Pereka Singapura ini di sebalik fesyen sederhana yang diragakan Presiden Halimah Yacob
Pengasas dan pereka Sufyaa, Rina Tahar mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap pakaian tradisional budaya Melayu melalui setiap rekaannya.
SINGAPURA: Jenama baju tradisional hasil rekaan seorang wanita kelahiran Singapura ini diberi nama bersempena nama anak perempuannya.
Bagi Rina Tahar, melalui jenama ‘Sufyaa’ yang diasaskannya itu, beliau mahu terus mengubah persepsi orang ramai terhadap pakaian budaya tradisional Melayu.
Pakaian rekaannya bermula dari S$250 (RM830) dan boleh mencecah ribuan, bergantung kepada bahan yang dipilih dan pengkhususan yang diperlukan.
Pelanggannya bukan hanya dalam kalangan wanita berada atau pengantin perempuan, malah keluarga dan juga remaja yang menghadiri majlis tarian sekolah.
Pereka yang dilatih dalam bidang seni bina itu memulakan perniagaan Sufyaa pada 2011. Rina sebelum ini berkhidmat dengan HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) selama 15 tahun.
Beliau kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya korporat itu dan berhijrah ke Belanda bersama keluarga di mana suaminya ditugaskan untuk bekerja di sana.
“Saya baru sahaja melahirkan anak lelaki saya, jadi saya tengah cuti bersalin ketika itu. Jadi, boleh dikatakan yang saya ambil cuti bersalin yang panjang,” katanya sambil ketawa.
Tetapi bagaimana beliau boleh berkecimpung dalam bidang rekaan fesyen?
"Saya sememangnya ingin bekerja dalam bidang fesyen sebab saya ada bakat untuk itu. Tetapi ibu saya, sama seperti ibu bapa Asia yang lain, pasti mahukan yang lebih baik untuk anak perempuannya. Beliau ada impian yang lebih bagus untuk saya daripada menceburi fesyen. Jadi saya menceburkan diri dalam (bidang) seni bina sebaliknya. Tetapi saya tidak pernah meninggalkan impian saya dalam bidang fesyen," kongsi beliau.
KECEWA DENGAN PILIHAN TERHAD
Rina secara jujur berkongsi bahawa beliau memulakan perniagaannya sedikit sebanyak disebabkan oleh keperluan. "Menetap di Belanda, dengan sumber yang amat kurang untuk wanita yang berhijab seperti saya, saya terpaksa berkreativiti semasa meragakan pakaian. Setiap kali saya membeli pakaian, saya perlu memanjangkannya, memasukkan lapisan atau melakukan sesuatu. Ia sesuatu yang sentiasa dibuat untuk menyesuaikan gaya hidup saya," jelasnya.
Kecewa dengan pilihan yang terhad, sambil menggunakan pengalaman keperitan semasa zaman korporatnya dan di Belanda, beliau memutuskan untuk mencipta rangkaian pakaian sederhananya sendiri. "Saya ingin mencari suatu wadah untuk bersama-sama menggabungkan fesyen dan gaya hidup saya."
Beliau menghantar sampel kepada para pengeluar yang ditemuinya di China, dan pakaian yang sudah siap akan dihantar ke Singapura di mana seorang rakan rapatnya akan membantu beliau menguruskan perniagaannya itu.
"Saya bernasib baik ketika itu kerana industri pembuatan di China masih baru. Terdapat kelebihan seperti MOQ (kuantiti pesanan minimum) yang lebih rendah, yang menjadi satu kelebihan pada saya," katanya.
Pada mulanya, kongsi Rina, beliau mula mereka pakaian dengan mempertimbangkan musim yang berbeza, seperti memadankan kasut but potongan tinggi dengan pakaian wanita dan sarung betis. "Ia adalah konsep yang tidak sepatutnya berjaya memikat minat pelanggan di Singapura, tetapi bagaimanapun produk itu masih terjual."
Rina juga melakukan penggambaran untuk koleksinya di Belanda, untuk memberikan jenamanya satu kelebihan dan penampilan yang lebih bertaraf antarabangsa bagi apa yang biasa dilihat oleh pengguna di Singapura.
Beliau juga melancarkan koleksi bermusim, seperti Resort by Sufyaa, di mana warnanya berasaskan ilham nautika (bertema kelautan). .
Oleh kerana beliau tidak menetap di Singapura, Rina melancarkan Sufyaa secara dalam talian setelah mendapat inspirasi dari landskap e-dagang di Eropah. Walaupun membeli-belah dalam talian pada masa itu masih belum meluas di Singapura, ia sudah menjadi cara hidup orang di Barat kerana saiz besar negara-negaranya. “Saya terfikir ia boleh juga menjadi peluang yang baik kerana saya tidak berada di Singapura secara fizikal.”
Bangga dengan dirinya sebagai seorang warga Singapura, beliau ingin memberikan labelnya suatu rasa kekitaan. Maka, Rina memilih untuk memasukkan “.com.sg ” pada laman webnya. “Saya menambah ‘SG’ kerana saya ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa anda masih membeli dari jenama Singapura.”
Hubungan pertalian dengan Singapura inilah yang membawa kepada banyak panggilan mesra dari pusat membeli-belah tempatan Century Square ketika beliau kembali pada 2012, membolehkan Rina membuka kedai fizikal pertamanya.
"Sebenarnya, ia bukan sebuah kedai pun, tetapi kereta sorong di Century Square di Tampines. Namun ia adalah satu permulaan.
Perniagaannya terus berkembang dan beliau kemudian membuka kedai utamanya yang pertama di Kompleks Tanjong Katong, diikuti dengan kedai-kedai di Arab Street dan North Bridge Road.
SENTUHAN PERIBADI SUFYAA: DARIPADA SEDIA DIPAKAI KEPADA REKAAN ANGGUN
Untuk lima tahun yang pertama, termasuk masa yang dihabiskan di Eropah, Rina bekerja keras, mengeluarkan koleksi baharu setiap tiga bulan.
Walaupun pada mulanya perniagaannya berjalan dengan lancar, namun beliau menyedari bahawa dunia fesyen semakin berubah dengan perkembangan e-dagang dan peningkatan jumlah label fesyen di pasaran. Fesyen pantas menjadi semakin laju berkembang dan Rina berasa sukar untuk bersaing dengan permintaan dan trend yang terus berevolusi.
Keputusan muktamad untuk menghentikan perniagaannya bagi pakaian sedia dipakai timbul selepas beliau mendapati kilang yang beliau bekerjasama di China telah membuat replika rekaannya untuk jenama lain.
Jadi pada 2016, beliau memutuskan untuk beralih ke perniagaan berbentuk pesan dan reka, iaitu membuat rekaan unik yang disesuaikan atas permintaan pelanggan.
“Saya meminati fesyen, saya tahu saya boleh melukis, dan jika sudah sampai masanya, saya tahu saya boleh buat semua perkara ini dari mula. Jadi, saya berusaha untuk mencari identiti saya sekali lagi," katanya.
Namun, perjalanan itu tidaklah bermakna tanpa rintangan. Pada mulanya, Rina berkongsi bahawa beliau juga menggalakkan pelanggannya untuk membawa kain mereka sendiri.
“Saya perlu menjalankan perniagaan secara sangat organik dan tidak membazir kerana saya masih dibebani hutang akibat penutupan koleksi pakaian sedia pakai saya. Dan satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah supaya pelanggan membawa kain mereka sendiri, kerana ia bermakna saya tidak perlu membeli kain, yang hanya akan menambah kos saya. Sebaliknya, saya hanya mengenakan bayaran rekaan kepada pelanggan."
In the hands of fashion designer Rina Tahar, the traditional fabric of songket is transformed into men and women’s clothing with a modern touch.
Namun, jika anda ingin mendapatkan pakaian rekaan Sufyaa yang unik, kini anda tidak lagi perlu membawa kain anda sendiri kepada Rina. Studio miliknya kini dilengkapi dengan pelbagai kain yang merangkumi semua variasi warna.
Antara semua kain yang dimilikinya, kain yang mendapat tempat istimewa di hatinya adalah kain songket dan jenama Sufyaa juga terkenal dengan rekaan pakaian berasaskan songket.
Kain tenunan tangan tradisional Malaysia itu memerlukan tenaga kerja intensif - yang mengambil masa kira-kira empat hari untuk menenun kain yang cukup untuk membuat satu pakaian – dibuat di negeri-negeri pantai Kelantan dan Terengganu.
“Ia adalah kain yang sangat dekat di hati dengan masyarakat Melayu, malah terdapat tahap status yang diletakkan pada kain ini. Ia hanya dipakai oleh kerabat diraja pada masa dahulu. Jadi apabila anda memakai songket, ia dengan serta-merta menaikkan personaliti diri anda,” jelas Rina.
Walaupun songket sering digunakan untuk majlis-majlis khas, Rina telah menemui cara untuk menggabungkannya ke dalam reka bentuk yang lebih biasa, seperti gaya kardigan yang boleh dipakai dengan seluar jeans. “Saya terpaksa bertanya pada diri sendiri bagaimana saya boleh menjadikannya sebagai kain biasa untuk komuniti, untuk orang biasa seperti anda dan saya. Ini kerana ia bukan kain yang kebanyakan orang mahu pakai setiap hari."
Mujurlah, cara penggunaan songket adalah tidak terhad, tambahnya. “Anda boleh menambah lapisan padanya, anda boleh meletakkan sesuatu yang lain di atasnya, ada banyak peluang untuk mencuba cara-cara yang lain.”
Lebih penting lagi, "songket adalah kain yang tidak boleh dihasilkan oleh pengeluar secara besar-besaran kerana ia tidak dicetak," katanya, sambil menjelaskan ini juga merupakan salah satu sebab mengapa beliau memilih songket.
Penggunaan fabrik khusus ini bukan sahaja memberikan satu identiti kepada Sufyaa, malah ia juga telah membezakan jenama itu dengan jenama lain. “Begitulah cara saya menaikkan jenama ini, daripada sesuatu yang biasa sehingga membawanya ke tahap yang berbeza.”
REKAAN IKUT PERSONALITI SI PEMAKAI
“Saya mengambil masa untuk mendengar (pandangan) daripada semua orang dan mencipta sesuatu rekaan itu mengikut personaliti seseorang individu,” jelasnya ketika ditanya apa yang membuatkan Sufyaa berbeza.
Jadi walaupun ia sebuah keluarga besar yang berpakaian kain yang sama, saya masih akan mencari cara untuk menambah butiran yang berbeza yang akan melambangkan orang yang memakai reka bentuk itu, jelasnya. Ia juga bermakna kadang-kadang Rina perlu menjadi orang tengah, iaitu cuba mencari keseimbangan yang betul dalam memilih rekaan yang akan menyenangkan kedua-dua golongan muda dan tua. “Ia adalah soal keseimbangan dan bagaimana saya boleh membuat kedua-dua pihak teruja dengan sesebuah pakaian, jadi ia adalah situasi menang-menang untuk semua.”
Tidak hairanlah jika Sufyaa adalah jenama kegemaran ramai yang bukan hanya dari kalangan orang biasa, tetapi juga para selebriti.
Salah satu pelanggan terbesarnya ialah Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
"Saya beruntung dapat bertemu dengannya ketika beliau masih menjadi Speaker Parlimen melalui Angkatan Karyawan Islam (AMP). Ia akan mengadakan satu majlis makan malam gala yang dihadiri Puan Halimah. Saya bertanyakan sama ada saya boleh mereka pakaian yang boleh dikenakan oleh presiden. Jawapan yang diterimanya adalah ya, boleh."
Bagi memberi impak, Rina memutuskan untuk mereka suatu yang diluar kebiasaan dengan mengenakan pakaian gaun labuh daripada songket berwarna hijau untuk Puan Halimah ke majlis makan malam gala itu. “Beliau jarang memakai gaun, jadi saya merasa ini adalah peluang bagi saya untuk membawa beliau keluar dari zon keselesaannya. Saya memberitahunya ‘Saya akan mengenakan pakaian gaun pada anda’ dan beliau berkata ‘Saya tidak memakai gaun’. Terus saya menjawab ‘Itulah sebabnya anda perlu memakai gaun’. Tetapi ia juga disebabkan tema Sufyaa, dan saya ingin memberikan beliau suatu penampilan yang lebih feminin. Beliau masih agak skeptikal tetapi beliau kelihatan sangat cantik memakainya.”
Jadi, adakah Presiden menyukainya? “Saya terus (diberi peluang) berkhidmat dengannya bertahun-tahun sejak itu. Saya rasa saya boleh katakan bahawa beliau menyukainya,” balas Rina.
Kita mungkin berfikir bahawa mereka pakaian untuk Presiden adalah sesuatu yang sangat mendebarkan bagi Rina. Hakikatnya, menurut Rina pakaian rekaannya yang paling mencabar pernah dicubainya adalah rekaan untuk salah seorang selebriti terbesar Malaysia, Seri Vida.
“Ia amat sukar kerana saya tidak dapat bertemu dengannya. Semuanya dilakukan tanpa pertemuan fizikal. Selain itu, beliau juga cukup mewah dengan gayanya, manakala Sufyaa lebih kepada unsur kelembutan dan kesederhanaan. Saya terpaksa mereka pakaian yang boleh disesuaikan dengan personalitinya, dan beliau sememangnya mempunyai personaliti yang besar. Jadi disebabkan saya tidak dapat bertemu dengannya adalah cabaran terbesar dalam projek ini, kerana saya tidak dapat membuat pengubahsuaian dan melihat secara fizikal rupa pakaian itu apabila dipakainya.”
PENYERTAAN SULUNG DALAM ‘MODEST FASHION WEEK’
Kita mungkin pernah mendengar tentang Minggu Fesyen New York, Milan dan London, tetapi adakah anda tahu bahawa turut terdapat ‘ International Modest Fashion Week’? Ya betul, dan Sufyaa merupakan satu-satunya jenama pakaian sederhana Singapura yang membuat penampilan di sana selama tiga tahun berturut-turut.
Modest Fashion Week, menurut Rina, adalah acara yang kecil di mana para pereka pakaian sederhana dari seluruh dunia berkumpul.
Pertunjukan minggu fesyen pertamanya adalah di London, diikuti oleh Indonesia dan Malaysia.
Pada 2019, sebelum COVID-19 menghentikan aktiviti sedunia, beliau juga diundang ke Turki untuk satu lagi konvensyen fesyen sederhana.
Beliau percaya bahawa peluang-peluang ini adalah berkat kehadirannya dalam talian yang berterusan. “Walaupun saya menghentikan bisnes pakaian siap pakai, saya masih mempromosikan Sufyaa di laman web dan di media sosial. Dan saya yakin bahawa ia telah membantu jenama ini mewujudkan kesedaran dan daya tarikan.”
GABUNGAN BUDAYA BERBEZA
Kebanyakan ilham Rina ternyata datang daripada pelanggannya. Tiada bukti yang lebih ketara bahawa reka bentuk gabungannya yang menggabungkan budaya yang berbeza dalam apa yang selalu dianggap sebagai pakaian tradisional Melayu.
"Melalui projek yang melibatkan perkahwinan, saya berpeluang menemui semakin ramai mempelai yang menjalin ikatan rumah tangga merentas kaum. Jadi, saya menerima banyak permintaan untuk menggabungkan sesuatu dari latar belakang pengantin perempuan atau lelaki ke dalam pakaian itu, satu tugas yang saya memang suka lakukan. Lagipun, saya yang mereka keperluan individu pasangan itu dan saya ingin melakukan sesuatu yang betul-betul mencerinkan mereka."
Hasilnya: Pakaian yang menggabungkan butir-butir seperti sari India, cheongsam Cina atau kimono Jepun atau hanbok Korea.
Kata Rina, beliau juga pernah mendapat permintaan daripada tetamu majlis perkahwinan yang mahukan sesuatu yang istimewa dan unik untuk diingati dalam majlis tersebut.
Hasil carian kata kuncinya ‘modesty’ di Google, Rina berkata beliau juga mendapat permintaan daripada wanita bukan Islam yang mahukan gaun untuk persandingan mereka di gereja.
KHUSUS UNTUK KELUARGA: MASA DEPAN SUFYAA
Hari ini, Rina mempunyai pelanggan dari seluruh dunia, termasuk Australia dan New Zealand, selain Asia Tenggara. Beliau juga seorang sahaja yang akan berjumpa pelanggan dan mengusahakan reka bentuk.
Beliau berkata dengan berbuat demikian, beliau akan terus membina kepercayaan dengan pelanggannya. Namun, ini tidaklah bermakna beliau tidak dapat berehat daripada kerjanya. Beliau mempunyai anak-anak saudara yang bekerja dengannya, yang bersedia untuk meneruskan apa yang beliau bina dengan jenama Sufyaa.
"Ia adalah perniagaan keluarga, dan saya ingin rasakan bahawa saya juga memastikan keluarga dapat bersama-sama. Ikatan kekeluargaan ini adalah perkara yang saya nantikan setiap hari.”
Ketika ditanya apa yang beliau bayangkan untuk masa depan Sufyaa, pereka yang bersikap rendah diri itu berkata beliau berpuas hati dan gembira sebagaimana adanya.
"Kejayaan, saya rasa lebih daripada sekadar mahukan jenama anda menjadi lebih besar. Ia juga melibatkan rasa gembira dengan apa yang anda ada dan rasa serba mencukupi. Saya suka yang perniagaan ini sangat berunsur organik. Saya sangat beruntung kerana dapat berkhidmat kepada pelanggan dan komuniti saya dengan cara yang terbaik," katanya.
"Saya rasa saat yang paling membanggakan bagi saya adalah apabila mempunyai jenama yang berkekalan dan terus relevan dengan komuniti, dengan masyarakat dan masih mampu berbakti setiap tahun. Tanpa melibatkan pelabur atau pinjaman, semuanya bergantung pada diri kita sendiri. Itu sahaja, saya rasa, adalah suatu pencapaian bagi saya.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pendidikan iklim yang mendapat sambutan di sekolah-sekolah Singapura.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.