‘Kita semakin mual dengan semua ini’: Penduduk Johor suarakan kebimbangan sedang banjir berulang
Selepas mengalami banjir besar kedua dalam tempoh tiga tahun, sebilangan penduduk Kampung Contoh, Kluang Johor, berasa letih.
KLUANG, Johor: Sambil di kelilingi air banjir, Encik Jamaluddin Kamal mengeluh letih melihat keadaan rumahnya yang sebahagiannya ditenggelami air.
"Kali ini, ia tidak begitu teruk, paras (air) hanya di pinggang saya," Encik Jamaluddin yang berusia 45 memberitahu CNA pada Khamis (26 Jan).
“Dua tahun lalu, paras air berada di leher saya dan saya hampir tidak boleh berdiri,” tambah penduduk Kampung Contoh, sebuah kampung berhampiran Daerah Kluang di tengah Johor.
Kampung Contoh adalah antara puluhan kampung yang dilanda banjir di Johor baru-baru ini.
Namun, Encik Jamaluddin berkata banjir bukanlah sesuatu yang baharu bagi penduduk kampung. Beliau berpindah ke sana pada tahun 1995 dan menyatakan bahawa banjir semakin kerap berlaku sejak sedekad yang lalu.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir berlaku hampir setiap tahun. Dan ia semakin teruk.
"Setiap kali banjir, saya berasa takut. Adakah ini masanya saya akan kehilangan rumah atau barang mahal seperti mesin basuh dan peti ais?" kata Encik Jamaluddin.
"Adakah saya atau ahli keluarga saya akan kehilangan nyawa? Kadang-kadang saya tertanya-tanya berapa lama lagi kita boleh bertahan," tambahnya.
Hujan lebat di Johor beberapa hari lalu telah mengakibatkan banjir, sehingga menyebabkan lebih 5,500 orang terpaksa dipindahkan.
Bernama melaporkan 55 pusat pemindahan telah dibuka di Johor setakat 8 pagi Khamis untuk menempatkan mangsa banjir. Segamat merupakan daerah paling terjejas di Johor, diikuti Kluang dan Mersing, menurut jawatankuasa pengurusan bencana negeri pada Rabu.
Di negeri Sabah, hampir 6,500 orang telah dipindahkan.
Namun bagi penduduk di Kampung Contoh, apa yang paling membimbangkan ialah kekerapan banjir yang semakin meningkat.
Pelajar Nurul Husnina Kamaluddin, seorang lagi penduduk Kampung Contoh, memberitahu CNA bahawa ini adalah kali kedua dalam tiga tahun keluarganya terpaksa berpindah dari rumah kerana banjir.
"Saya masih ingat bagaimana pada penghujung 2021, banjir sangat teruk, kami terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan dengan bot," cerita remaja berusia 16 tahun itu.
Kampong Contoh adalah antara kampung yang terjejas pada Disember 2021, apabila hujan lebat selama dua hari mengakibatkan salah satu kejadian banjir terburuk di Malaysia. Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai bencana yang berlaku "sekali dalam seratus tahun".
Banjir itu, yang memberi kesan kepada penduduk di sembilan negeri, menjejaskan lebih 70,000 orang dengan 54 orang maut.
Semasa banjir terbaru di Johor, Cik Nurul Husnina berkata, mereka sekeluarga berpindah dengan berjalan kaki selepas menyedari paras air semakin meningkat.
"Kami sudah terbiasa dengannya sekarang. Apabila hujan lebat dalam beberapa jam, kami mula membuat persiapan yang diperlukan," kata Cik Nurul Husnina.
"Tetapi kami semakin mual dengan semua ini. Ketika kita perlu berpindah pada hari Selasa lalu, apa yang terbayang dalam fikiran saya adalah ‘Jangan (banjir) lagi'," katanya.
Cik Nurul Husnina berkata, dia dan keluarga perlu melakukan semua itu sekali lagi – iaitu tinggal di pusat pemindahan sehingga paras air surut. Kemudian perlu membersihkan semula rumah mereka dan membuat persiapan sekiranya banjir akan berlaku lagi.
"Dalam beberapa bulan, kita mungkin akan melalui semua ini lagi. Ia memenatkan," tambah Cik Nurul Husnina.
Kampung Contoh terletak berhampiran dengan Sungai Kahang. Penduduknya memberitahu CNA bahawa kampung itu terdedah kepada banjir kerana air sungai mudah melimpah setiap kali hujan lebat.
Pada Rabu, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mahmat memberitahu pemberita bahawa lebih 2,000 penduduk di Kahang, termasuk petani dan orang asli, terkandas kerana jalan dari kampung mereka mempunyai paras air yang tinggi.
Tambahnya, bantuan akan diberikan pada pagi Khamis kepada penduduk yang terjejas.
Apabila CNA melawat Kahang pada hari Khamis, jalan tempatan tetap ditutup. Anggota polis yang bertugas menghalang pengunjung daripada memasuki kawasan itu dan enggan mengulas sama ada kampung terbabit menerima bantuan.
PENDUDUK SALING MENYOKONG
Di Kampung Contoh, pengunjung dapat memasuki perkampungan itu selepas mengharungi air banjir sejuk yang mencecah paras lutut. Penduduk kebanyakannya telah dipindahkan ke sekolah menengah berhampiran, yang berfungsi sebagai pusat pemindahan.
Banyak rumah masih sebahagiannya ditenggelami air walaupun hujan telah berhenti. Di dalam rumah, perabot dan barangan rumah lain seperti permaidani kelihatan terapung.
Bagaimanapun, berikutan kejadian banjir yang berulang, penduduk sudah berpengalaman untuk bertindak pantas.
Muhammad Hakimi Rosli pula mengimbas kembali bagaimana dia dan adik-beradiknya ditugaskan untuk mengangkat peti sejuk dan mesin basuh ke tempat lebih tinggi ketika hujan lebat Isnin lalu. Ini bagi mengelakkan kerosakan ke atas barangan tersebut.
"Semasa banjir besar sebelum ini pada 2021, kami kehilangan banyak barangan termasuk peti sejuk. Kami tidak mahu melakukan kesilapan yang sama," kata belia berusia 19 tahun itu.
“Sebaik-baiknya kita tidak mahu terus melakukan ini, tetapi sehingga banjir tidak berhenti, kita perlu bersedia,” tambahnya.
Muhammad Hakimi menambah bahawa penduduk kampung juga mempunyai sistem sokongan untuk membantu satu sama lain apabila banjir semakin hampir.
Beliau berkata ramai jirannya yang tinggal di kawasan lebih tinggi menawarkan rumah mereka sebagai tempat menyimpan barangan mahal seperti set televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.
"Kami hanya punyai satu sama lain dan baguslah dalam keadaan terdesak kita boleh bergantung kepada jiran-jiran untuk mendapatkan bantuan," tambahnya.
Encik Jamaluddin, yang kehilangan motosikal semasa banjir baru-baru ini, menambah bahawa dia juga berterima kasih kepada beberapa jirannya kerana sedia menyimpankan televisyen dan barangan elektroniknya yang lain.
Apabila paras air naik, dia membawa barangan tersebut ke bukit berhampiran dan menyimpannya di dalam garaj jiran.
"Alhamdulillah kami boleh bergantung satu sama lain. Jika tidak, kami terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli barangan baharu setiap kali banjir," katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kecekalan seorang penggiat sukan yang terus aktif walaupun cacat penglihatan.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.