Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Walaupun pekak ia tidak halang ‘livestreamer’ ini catat jualan ribuan dolar dengan bahasa isyarat 

Lily Goh kerap diikuti ratusan penontonnya yang cacat pendengaran untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai fesyen, produk kecantikan dan barangan mewah. Lily memberitahu CNA Women bagaimana dia berharap dapat memecahkan tembok komunikasi untuk komuniti orang pekak.

Walaupun pekak ia tidak halang ‘livestreamer’ ini catat jualan ribuan dolar dengan bahasa isyarat 
Lily Goh, yang melakukan penstriman langsung e-dagang dalam bahasa isyarat, berharap dapat menjadikan wadah itu lebih inklusif untuk komuniti orang pekak dan memecahkan tembok komunikasi. (Gambar: CNA/Alvin Teo)

SINGAPURA: Dia menjual produk penjagaan kulit, beg mewah, fesyen jalanan dan koleksi BE@RBRICK melalui penstriman langsung atau ‘live stream’. Sepanjang tiga bulan lepas, dia telah membawa masuk sekitar S$200,000 hasil jualan untuk syarikatnya. Beratus-ratus orang menontonnya setiap kali membuat penstriman langsung. 

Yang pasti Lily Goh yang berusia 43 tahun, bukanlah seorang pakar fesyen, pakar kecantikan atau pempengaruh. Anda tidak akan melihat dia bergambar dalam foto #OOTD atau mempamerkan trend solek terkini di Instagram atau TikTok. Membeli-belah bukanlah minatnya, malah itu bukanlah sebabnya dia memulakan penstriman langsung.

Sejauh ingatan Goh, dia menjadi pekak sejak dari kecil lagi. Dia teringat zaman kanak-kanak dan remajanya di mana dia telah disisihkan dan ditolak oleh dunia golongan yang boleh mendengar.

“Saya dibesarkan dengan agak terasing dalam dunia saya sendiri (tanpa pendengaran). Selalunya, saya dipinggirkan dan dikecualikan, terutamanya daripada perbualan orang biasa. Saya rasa ditinggalkan dalam kegelapan,” katanya.

Inilah yang mendorongnya untuk menyertai platform perniagaan sosial dalam talian tempatan Mdada – dia berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya komuniti orang pekak dalam setiap aspek kehidupan, termasuk penstriman langsung e-dagang, salah satu evolusi terkini bagi jualan runcit dalam talian.

Walaupun majoriti penonton Mdada adalah orang dengan daya pendengaran, Goh menganjurkan sesinya terutamanya dalam Bahasa Isyarat Singapura (SgSL), yang digunakan oleh komuniti orang pekak Singapura, mencampurkan sedikit bahasa pertuturan Inggeris. 

Keluarga Lily Goh mendapati dia pekak ketika berusia dua tahun. Punca dia pekak tidak diketahui. (Gambar: Lily Goh)

Bagi Goh, ia bukan sekadar menjadikan bentuk hiburan dan terapi runcit ini boleh diakses oleh orang pekak. Dia juga mempunyai impian yang lebih tinggi: Dia berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti orang pekak dan menunjukkan kepada dunia bahawa orang pekak mampu buat seperti orang lain. 

MEMECAHKAN SILING KACA

Jika anda tidak dapat mengingati mana-mana siaran langsung orang pekak lain di Singapura, ia kerana bidang itu secara tradisinya tidak dikaitkan dengan komuniti orang pekak.

Bagi Goh, komunikasi sehari-hari antara orang pekak dan orang yang mendengar menjadi satu cabaran. Ini kerana orang pekak bergantung pada bacaan bibir dan isyarat visual lain untuk memahami pertukaran lisan, yang sering berlaku dengan cepat.

Selain itu, orang pekak mungkin tidak biasa dengan beberapa ungkapan sehari-hari dan slanga. Sesetengahnya, seperti Goh, mungkin juga tidak pasti cara menyebut perkataan tertentu, dan sukar untuk difahami.

Lily Goh menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa utama dalam penstriman langsungnya. Ketika ini dia sedang berkata, "Selamat berkenalan". (Gambar: CNA/Alvin Teo)

Dalam sesi penstriman langsung, di mana hos dijangka mempersembahkan sebanyak 10 produk, serta menghiburkan penonton dengan gurauan tanpa skrip dengan hos bersama, selama dua jam, cabaran ini menjadi semakin sukar.

Apabila Goh mula-mula ditawarkan pekerjaan itu oleh Mdada, ramai rakannya yang pekak cuba menghalangnya daripada melakukan kerja tersebut. "Mereka tidak tahu bagaimana ia akan berhasil dan jika saya akan dapat berkomunikasi dengan penonton. Ada juga yang bimbang saya tidak mempunyai pengaruh yang cukup untuk melakukannya,” kata Goh. 

"Pada mulanya, saya teragak-agak," akuinya. "Tetapi apabila pasukan Mdada meyakinkan saya bahawa mereka mahu beraksi seperti diri sendiri dan menggunakan bahasa isyarat, saya memutuskan untuk mencubanya."

Lily Goh berkata dia sentiasa bersiap sedia dengan pengetahuan tentang produk dan mencari maklumat menggunakan Google sebelum penstriman langsung. (Gambar: CNA/Alvin Teo)

Jadi, pada 15 Sep 2022, Goh melakukan 'livestream' atau penstriman langsung pertamanya dengan menjual tiga produk kecantikan: Krim mata, serum dan produk anti-penuaan. Sesi itu telah diterima baik oleh penonton dan banyak yang terjual.

"Selepas penyampaian itu, saya terima beberapa mesej daripada rakan (dari komuniti orang) pekak menyatakan mereka sangat gembira kerana mendapati penstriman langsung itu lebih mudah diakses dan inklusif kepada mereka buat kali pertamanya," katanya. Ini mendorong Goh untuk meneruskan perjalanannya sebagai penyiar siaran langsung atau ‘livestreamer’.

CABARAN DALAM PROSES BELAJAR

Walaupun meraih kejayaan pada awalnya, penstriman langsung itu bukan mudah. Salah satu sebabnya ialah Goh biasanya bekerja dengan hos bersama yang berbahasa Inggeris atau Mandarin.

Goh pula tidak fasih berbahasa Inggeris dan langsung tidak berbahasa Mandarin. Kadangkala sukar baginya untuk bergantung pada bacaan bibir untuk memastikan perbualan berjalan lancar semasa rancangan langsung itu.

“Saya bercakap Bahasa Isyarat Singapura untuk 75 hingga 80 peratus daripada strim langsung itu. Jika hos bersama saya mengetahui beberapa bahasa isyarat, kami akan berinteraksi dengan lebih lancar. Jika tidak, saya mungkin tidak dapat menangkap apa yang mereka katakan dan banyak bergantung pada tekaan untuk berinteraksi dengan mereka,” katanya.

“Dalam kes sebegini, jika mereka terus bercakap dengan laju, atau jika mereka bercakap dalam bahasa Mandarin, maka saya hanya akan buat hal saya sendiri. Saya akan berkongsi lebih lanjut mengenai produk atau topik dalam bahasa isyarat secara serentak di sebelah mereka," katanya.

"Kadang-kadang ada nama ramuan seperti 'peptida' atau fungsi produk seperti "mengelupas" yang saya tidak boleh sebutkan. Saya akan menulis perkataan ini pada iPad untuk dikongsikan dengan penonton," kata Lily Goh. (Gambar: CNA/Alvin Teo)

Di sebalik halangan itu, Goh gigih mengasah kemahiran penstriman langsungnya. Jika pada mulanya dia hanya berjaya menjual satu hingga tiga produk dalam sesi satu jam penstriman langsung, kini dia berjaya menjual sebanyak 10 produk dalam tempoh dua jam.

"Saya belajar bahawa amat penting untuk menjadi seorang yang berperwatakan menarik, menyeronokkan dan inklusif, dan semakin lama saya berasa lebih yakin," katanya. Malah, terdapat seorang penonton sebelum ini amat kagum sehinggakan sedang jualan penstriman BE@RBRICK berlangsung, dia membelikan Goh produk BE@RBRICK sebagai hadiah. 

MENCARI MAKNA DALAM KERJANYA

Hari ini, Goh telah mencatatkan lebih daripada 50 jam sesi penstriman langsung dengan Mdada. Salah satu sesinya yang paling bermakna telah dibuat dengan kerjasama JOURNEY, sebuah jenama di bawah badan amal bukan untung TOUCH Community Services, yang mewakili orang kurang upaya intelek.

Sebagai penerima manfaat TOUCH Community Services sebelum ini, Goh sangat teruja untuk membantu menjual barangan bernilai lebih S$10,000 untuk JOURNEY, yang menampilkan karya seni orang kurang upaya intelek. Ini termasuk beg jinjing, payung, kotak bekal makanan dan beg uncang. Hasil jualan disalurkan terus kepada artis itu sendiri.

"Saya sangat kagum dengan seni itu jadi saya melihat profil artis dan menyedari bahawa saya mengenali salah seorang artis itu. Kami pernah ke sekolah rendah yang sama. Dia pekak dan mempunyai kecacatan intelektual. Saya sangat gembira dapat membantunya dan bakat kreatif lain seperti dia untuk menjana pendapatan,” katanya.

Satu lagi kemuncak kerjaya untuk Goh adalah lawatan penstriman langsung Mdada ke Seoul, Korea baru-baru ini pada November 2022. Goh melakukan tujuh penstriman langsung di lokasi di Hyundai Department Store Duty Free. Hanya dalam masa seminggu, dia berjaya menjual produk Korea mencecah S$70,000.

Goh telah menjual produk bernilai S$200,000 dalam tempoh tiga bulan lalu, termasuk produk penjagaan kulit, beg mewah, fesyen jalanan dan barangan koleksi. (Gambar: CNA/Alvin Teo)

“Kami menyediakan tripod dengan lampu dan pemegang telefon di pusat membeli-belah, menyambungkan telefon itu dengan talian wi-fi dan memperkenalkan barangan fesyen yang berbeza seperti kemeja-T, produk kecantikan dan barangan makanan seperti buah-buahan kering beku,” kongsinya. 

“Saya sangat seronok menjual makanan. Kami akan membuka barang dan memakannya perlahan-lahan, (berada) dekat dengan mikrofon, supaya penonton dapat mendengar bunyi itu. Sebagai seorang yang pekak, saya tidak pernah tahu bahawa orang yang boleh mendengar suka dengar bunyi mereka mengunyah makanan,” katanya. 

MEMECAHKAN TEMBOK KOMUNIKASI

Goh sangat berbangga apabila dapat menjadi hos yang menggunakan bahasa isyarat. Daripada 150 atau lebih penonton yang menonton penstriman langsungnya pada waktu malam, kebanyakannya adalah dalam kalangan orang yang boleh mendengar.

Ini membuatkan dia berasa seperti dia telah pergi jauh dari tahun-tahun sebelumnya apabila dia dibimbing untuk mempercayai bahawa bercakap secara lisan dan memaksa dirinya untuk berkelakuan seperti orang yang mendengar adalah perlu untuk menyesuaikan diri dengan dunia.

Dia masih ingat zaman peralihan yang sukar di sekolah pekak di mana dia bersama rakan sekelasnya terpaksa bertukar daripada bahasa isyarat kepada bahasa lisan sebagai persiapan sebelum memasuki sekolah menengah aliran utama.

“Jika kami diketahui menggunakan bahasa isyarat, kami akan didenda 50 sen atau dipaksa berdiri di luar bilik darjah. Ada guru yang menampar kami atau memukul tapak tangan kami dengan kuat,” katanya.

Namun, dia mendapati bahawa sangat sukar untuk berkomunikasi dengan rakan sekelas apabila memasuki sekolah menengah dan diketepikan dalam banyak situasi sosial.

Goh sejak itu telah belajar untuk menerima identitinya dan budaya pekak dengan sepenuh hati, dan percaya bahawa bahasa isyarat adalah sebahagian besar daripada itu. Sebelum menjadi ‘livestreamer’, dia mengajar bahasa isyarat sebagai seorang pekerja bebas selama lebih 15 tahun.

Lily telah mengajar ramai hos bersamanya dan juga mendengar bahasa isyarat penonton - sebagai bukti bagaimana kerjanya telah memecahkan tembok komunikasi. (Gambar: CNA/Alvin Teo)

Hari ini, dia berkongsi minatnya terhadap bahasa isyarat melalui penstriman langsung, mengajar hos bersama dan penonton perkataan-perkataan mudah.

“Sesetengah penonton meminta saya mengajar mereka membuat isyarat perkataan tertentu seperti ‘cinta’, ‘terima kasih’, nombor dan huruf. Saya gembira apabila mengetahui mereka mahu belajar bahasa isyarat daripada saya dan berharap semakin lama semakin ramai yang berminat untuk mempelajari bahasa isyarat,” katanya.

“Terdapat lebih 300 bahasa isyarat unik di dunia. Setiap negara dan wilayah mempunyai bahasa isyarat mereka sendiri. Di Singapura, komuniti orang pekak menggunakan SgSL. Setiap bahasa isyarat mempunyai struktur tatabahasa dan peraturan semantik tersendiri. Saya harap lebih ramai orang mengetahui perkara ini dan jangan fikir ia hanya tepukan tangan,” katanya.

Bercakap mengenai prasangka dan diskriminasi yang dihadapi oleh orang pekak, Goh menambah: “Terdapat banyak halangan untuk orang pekak kerana dunia ini dicipta untuk orang yang mendengar. (Pesanan) saya sering ditolak oleh pemandu teksi apabila cuba menaiki teksi.”

Walaupun Goh menegaskan bahawa teknologi moden seperti aplikasi e-panggilan dan teknologi penstriman langsung telah membantu memecahkan beberapa tembok itu, dia merasakan bahawa sebagai sebuah masyarakat, kita masih jauh lagi dengan mentaliti keterangkuman. 

“Saya juga berharap suatu hari nanti, Singapura mengiktiraf SgSL sebagai bahasa rasmi dan orang ramai akan lebih sedar dan menghormati bahasa kita supaya tembok komunikasi akan dikurangkan,” katanya.

“Pekak bukan sekadar kehilangan pendengaran. Bagi saya, ia bukan kecacatan. Ia membawa banyak makna: Identiti, budaya, kebanggaan dan komuniti.

“Sebagai contoh, begitu ramai orang menggunakan istilah 'masalah pendengaran' untuk merujuk kepada kami. Ini dianggap sangat menyinggung perasaan orang pekak atau kurang pendengaran kerana ia boleh dianggap sebagai orang yang mengalami masalah pendengaran adalah kekurangan dalam beberapa cara. Kami di sini bukannya untuk dibaiki agar boleh mendengar orang ramai,” jelasnya.

Bercakap mengenai kerja sebagai ‘livestreamer’, dia menambah: "Saya berharap dengan peningkatan perwakilan media, lebih ramai orang pekak dan kurang upaya akan disertakan dan diberi perhatian, sama ada di hadapan kamera dan di belakang kamera, bekerja dalam krew sebagai penulis skrip dan penerbit.”

Kata Goh, ia sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan salah tanggapan dan mitos dengan adanya individu mampu membuktikan bakat mereka sebagai mewakili komuniti orang pekak. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kegigihan artis Singapura menyiapkan seni lukisan kanvas yang makan masa 1.5 tahun. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement