Cacat penglihatan tidak halang Chris Hortin terus aktif sebagai pelari maraton dan pendaki gunung
Naib pengerusi Runninghour Chris Hortin memberitahu CNA Women bagaimana beliau mengatasi keraguan dan mengatasi batasan pada fizikalnya untuk terus aktif bersukan.
Chris Hortin adalah seorang yang meminati sukan. Olahragawati berusia 49 tahun itu menerusi rekod persendiriannya pernah menamatkan dua kali maraton penuh, beberapa maraton separuh dan triatlon jarak Olimpik. Dia juga pernah mendaki enam gunung dan kerap bermain tenis.
Jika itu kedengaran mencabar kepada anda, ia seribu kali lebih mencabar bagi Hortin. Ini kerana dia mengalami masalah penglihatan yang teruk. Malah, dia telah kehilangan sebahagian besar daripada penglihatan periferinya, dan yang kekal hanya kurang daripada 5 peratus medan penglihatan pusat.
Pada pandangan pertama, kebanyakan orang mungkin tidak menyangka Hortin cacat penglihatan. Ini kerana dia memakai cermin mata dan biasanya bergerak tanpa tongkat putih.
Untuk memahami tahap kehilangan penglihatannya, cuba tutup sebelah mata dan lihat melalui straw ‘bubble tea’ dengan sebelah mata. Menggunakan epal sebagai contoh, Hortin berkata: "Kalau orang lain nampak keseluruhan epal itu, saya hanya nampak tangkai epal itu."
Tanpa pemandu, Hortin tidak boleh berlari sejauh 200 meter tanpa tersandung atau terlanggar orang, atau lebih teruk lagi, basikal. Apabila dia pernah sekali cuba berjoging secara perlahan di sekitar taman perumahannya, dia terjatuh dan mengalami luka di seluruh tangan dan kakinya.
Hortin bagaimanapun berjaya menamatkan larian maraton sejauh 42km dengan bantuan seorang pemandu berlari di sampingnya dan memberi petunjuk dengan pengikat - biasanya tali kasut, kain, tali atau lanyard - dan memberi amaran kepadanya jika terdapat halangan sepanjang trek.
Apabila dia berenang di laut semasa triatlon, dia tidak dapat melihat perenang lain di sekelilingnya. Dia juga tidak tahu arah mana untuk berenang atau sejauh mana dia dari garisan penamat. Dia hanya boleh mengikut tarikan dari arah pemandunya pada tali dan berenang ke arah bunyi suara pemandu itu.
Ketika ekspedisi mendaki gunung seperti Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ledang di Malaysia pula, dia tidak dapat melihat langkah yang berbatu-batu di hadapannya atau ketinggian yang boleh membuatkan rasa gayat, dan mesti mempercayai pemandunya secara tersirat. Itu antara ketidakpastian dan ketakutan yang perlu diatasi Hortin.
HILANG PENGLIHATAN DAN MINAT
Hortin berusia 14 tahun ketika dia didiagnosis menghidap glaukoma juvana, satu keadaan yang tidak dapat diubati di mana sistem perparitan pada mata tidak berkembang dengan betul dan menyebabkan tekanan terkumpul di dalam mata dan merosakkan saraf optik. Kesannya, dia kehilangan sebahagian besar penglihatannya.
Walaupun dia menjalani pembedahan selepas diagnosis itu, hilang penglihatan itu tidak dapat dipulihkan. Doktor hanya boleh cuba mengurangkan tekanan pada matanya dan mengekalkan penglihatannya.
Keadaan itu telah menyekat minat Hortin yang mendalam terhadap sukan. Pada zaman kanak-kanak, dia seorang aktif yang tidak pernah terlepas mewakili sekolah dalam pertandingan balapan dan acara padang. Namun, menginjak dewasa, Hortin kini hanya mampu menonton di tepi padang.
“Saya masih ingat semasa Hari Sukan tahun itu, semua orang menjangkakan saya berada dalam acara pecut 100 meter dan 200 meter di mana saya pasti saya akan dapat nombor satu. Sebaliknya, saya hanya duduk di tempat penonton untuk menonton orang lain berlumba. Saya sangat kecewa,” katanya.
Malah, Hortin mula memerlukan bantuan dalam aktiviti harian seperti bergerak di sekitar sekolah dan mencatat nota di dalam kelas. Pun begitu, dia berjaya menamatkan peperiksaan peringkat O dan A (peringkat Biasa dan Lanjutan), mendapat diploma lanjutan dalam Komunikasi Massa dan bekerja dalam perniagaan keluarganya.
Pada usia awal 20-an, dia berkenalan dengan seorang rakan kepada sepupunya dan meluangkan masa bersama, jatuh cinta dan berkahwin. Hortin menjadi suri rumah dan kemudian dikurniakan dua cahaya mata lelaki. Minat bersukannya mula hanya menjadi kenangan.
KELUAR DARI ZON SELESA
Kecacatan penglihatan dialami Hortin itu bagaimanapun, terus membayangi kehidupan keluarganya. “Saya sangat bimbang saya akan menjadi buta ketika anak-anak saya masih kecil. Saya mahu melihat anak-anak saya membesar dan menghabiskan hidup saya dengan mereka dengan indah,” katanya.
Hortin menjalani lebih 15 pembedahan atas nasihat doktornya. Ia termasuk tujuh hingga lapan pembedahan kecil di klinik untuk mengekalkan penglihatannya. Sebahagian daripada pembedahan itu memberi kesan komplikasi pada mata yang memerlukan pembedahan lanjut untuk diperbetulkan.
“Setiap kali selesai pembedahan, saya menjadi semakin takut. Saya tahu setiap pembedahan akan membawa kemudaratan kepada mata saya dan saya mendengar banyak cerita tentang kawan-kawan yang pergi buat pembedahan dan hasilnya buta sepenuhnya. Saya tertanya-tanya bila perkara itu akan berlaku kepada saya dan berasa putus asa,” katanya.
Ini akhirnya melunturkan semangat Hortin dalam meneruskan kehidupan. Pernah suatu ketika, sewaktu di pertengahan usia 30-an, dia berputus asa untuk meneruskan rawatan matanya. “Saya beritahu suami saya, saya tidak mahu buat pembedahan lagi dan tidak mahu berbuat apa-apa lagi. Saya berasa sangat sedih dan hanya mahu duduk di rumah,” katanya.
Suaminya menyuntik semangat buatnya agar terus kuat demi anak-anak. Bagi menggalakkannya keluar dari rumah dan aktif semula, dia menghubungi seorang jurulatih peribadi dan memberitahunya tentang keadaan matanya dan membayar pendahuluan untuk sesi latihan itu.
Hortin pada mulanya teragak-agak, namun memikirkan tidak mahu membazirkan wang suaminya atau mengecewakan anak lelakinya, dia pergi ke sesi latihan peribadi itu. Dia tidak menyangka bahawa ini akan menjadi talian hayat penting yang akan menyuntik makna baharu dalam hidupnya.
MENYUNTIK KEMBALI CINTA PADA SUKAN
Latihan peribadi menjadi pintu masuk kepada aktiviti senaman lain, seperti berkayuh. Hortin pernah menerima surat berita daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) dan membaca tentang Soundball Singapore, sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang menawarkan ‘soundball’, permainan tenis yang diubah suai untuk orang cacat penglihatan.
Permainan itu menggantikan bola tenis dengan bola span lembut dengan loceng di dalamnya supaya ia mengeluarkan bunyi apabila mencecah lantai. Bunyi itu akan membantu orang cacat penglihatan mengesan bola.
Ia menarik minat Hortin dan dia memutuskan untuk mencubanya dan dia juga mula suka dengan sukan itu.
Permainan ‘soundball’ bagaimanapun tidak mudah seperti disangka. “Mereka yang buta sepenuhnya dan mereka yang cacat penglihatan teruk seperti saya mempunyai sehingga tiga lantunan untuk memukul bola. Pada lantunan pertama, saya perlu mendengar di mana bola itu mendarat. Pada lantunan kedua, saya perlu menggunakan penglihatan terhad saya untuk melihat ke mana bola itu pergi.
"Tetapi kadangkala, saya terus terlepas semua ini dan hanya mengikut perasaan saya untuk mencari di mana kedudukan bola itu dan cuba memukulnya selepas lantunan ketiga," katanya.
Satu lagi isu yang Hortin perlu berdepan adalah seperti kebanyakan orang yang cacat penglihatan, dia tidak mempunyai kecergasan fizikal yang diperlukan untuk cemerlang dalam permainan berkenaan.
Secara kebetulan, di sebuah karnival, Soundball Singapore mempunyai sebuah reruai di sebelah Runninghour, sebuah koperasi sukan inklusif. "Kami berbual dengan pengasas Runninghour dan bertanya sama ada mereka boleh membantu kami meningkatkan kecergasan kami," kata Hortin.
Jadi pada 2012, Hortin adalah antara kumpulan pertama orang cacat penglihatan yang menyertai Runninghour, dan dengan bantuan seorang pemandu, dia bertemu kembali dengan keseronokan dapat berlari semula. "Apabila saya memegang pengikat dan berlari dengan pemandu saya, saya berasa seperti adiwira wanita," katanya.
Bermula dengan larian di stadium, Hortin mara ke larian 10km menjelang akhir 2012, dan kemudian menamatkan larian separuh maraton pada tahun berikutnya. Pada 2014, dia pertama kali menamatkan maraton penuh sejauh 42km dengan catatan masa 5.5 jam. Pada 2016, dia berjaya menamatkan maraton penuh untuk kali kedua.
“Saya betul-betul meletakkan hati dan jiwa saya dalam latihan maraton ini. Saya berlatih dua hingga tiga kali setiap minggu selama tiga hingga empat bulan. Saya bernasib baik kerana mempunyai empat atau lima pemandu yang tidak memberi sokongan, sukarelawan yang berlatih bersama saya pada malam hari bekerja selepas bekerja dan hujung minggu pada 6 pagi atau 6.30 pagi,” katanya.
Pada 2015, Hortin juga melakukan triatlon pecut pertamanya, berenang 750m di laut, berbasikal sejauh 20km dengan basikal tandem dan berlari sejauh 5km. Setahun kemudian, dia menamatkan triatlon jarak Olimpik menerusi acara renang 1.5km, menunggang basikal 40km dan larian 10km. Dia juga menakluki beberapa gunung dengan bantuan pemandu.
Sukan membantu Hortin mengatasi masalah penglihatannya. “Saya pernah berasa putus asa dan tidak berdaya serta tidak mampu menghadapi kekurangan sendiri.
“Namun, saban tahun, saya menjadi lebih yakin melalui kejayaan yang dicapai dalam sukan dan kini lebih terbuka untuk memberitahu orang ramai tentang masalah penglihatan saya,” katanya.
KETERANGKUMAN MELALUI SUKAN
Bagi Hortin, menyertai sukan bukan sahaja satu kebanggaan, tetapi juga secara tidak langsung menggalakkan lebih banyak kesedaran dan keterangkuman. Naib pengerusi Runninghour itu menegaskan bahawa ramai pihak masih tidak tahu bahawa orang kurang upaya atau berkeperluan khas mampu menyertai sukan.
“Masih ada orang yang bertanya kepada pemandu saya bagaimana saya boleh berlari. Pemandu saya selalu menjawab: Dia berlari dengan dua kaki, satu demi satu,” katanya. “Saya ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa saya mungkin buta, tetapi saya boleh melakukan perkara yang sama seperti mereka. Saya cuma perlukan panduan.
“Apabila orang kurang upaya dan berkeperluan khas berkumpul bersama orang awam untuk bersukan, ia boleh membantu mengubah persepsi. Sukan secara keterangkuman ini juga membuatkan golongan berkeperluan khas berasa seperti sebahagian daripada orang awam; mereka tidak dikecualikan,” tambahnya.
Menurut Hortin, kesedaran masih kurang di Singapura, terutamanya bagi golongan kelainan upaya yang cacat penglihatan.
Bercakap berdasarkan pengalaman peribadinya, Hortin berkata: “Salah tanggapan yang biasa adalah cacat penglihatan bermaksud anda buta sepenuhnya, memakai cermin mata gelap dan memegang tongkat putih. Tetapi (sebenarnya) ada orang yang kurang daya penglihatannya seperti saya – ada yang boleh nampak cahaya, ada yang boleh nampak bayang-bayang, ada yang boleh nampak hanya sebahagian kecil daripada imej, dan ada yang penglihatannya kabur,” katanya.
Kurangnya kesedaran ini menyebabkan kurangnya empati. “Kadang-kadang, apabila saya terlanggar dengan orang di luar, mereka akan mempersoalkan saya. Walaupun saya memberitahu mereka saya cacat penglihatan, mereka tetap percaya menganggap bahawa saya hanya mencari alasan kerana saya memakai cermin mata dan kelihatan agak normal. Saya perlu menunjukkan kepada mereka kad pengenalan saya, memohon maaf berulang kali, atau beredar dari situ,” katanya.
“Apabila saya duduk di kerusi zon keutamaan dalam pengangkutan awam, sesetengah orang juga akan mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan tentang betapa saya mementingkan diri dan tidak bertimbang rasa untuk mengambil tempat duduk padahal saya mampu. Selepas saya mengeluarkan tongkat barulah mereka sedar saya cacat penglihatan,” tambahnya.
Hortin menggesa orang ramai untuk menunjukkan lebih rasa belas kasihan dan empati.
“Saban tahun, saya ada slogan saya sendiri. Kenali kecacatan saya dan hargai kemampuan saya. Anda mesti terlebih dahulu sedar bahawa saya buta, penglihatan saya terhad, dan saya memerlukan bantuan. Tetapi saya juga berharap anda dapat menghargai apa yang saya boleh capai. Saya juga boleh mampu membuat pencapaian,” katanya.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kisah inspirasi usahawan Norfasarie yang tidak jenuh melatih anaknya yang cacat lengan membesar ikuti jejak langkahnya.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.