Salun mesra hijab bagi Muslimah di Singapura untuk mendandan rambut dalam ruang privasi
Beberapa kedai salun dan dandanan rambut di Singapura kini menawarkan pengalaman yang selesa dan eksklusif buat Muslim berhijab.

SINGAPURA: Bagi Muslimah yang memakai tudung, privasi adalah perlu, dilayan pula oleh kakitangan yang semuanya wanita dengan produk rambutnya disahkan halal, memanglah satu kelebihan.
Walaupun pusat kecantikan di Singapura boleh didapati di mana-mana saja, namun salun yang memenuhi keperluan khusus untuk para Muslimah tidak mudah didapati.
Oleh itu, ia adalah berita baik buat pelanggan wanita yang bertudung dengan adanya salun-salun rambut yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk mereka.
Lebih banyak salun sedemikian telah dibuka yang menyediakan bilik-bilik peribadi atau ruang khusus hanya untuk pelanggan wanita.
Apa yang lebih menarik, mereka menyediakan rangkaian penuh khidmat dandanan rambut yang sesuai dengan pelbagai bajet - sama ada untuk potongan rambut yang biasa atau perm (keriting) atau teknik pewarna khas yang diinginkan pelanggan.
Berikut adalah senarai salun yang mungkin diminati sesetengah pelanggan.
CHEZ VOUS: RUANG PERSENDIRIAN

Cawangan baharu Chez Vous ini khas untuk mereka yang inginkan privasi dan perkhidmatan mewah yang lengkap. Terdapat juga bilik peribadi untuk mereka yang ingin duduk bersendirian dan juga "pod" separa tertutup untuk orang lain yang inginkan keselesaan dengan privasi separa atau ingin duduk bersama rakan-rakan.
Banyak tawaran bersama yang premium disediakan di sini termasuklah minuman, jamuan minum petang dan khidmat ekspres untuk spa kepala dengan setiap pakej perkhidmatan.
https://chezvoushair.com/privatespace/
HAIRCOVE
Adakah anda mencari salun yang mesra hijab di tengah kota? Haircove mempunyai bilik peribadi, pasukan jurugaya wanita, menggunakan pewarna rambut yang diperakui sijil halal serta mempunyai cawangan di tiga lokasi berbeza di Singapura. Harga juga berpatutan.
KANTIK
Sebuah cawangan khas untuk wanita saja yang dibuka oleh salun rambut terkenal Korea Leekaja (kini dikenali sebagai Bada Hair), lokasi mewah di Galeri Mandarin ini menawarkan khidmat rambut premium oleh jurugaya yang mahir di sebuah ruang yang cantik. Produk rambut yang digunakan Kantik kebanyakannya mesra vegan dan halal.
KARVA
Terkenal dalam kalangan para Muslimah, Karva adalah salah sebuah salun untuk wanita yang menyediakan khidmat untuk rambut dan kuku. Ia juga sesuai untuk membawa kanak-kanak bersama kerana terdapat sudut untuk mereka menunggu sedang para ibu dilayan penyedia khidmat. Kanak-kanak juga boleh mendapatkan khidmat potong rambut disini.
Karva terkenal kerana memenuhi keperluan pelanggan Muslimnya - terdapat juga ruang solat atau surau di salun, manakala produk rambutnya disahkan halal. Terdapat juga cawangan di daerah utara, timur dan barat, jadi pelanggan pasti boleh mencari cawangan terdekat yang disukai.
LILY HEAD & HAIR SPA
Barber 25, sebuah kedai gunting rambut yang terletak di CBD, memulakan spa dan salun wanita ini dengan bilik persendirian yang hanya memenuhi keperluan wanita dalam ruangnya.
Pelanggan boleh dapatkan potongan rambut atau perm oleh jurugaya Jepun disini dan manjakan diri anda dengan spa kulit kepala dan rambut. Pelanggan juga mungkin ingin pergi ke salon bersama pasangan atau suami. Sedang pelanggan wanita dilayan, pasangan atau suami mereka pula boleh mendapatkan khidmat mencukur dan potongan rambut.
https://salondesinga.com.sg/en/hairsalon/lily-head-hair-spa/
MODE STUDIO

Berikut adalah salun lain yang terletak di tengah Singapura dengan bilik VIP untuk mereka yang inginkan privasi sepenuhnya. Bilik-bilik ini (terdapat tiga semuanya) tersedia untuk tempahan tanpa caj tambahan dan berdasarkan siapa cepat dia dapat. Nikmati keselesaan kerusi bersandar sepenuhnya dan sinki basuh yang "datang" kepada anda - kedua-duanya sama penting untuk pengalaman yang santai, terutamanya jika anda sedang menjalani proses rawatan rambut yang lama dan rumit.
PEARLISTA

Selepas hampa kerana sukarnya untuk mencari salun khas bagi wanita di sini, bekas artis Mediacorp Nura J memulakan perusahaan Pearlista untuk memenuhi keperluan Muslimah yang bertudung. Salun rangkaian perkhidmatan penuh yang disediakannya mempunyai cawangan di empat lokasi di Orchard dan kawasan-kawasan kejiranan di Eunos, Clementi dan Woodlands.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai operasi kedai makan dan kendera saji di acara ‘Hari Raya Mega Sale 2023’ Singapura yang digantung kerana tiada lesen.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.