesakit asing dan meningkatkan kapasitinya secara menyeluruh. 

“Kekangan yang kami ada bukan pada keupayaan kami untuk menarik pesakit asing, ia adalah sumber kami. Jumlah katil (tersedia) bergantung kepada bilangan jururawat dan saya fikir ia adalah fenomena di seluruh dunia di mana anda melihat adanya masalah kekurangan jururawat yang teruk,” kata Dr Kamal.

"Jadi apabila anda berhadapan dengan isu kapasiti dan perlu memutuskan sama ada untuk sediakan rawatan kepada jumlah pesakit yang ada sekarang yang kebanyakannya adalah pesakit tempatan, atau anda mahu mengembangkan pasaran anda ke tahap antarabangsa, saya rasa fokus anda seharusnya kepada pesakit tempatan,” kata beliau. 

Kekurangan jururawat yang teruk telah menjadi masalah berterusan bagi Johor.

Pada Mei 2022, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon memberitahu pemberita bahawa negeri itu menghadapi kekurangan antara 15,000 hingga 18,000 jururawat.

Cik Yong dari Hospital Pakar Regency memberitahu CNA bahawa beberapa hospital swasta di Johor bekerjasama untuk menubuhkan sebuah kolej kejururawatan baharu di negeri itu bagi meningkatkan bekalan untuk hospital-hospital swasta.

“Kami ingin menawarkan program tajaan kepada pelajar-pelajar muda untuk mengikuti pengajian kejururawatan. Ini diharapkan dapat meningkatkan bekalan jururawat tempatan dan membantu industri pelancongan perubatan menjadi lebih mampan,” tambahnya.

“Sudah tidak dapat dielakkan bahawa kadar keciciran (lulusan meninggalkan bidang jururawat di Johor) adalah tinggi…tetapi kami akan menyediakan ikat janji bon pengajian selama tiga tahun supaya mereka berkhidmat di Johor (selepas tamat kursus),” kata Cik Yong. Cik Rahani dari Columbia Asia menambah bahawa walaupun menubuhkan kolej kejururawatan yang dibiayai swasta adalah idea yang baik, beliau melahirkan kebimbangan bahawa ramai rakyat Malaysia tidak mahu menyertai kerjaya tersebut. 

“Kerajaan (kerajaan persekutuan), misalnya, cuba mendapatkan beberapa jururawat kami untuk bekerja dengan hospital-hospital awam, jadi ini menyukarkan keadaan, kata Cik Rohani.

“Kami cuba yang terbaik untuk melatih (masyarakat tempatan) dan melibatkan pelajar untuk menyertai kerjaya perubatan. Tetapi terus terang, tidak ramai yang mahu mengambilnya. Mungkin kerana penularan penyakit seperti COVID-19, ramai yang takut untuk menyertai bidang jururawat kerana takut dijangkiti semasa bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa tanda bahawa kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyelesaikan isu tersebut.

Dalam catatan Facebook pada hari Isnin (22 Mei), Menteri Besar Onn Hafiz menulis bahawa beliau dan Encik Ling bertemu dengan timbalan ketua setiausaha Kementerian Kesihatan Norazman Ayub untuk menyampaikan kebimbangan bahawa Johor kini mengalami kekurangan 2,800 kakitangan penjagaan kesihatan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon (kiri) dalam pertemuan dengan timbalan ketua setiausaha Kementerian Kesihatan Norazman Ayub pada 22 Mei 2023. (Foto: Facebook/Onn Hafiz Ghazi). 

“Adalah menjadi harapan saya agar Kementerian Kesihatan dapat mempertimbangkan untuk mengisi jawatan ini secepat mungkin bagi memenuhi keperluan dan memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat Johor,” tambahnya.

Dr Kamal dari Hospiral Gleneagles Medini melahirkan keyakinan bahawa jika kekurangan itu dapat diatasi, Johor mempunyai potensi yang tidak terbatas dalam bidang pelancongan perubatan. 

“Selepas COVID-19 kita kini perlu mengejar kembali apa yang telah ketinggalan. Kita perlu melabur lebih banyak dalam membangunkan modal insan,” kata Dr Kamal.

"Apabila kita sudah dapat mengatasi isu kapasiti, tidak ada-apa lagi yang akan membataskan potensi kita.” 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.   

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai projek 'bumbung sejuk' di Indonesia untuk menangani masalah suhu panas. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement