Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

‘Saya boleh terima’: Warga Malaysia pertama dakwa panjat menara Merdeka 118 tidak hirau kritikan

Rakaman mengenai sekumpulan individu melakukan aksi nekad memanjat pencakar langit Merdeka 118 yang belum siap timbulkan persoalan mengenai kawalan keselamatan di tapak binaan di Kuala Lumpur itu. 

‘Saya boleh terima’: Warga Malaysia pertama dakwa panjat menara Merdeka 118 tidak hirau kritikan
Pada April tahun lalu, Keow Wee Loong (kanan) memuat naik di media sosial gambarnya di puncak bangunan Merdeka 118. (Gambar: CNA/Fadza Ishak, Keow Wee Loong)

KUALA LUMPUR: Jurugambar dari Malaysia yang gemar meneroka tempat tinggi, Keow Wee Loong mendakwa menjadi orang pertama memanjat menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur.

Ia susulan beberapa laporan berita mengenai percubaan menceroboh bangunan yang masih dalam pembinaan sehingga mencetuskan reaksi orang awam terhadap aksi mereka yang berbahaya itu. 

Keow, 33, yang terkenal dengan kemahiran fotografi dari atas bumbung, bagaimanapun enggan mendedahkan bila dia memanjat pencakar langit berketinggian 679m itu.

Pada April tahun lalu, dia memuat naik gambarnya di media sosial sedang berada di puncak menara itu dengan berkaki ayam sambil mengangkat sebelah tangan. 

Apabila siap pada suku ketiga tahun ini, Merdeka 118 akan menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia, selepas Burj Khalifa di Dubai.

Aktiviti panjat menara bangunan atau ‘rooftopping’ melibatkan pendakian ke paras tertinggi sesebuah bangunan demi mengambil gambar dan video yang menyebabkan gayat. Individu yang membuat aksi berani mati itu dikenali sebagai ‘rooftopper’. 

Bagi individu yang meminati aktiviti nekad itu, ia adalah satu bentuk seni dan pengembaraan untuk merakam foto pemandangan yang menakjubkan dari tempat yang tidak dapat dicapai kebanyakan orang. 

Ini sekalipun melibatkan pelanggaran undang-undang, malah maut sekiranya terjatuh dari bangunan tinggi. 

Pada 2017, seorang ‘rooftopper’ dari China, Wu Yongning terjatuh dan dilaporkan meninggal dunia ketika cuba melakukan aksi ‘pull-up’ dari belebas bangunan berketinggian 62 tingkat itu.

Keow Wee Loong berkata dia menghabiskan selama dua hari di dalam Merdeka 118 semasa percubaannya memanjat menara itu. (Gambar: Keow Wee Loong)

"Saya menghabiskan 48 jam di bangunan itu atas (sebab) keselamatan dan saya dapat bertahan dengan meminum air yang ditinggalkan pekerja pembinaan," kata Keow kepada CNA mengenai percubaannya memanjat Merdeka 118. 

“Ketika itu, keselamatan amat ketat, (berbanding) ketika warga Rusia memanjatnya apabila bangunan itu (sudah) siap dan kurangnya kerja-kerja (pembinaan).”

Keow merujuk kepada pasangan ‘rooftoppers’ dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau, yang telah disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia pada Disember selepas gambar mereka berada di puncak Merdeka 118 tular di media sosial.

PERCUBAAN PANJAT MERDEKA 118

Aksi pasangan itu menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia, yang menyifatkan mereka berdua tidak menghormati peraturan negara lain, dengan menceroboh tapak bangunan yang sedang dalam pembinaan. Ada juga yang membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan yang lemah di tapak binaan berkenaan. 

Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Yahaya Othman memberitahu New Straits Times bahawa pasangan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan mereka dan disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 (AS$698), atau kedua-duanya sekali.

Polis Malaysia memburu pasangan itu walaupun ada laporan tiadanya rekod mereka memasuki atau meninggalkan Malaysia. Beerkus kemudian menjelaskan dalam akaun media sosialnya bahawa mereka telah memasuki Malaysia secara sah dan telahpun meninggalkan negara itu.

Nikolau juga memohon maaf kepada rakyat Malaysia di media sosial, dengan menyatakan apa yang mereka lakukan adalah untuk "seni" dan tidak bertujuan untuk menyinggung perasaan rakyat Malaysia. 

Pada 30 Dis, sebuah saluran ‘rooftopping’ di YouTube, Driftershoots memuat naik video sepanjang tujuh minit yang menunjukkan sekumpulan empat individu menyelinap masuk dan mendaki Merdeka 118. Beberapa warganet yang dikenali sebagai rakyat Malaysia memuji video itu atas keberanian ‘rooftoppers’ terbabit dan pemandangan yang menakjubkan.

Pihak yang mengendalikan media sosial Driftershoots itu dikenal pasti dalam laporan New York Times 2021 sebagai bekas pasukan payung terjun dari Amerika, Isaac Wright.

Tangkap layar video kumpulan ‘rooftopper’ di puncak menara Merdeka 118 di Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada 10 Jan, pemaju Merdeka 118, PNB Merdeka Ventures berkata percubaan masuk itu berlaku pada 1 Mei tahun lepas, dan kumpulan itu telah ditahan polis serta didakwa pada hari yang sama.

"Kami ingin mengulangi bahawa aksi sedemikian adalah menyalahi undang-undang dan berbahaya, dan membahayakan keselamatan penceroboh dan kakitangan yang bekerja keras di tapak," kata pemaju, sambil menambah bahawa pihaknya akan terus meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tapak binaan.

“Oleh itu, amat membimbangkan perbuatan yang dilarang berlaku ke atas harta benda kami terutama apabila digunakan untuk keuntungan komersial dan populariti secara menyalahi undang-undang.”

Pekerja binaan di tapak pembinaan Merdeka 118. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Sebagai respons kepada pertanyaan CNA, seorang jurucakap PNB Merdeka Ventures (PNBMV) pada 20 Jan lalu berkata menara itu dalam proses disiapkan pada suku ketiga tahun ini dan ia kekal sebagai "tapak bangunan yang sedang dalam binaan."

“Oleh itu, keselamatan kekal menjadi keutamaan kami dan PNBMV akan terus memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dilaksanakan,” kata jurucakap itu.

KESELAMATAN TAPAK BINAAN

Hasil tinjauan CNA di tapak binaan Merdeka 118 pada 18 Jan mendapati, beberapa bahagian perimeternya telah diletakkan pagar menggunakan penghadang zink yang tinggi, biasanya digunakan untuk menutup kawasan bangunan dalam pembinaan. 

Tetapi beberapa kawasan - termasuk tepi jalan awam yang menghala ke stadium Chin Woo - hanya diletakkan pagar logam yang rendah serta ditutupi dengan kain terpal biru. Walaupun pengawal keselamatan ditempatkan di tempat akses untuk kenderaan, tiada pondok sedemikian di kawasan terbabit. 

Selepas memanjat pagar itu, seseorang individu boleh memasuki tapak binaan dengan pintu masuk terbuka ke menara utama yang terletak tidak jauh sekitar 50m. 

Seorang pengurus firma keselamatan Malaysia yang turut mengendalikan tapak binaan memberitahu CNA bahawa adalah paling penting bagi keseluruhan perimeter tapak dipagar dengan betul, dengan "hanya satu atau dua" tempat akses dilengkapi dengan mesin pengimbas cap jari.

"Jadi apabila pengawal keselamatan pergi meronda setiap satu jam dan mendapati sebarang kerosakan, mereka boleh menggantikan pagar dan mengemukakan sebarang amaran," kata Encik Ravindran Doraisamy, 58, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang itu. 

Encik Ravindran berkata kamera litar tertutup (CCTV) yang meliputi seluruh perimeter, dengan rakaman secara langsung sepatutnya diletakkan dan dipantau oleh anggota keselamatan sepanjang masa.

Katanya, sekiranya pagar perlu dialihkan di bahagian tertentu atas sebab seperti kerja pemasangan paip, pegawai keselamatan tambahan perlu dikerahkan ke kawasan terbabit. 

Seorang pengawal keselamatan mengambil gambar sebuah lori memasuki tapak pembinaan Merdeka 118. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Encik Ravindran tidak menolak bahawa ciri-ciri keselamatan pada bangunan datang dengan kos tambahan. Namun, dia berpendapat perkara itu tidak sepatutnya menjadi masalah kepada pemaju projek ikonik seperti Merdeka 118.

“Ini adalah perkara asas; Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh masuk ke dalam,” katanya sebagai respons kepada kes ceroboh oleh ‘rooftopper’ baru-baru ini.

Namun dia menyatakan bahawa kekurangan pengawal keselamatan atau tidak berpengalaman mungkin faktor penyumbang kepada kes pencorobohan itu. 

“TIADA APA YANG BOLEH HALANG KAMI”

Keow percaya bahawa tiada langkah keselamatan yang seketat mana pun boleh menghalang para ‘rooftopper’ daripada mencuba mendaki Merdeka 118.

Menurutnya, dia tahu dua lagi kumpulan merancang untuk mencuba memanjat menara itu pada Januari dan Mac. Keow bagaimanapun tidak mendedahkan lebih banyak butiran mengenai rancangan kumpulan itu. 

“Satu-satunya cara untuk menutup bangunan itu adalah jika mereka datang berunding dengan kami. Untuk menghalang kami, mereka perlu tahu kaedah kami. Jika tidak, tiada apa yang boleh menghalang kami untuk sampai ke atas,” katanya.

Keow bercakap berdasarkan pengalaman dengan dirinya pernah meninjau beberapa struktur tertinggi di Malaysia dan dunia.

Dia sebelum ini pernah menaiki Menara Shanghai, yang sebelum ini bangunan kedua tertinggi di dunia; Marina 101 di Dubai, bangunan kedua tertinggi di Emiriah Arab Bersatu (UAE); dan jambatan Beipanjiang China, jambatan tertinggi di dunia.

Keow Wee Loong mendaki Menara IB di Kuala Lumpur. (Gambar: Keow Wee Loong)

"Saya pernah mendaki TRX (Tun Razak Exchange), Merdeka 118, Ilham Baru (Menara IB) dan banyak lagi di Malaysia," katanya merujuk kepada sebuah laporan berita mengenai bagaimana dia didenda RM1,000 pada 2014 kerana menceroboh dan memanjat Menara 1 Sentrum di KL Sentral.

Bagi Merdeka 118, Keow berkata dia adalah orang pertama yang berjaya mendakinya, sebelum Wright dan pasangan Rusia itu.

“Ada yang gagal dan turun semula tanpa ditangkap. Ada yang ditangkap. Tetapi mereka yang berjaya naik hingga ke atas adalah yang terbaik di dunia kerana melakukan apa yang mereka lakukan, dengan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 tahun pengalaman atau lebih,” katanya.

“Kami buat ini saban hari; ia bukan cubaan kali pertama kami. Bagi mereka yang baru mahu mencuba, sudah tentu ia tidak digalakkan.”

Seorang pekerja binaan di pintu masuk kenderaan ke tapak Merdeka 118. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Untuk sampai ke tingkat atas, Keow berkata dia menggunakan tangga kerana lif boleh menghidupkan alat penggera. Tetapi untuk 30 tingkat pertama, dia melepasi beberapa pagar yang berkunci dan memintasnya dengan melompat ke atas aci lif.

"Perkara yang paling teruk adalah memanjat dari luar di bahagian atas kerana ia dikunci," katanya.

Tegas Keow, dia tidak memecahkan kunci seperti dilakukan beberapa ‘rooftopper’ yang "terkenal" lalu menyebabkan langkah keselamatan diperketatkan. Malah ada juga yang mencederakan pengawal keselamatan ketika melarikan diri, katanya.

“Ramai daripada mereka mahir dengan mengendalikan kunci. Saya tidak mempunyai kemahiran itu, tetapi apa yang saya ada, saya boleh panjat dengan baik,” katanya.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengkritik aktiviti ‘rooftopping’ sebagai perbuatan haram yang membahayakan diri sendiri dan orang lain?

"Bagi saya, saya tidak pernah melanggar apa-apa (peraturan) atau mencederakan sesiapa ... saya boleh terimanya (kritikan)," tambah Keow. 

PASARAN LUMAYAN

Keow menyifatkan para ‘rooftopper’ sebagai sekumpulan jurugambar antarabangsa dan mereka yang gemar dengan pengembaraan. Biasanya mereka jarang mendedahkan profil diri mereka kepada umum, sehinggalah mereka mula mencabar diri mereka untuk menjadi individu pertama memanjat beberapa bangunan berprofil tinggi di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, sudah menjadi kebiasaan bagi ‘rooftopper’ luar negara untuk memberi semacam "ucapan salam mesra" kepada masyarakat tempatan sebelum mula mendaki menara-menara ikonik masyarakat tempatan. 

“Kami terbang ke sana sini dan ia adalah pasaran yang sangat menguntungkan,” kata Keow sambil mendakwa dia menjual salah satu gambar ‘rooftopping’ dari Dubai dengan harga AS$50,000.

Menurutnya, gambar itu dipaparkan dalam majalah untuk kereta api bawah tanah dan kemudian bertukar menjadi papan iklan promosi.

Puncak menara Merdeka 118 di sebalik kibaran bendera-bendera Malaysia, yang juga dikenali sebagai Jalur Gemilang. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Keow juga mempunyai respons kepada sesetengah pihak yang berkata golongan ‘rooftopper’ ini hanya melakukan aksi sedemikian demi meraih populariti di media sosial, walaupun sebenarnya media dan agensi jenama yang membayar sejumlah wang yang banyak untuk gambar-gambar mereka digunakan dalam pelbagai kempen.

Sesetengah ‘rooftopper’ ini, katanya, menukar gambar mereka menjadi 'token tidak sepiawai' (non-fungible token, NFT) - iaitu karya seni digital unik menggunakan teknologi ‘blockchain’ untuk mengesahkan pemilikan - yang boleh dijual pada harga sekurang-kurangnya RM100,000 setiap satu.

Laman media sosial ‘rooftopping’ seperti Driftershoots dan On The Roofs juga mempunyai alamat e-mel khas untuk pertanyaan bagi tujuan perniagaan.

"Saya boleh katakan sebuah projek boleh menghasilkan sekurang-kurangnya S$20,000 setiap pendakian dan banyak lagi," kata Keow.

“SILAP SATU LANGKAH, KITA MATI”

Namun, ia tetap tidak sama seperti hari mendapat gaji dengan mudah.
Menurut Keow, para ‘rooftopper’ biasanya bekerja secara berpasangan, supaya dapat bekerjasama dalam mengumpul maklumat mengenai tapak sebelum melakukan pendakian, dan memantau persekitaran semasa melakukan percubaan yang sebenar.

Katanya, dengan berkumpulan, lebih mudah bagi mereka untuk membuat rakaman video, sambil menambah bahawa fotografi menggunakan dron serta kemahiran menyunting menjadi kemestian. 

Walaupun dia lebih suka melakukannya bersendirian supaya "lebih pantas", tetapi ini juga bermakna dia perlu lakukan semuanya dengan sendiri, termasuk memasang tripod ketika berada ratusan meter atas bangunan. 

Merdeka 118 kekal sebagai tapak pembinaan yang sedang beroperasi. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Keow bagaimanapun berkata dia tidak mencuba aksi ngeri, sambil menambah bahawa sesetengah pihak ada yang menjauhkan diri daripada Wu Yongning, ‘rooftopper’ dari China yang meninggal dunia pada 2017, kerana kecuaiannya. 

“Kenapa ambil risiko? Matlamatnya adalah untuk sampai ke puncak, menikmati pemandangan dan merakam pemandangan untuk orang ramai (lihat),” katanya.

“Kebanyakan daripada kita takut akan ketinggian. Itulah yang menjadikan kami sangat berwaspada dan sedar tentang persekitaran kita. Silap satu langkah, kita mati.”

Pemandangan Merdeka 118 dari kaki Menara Kuala Lumpur. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Bagi Keow, perjalanannya dalam aktiviti ‘rootopping’ bermula selepas dia terselamat daripada cubaan membunuh diri selepas kehilangan orang tersayang.

“Oleh kerana saya diberi peluang kedua dalam hidup … apa saja yang saya ada sekarang adalah tambahan. Saya mengambil setiap peluang yang ada dengan satu pintu menuju ke pintu yang lain,” katanya.

Keow membandingkan motivasi di sebalik ‘rooftopping’ dengan mendaki Everest, menyelam sehingga dasar Jurang Mariana dan juga seperti ke bulan.

"Semuanya seperti melakukan perjalanan dan menggunakan kekuatan anda sendiri untuk pergi dari titik A ke titik B," katanya.

"Jika kita merancang untuk melakukan sesuatu, kita buat."

Ditanya bagaimana perasaannya ketika berada di puncak beberapa bangunan tertinggi, Keow berkata: "Seperti berada di puncak dunia dan (pada masa yang sama) masih hidup." 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penduduk Johor menyuarakan kebimbangan sedang banjir berulang dalam tempoh tiga tahun. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement