Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Usahawan Norfasarie tidak jenuh melatih anaknya yang cacat lengan membesar ikuti jejak langkahnya

Usahawan, pelakon dan penyanyi Norfasarie Mohamed Yahya serta suami Baihakki Khaizan, tidak pernah terputus azam untuk membesarkan Moza Alyka seperti kanak-kanak lain, malah untuk berjaya sebagai seorang usahawan kelak. 

Usahawan Norfasarie tidak jenuh melatih anaknya yang cacat lengan membesar ikuti jejak langkahnya
Moza Alyka Baihakki berusia 11 tahun yang berkeupayaan unik, dilahirkan tanpa tangan kanannya, sedang mempelajari selok-belok keusahawanan dan membina jenama aksesori bersama ibunya. (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

SINGAPURA: Norfasarie Mohamed Yahya masih ingat ketika menjalani imbasan pranatal sewaktu kandungannya enam bulan, 11 tahun lalu. Dia ketika itu sedang menghamilkan anak keduanya, Moza Alyka Baihakki.

“Juruteknik itu memalingkan monitor kepada saya dan berkata, ‘Saya dapat lihat jantung, buah pinggang, dua mata, hidung dan dua kakinya. Semuanya nampak sempurna. Ini adalah tangan kirinya dan lima jarinya. Tetapi saya tak jumpa tangan kanan dan jarinya,” kata Norfasarie. 

Usahawan, pelakon dan penyanyi, yang pernah membintangi program Mediacorp Suria Singapura dan juga telah mengeluarkan album dan single, kemudian diberitahu bahawa bayinya mengalami kondisi yang dikenali sebagai sindrom amniotic band, yang menghalang pertumbuhan tangan kanannya.

Malah, lagu single yang diterbitkan pada 2011 itu berjudul ‘Seikhlas Hati’, didedikasikan buat Moza.

Masih kuat di ingatan Norfasarie dengan deraian air mata yang mengalir ketika perasaannya dibelenggu keraguan. “Adakah otak (bayinya) akan terjejas? Adakah dia perlu pergi ke sekolah anak-anak keperluan khas? Adakah dia boleh merangkak? Bolehkah dia berumah tangga? Pernah juga terlintas seketika difikiran untuk menamatkan kehamilan,” akui wanita berusia 39 tahun itu.

Bagaimanapun, pakar sakit puan meyakinkannya bahawa walaupun ketiadaan sebelah tangan, bayi itu sihat. Norfasarie memutuskan untuk meneruskan kehamilannya.

“Saya masih ingat selepas melahirkan Moza. Saya tidak menangis. Apabila mereka mengusung saya kembali ke wad di mana ibu bapa saya menunggu, saya cuma berasa kebas,” katanya.

Moza dilahirkan tanpa tangan kanannya akibat gangguan kongenital langka yang dikenali sebagai sindrom amniotic band. (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

“Hanya selepas ibu bapa saya dah pergi, dan saya menyusukannya buat kali pertama, bayi saya tiba-tiba menggunakan hujung lengan kanannya untuk menolak payudara saya. Ia sangat kuat! Saya terkejut kerana saya tidak tahu hujung lengan kanannya itu begitu kuat. Saya lihat dia dalam pelukan saya dan menangis. Saya hanya menangis dan menangis dan menangis,” katanya.

Kekuatan bayi perempuannya yang tidak dijangka itu, bagaimanapun, memberi Norfasarie keazaman yang dia perlukan. “Sejak hari itu, saya memutuskan untuk tidak menangis, lebih-lebih lagi ketika berhadapan Moza. Saya akan membesarkannya sebagai kanak-kanak normal,” katanya.

Dan itulah yang dilakukan oleh Norfasarie dan suaminya, pemain bola sepak Singapura Baihakki Khaizan. "Ada banyak perkara yang dia tidak boleh buat, seperti merangkak. Malah ketika dia belajar berjalan, setiap kali dia jatuh, dia tidak mempunyai kedua-dua belah tangan untuk bertahan (pada lantai) dan akan mengalami benjol di kepala. Pun begitu, kami tetap melayannya seperti anak sulung kami,” kongsi Norfasarie.

“Dia mahu belajar berenang, balet, piano, biola dan gitar, jadi kami biarkan dia mencuba semuanya. Hari ini, dia berenang dan bermain piano dengan sangat baik menggunakan tangan kirinya untuk memainkan melodi dan sebelah kanan pula untuk memainkan kord. Dia seorang yang penuh keyakinan diri,” kata Norfasarie.

Moza membesar dengan penuh tabah dan cekal. Meskipun baru berusia 11 tahun pada tahun ini, semangat Moza membuatkan ibunya memutuskan untuk mengajarnya tentang selok-belok bidang perniagaan, dan bersama-sama melancarkan Myla Moza, jenama aksesori kecil, dengannya.
Perusahaan 'Myla Moza' dinamakan sempena dua anak perempuan Norfasarie, Moza, 11, dan Myla, yang berusia satu tahun. (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

PERJALANAN KEUSAHAWANAN SI CILIK 11 TAHUN

Menurut usahawan suri rumah itu, kelahiran anak perempuan keduanya Myla pada Mei 2021 yang menjadikan permulaan kepada perniagaan baharu itu. 

“Saya mempunyai dua orang anak lelaki dan dua perempuan, dan ingin meninggalkan legasi kepada setiap seorang anak perempuan saya.

"Ketika saya telah menamakan Moza Aesthetics sempena nama anak sulung saya Moza, saya tidak mempunyai apa-apa untuk anak bongsu saya Myla. Jadi saya terfikir untuk memulakan satu lagi perniagaan baharu, Myla Moza – menggabungkan kedua-dua nama anak perempuan saya,” katanya.

Apabila dia zahirkan idea itu kepada Moza pada April tahun lepas, anak perempuannya berkongsi keterujaannya. "Dia segera mula melukis tiga hingga empat logo, dan daripada itu, kami pilih satu," katanya.

“Dia mendapat idea untuk menjual getah pengikat rambut (scrunchies) dan berus rambut pelerai kusut (detangler brush) kerana dia mengenali seorang gadis Amerika di TikTok yang memulakan perniagaan kecil menjual aksesori itu dan kini mampu membeli rumah untuk ibu bapanya.

“Moza berkata dia juga ingin membelikan saya rumah yang lebih besar. Walaupun saya selalu memberitahunya untuk tidak menghabiskan banyak masa di TikTok, sekurang-kurangnya ada sesuatu faedah datang dari situ,” katanya berseloroh.

Walaupun usianya baru setahun jagung, Moza sudah mampu menyusun ideanya dan membentangkannya kepada ibu bapanya, termasuk unjurannya untuk keuntungan yang boleh dibuat hasil perniagaan itu dan pelaburan awal yang diperlukan.

“Dia juga memberitahu saya dia memilih ‘scrunchies’ dan berus rambut itu kerana ia tidak mempunyai jangka hayat. Ia agak mengagumkan. Tak ubah seperti Shark Tank,” katanya, merujuk kepada sebuah rancangan realiti Amerika di mana usahawan yang bercita-cita tinggi melontarkan idea mereka kepada para pelabur.

Norfasarie pada mulanya melaburkan S$5,000 untuk Myla Moza untuk mencipta penjenamaan, dan untuk mereka bentuk dan membuat tanda dagangan logo secara profesional, serta mendapatkan produk dan pembungkusan yang diingini oleh Moza.

“Dia bermula secara kecil-kecilan, menawarkan hanya satu kotak dengan lima ‘scrunchies’ bersama berus rambut, berharga S$68. Dia membungkusnya sendiri di rumah dan juga menulis petikan kata-kata inspirasi yang berbeza untuk setiap kotak, yang telah dia dapatkan daripada Internet atau buku,” kata Norfasarie.

Moza menjualnya semasa musim perayaan Hari Raya pada bulan Mei di Instagram dan TikTok menerusi nama akaun @mylamoza. Dia juga menjualnya kepada rakan-rakan dan saudara-mara yang berkunjung ke rumah sepanjang tempoh perayaan itu. 

“50 kotak habis dijual. Saya agak terkejut kerana anak saya yang berumur 11 tahun memperoleh lebih daripada S$3,000 dari hasil jualan itu. Mungkin kerana Moza berkeupayaan unik, dia seorang jurujual yang sangat baik. Anda boleh tahu daripada cara dia bercakap dengan orang ramai,” tambahnya.

“Jadi pada Ogos, selepas Hari Raya, saya memberitahu Moza bahawa saya ada ruang dalam Moza Aesthetics yang boleh saya tukar untuk mengembangkan Myla Moza. Saya bertanya kepadanya sama ada dia mahu mengambil ruang itu. Dia berkata ya,” kata Norfasarie.

Bersama-sama dengan S$3,000 yang mereka perolehi daripada jualan kotak ‘scrunchies’ itu, Norfasarie menokok  S$10,000 lagi untuk mengubah suai satu sudut dalam premis salun kecantikannya itu dan melancarkan Myla Moza secara rasmi pada 1 Okt. Mereka memutuskan untuk menambahkan lagi jenis produk yang ditawarkan. 

Antara aksesori yang ditambah termasuk rantai, gelang, kerongsang, anting-anting, cincin, aksesori rambut dan beg tangan. 

TERIMA KEUNIKAN DENGAN HATI TERBUKA

Hari ini, ibu dan anak perempuan itu bekerjasama untuk membangunkan Myla Moza, dengan Moza mengendalikan bahagian mendapatkan sumber dan sumbang saran untuk idea baharu.

"Oleh kerana Moza masih muda dan baharu, dia tahu apa yang rakannya atau remaja lain mahukan dan apa yang menjadi trend masa kini," kata Norfasarie.

Moza Alyka Baihakki menunjukkan produknya kepada rakan keluarga semasa pelancaran rasmi jenama perniagaan Myla Moza. Menurut Moza, pada awal pembukaan perniagaan, dia sentiasa meragui akan keberhasilannya, namun pada akhirnya dia terkejut akan sambutan yang positif dalam kalangan pelanggan. (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

"Dia yang memberitahu saya apa jenis beg dan aksesori terkini. Dia juga beri idea seperti kit kembali ke sekolah dengan cekak rambut berwarna hitam, klip dan gelang getah kerana dia dan rakannya selalu kehilangan barangan seperti ini. Dan dia menguji sampel seperti berus, klip cakar dan cekak rambut kain untuk memastikan ia tidak terlalu ketat atau menyakitkan,” tambahnya.

“Saya membimbingnya untuk membuat penyelidikan pasaran dan menyemak jenama pesaing yang sedia ada, dan membantunya dari segi meletakkan harga. Saya juga memastikan dia boleh mengimbangkan antara pelajaran sekolah dan perniagaan Myla Moza. Ini dia bakal menduduki peperiksaan tamat sekolah rendah PSLE pada tahun depan,” kata Norfasarie.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman keusahawanan, Norfasarie turut memperkasakan Moza untuk berbakti kepada masyarakat dengan mendermakan 20 peratus daripada hasil keuntungan jualan hari pertama pelancaran Myla Moza kepada sebuah badan amal pilihannya.

Moza memilih Enabling Village, sebuah ruang komuniti bersepadu yang mempromosikan masyarakat lebih inklusif untuk golongan berkeupayaan unik seperti dirinya.

“Nasihat saya untuk mereka yang berkeupayaan unik: Jangan biarkan orang memandang rendah terhadap anda. Ketahuilah bahawa anda unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam melakukan sesuatu perkara,” kata Moza.

"Kejayaan terbesar saya dalam menubuhkan Myla Moza adalah untuk mencukupkan dana untuk Enabling Village," kata Moza (dua dari kanan). (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

Ia mungkin kelihatan seperti Moza dan Norfasarie telah mengatasi cabaran yang besar untuk sampai ke tahap ini. Namun, bagi Norfasarie, ia kekal menjadi suatu perjalanan yang penuh dengan emosi untuk mereka berdua. 

“Saya masih ingat ketika Moza berusia enam tahun dan menghadiri kelas uji cuba olah raga. Apabila dia memperkenalkan dirinya, salah seorang rakannya berkata 'Ew, apa dah jadi dengan tangan awak. Saya tak nak sentuh.’ Moza terus menangis di stadium pada hari itu,” ceritanya. 

“Malah hari ini, bila dia sudah biasa dengan renungan dan permintaan orang yang mahu menyentuh hujung lengannya, ada kalanya ia masih mengguris hatinya. Sebagai contoh, baru-baru ini semasa Halloween, ada beberapa orang dewasa menyangkakan hujung lengannya itu adalah kostum Halloween dan bertanya bagaimana dia membuatnya," tambah beliau. 

“Walaupun umurnya baru 11 tahun dan semangatnya hari ini lebih kuat, dia masih mengalami hari-hari buruk apabila dia berkata, 'Mama, kenapa saya tidak ada tangan?' Saya terus mengingatkan dia supaya tabah dan Tuhan menciptakan dia secara istimewa dengan sebabnya sendiri" ujar Norfasarie. 

Moza (dua dari kanan) berkata dia tidak pernah berasa kecewa dilahirkan berbeza dari orang lain kerana meminjam semangat itu dari keluarga dan rakannya yang tidak putus mendorongnya dalam kehidupan. (Gambar: Norfasarie Mohamed Yahya)

Itulah antara sebab Norfasarie begitu cekal mengajar Moza selok-belok keusahawanan. “Saya telah berkecimpung dalam (bidang) perniagaan selama hampir 12 tahun dan saya percaya terdapat banyak ciri dan nilai-nilai yang baik dalam keusahawanan,” katanya.

“Walaupun saya mahu dia menamatkan (peperiksaan-peperiksaan) PSLE, peringkat O-Level dan (kemudian memperoleh) ijazah, saya tidak mahu dia ingat bahawa dunia ini sangat kecil, sehingga anda perlu melalui laluan pendidikan tradisional sahaja dan menjadi seperti orang lain untuk berjaya,” tambahnya lagi. 

“Menjadi seorang usahawan memerlukan banyak kreativiti, kekuatan mental, daya tahan dan sikap tidak berputus asa. Sama seperti dalam kehidupan, jika anda jatuh, anda bangun semula.

Inilah kualiti yang saya lihat dalam diri Moza kerana dia berkeupayaan unik. Saya mahu dia mengembangkan ciri-ciri itu supaya dia berjaya di masa hadapan dengan caranya yang tersendiri,” katanya.

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kes kecederaan dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia selepas memakan snek disalut cecair nitrogen. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement