Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Mantan penyampai berita Mediacorp meninggal dunia selepas berjuang lawan penyakit saraf motor neuron

Asri Sunawan, atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan, didiagnosis dengan penyakit saraf, Amyotrophic Lateral Sclerosis atau ALS pada Oktober 2018.

Mantan penyampai berita Mediacorp meninggal dunia selepas berjuang lawan penyakit saraf motor neuron
Mantan penyampai berita Mediacorp, Riz Sunawan. (Gambar: Instagram/rizsunawan)

SINGAPURA: Mantan penyampai berita Mediacorp Asri Sunawan, atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan, meninggal dunia pada usia 44 tahun pada Rabu (8 Feb).

Encik Asri telah didiagnosis dengan penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), sejenis penyakit melibatkan saraf atau juga dipanggil sebagai Motor Neuron Disease (MND), pada Oktober 2018. Mereka yang menghidap penyakit terminal itu secara puratanya mempunyai peluang untuk hidup selama dua hingga lima tahun.

Menurut Berita Mediacorp, Encik Asri kali terakhir bercakap dengan pembantunya sekitar pukul 8 pagi pada Rabu. Pembantu itu mendapati Allahyarham tidak memberi respons sejam kemudian, dan disahkan meninggal dunia pada 10.46 pagi.

Bapa Allahyarham, Encik Sunawan Dasuri berkata anaknya menjadi sangat lemah selepas kematian ibunya pada Oktober 2022 akibat penyakit buah pinggang.

"Ia kelihatan seperti kehilangan sesuatu - tetapi dia masih aktif," kata bapanya.

Adiknya, Linda Sunawan berkata mereka sekeluarga berasa sedih tetapi tenang dengan pemergian Allahyarham. 

Selepas Encik Asri didiagnosis menghidap ALS beliau mengasaskan Persatuan Penyakit Saraf Motor Neuron pertama di Singapura pada Jun 2021 dan menjadi duta persatuan itu. 

Beliau juga menghasilkan sebuah buku dwi-bahasa pada Disember, yang mendokumentasikan kehidupan individu hidup dengan penyakit MND itu di Singapura.

Beliau berkata pada masa itu walaupun suaranyanya telah terjejas akibat MND, buku itu mewakili suaranya bagi meningkatkan kesedaran tentang MND dan ALS.

Buku itu bertajuk 'Nama Saya Riz. Saya ada Penyakit Motor Neuron' dengan majlis pelancarannya dihadiri oleh Presiden Halimah Yacob.

Puan Halimah memberi penghormatan kepada Encik Asri di Facebook, dengan berkata beliau akan “sentiasa dikenang sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu”. 

"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat," tulisnya.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam juga berkata di Facebook bahawa Encik Asri "tidak pernah menjadikan keadaan kesihatannya sebagai batas kepada keupayaannya untuk menyumbang - sentiasa komited, sentiasa menghadiri mesyuarat, sentiasa berkongsi idea".

"Riz akan terus menjadi inspirasi kepada kami semua. Kami akan sangat merinduinya," katanya.

Pengarang bersama bukunya, Hidayah Amin berkata pada Disember bahawa penyakit Encik Asri yang tidak dapat diubati itu "tidak menghancurkan semangatnya untuk menjalani kehidupan yang bermakna".

"Kisahnya memberi motivasi dan mendorong kami untuk terus berjuang, tidak kira dalam apa jua keadaan," kata Cik Hidayah. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini usaha dua siswazah universiti di Singapura menyelamatkan alam sekitar menerusi pakaian lama dan mainan papan. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement