Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Autisme dalam kalangan wanita: Mengapa kita terlepas pandang terhadap simptom dan cara dapat sokongan

Kebanyakan kanak-kanak lelaki dengan gangguan spektrum autisme didiagnosis pada usia kanak-kanak. Jadi, mengapakah ramai wanita hanya ketahui bahawa mereka mempunyai autisme ketika mereka menginjak dewasa? 

Autisme dalam kalangan wanita: Mengapa kita terlepas pandang terhadap simptom dan cara dapat sokongan
Diagnosis autisme lewat berlaku pada golongan wanita yang berfungsi tinggi dan rendah dalam spektrum autisme: Mereka kurang tegar dalam tabiat mereka dan menunjukkan kebolehsuaian yang lebih tinggi dalam situasi harian. (Gambar: iStock/AsiaVision).

SINGAPURA: Baru-baru ini, seorang rakan keluarga telah berkongsi pengalaman mereka  tentang bagaimana mereka menyedari anak remaja mereka mempunyai autisme. Gadis itu menjadi berang apabila dia tidak tahan dengan suasana persekitaran yang bising. Selepas itu, rakan tersebut juga menjalani ujian dan mendapati bahawa dia juga mempunyai autisme.

Rupa-rupanya bukan dia seorang sahaja. Seorang lagi rakannya juga didiagnosis mempunyai kes ringan, selepas anak lelakinya didapati berada dalam spektrum autisme. 

Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD) adalah keadaan perkembangan kompleks yang menjejas sistem saraf pusat. Ia mempengaruhi cara seseorang berinteraksi, berkomunikasi, belajar dan berkelakuan.

MENDIAGNOSIS GANGGUAN SPEKTRUM AUTISME

Simptom pertama sering muncul pada usia 18 bulan dan autisme didiagnosis dengan pasti apabila kanak-kanak berusia tiga tahun. Oleh kerana terdapat banyak sub-jenis autisme dan ia merupakan gangguan spektrum, setiap orang akan menunjukkan simptom yang berbeza, dengan tahap keterukan yang berlainan. Ia tidak boleh dikategorikan sepenuhnya oleh set simptom tertentu.

Pada peringkat awal kanak-kanak, simptom muncul sebagai kelewatan pertuturan atau kurang komunikasi, seperti tidak pandang terus pada mata (eye contact) orang lain, kurang ekspresi wajah, tingkah laku yang terhad dan berulang.

Pakar psikologi akan menyediakan penilaian diagnostik untuk menentukan keadaan itu, berdasarkan sejarah perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak tersebut.

Para doktor di Singapura menggunakan ujian penilaian piawai antarabangsa seperti Jadual Pemerhatian Diagnostik Autisme (ADOS) dan Semakan Temuduga Diagnostik Autisme (ADI-R) untuk menentukan tahap keterukan ASD.

Dengan diagnosis, individu mungkin disokong dengan beberapa pilihan rawatan, seperti terapi tingkah laku untuk membantu dengan tingkah laku yang mencabar dan menggalakkan lebih banyak kemahiran sosial serta terapi pekerjaan. Ia tertumpu pada aktiviti yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak ASD mencapai sifat berdikari yang lebih tinggi dalam menjalani aktiviti harian mereka.

Setakat ini, tiada ubat untuk "menyembuhkan" autisme, namun terdapat ubat untuk menguruskan tingkah laku yang bersebab daripada ASD. 

PERBEZAAN LELAKI DAN WANITA AUTISME

Di peringkat global, satu daripada 100 kanak-kanak disahkan menghidap autisme dan jumlah ini telah meningkat sejak kajian terakhir yang dilakukan pada 2012. Di Singapura, Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati bahawa satu daripada 150 kanak-kanak telah didiagnosis autisme. 

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mendapati bahawa ASD adalah 4.2 kali lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan.

Kanak-kanak perempuan yang mempunyai autisme mungkin bergantung kepada kanak-kanak lain untuk membimbing atau bercakap untuk mereka, ini menyembunyikan tanda-tanda dan melambatkan proses diagnosis mereka. (Gambar: iStock/Shutter2U)

Lelaki lebih cenderung untuk menunjukkan simptom-simptom seperti:

  • Kebiasaan dan rutin yang dipatuhi dengan ketat 
  • Kurang berhubungan dengan orang lain menerusi mata atau ‘eye contact’ 
  • Tidak selesa berada di ruang yang sesak dan bising
  • Kurang kemahiran sosial
  • Gelisah apabila sesuatu perkara tidak dilakukan dengan cara yang biasa mereka lakukan

Wanita mungkin menunjukkan satu atau semua simptom ini tetapi kemahiran sosial mereka agak lebih berkembang, jadi mereka berkelakuan dengan cara yang dapat "menyelubungi" keadaan ASD mereka. Ia berlaku apabila mereka bergantung pada kanak-kanak lain untuk membimbing, bercakap bagi pihak mereka dan mungkin menzahirkan minat tetapi pemahaman yang terhad tentang topik yang mereka minati.

KENAPA WANITA TIDAK DIDIAGNOSIS ASD DENGAN LEBIH AWAL

Kelewatan diagnosis cenderung berlaku pada wanita yang berfungsi tinggi tetapi pada  spektrum ASD yang rendah. Mereka kurang tegar dalam tabiat mereka dan menunjukkan keupayaan sesuaikan diri yang lebih tinggi dalam situasi harian.

Menurut ahli psikologi konsultan bagi Pusat Sumber Autisme (ARC) di Singapura, wanita yang didiagnosis pada usia dewasa selalunya mempunyai kecerdasan purata atau melebihi purata. Mereka cenderung mempunyai kes autisme yang kurang teruk dan manifestasi tingkah laku mereka pula kurang ketara.

Wanita yang mengalami gangguan spektrum autisme mungkin mengalami ‘episod’ dalam perubahan emosi dan perasaan mereka. (Gambar: iStock/Xsandra)

Apabila wanita yang mengalami simptom ASD ini mengalami "episod" dalam rutin mereka, emosi mereka dizahirkan dalam dua bentuk: Sama ada berhenti berfungsi dengan cara menutup hubungan (komunikasi) atau mereka menunjukkan emosi dalam pelbagai cara.

Jadi bagaimanakah simptom mereka ini tidak dapat dikesan?

PENYAMARAN DALAM TINGKAH LAKU SOSIAL

Dr Sajith Sreedharan Geetha, perunding kanan di Jabatan Perkembangan Psikiatri di IMH, berkata, “Sesetengah wanita yang mempunyai ASD, terutamanya mereka yang tidak mempunyai kecacatan intelek, mereka mungkin belajar meniru gaya komunikasi yang sesuai secara sosial daripada orang lain atau mempersiapkan diri mereka untuk aktiviti perbualan dalam situasi sosial.

“Tingkah laku ini dikenali sebagai ‘penyamaran’ atau ‘pelitupan’ dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan rakan sebaya mereka,” jelasnya.

Penyamaran dalam tingkah laku yang lain termasuk:

  • Memaksa diri mereka untuk membuat ‘eye contact’ dalam perbualan
  • Mempersiapkan diri mereka dalam memahami frasa-frasa dan jenaka tertentu sebelum bersosial 
  • Meniru gelagat orang lain, termasuk meniru ekspresi wajah dan gerak badan

Tambah Dr Sajith, kekurangan pendekatan ini adalah ia berkesan pada permukaan sahaja tetapi agak meletihkan secara kognitif. Ini semua menimbulkan lebih banyak tekanan dan masalah emosi. 

“LELAKI AKAN BERTINGKAH LAKU SEPERTI LELAKI, BEGITU JUGA PEREMPUAN”

Selain daripada keupayaan untuk "menutupi" dan dapat bersosial, norma sosial dan stereotaip tentang kanak-kanak perempuan dianggap "lebih senyap" berbanding lelaki, menyebabkan  wanita gagal didiagnosis dalam tempoh yang lama.

“Autisme mereka tidak disedari kerana mereka kurang menunjukkan tingkah laku hiperaktif atau mengganggu (disruptive) yang biasa dilihat pada kanak-kanak lelaki dengan simptom ASD. Kesukaran mereka untuk berinteraksi dengan rakan sebaya sukar dikesan oleh mata yang tidak terlatih,” kata Dr Sajith.

Stereotaip jantina bahawa kanak-kanak perempuan lebih tenang berbanding lelaki menyukarkan golongan wanita dewasa didiagnosis dengan ASD lebih awal. (Gambar: iStock/urbazon)

Tambah beliau, wanita biasanya didiagnosis pada usia remaja atau awal kedewasaan apabila mereka tidak lagi dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan sosial dan mengalami masalah emosi. Ini boleh menyebabkan mereka dikenal pasti dengan keadaan psikiatri seperti gangguan personaliti di paras sempadan (BPD), atau rasa cemas, bukannya ASD.

Para konsultan kepada ARC turut menegaskan pemerhatian ini tetapi menambah bahawa wanita cuba mencari diagnosis mereka sendiri. Ini apabila mereka dapat mengenali tingkah laku menerusi pengalaman peribadi dan dengan melakukan kajian mereka sendiri.

Walaupun mungkin perkara biasa bagi individu yang mempunyai ASD untuk turut mengalami kemurungan atau gangguan lain seperti keresahan dan gangguan obsesif-kompulsif, ini boleh dirawat dan diuruskan dengan berkesan melalui sokongan yang betul.

JANGAN PUTUS ASA, JANGAN ELAK BERKOMUNIKASI: KISAH ASD SEORANG WANITA

Jesselin Ong, 22, menerima diagnosis secara rasmi ketika dia berada di hospital selepas terlibat dalam kemalangan serius pada 2015, ketika usianya belasan tahun.

Sebagai seorang kanak-kanak, dia enggan bercakap sehingga dia berusia tujuh tahun, dan sentiasa berasa gelisah. Ketika dewasa, katanya, dia akan keluar dari mesyuarat jika dia berasa bosan, atau "bertanyakan kepada orang ramai soalan-soalan yang tidak menyenangkan".

“Saya mempunyai sensitiviti pada deria dan mengelakkan makanan yang ‘berlendir’ seperti kuning telur yang cair atau mi goreng Hokkien. Saya mengelak daripada memakai seluar dan sehingga hari ini, saya hanya memakai baju gaun sahaja,” kata perunding IT itu.

Dia mendapat tahu tentang keadaannya ketika berbual dengan seorang pakar psikologi di hospital. Walaupun begitu, dia tidak percaya sesiapa boleh membantunya. "Saya menganggap para ahli psikologi ini mengarut," katanya.

Penerimaan adalah kunci untuk memahami keadaannya. "Ibu bapa saya menyembunyikan diagnosis saya dan memberitahu saya bahawa saya normal sepenuhnya. Bagaimanapun, ibu saudara saya, yang merupakan penjaga saya, cuba untuk membantu ... Jika TV di rumah terlalu kuat, dia akan merendahkan kelantangan. Dan itu sangat membantu.”

Walaupun dia tidak mengambil berat tentang diagnosisnya sebagai seorang remaja dan menolak sokongan yang ditawarkan kepadanya, tetapi ketika dewasa, Ong mendapati bahawa mempunyai akses kepada perkhidmatan sedemikian sedikit sebanyak membantu. Dia kini memahami apakah pencetus kepada perubahan emosinya, seperti terlalu banyak cahaya, atau orang asing yang keluar masuk dari bilik.

"Sebagai seorang dewasa, saya mula belajar dan memerhatikan diagnosis saya dan menyedari akhirnya ada penjelasan untuk perasaan yang berbeza-beza itu. Ketidakupayaan saya untuk menyesuaikan diri bukanlah suatu kegagalan peribadi tetapi simptom keadaan saya.

“Sekarang apabila sudah semakin tua, ia dapat membantu saya mempelajari kemahiran untuk mengatasinya. Ia adalah percubaan melalui pengalaman, tetapi saya belajar bagaimana untuk bergaul dan menguruskan autisme saya dengan usaha yang minimum."

Sebelum diagnosisnya, Ong berpendapat orang autistik tidak mampu hidup berdikari atau menyumbang secara produktif kepada masyarakat. Diagnosis yang diterimanya  memberikan dia keberanian untuk keluar daripada stereotaip itu. “Saya dapati bahawa saya mampu mendapat pekerjaan, bertahan hidup sendirian, membina hubungan persahabatan dan merasa terhubung dengan orang lain.

“Saya belajar untuk mendapatkan bantuan profesional dan mendedahkan kelemahan saya kepada rakan dan keluarga yang dipercayai. Kami cuba dan melakukan segala-galanya dengan sendiri, jadi mempunyai sokongan di sekeliling saya ketika hari-hari yang baik dan buruk adalah sangat penting untuk kesihatan mental.

"Nasihat saya kepada sesiapa yang telah menerima diagnosis mereka adalah: Jangan berputus asa, jangan berhenti berhubung (dengan orang lain) atau mengecualikan diri dari orang. Autisme tidak mencorakkan siapa diri saya.”

DIAGNOSIS LEWAT BOLEH MENJADI PERKARA POSITIF

Dr Syed Harun Alhabsyi, perunding psikiatri di klinik Better Life Psychological Medicine, berkata diagnosis lewat boleh menjadi suatu perkara yang positif. “Ini bermakna tahap disfungsi perkembangan wanita adalah halus dan tidak begitu ketara untuk memperlihatkan diagnosis awal. Kemungkinan golongan wanita ini telah membina strategi untuk mengatasi batasan mereka dalam interaksi sosial."

Tetapi diagnosis lewat mungkin juga bermakna mereka bergelut dengan kesukaran daripada usia pertumbuhan mereka saban tahun sehingga dewasa. Ini membuatkan mereka terdedah kepada masalah emosi, yang membawa kepada strategi mengatasi yang tidak sihat seperti mengelakkan situasi sosial yang keterlaluan. 

Wanita yang menghidap autisme mungkin memerlukan terapi untuk menjadi lebih sedar mengenai situasi sosial dan membantu mereka untuk mengembangkan kemahiran mereka bagi menangani situasi sedemikian, kata seorang pakar. (Gambar: iStock/Vanessa Nunes)

Namun, masih ada harapan. Dr Syed Harun percaya bahawa diagnosis lewat itu dikaitkan dengan kesukaran dalam persekitaran sosial baharu seperti tempat kerja dan keperluan. Ia juga bersebab daripada usaha untuk menangani penglibatan sosial dan membina hubungan yang bermakna dalam situasi sebegini.

“Ini adalah kemahiran yang lebih tinggi yang memerlukan mereka lebih lama untuk memahami. Mereka mungkin telah gagal dalam percubaan sebelum memahami nuansa norma sosial. Dan untuk ini, wanita dengan autisme mungkin memerlukan terapi untuk menjadi lebih sedar tentang situasi sosial dan membina kemahiran mereka sendiri untuk menangani situasi sedemikian."

Dr Sajith menambah: "Wanita yang lambat menerima diagnosis dalam kehidupan mereka sering melaporkan bahawa ia membantu mereka memahami dan menerima diri mereka dengan lebih baik."

Sebaik sahaja seorang wanita menerima diagnosis rasmi ASD itu, penting bagi mereka mendapatkan rawatan yang betul daripada pakar psikiatri, ahli psikologi dan ahli terapi lain untuk menangani kepekaan deria mereka, kesukaran emosi dan meningkatkan kemahiran pelibatan sosial mereka.

HIDUP DENGAN ASD: DI TEMPAT KERJA

Menurut Dr Sajith, menjadi suatu cabaran bagi mereka yang mengalami ASD untuk mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan, tanpa mengira cabaran. 

Meskipun mereka mempunyai kelayakan pendidikan yang diperlukan, mereka mungkin berdepan kesukaran dalam komunikasi. Mereka mungkin tidak menunjukkan prestasi yang baik semasa temuduga pekerjaan, mempunyai gangguan dalam interaksi sosial dengan rakan sekerja, atau malah merasa dipandang rendah di tempat kerja.

Bagi mengatasinya, bersikap terbuka tentang diagnosis mereka dengan rakan sekerja adalah kunci untuk membantu mereka memahami ASD. Dengan cara ini, mereka juga mendapat sokongan daripada majikan mereka dalam menyesuaikan persekitaran tempat kerja. 

Bersikap terbuka tentang autisme boleh membantu wanita autisme mendapatkan sokongan yang mereka perlukan daripada rakan sekerja dan majikan mereka, untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja. (Gambar: iStock/xavierarnau)

Konsultan ARC percaya bahawa keseimbangan teknologi, seperti alat headphone yang menyekat bunyi berlebihan, dan kalangan orang dalam sekitaran kerja, boleh disesuaikan dengan keadaan seseorang yang mengalami ASD. Ia sedikit sebanyak membina kekuatan dan kemahiran individu di tempat kerja.

HIDUP BERSAMA ASD: PERSAHABATAN, PERKAHWINAN & BERKELUARGA

Walaupun ada yang berpendapat bahawa wanita dengan ASD boleh dengan mudah dimanipulasi dan didera dalam perhubungan, kajian mengenainya adalah agak terhad.  

 "Mutu hubungan akan bergantung pada tahap berapa teruknya gangguan berkaitan autisme yang dialami dan bagaimana rakan dan pasangan mereka bersedia untuk menyesuaikan diri dan menerima kesukaran mereka," kata Dr Sajith.

Orang yang mengalami ASD memerlukan cerapan tentang di mana batasan mereka sendiri. Ia termasuklah 'titik buta' (blind spots) mereka dalam sesuatu situasi sosial. Atau mereka juga perlu diberitahu tentang bagaimana sesuatu rangsangan boleh memberi kesan yang lebih kepada mereka berbanding orang lain. Pasangan juga perlu memahami cabaran dan pandangan hidup pasangan autistik mereka dan cara menangani dan menyokong mereka.

Wanita yang menghidap ASD mungkin perlu mengatasi kebimbangan yang berkaitan dengan perubahan dalam rutin mereka serta pencetus berkaitan deria daripada kehamilan, dan sokongan daripada orang tersayang sangat membantu. (Gambar: iStock/Edwin Tan)

Bagaimana pula dengan kehamilan dan penjagaan kanak-kanak? Mereka yang mengalami ASD mungkin perlu mengatasi kebimbangan berkaitan dengan perubahan dalam rutin mereka, serta pencetus berkaitan deria daripada kehamilan. Keupayaan mereka menjaga anak-anak bergantung kepada sokongan yang mereka terima daripada orang-orang tersayang, tahap keterukan autisme mereka serta gangguan lain.

Bagaimanapun, konsultan ARC percaya bahawa orang yang mempunyai autisme, bukan hanya wanita, boleh mempunyai hubungan yang memuaskan dan kehidupan yang penuh dengan pemahaman yang lebih baik tentang keadaan mereka, dan mengetahui cara menanganinya apabila kelakuan ini berlaku.

Jika anda mengesyaki bahawa anda mempunyai ASD atau mengalami simptom yang mungkin bersifat kepelbagaian dalam neuro, dapatkan diagnosis profesional daripada pakar psikiatri atau ahli psikologi.

Jika anda mengetahui seseorang yang telah didiagnosis ASD secara rasmi, sentiasa tunjukkan empati dan elakkan daripada membuat apa-apa kesimpulan.

Apa yang perlu terus ditegaskan adalah tidak mengapa jika kita berbeza. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang mengapa sesetengah kedai haiwan peliharaan di Johor sanggup sediakan khidmat seludup haiwan ke Singapura. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement