Usaha mengesan dan merawat barah di Singapura: Daripada kecerdasan buatan hinggalah kepada ujian lebih murah
Daripada ubat-ubatan hinggalah kepada ujian barah yang jauh lebih murah dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), kita tinjau sumbangan penyelidik di Singapura dalam mengesan barah dan terapi rawatannya.
SINGAPURA: Barah masih menjadi penyebab utama kematian di Singapura. Apa yang tidak dapat disangkal adalah jumlah kes baharu yang terus meningkat selepas berdekad.
Sebagai contoh, jumlah kes barah baharu adalah 189 bagi setiap 100,000 penduduk dari tahun 1968 hingga 1972; jumlah ini meningkat kepada 237 bagi setiap 100,000 penduduk dari tahun 2015 hingga 2019, menurut laporan terbaharu Pendaftaran Barah Singapura 2019.
Kesedaran yang lebih baik, pemeriksaan awal dan pengesanan yang lebih baik mungkin menyumbang kepada peningkatan jumlah kes yang dilaporkan.
Sisi positif dalam kes barah di Singapura adalah dalam beberapa tahun ini, kadar tingkat bertahan hidup telah bertambah baik, menurut laporan yang sama. Antara tahun 1968 dan 1972, 93 kematian akibat barah direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk; jumlah ini telah turun kepada 79 kematian bagi setiap 100,000 penduduk dari tahun 2015 hingga 2019.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah pembangunan ubat yang lebih bersasar. Pendekatan secara sama rata telah memberi jalan kepada ketepatan ubat yang "menyasarkan rawatan yang tepat, kepada pesakit yang tepat, pada masa yang tepat", kata Dr Richard Quek, seorang perunding kanan dalam perubatan onkologi di Pusat Barah Parkway.
"Misalnya, tidak semua barah payudara mempunyai mutasi gen yang sama, jadi barah ini mungkin tidak sentiasa memberi tindak balas yang sama, terhadap rawatan yang sama, dengan kaedah yang sama."
Selain daripada ketepatan pada ubat atau ubat yang telah dikhaskan untuk seseorang pesakit, terdapat juga kemajuan onkologi lain yang sedang dibuat yang memperkuatkan, atau sebaliknya. Berikut adalah pandangan ringkas mengenai perkembangan yang sedang berlaku di Singapura.
KAEDAH UJIAN KOS RENDAH UNTUK BARAH
Dalam masa terdekat, mungkin akan ada ujian yang lebih murah, kurang invasif dan lebih sensitif untuk barah. Ujian yang dipanggil sebagai ujian Heatrich-BS ini berharga sekitar S$50 (RM170) dari permulaan hingga tamat, berbanding kaedah pengurutan lain yang boleh menelan kos sehingga S$1,000.
Tambahan pula, ujian baharu itu menggunakan sampel darah dan bukannya sampel tisu yang diambil daripada biopsi, yang lebih invasif kepada pesakit.
Jadi, bagaimana ia berfungsi? DNA manusia terdiri daripada nukleotida yang dikelompokkan menjadi adenine (A), timin (T), guanin (G) dan sitosin (C).
Tanda-tanda spesifik barah cenderung tertumpu di kawasan DNA yang mempunyai pengulangan nukleotida C dan G yang tinggi yang dikenali sebagai pulau CpG.
Oleh kerana pulau CpG hanya membentuk 1 peratus genom manusia, ia dilihat jauh lebih cepat untuk menelusuri mereka daripada menapis melalui banyak DNA yang bebas barah.
Proses penyaringan semasa juga mungkin membenarkan beberapa "tanda-tanda barah yang kelihatan sedikit berbeza" untuk terlepas, kata ketua penyelidik Profesor Madya Cheow Lih Feng.
Beliau mengetuai pasukan yang terdiri daripada penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Nasional Singapura (NUS) di bawah Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan serta Institut Inovasi & Teknologi Kesihatan NUS.
Ujian Heatrich-BS telah diuji di Pusat Barah Nasional Singapura ke atas pesakit barah kolorektal, di mana mereka menemui hubung kait yang tinggi antara kuantiti DNA barah yang tertentu dalam sampel darah pesakit dan saiz tumor dari semasa ke semasa.
Pasukan tersebut sedang meneroka kaedah untuk memasarkan ujian darah tersebut di pasaran.
POTENSI UBAT RAWATAN LEUKEMIA AKUT
Sejenis ubat yang telah ditemui lebih sedekad yang lalu untuk menyasarkan leukemia telah ditemui semula untuk memerangi sejenis barah darah yang dipanggil sebagai leukemia limfoblastik akut sel T atau T-ALL.
Ia secara dominan menyerang kanak-kanak dan bersifat agresif serta berkembang dengan cepat. Ia juga mempengaruhi sel stem pada sumsum tulang yang menghasilkan sel T untuk melawan jangkitan.
Penyelidikan baharu telah menemui bahawa ubat yang dipanggil PIK-75 itu mampu menghalang bukan saja satu tetapi dua laluan penting T-ALL yang menyebabkan barah, kata para saintis dari Institut Sains Barah Singapura.
"Strategi rawatan barah yang terkini kebanyakannya memberi tumpuan kepada penyasaran satu molekul khusus yang berkaitan dengan penyakit ini," kata Profesor Madya Takaomi Sanda, penulis utama kajian itu. Tetapi mereka sudahpun mendapati bahawa mengenal pasti dan menghalang pelbagai mekanisme, yang telah dikelompokkan kepada keabnormalan Jenis A dan B, dapat melambatkan penyakit tersebut.
Keabnormalan Jenis A melibatkan protein yang mengekalkan perkembangan sel barah, sementara Jenis B dikategorikan oleh laluan isyarat tidak normal yang menggalakkan kemunculan sel barah. Bersama-sama, kedua-dua mekanisme itu menyokong perkembangan sel T-ALL malignan. PIK-75 didapati boleh menghalang protein dan laluan isyarat tersebut.
Para penyelidik sedang mencari cara untuk memberikan PIK-75 kepada pesakit.
TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN
Terdapat satu pendekatan baharu untuk mengenal pasti mutasi barah daripada jutaan fragmen DNA dalam sampel tumor - dengan menggunakan kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (AI).
Kaedah yang dipanggil sebagai Rangkaian Varian atau VarNet, dikatakan mampu mengesan mutasi DNA barah dengan tepat berdasarkan data pengurutan barah dari pangkalan data Singapura dan antarabangsa, menurut penciptanya dari Institut Genom Singapura (GIS) A*STAR.
Proses ini biasanya dilakukan oleh pakar manusia yang memeriksa imej bacaan DNA yang bertindih dengan mutasi yang berpotensi. Namun, manusia hanya dapat melakukannya untuk beberapa mutasi dalam masa yang terhad.
Sementara itu, kaedah AI berpotensi melakukan tugas yang sama merentasi keseluruhan 3 bilion nukleotida dalam genom manusia, kata Dr Anders Skanderup, yang mengetuai penyelidikan tersebut.
"Mengenal pasti mutasi barah adalah langkah kritikal dalam membangunkan perubatan ketepatan tinggi," kata Profesor Patrick Tan, Pengarah Eksekutif GIS. "VarNet menunjukkan bahawa pembelajaran mesin yang mendalam boleh mengesan mutasi barah dengan ketepatan yang sering melebihi kaedah canggih terkini sedia ada."
VarNet tersedia untuk penyelidik barah membuat pengesanan mutasi barah secara pantas dan tepat.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai salun mesra hijab bagi Muslimah di Singapura untuk mendandan rambut dalam ruang privasi.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.