Malaysia bakal hasilkan daging buatan makmal: Bagaimana ia boleh kurangkan gas daripada aktiviti pertanian?
Bersempena Hari Bumi, CNA meninjau usaha Malaysia dalam membuka kilang pengeluaran daging buatan makmal pertamanya di Pulau Pinang dan bagaimana ini dapat membantunya menangani isu perubahan iklim.
SINGAPURA: Malaysia bersedia untuk memulakan pengeluaran daging buatan makmal sendiri dalam tempoh dua tahun akan datang, dalam satu langkah yang berpotensi membantu memerangi perubahan iklim secara mendesak.
Syarikat Malaysia Cell AgriTech berhasrat untuk menyiapkan pembinaan kilang pengeluaran daging biakan pertama di Pulau Pinang itu menjelang akhir 2024, di mana ia akan menanam sel haiwan hidup dalam bioreaktor untuk dijadikan produk daging kepada pengguna.
Secara amnya, teknologi ini lebih hijau berbanding pertanian tradisional. Membuat daging di makmal tidak memerlukan kawasan yang luas dan ia dapat dilakukan lebih dekat dengan pengguna, sekaligus mengurangkan jejak karbon disebabkan oleh pembersihan tanah dan logistik yang diperlukan untuk menghantar produk.
Menurut laporan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterbitkan pada 2013, 14.5 peratus daripada semua pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh manusia boleh dikaitkan dengan penternakan.
Majoriti pelepasan ini berasal daripada pengeluaran makanan dan gas yang dikeluarkan semasa pencernaan haiwan, misalnya, apabila lembu bersendawa dan mengeluarkan gas metana. Metana dilaporkan lebih berbahaya kepada alam sekitar berbanding karbon dioksida.
"Kami menggunakan sedikit tanah, sedikit air dan menghasilkan sisa yang kurang," pengasas Cell AgriTech Jason Ng memberitahu CNA, sambil menyatakan sel hanya perlu diekstrak daripada seekor haiwan.
“Jika anda bercakap tentang ikan, sesetengah orang tidak makan kepala atau kulitnya. Tetapi kita boleh mengambil sel otot sahaja daripada ikan dan menghasilkan filet ikan."
Cell AgriTech, yang bekerjasama dengan pengeluar makanan laut buatan makmal Umami Meats yang berpusat di Singapura, menyasar untuk menghasilkan ikan kerapu yang dibakakan dan daging belut Jepun pada skala untuk dieksport menjelang 2025.
Ketika ini, Malaysia tidak membenarkan penjualan daging buatan makmal, tetapi Encik Ng berkata syarikatnya sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengawal selia produknya bagi tujuan keselamatan.
Ia adalah proses pensijilan yang ketat di mana Encik Ng percaya akan menjadikan daging buatan itu lebih selamat untuk dimakan daripada daging konvensional, terutamanya kerana produknya - tidak seperti ternakan - tidak akan disuntik dengan antibiotik.
Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada pembiakan makanan laut terlebih dahulu sebelum beralih kepada daging lembu dan ayam. Kos yang tinggi untuk mengusahakan produk daging menjadikan ikan berkualiti tinggi produk yang paling sesuai untuk dihasilkan di makmal kerana ia boleh dijual pada harga yang lebih tinggi.
Encik Ng berharap dapat mengurangkan harga makanan laut yang dihasilkan di makmal daripada AS$60/kg (RM266) kepada kurang daripada AS$30/kg sebelum 2025, dengan menggunakan medium kaya nutrien yang lebih murah yang membolehkan sel-sel berkembang. Sasaran akhirnya adalah untuk menetapkan harga semua produk beliau pada AS$10/kg.
"Tahun lepas, kami menemui alternatif kepada satu bahan yang pernah menjadikan daging buatan sangat mahal," katanya, sambil menambah bahawa ini adalah langkah penting ke arah pengeluaran berskala besar yang memberi dorongan bagi penubuhan kilang tersebut.
Dalam semua perbincangan yang mengatakan bahawa penghasilan daging buatan makmal adalah lebih bermanfaat dalam memelihara alam sekitar berbanding dengan kaedah pertanian tradisional, Encik Ng mengakui bahawa sejumlah besar elektrik diperlukan untuk penghasilan daging berskala dalam bioreaktor.
"Kita ada cahaya matahari yang baik di Malaysia, jadi kita akan menggunakan tenaga solar bagi menggerakkan bioreaktor kami. Kita tidak boleh kata bahawa kita langsung tidak menggunakan elektrik daripada sumber konvensional, tetapi kita akan cuba mengurangkannya," katanya.
HALANGAN MENANTI
Dr Tan Thuan Chew, seorang pakar protein alternatif dari Universiti Sains Malaysia, berkata proses pembuatan daging "tidak semestinya tiada kesan pada alam sekitar".
"Pengeluaran daging buatan akan menghasilkan bahan buangan seperti media pertumbuhan, bioreaktor dan peralatan lain,” katanya kepada CNA. “Pembuangan bahan-bahan ini boleh memberi kesan kepada alam sekitar jika tidak diuruskan dengan betul.”
Media pertumbuhan merujuk kepada solusi yang membolehkan sel-sel tumbuh dan berkembang biak. Ini termasuk serum janin lembu, yang merupakan pecahan cecair yang tersisa setelah darah yang diambil daripada janin lembu membeku.
Bagaimanapun, Dr Tan menyatakan bahawa daging yang dibuat berpotensi untuk "mengurangkan dengan ketara" pelepasan gas rumah hijau berbanding dengan pengeluaran daging secara tradisional, dan dapat menangani isu-isu seperti kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.
"Namun, ia masih merupakan teknologi yang sedang berkembang dan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan diperlukan untuk membolehkannya dilaksanakan secara komersial dan mampan," katanya.
Sebagai contoh, Dr Tan berkata Malaysia mungkin perlu melabur dalam infrastruktur baharu untuk menyokong pengeluaran dan pengedaran daging pembiakan, termasuk tempat khas untuk mematangkan sel daging.
"Selain itu, daging buatan kini dihasilkan secara kecil-kecilan dan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengguna agak mencabar," katanya.
"Teknologi yang digunakan untuk menghasilkan daging buatan mungkin perlu diperhalusi untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos."
Untuk tujuan ini, Cell AgriTech sedang bekerjasama dengan Umami Meats. Umami Meats akan menyediakan teknologi termasuk rangkaian sel ikan, formula media pertumbuhan yang dioptimumkan dan kaedah proses pengeluaran.
Cell AgriTech, sebagai sebuah syarikat yang berpusat di Malaysia, akan menyediakan kaedah pengilangan berskala besar bersama-sama dengan kos buruh dan pengeluaran yang lebih rendah.
Selain infrastruktur, Dr Tan berkata pengguna mungkin bimbang akan isu keselamatan, rasa atau tekstur daging buatan itu, sambil menekan bahawa pihak berkuasa harus membantu meningkatkan kesedaran tentang potensi manfaatnya.
Terdapat juga isu sama ada daging buatan makmal ini akan mendapat perakuan sijil halal, katanya.
"Sama ada daging buatan halal atau tidak telahpun dibahaskan dalam kalangan ulama dan pakar Islam," kata Dr Tan.
Di pihak Encik Ng, beliau berkata Cell AgriTech telah mengundang pihak berkuasa pensijilan halal di Malaysia untuk mengetuai perbincangan sebagai sebahagian daripada jawatankuasa kerja dengan ahli akademik.
"Kami sudah memaklumkan kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bahawa kita boleh bermula dengan makanan laut yang dibuat secara halal," katanya.
"Mereka memerlukan beberapa piawaian (untuk diikuti), bermula dengan bagaimana kami mengambil sel-sel dari haiwan itu. Jika mereka mempunyai beberapa piawaian, kami percaya bahawa pensijilan halal dapat dilakukan."
CNA telah menghubungi JAKIM untuk mendapatkan komen.
Berhubung rasa dan tekstur daging buatan itu, Encik Ng berkata hakikat bahawa ia dihasilkan daripada sel haiwan bermakna tidak akan ada perbezaan. Malah tahap kolesterol adalah serupa.
"Ramai penggemar daging, anda tidak boleh menyuruh mereka pergi makan daging berasaskan tumbuhan (disebabkan persepsi perbezaan rasa). Itu sebabnya kami mencipta alternatif ini, kerana ia adalah daging yang sebenar," katanya.
Encik Ng juga berkata daging buatannya lebih berkhasiat berbanding daging konvensional, kerana sel-selnya diberi makan dan dipelihara dengan teliti.
Kelebihan ini, menurutnya, akan mengatasi sebarang potensi kepentingan alam sekitar dalam menarik minat masyarakat Malaysia kepada produknya.
“Sejujurnya, orang Eropah merasa lebih prihatin mengenai kebanyakkan masalah alam sekitar ini,” katanya.
"Tetapi Malaysia juga komited dengan perjanjian pelepasan karbon bersih, jadi (saya rasa daging buatan) akan menjadi agenda kerajaan."
MENGURANGKAN IMPAK IKLIM
Dr Tan berkata pihak berkuasa Malaysia boleh membentuk dasar dan peraturan untuk menggalakkan amalan penternakan lestari dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada industri daging.
Ini termasuk menggunakan dasar yang sedia ada seperti Dasar Makanan Agro Nasional 2021-2030 dan Dasar Nasional mengenai Perubahan Iklim, dan rangka kerja negara-negara lain seperti Singapura mengenai daging buatan, katanya.
Pada 2020, Singapura merupakan negara pertama yang meluluskan produk daging buatan untuk dijual. Amerika Syarikat mengisytiharkan daging buatan makmal selamat untuk dimakan dua tahun kemudian.
"Pengguna boleh diajar mengenai kesan kepada alam sekitar akibat penghasilan daging dan digalakkan untuk mengurangkan memakan daging atau beralih kepada alternatif yang lebih mampan," tambah Dr Tan.
Ia susulan penggunaan daging sedunia telah meningkat dengan ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dengan penggunaan per kapita hampir dua kali ganda sejak awal 1960-an, menurut FAO.
Satu kajian pada 2009 menganggarkan bahawa penggunaan daging Malaysia dijangka meningkat sehingga tahun 2020, dengan peningkatan yang sama di sektor pengeluaran daging sekaligus menyebabkan pelepasan gas rumah hijau.
Kajian itu ditulis oleh Tey Yeong-Sheng, seorang penyelidik kanan dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Universiti Putra Malaysia.
Pengeluaran ternakan di Malaysia dijangka akan menyebabkan pelepasan 3.2 bilion tan metrik karbon dioksida pada 2020, satu peningkatan daripada 1.7 bilion tan metrik pada 2010, menurut kajian itu. Pengeluaran ternakan didapati mempunyai kesan paling ketara terhadap alam sekitar, diikuti dengan daging lembu, babi dan kambing.
Dr Tan juga menyeru agar peningkatan taraf hidup di Malaysia dikaji, dengan menekankan bahawa ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau hasil daripada pengeluaran dan pemakanan daging.
"Mereka yang hidup dalam kemiskinan sering mempunyai peluang yang terhad kepada pilihan makanan yang sihat dan lestari, dan ia boleh menyebabkan mereka ini terlalu bergantung kepada produk daging yang murah dan tidak sihat," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang pereka Singapura di sebalik fesyen sederhana yang diragakan Presiden Halimah Yacob.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.