Ibu pelakon cilik Malaysia yang cedera dalam insiden ‘prank’ tarik kerusi akan ambil tindakan undang-undang
Puteri Rafasya yang berusia dua belas tahun masih trauma dengan kejadian itu.
SINGAPURA: Ibu kepada seorang pelakon cilik di Malaysia berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang selepas anak perempuannya itu cedera pada tulang pinggul dalam insiden tarik kerusi yang didakwa berlaku di sebuah set penggambaran.
Cik Fatin Aliza Salmi, 33, memberitahu CNA pada Isnin (20 Mac) bahawa dia telah mendapatkan khidmat seorang peguam dan sedang menunggu laporan perubatan anak perempuannya sebelum menimbangkan langkah seterusnya.
Media tempatan melaporkan Puteri Rafasya, 12, terjatuh selepas kerusi yang hendak didudukinya ditarik oleh seorang kanak-kanak lain gara-gara sebagai gurauan.
Harian Metro melaporkan Puteri mengalami keretakan pada tulang pinggul selepas terjatuh dan badannya menghempap kaki besi tripod.
Cik Fatin berkata kejadian itu berlaku pada 22 Feb lalu, ketika kru produksi bersama Puteri dan ibu bapa kepada kanak-kanak yang didakwa menarik kerusi itu berada di set penggambaran. Katanya, kanak-kanak itu lebih muda daripada Puteri.
Cik Fatin mula berkongsi kejadian itu di media sosial pada 26 Feb, selepas dia menyatakan bahawa tiada tindakan diambil susulan kejadian itu. Pada hari-hari berikutnya, anak perempuannya terpaksa menggunakan kerusi roda, tidak boleh berjalan atau duduk.
Cik Fatin berkata dia tidak mendedahkan di media sosial mengenai identiti kanak-kanak terbabit atau ibu bapanya atas dasar simpati dan bimbang warganet akan memberi pelbagai reaksi.
Katanya, ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit hanya meminta maaf kepadanya semasa pertemuan secara peribadi pada 13 Mac lalu, lebih dua minggu selepas kejadian itu berlaku.
Pertemuan itu dihadiri kedua-dua pihak terbabit serta wakil pihak produksi dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
“Sehingga kini, seminggu selepas itu, ibu bapa (kanak-kanak terbabit) tidak menyatakan sebarang hasrat untuk melawat anak saya yang sudah lapan hari terlantar di hospital. Saya tidak mendapat sebarang SMS, WhatsApp atau panggilan daripada mereka,” katanya.
“Apa yang mereka fikirkan? Selepas meminta maaf, biarkan begitu saja? Saya tak kata saya terima permohonan maaf mereka. Itu tidak berlaku. Saya hanya mendengar kerana terlalu emosi untuk bercakap. Saya sebenarnya tidak sanggup melihat wajah mereka.”
Menurut Cik Fatin, beberapa pihak yang hadir semasa pertemuan 13 Mac itu menegaskan Puteri jatuh dari kerusi itu sendiri. Ibu bapa kanak-kanak itu juga menawarkan RM120 (AS$27) sebagai "bantuan", katanya.
"Jadi apabila saya mendengar orang membuat cerita seperti itu, saya hanya memberitahu mereka bahawa saya akan serahkan kepada peguam saya," katanya.
“Sesetengah daripada mereka berkata, ‘Mengapa perlu bawa (kes) ini ke mahkamah?’ Saya tidak tahan dengan soalan itu. Kerana tiada tindakan diambil. Apa yang awak jangkakan? Berapa lama RM120 itu akan membantu?”
Cik Fatin berkata jumlah duit itu tidak akan menampung kos X-ray anaknya, walaupun dia enggan mendedahkan berapa banyak kos yang telah dibelanja untuk perubatan Puteri setakat ini.
“Kita serahkan perkara ini kepada peguam. Ini sebenarnya isu besar - isu keselamatan dengan set produksi. Saya tidak mahu bercakap banyak tentang produksi ini yang saya rasa juga tidak mahu bertanggungjawab,” katanya.
PUTERI MASIH TRAUMA
Dalam hantaran awal di Instagramnya pada 26 Feb, Cik Fatin berkongsi bahawa Puteri mengalami kecederaan pada tulang pinggul dan pinggang dalam kejadian itu. Akibatnya, dia terpaksa memakai lampin apabila perlu membuang air kecil atau besar.
Pada 10 Mac, dia berkongsi bahawa Puteri telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami masalah inkontinens (keadaan tidak upaya mengawal buang air kecil atau air besar). Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah untuk dimasukkan ke wad bagi pemerhatian lanjut.
Cik Fatin memberitahu CNA bahawa Puteri dimasukkan ke hospital selama lapan hari dan dibenarkan keluar pada 17 Mac. Dia kini boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat dan sudah tidak lagi memakai lampin.
Cik Fatin berkata dia berasa lega dengan keadaan Puteri yang sudah bertambah baik tetapi masih bimbang tentang bagaimana kecederaan itu boleh membawa penyakit mengejut lain pada masa akan datang.
Katanya, dia sedih melihat bagaimana anak perempuannya itu merindui aktiviti luar, terutama apabila melihat adik-beradiknya pergi ke sekolah.
“Dia sebelum ini menunggang ATV (kenderaan rekreasi semua rupa bumi) dan pergi menyelam dan berenang. Tiba-tiba, dia memakai lampin dan tidak boleh bergerak,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Buat masa ini, Puteri sedang belajar berjalan tanpa tongkat dan dijadualkan menjalani fisioterapi dan janji temu doktor susulan dalam beberapa hari akan datang. Dia menghabiskan hari-harinya di rumah melukis dan melakukan seni dan kraf.
Cik Fatin menganggarkan dia akan berhenti berlakon sekurang-kurangnya tiga bulan. "Dan itu hanya jika dia mahu terus berlakon, memandangkan traumanya," tambah beliau.
Tegas Cik Fatin, Puteri masih memikirkan kejadian itu, kadang-kadang memberitahunya bahawa dia tidak berasa seperti dia sepatutnya duduk di atas kerusi.
"Dia tidak rasa dia sepatutnya berada di beberapa tempat. Saya kata, ‘Tidak, kerusi ini untuk awak dan awak sepatutnya berada di sana, bukan di tempat lain.’ Dan jika dia masih tidak boleh teruskan, saya mungkin perlu membawanya ke pakar psikiatri,” tambahnya.
Cik Fatin menggesa ibu bapa dan guru untuk mendidik kanak-kanak bahawa menarik kerusi sebagai ‘prank’ atau gurauan adalah amat berbahaya.
"Ia bukan ‘prank’, apatah jika anda bersedia untuk melumpuhkan anak-anak orang lain dan pergi ke mahkamah," tambahnya.
“Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak 100 peratus, jadi kita perlu mengajar mereka. Mereka fikir ini melucukan, tetapi ia tidak melucukan.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai warga Singapura yang tidak berat hati untuk kongsi rumahnya dengan orang lain.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.