Penumpang kapal dari Pulau Pinang ke Singapura diserang angin ahmar, dihantar ke Hospital Port Dickson

SINGAPURA: Seorang penumpang wanita berusia 66 tahun yang diserang angin ahmar di atas kapal dalam pelayaran menuju ke Singapura dari Pulau Pinang telah dipindahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada malam Rabu (26 April).
Seorang pegawai Maritim Malaysia memberitahu CNA pada Khamis bahawa pihaknya telah menghantar sebuah bot yang sedang dalam rondaan bersama enam kru ke lokasi kapal - Spectrum of the Seas - (lebih kurang) 3.8 batu nautika barat daya Port Dickson.
Penumpang warga Indonesia itu dipindahkan menggunakan bot Maritim Malaysia ke sebuah jeti di Port Dickson, kata Leftenan Maritim Mohd Hafiz Ahmad. Penumpang itu tiba di jeti kira-kira jam 10 malam sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Lt Hafiz, pegawai operasi Maritim Malaysia bahagian Melaka dan Negeri Sembilan, berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan terkini penumpang itu. CNA telah menghubungi Royal Caribbean, yang mengendalikan pelayaran terbabit, untuk mendapatkan komen.
Pihak kapal telah membuat panggilan kecemasan kepada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) di Putrajaya. MRCC kemudiannya menyambungkan talian kepada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) di Johor Bahru.
Lt Hafiz berkata pejabatnya menerima permintaan daripada MRSC Johor Bahru kira-kira jam 5 petang Rabu untuk memindahkan seorang penumpang dari kapal terbabit.
"Kami hanya berjaya menjalankan operasi itu pada sebelah malam kerana penumpang sepatutnya dipindahkan ke Port Dickson, tetapi pelayaran itu sebenarnya telah melepasi Port Dickson dan berada berhampiran Melaka. Jadi, ia terpaksa berundur," katanya.
"Bot kami kecil, jadi kami tidak boleh membawa pesakit dalam jarak yang jauh."

Pasukan Lt Hafiz berkomunikasi dengan kapten kapal terbabit untuk menentukan koordinat titik pertemuan. Anggota Maritim Malaysia akhirnya menaiki kapal itu dan bertemu kapten, katanya.
"Pesakit ditemani oleh seorang lelaki lain, yang mungkin merupakan anak kapal atau seseorang yang mempunyai latar belakang perubatan," katanya sambil menyatakan pesakit itu sudah berada di atas tandu.
"Anggota Maritim Malaysia membawa pesakit menaiki bot dan menuju ke Jeti Jabatan Laut di Port Dickson."
Kapal persiaran itu kemudian meneruskan perjalanan ke Singapura, tambahnya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pemuliharaan tapak warisan oleh para aktivis di Pulau Pinang.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.