Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

‘Ini kali pertama kami berdepan dengan gempa bumi': Dua beradik warga Singapura kongsi detik cemas bencana di Türkiye

Puluhan gegaran susulan dilaporkan selepas gempa bumi dahsyat Türkiye dan Syria.

‘Ini kali pertama kami berdepan dengan gempa bumi': Dua beradik warga Singapura kongsi detik cemas bencana di Türkiye
Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan bangunan di Sanliurfa, pada 6 Feb 2023, selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Türkiye. (Gambar: AFP/STR)

SINGAPURA: Jam menunjukkan baru lepas pukul 4 pagi di bandar Sanliurfa, Türkiye apabila warga Singapura Tajjlee Rahim dan adiknya terjaga daripada tidur kerana apa yang disyaki pada mulanya ribut salji tebal. 

Awal dari itu memang ada ramalan cuaca bahawa salji tebal akan turun pada Isnin (6 Feb) tetapi apabila gegaran berterusan, Encik Tajjlee tahu ada sesuatu yang tidak kena.

Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud telah melanda tengah Türkiye dalam kegelapan pada pagi musim sejuk. Ia adalah gempa terkuat yang melanda negara itu pada abad ini. Pusat gempa terletak berhampiran bandar Gaziantep, kira-kira 130km dari Sanliurfa.

Ia mengorbankan lebih 4,300 orang di Türkiye dan negara jiran, Syria yang turut terjejas.  

Encik Tajjlee, yang sedang bercuti di Türkiye, memberitahu CNA bahawa sebanyak 16 bangunan telah runtuh di Sanliurfa, tiga daripadanya hanya 2km dari hotel mereka.

Menurut Encik Tajjlee, 35, ketika ekoran kejadian, beliau dan adiknya berpindah dari tingkat lapan bangunan hotel itu, yang mengalami keretakan kecil dengan beberapa tingkap kaca pecah. 

"Saya berbohong jika saya kata saya tidak takut. Inilah kali pertama saya berdepan bencana seperti ini," kata adiknya, Cik Sriwayuni Rahim, 29, kepada CNA.

Tambahnya, mereka dua beradik berpelukan untuk "memberi kekuatan kepada satu sama lain" dan berfikiran positif sepanjang selepas kejadian gempa itu. 

Gempa awal itu disusuli oleh puluhan gegaran susulan, termasuk gegaran sekuat 7.5 magnitud yang menggegarkan wilayah itu sedang kerja-kerja mencari dan menyelamat dijalankan pada petang Isnin.

Jalan raya rosak di Türkiye akibat gempa bumi melanda negara itu pada 6 Feb 2023. (Gambar: Tajjlee Rahim)

Ketika dihubungi CNA melalui aplikasi WhatsApp, pasangan adik-beradik itu berkata mereka dalam perjalanan ke utara iaitu Cappadocia dengan kereta dan berharap untuk sampai ke Istanbul sebelum menaiki penerbangan awal pulang ke Singapura.

Mereka sepatutnya dijadualkan pulang pada Rabu tetapi kini terpaksa menjadualkan semula penerbangan mereka dengan Turkish Airlines ke Isnin depan. 

Encik Tajjlee berkata mereka dapat merasakan gegaran susulan ketika dalam perjalanan ke Cappadocia yang mengambil masa selama tujuh jam - dua jam dari Sanliurfa ke Gaziantep dan lima jam lagi dari sana ke Cappadocia.

"Kami sangat terlalu takut sehingga tak tau apa itu rasa takut," kata Encik Tajjlee di Instagram Story. "Tetapi kami berasa lega dan berdoa agar dapat selamat sampai ke Cappadocia."

Mengimbau semula kejadian bencana itu, Cik Sriwayuni berkata dia berasa sedih melihat warga emas dan kanak-kanak menangis meminta pertolongan.

Situasi di Sanliurfa "agak huru-hara" dengan "ambulans (berada) di mana-mana", tambah Encik Tajjlee.

Katanya, masjid-masjid di bandar telah runtuh dan pihak berkuasa di sana cuba memindahkan orang ramai dari runtuhan bangunan. 

"Secara mentalnya, terlalu banyak hal yang perlu kami proses," katanya.

Pasangan adik-beradik itu menambah, mereka amat berterima kasih kepada pemandu dan pemandu pelancong kerana menjaga keselamatan mereka.

Jalan raya rosak di Türkiye akibat gempa bumi melanda negara itu pada 6 Feb 2023. (Gambar: Tajjlee Rahim)

Gegaran turut dirasai di ibu negara, Ankara, 460km ke barat laut pusat gempa, dan di Cyprus dan Lubnan.

Rakan Encik Tajjlee, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Haider, berada di Istanbul untuk bercuti ketika kejadian gempa itu. Katanya, gegaran tidak menjejaskan bandar itu.

Türkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Wilayah Duzce di Türkiye mengalami gempa bumi berukuran 7.4 magnitud pada 1999 - apabila lebih 17,000 orang terkorban, termasuk kira-kira 1,000 di Istanbul.

Pada Januari 2020, gempa sekuat 6.8 magnitud melanda Elazig dan mengorbankan lebih 40 nyawa. 

Pada Oktober tahun itu pula, gempa sekuat 7.0 magnitud melanda pantai Aegean, meragut nyawa seramai 114 orang dan lebih 1,000 orang dilaporkan cedera. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pengalaman warga Myanmar ke luar negara mencari kerja selepas rampasan kuasa tentera 2 tahun lalu.

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement